mns perak banner

Jabatan Diarah Siasat Balak Haram (Berita Harian 6 Nov 1998) Oleh Kamarulzaman Pid

SITIAWAN, Khamis - Jabatan Perhutanan Perak diarah menyiasat lapuran sebuah syarikat akan menjalankan kegiatan pembalakan di kawasan seluas 2000 hektar di Sungai Halong, Hutan Belum, Hulu Perak. Menteri Besar, Tan Sri Ramli Ngah Talib, berkata pihaknya tidak pasti mengenai perkara berkenaan dan akan mendapat lapuran daripada pihak terbabit terlebih dahulu.

Menurutnya, Hutan Belum terlalu luas kerana keseluruhan kawasannya seluas 134,167 hektar dan kajian teliti perlu dijalankan terlebih dahulu bagi memastikan dakwaan berkenaan. "Saya tidak pasti mengenai perkara itu tetapi saya akan teliti terlebih dahulu kerana tidak mempunyai maklumat yang lengkap. Hutan itu terlalu luas dan kita kena pastikan terlebih dahulu kawasan yang dimaksud-kan," katanya selepas meninjau tapak projek perintis tanaman bawang di Pusat Pertanian Lekir, dekat sini, hari ini.

Beliau mengulas lapuran mengenai seorang ahli Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Kedah melihat notis ditampal pada sebatang pokok yang menyatakan sebuah syarikat asing akan menjalankan kegiatan pembalakan di kawasan hutan seluas 2000 hektar di Sungai Halong. Berikutan itu, MNS menyatakan kebimbangannya hidupan di hutan simpanan sementara itu terancam berikutan kegiatan pembalakan berkenaan. Ramli berkata, pihaknya juga tidak mempunyai maklumat mengenai syarikat asing bekenaan yang dikatakan akan menjalankan kerja pembalakan itu.

Difahamkan, petang ini, Ramli diberi taklimat mengenai perkara itu oleh Pengarah Jabatan Perhutanan Perak, Azhar Muda. Bagaimanapun, Azhar tidak dapat dihubungi sepanjang hari kerana dikatakan menghadiri mesyuarat di Ipoh.

Sementara itu, jurucakap Pejabat Keselamatan Negeri Perak berkata, sebenarnya kawasan Sungai Halong terletak dalam kawasan hutan simpanan biasa serta bukannya kawasan keselamatan hutan Belum yang kedudukannya dari sempadan Jambatan Banding serta bahagian atas Lebuhraya Timur Barat. Menurutnya kawasan itu dikeluarkan dari risab Hutan Belum pada 1980an dan kini dimasukkan dalam kawasan hutan simpanan yang mana sebarang kerja pembalakan dibenarkan dengan keizinan Pejabat Perhutanan.

Ketua Pengarah Perhutanan, Datuk Zulmukhshar Md Shaari, ketika dihubungi di Kuala Lumpur berkata beliau sudah mengarahkan Azahar menghantar lapuran serta penjelasan mengenai perkara itu secepat mungkin. Menurutnya, jabatan perlu menyemak dan menyiasat sama ada kawasan itu terletak dalam Hutan Belum di samping dakwaan syarikat terbabit diberi kelulusan menjalankan kegiatan membalak di situ. Bagaimanpun, katanya, jika kawasan Sungai Halong berada dalam kawasan hutan simpanan biasa, kegiatan membalak boleh dibenarkan jika didapati sesuai. "Tetapi jika kawasan itu termasuk kawasan yang diwartakan sebagai kawasan keselamatan, kawasan tadahan air, atau perlindungan hidupan liar, kegiatan membalak dilarang sama sekali." katanya.


Back to 1999 January Newsletter index
[ Back to MNS Perak Home ]
Created on 30th Dec 1998. Last modified on