Seringkah anda terpegun dengan keindahan
alam semulajadi? Walau apa pun jawapannya, pastikan anda bukan orang terakhir
yang menikmati keajaiban khazanah laut yang mungkin terletak 'satu ataupun
dua langkah' dari kediaman anda. Jika gambarannya sahaja telah membuat
hati anda terpaut, bayangkan melihat melebihi 3,000 spesies hidupan di
persekitaran sebenar. Sesiapa yang pernah berkunjung ke kawasan terumbu
karang pasti Selepas puas dihembus angin laut ketika menaiki bot, kini
kaki mula menjejaki pantai, merasai kehangatan butiran pasir yang disinari
cahaya suria seolah-olah menjemput para pengunjung. Seluas mata memandang,
kebiruan laut terbentang di hadapan kita. Untuk menikmati keunikan terumbu
karang, sudah semestinya lautan perlu diredah. Dikala melihat lambaian
haiwan dan tumbuhan pelbagai warna yang berada di dalam perut laut, masa
pasti akan berlalu tanpa disedari.
Hubungan dan fungsi setiap individu lautan
samada di antara haiwan, tumbuhan atau persekitaran adalah berkaitan menjadikan
terumbu karang satu ekosistem yang komplek. Produktiviti yang tinggi bukan
sahaja menjadikan kawasan ini berharga dari aspek semulajadi malah menyumbangkan
ekonomi kepada rakyat dan negara.
PEMBENTUKAN
Terumbu karang adalah struktur berkalsium
di kawasan perairan tropika yang cetek. Faktor utama yang mempengaruhi
pertumbuhan terumbu karang adalah: cahaya, saliniti (kemasinan), suhu,
kedalaman, enapan, ombak dan pasang surut air laut. Batu karang yang
kita lihat adalah eksoskeleton (rangka luar) haiwan seni yang dipanggil
polip karang. Terumbu karang yang tersebar luas, wujud daripada proses
menimbuntambah rangka hidupan karang dalam jangkamasa beribu-ribu tahun
lamanya.
Karang terbahagi kepada dua iaitu: 1.
karang hermatipik; ada zooxanthellae 2. karang ahermatipik; tiada zooxanthellae.
Zooxanthellae adalah alga yang mendiami dan hidup simbiosis (berkerjasama)
dengan polip karang dimana hanya karang yang mempunyai zooxanthellae mampu
menghasilkan struktur terumbu karang
Pembentukan terumbu karang juga bergantung
kepada kebolehan polip karang untuk menyerap ion kalsium dari air laut
dan kemudian menghasilkan rangka luar berkalsium dan seterusnya mewujudkan
struktur asas terumbu karang. Terdapat juga alga (coralline algae) yang
boleh menghasilkan rangka berkalsium ini. Karang hanya mampu tumbuh dengan
purata 5mm setahun!! Bentuk karang adalah berbeza-beza ada yang bercabang,
bulat, leper, solitari hinggalah ke bentuk seperti kobis.
KEPENTINGAN TERUMBU KARANG
1. Sumber perikanan. Kawasan ini sesuai untuk pembiakan dan nurseri
kerana terdapat banyak tempat perlindungan dan makanan. Hampir 30% ikan
komersil bergantung kepada kawasan ini untuk membesar dan matang.
2. Perlindungan persisir pantai. Mengurangkan halaju ombak dan menghalang
kejadian hakisan
3. Kepentingan ekonomi. Sumber protein, bahan binaan dan perubatan.
Satu per lima protein negara adalah dari laut
4. Tarikan untuk pelancong. Tahun 1998, pantai merupakan destinasi
polular untuk pelancongan
5. Kitaran karbon. Karang menyerap karbon dan ini mengurangkan jumlah
karbon dioksida di atmosfera
ANCAMAN TERHADAP TERUMBU KARANG
(disambung dalam isu akan datang)