Jan 2001Newsletter

AIR DAN KITA 
      Bumi diliputi oleh 71%  air dengan 2.53% merupakan air tawar. Daripada jumlah air tawar yang ada, 69% terdiri daripada bungkah ais, glasiar dan permafrost. Hanya 0.3% daripada keseluruhan air tawar bumi boleh dijadikan air minuman. Namun demikian peratus ini terlalu kecil kerana ia melibatkan pelbagai kegunaan antaranya pengairan untuk projek pertanian, penghasilan elektrik dan juga berfungsi sebagai pengalir keluar bahan cemar industri.
      Pada masa yang sama, proses ekologi yang menghasilkan air tawar  sering diganggu oleh pembangunan dan pengurusan alam sekitar yang tidak terancang. Gandingan pertambahan populasi dan pengurusan  yang tidak teratur ini juga pasti akan membawa kita ke masa depan yang kontang.
      Sungai adalah satu aset penting kerana kepelbagaian fungsinya kepada pengguna. Dewasa ini kebanyakan pengguna hanya memikirkan agenda dan keuntungan sendiri tanpa memikirkan kesan kepada pengguna yang lain. Setakat ini kurang langkah-langkah berkesan diambil untuk mengelakkan pembaziran air.
      Ramai di antara kita yang sukar mempercayai bahawa Malaysia yang dilimpahi hujan sepanjang tahun, menghadapi masalah kekurangan dan pencemaran air. Sebagai contoh pada tahun 1998 Jabatan Alam Sekitar melaporkan 1/3 daripada sungai di Malaysia telah tercemar dan fenomena banjir lumpur dan banjir kilat juga sering berlaku, sedangkan bekalan air minuman semakin berkurangan.
Utusan Malaysia 25 May 2000

Tadahan Air Dan Hutan Hujan Khatulistiwa
      Bekalan air minuman kita mempunyai hubungkait yang rapat dengan hutan hujan khatulistiwa. Antara fakta yang perlu diketahui ialah:

  1. Kebanyakan air yang mengalir di sungai datang dari kawasan pergunungan dan kawasan berbukit yang diliputi hutan tebal. Apabila hujan turun 1/3 akan diserap oleh tumbuhan dan pokok dan selainnya menjadi air bawah tanah.
  2. Apabila keseimbangan ini diganggu oleh aktiviti penebangan hutan, ia akan menyebabkan peningkatan pengaliran air di permukaan bumi yang dikaitkan dengan masalah pencemaran, banjir dan tanah runtuh. Jumlah air bawah tanah pula akan berkurangan dan menjejaskan kitaran air.
  3. Tumbuhan semulajadi di kawasan tadahan membantu mengelakkan  hakisan tanah dan bertindak sebagai penapis yang menghasilkan kualiti air sungai yang baik.
  4. Pembalakan dan pembangunan sering berlaku di kawasan hutan, aktiviti ini secara tidak langsung menyebabkan gangguan proses ekologi di kawasan tadahan, dengan ini kualiti dan kuantiti air akan menurun.
Tip Penjimatan Air
      Air bertindak sebagai salah satu keperluan utama untuk pertambahan dan pembangunan sejagat. Penambahan populasi manusia dan perindustrian menyumbang kepada kadar penggunaan air yang tinggi, faktor ini meningkatkan permintaan air. Semakin kita melangkah ke gaya hidup yang lebih moden, kita perlu bertindak untuk menjimatkan penggunaan air bagi menjamin bekalannya di masa hadapan.
      Sebagai contoh seorang manusia hanya memerlukan 50 liter (lebih kurang 30 botol air mineral bersaiz besar) air sehari untuk keperluan asas. Jumlah ini dibahagi kepada air minuman (5 liter), kebersihan peribadi (20 liter), mandi (15 liter) dan penyediaan makanan (15 liter). Namun demikian, penggunaan air boleh mencapai sehingga 500 liter per individu iaitu bersamaan dengan 333 botol air mineral bersaiz besar.
      Antara tindakan yang boleh diambil untuk memjimatkan air ialah:
  1. Mengumpul air hujan

  2. air ini boleh digunakan terutama untuk kegunaan luar rumah seperti menyiram pokok, membasuh kereta dan mencuci lantai. Malaysia menikmati 3000 mm hujan setiap tahun, secara purata sebuah rumah boleh menjimatkan 40% bersamaan 180,000 liter kegunaan air setiap tahun dengan air hujan yang dikumpulkan ini.
  3. Menutup paip

  4. jimatlah air dengan mengelakkan air paip dari mengalir secara berterusan. Gunakan baldi atau besen apabila mencuci pinggan mangkuk, makanan dan kereta. Tutuplah paip air ketika memberus gigi atau bercukur. Air paip yang dibiarkan menitik boleh membazirkan 12,000 liter air setahun.
  5. Berjimat ketika mengepam tandas

  6. pastikan belian anda selepas ini adalah tangki tandas yang menggunakan sistem pam- separuh atau isipadu yang lebih kecil, ini boleh menjimatkan 35,000 liter air setahun (layari internet: ‘toilet+half flush’) ataupun cara mudah dengan meletakkan bekas plastik ke dalam tangki tandas (diletakkan pasir @ batu kecil dan dipenuhi dengan air). Bekas itu akan mengurangkan air untuk setiap pam tanpa menggangu keupayaaan tandas tersebut.
  7. Periksa kebocoran

  8. titiskan beberapa titik pewarna ke dalam tangki tandas dan periksa mangkuk tandas samada perwarna  tersebut kelihatan, jika ada ini bermakna terdapat kebocoran. Baikilah segera kerana kebocoran yang kecil boleh membazirkan beribu liter air sebulan.
  9. Kurangkan masa mandian secara hujan (shower)

  10. mandi menggunakan gayung adalah cara terbaik. Dijangkakan 17,000 liter air di setiap rumah dapat dijimatkan jika mandian secara hujan dihadkan kepada 5 minit.
  11. Penuhi mesin basuh

  12. lebih kurang 23,000 liter air setiap tahun dapat dijimatkan jika kita hanya membasuh apabila mesin penuh.
  13. Kurangkan kekerapan mencuci kereta

  14. cucilah kereta sekali dalam seminggu untuk mengelakkan pembaziran air.
Masa Depan
      Pembinaan empangan baru di Sungai Selangor sedang dalam perlaksanaan, adakah tindakan ini akan dapat menampung bekalan air minuman kita di masa hadapan? Adakah dengan terbinanya empangan ini, kita mampu meneruskan sikap kita yang suka membazirkan air?
Adakah kita masih ingat bergegas keluar dari rumah untuk mendapatkan air dari lori tangki.? Adakah kita masih ingat mengangkut air menaiki tangga tingkat demi tingkat? Adakah kita masih ingat rasa air minuman yang bercampur minyak.? Adakah kita masih ingat bergaduh dengan jiran kerana air?
       Sebagai rakyat yang tinggal di kawasan beriklim monsun khatulistiwa, kita sepatutnya tidak perlu menderita kerana kekurangan air. Sudah sampai masanya kita sebagai pengguna memikul tanggungjawab mengawal sumber air kita, dan kita juga harus mengubah sikap untuk memastikan kejadian masa lalu tidak berulang lagi.

Back to Jan 2001 Newsletter index 
[ Back to MNS Perak Home ]

Created on 1 Jan 2001