By Dayannullah Ohorella
Ucapan tahniah saya dahulukan kepada kamu yang telah berjaya mendapatkan tempat di menara gading ini. Seperti yang telah kamu alami dan yang saya fahami, perjalanan yang telah diharungi bukanlah mudah tetapi hakikatnya ialah kamu semua telah cekalkan hati sehingga dipilih untuk menyandang gelaran bakal mahasiswa atau mahasiswi. Oleh itu, syabas!
Saya percaya kamu semua tentu mempunyai pelbagai keraguan, harapan serta matlamat dalam menempuh babak baru hidup kamu di universiti nanti. Perasaan sebegini elok kerana kita memang digalakkan mempunyai objektif dalam hidup supaya kita mempunyai arah untuk dituju. Berikut ini merupakan luahan perasaan dan fikiran tentang perubahan dan pengajaran yang telah saya timba di kampus ini. Saya fikir tiada gunanya saya berhujah tentang berapa pentingnya pelajaran kerana saya percaya kamu sendiri telah sedar, kalau tidak mana mungkin kamu berada di sini.
Universiti; memang besar makna perkataan ini dan saya percaya pengertian yang kita kaitkan kepadanya, walaupun subjektif sudah tentu amat besar juga. Walau apapun pengertian yang kita kaitkan dengan pusat pengajian tinggi ini, ia tidak boleh dinafikan bahawa tidak ramai yang mendapat tempat di sini. Justeru itu tidak hairanlah jika kita berperasaan lega, megah dan juga bersyukur, semuanya sekaligus. Tentu juga ada yang terlintas di fikiran bahawa inilah puncaknya, kita telah berada di atasannya. Memang tiada salahnya kita berfikiran begitu, saya juga pernah berfikiran sedemikian. Rasa-rasanya tidak ada sesiapa yang mengerti tentang kebanggaan dan harapan kita itu tetapi percayalah, perasaan tersebut akan hilang dan akan digantikan dengan perasaan "ain�t no big deal!"
Mengapa saya berpendapat begitu? Setiap kali kamu menjejakkan kaki di kampus ini, lihatlah di sekeliling kamu. Walaupun tidak ramai yang berjaya ke sini, hakikatnya memang ramai orang di sini, sama seperti kamu. Tiada apa yang eksklusif tentang menjadi seorang penuntut di sini "since everybody else is one too!" Sudah tentu ramai orang tua yang akan memuji-muji diri ini di majlis-majlis tertentu. Hai� kalaulah mereka tahu tentang hal yang sebenarnya. Namun is sepatutnya mendorong kita untuk mencekalkan diri agar terus memperbaiki kebolehan atau bakat kita supaya menjadi lebih cemerlang.
Jika kamu mempunyai masa lapang, cubalah duduk di kantin "Bizad". Kamu akan mendapati bahawa sebahagian besar ahli fakulti itu terdiri daripada mereka yang sudah lanjut umur dan sibuk melanjutkan pelajaran mereka walaupun telah lama mendapat ijazah pertama mereka. Pada pendapat mereka, ijazah Sarjana Muda tidak lagi menjadi satu pencapaian yang lebih memuaskan. Pendek kata, dalam jangka masa sebulan saya di sini, saya dapati bahawa perjalanan saya sebagai seorang penuntut masih jauh lagi.
Masa di universiti merupakan masa untuk mengembangkan minda seseorang itu kerana kebanyakan pelajaran yang akan dihadapi memerlukan lebih banyak fikiran, pendapat serta minda yang lebih kritikal sebelum memahami sesuatu fakta atau konsep. Akan tiba masanya di mana ianya menjadi lumrah hinggakan kita mula berfikir tentang perjalanan ini sebagai seorang insan. Di saat-saat itulah, kita mula membuat pelbagai keputusan yang akan menentukan jalan hidup kita untuk selamanya.
Contoh yang agak ketara ialah hakikat di mana bukan sahaja mahasiswa-mahasiswi semakin menambah ilmu duniawi di sini malah mereka mengambil kesempatan ini untuk mengalih arah hidup kepada hala yang lebih diredhai olehNya. Ini adalah satu perubahan hidup yang amat sempurna dan ianya kerap berlaku disebabkan dedikasi sebahagian badan-badan tertentu di kampus ini.
Ada pula yang akan menyedari bahawa hidup ini tidaklah sekadar belajar dan bersuka-ria sahaja. Selain daripada mendekatkan diri mereka denganNya, ada pula terutama sekali jejaka-jejaka yang telah menghabiskan masa yang agak lama dalam Perkhidmatan Negara akan mendapati bahawa selain daripada mendapatkan ijazah, sudah tibalah masanya untuk mencari butir-butir lain untuk melengkapkan hidup mereka. Oleh itu, tidak hairanlah jika kita dapati ramai yang mula berpasangan tatkala di universiti ini. Ada pula yang mula menukar cara hidup mereka supaya mereka dapat menerokai dengan lebih meluas lagi tentang apa yang ada di luar gerbang universiti ini.
Kamu semua akan mendapati bahawa hidup di universiti ini berjalan dengan begitu pantas sekali dan jika kita biarkan diri ini dilalaikan dengan pelbagai kegiatan yang ada, nescaya kecundang kita akhirnya. Ungkapan "masa itu emas" mengambil pengertian yang amat mendalam sekali di sini. Kebebasan merupakan ciri utama hidup di kampus ini. Justeru itu, kita harus lebih prihatin tentang diri kita sendiri dalam menghadapi segala hal setiap hari. Perkara ini mungkin merupakan sesuatu yang agak baru bagi sebahagian besar di kalangan kita yang sudah biasa dengan bimbingan orang tua atau sebagainya. Jangan bimbang, apa yang diperlukan adalah minda yang senantiasa dalam keadaan berjaga serta iringan doa untuk kebaikan diri sendiri. Insya-Allah, tidak akan susah kamu dibuatnya.
Oleh kerana sistem pembelajaran di sini mengikut sistem modular, besar kemungkinan, kita akan merasakan bahawa keadaan di sekeliling kita seperti telah berubah setiap enam bulan. Hal ini mungkin menakutkan beberapa individu yang tidak selesa dengan perubahan. Contohnya, setelah baru berkenalan dengan "tutor" dan teman-teman sekelas, sudah tiba pula masanya untuk berpisah. Pendek kata pelbagai perubahan akan muncul dengan tiba-tiba. Nasihat saya, jangan takutkan perubahan kerana masa berlalu dengan cepat di sini. Tambahan pula, tanpa perubahan bagaimana mahu maju? Mungkin ada yang akan merasakan kesunyian dan kekosongan diri tetapi itu adalah lumrah hidup. Percayalah bahawa tidak ada satu masa di mana seseorang itu akan merasakan dirinya diisi dengan sepenuhnya oleh sesiapapun atau apapun kecuali olehNya. Jangan percaya sesiapapun kecuali dirimu dan diriNya. Jangan berikan hatimu atau kepercayaanmu kepada sesiapapun kecuali kepadaNya.
Masa di sini adalah masanya kamu mula hidup sebagai seorang dewasa lengkap dengan pemikiran yang senantiasa diasah dan diisi. Justeru itu, kamu akan memerlukan kehadiran beberapa orang teman yang dapat kamu ajak berbual, bertukar-tukar pendapat dan mungkin sekadar untuk bersuka-ria sahaja. Mencari teman di universiti ini mudah kerana kita akan dikelilingi oleh ramai orang yang seperti kita juga. Tetapi mencari sekumpulan teman yang agak karib menjadi suatu perkara yang memerlukan masa dan tenaga. Oleh kerana kita semua boleh dianggap dewasa, mempunyai akal yang agak sempurna dan kesedaran tentang kemahuan, perasaan serta keupayaan, akan tiba masanya di mana kita mula mengambil berat tentang perkara-perkara di dalam sesebuah persahabatan yang dahulunya mungkin tidak terlintas di minda langsung. Lagipun, masing-masing mempunyai jadual waktu yang agak unik. Lantas, kesedaran bahawa penumpuan masa dan tenaga yang berkualiti amat diperlukan demi mengekalkan jalinan persahabatan yang baik. Ini adalah satu pengajaran yang agak berharga kerana kamu akan sedar betapa pentingnya teman yang sejati. Ini mungkin satu pengajaran pertama untuk kita memahami dengan lebih mendalam lagi tentang perhubungan di antara insan-insan yang bernama manusia.
Masa di universiti ini penuh dengan pelbagai peristiwa yang akan mencuit, mengguris ataupun menghambat hati kita dan sekaligus membuat minda kita berfungsi dengan gaya dan rentak yang tidak pernah dilakukan sebelumnya. Oleh itu, bukalah mata, telinga, hati dan minda kamu kepada perkara-perkara yang akan tentu berlaku di luar kuliah, kelas serta di sekiling kampus ini. Saya percaya kamu akan meraih manfaatnya dalam menempuhi segala cabaran dan dugaan dan sekaligus mengenali siapa dirimu sebenarnya.
|