
Sekolah ini telah dibuka pada 6hb. January, 1958, dengan nama Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan KGV (2), Seremban. Pada permulaannya bilangan murid sekolah ini adalah seramai 730 orang dengan 19 buah darjah dan 26 orang guru. Murid-muridnya semua datang dari SR KGV yang telah dipecahkan kepada dua buah sekolah.
Pada ketika itu, bangunan sekolah ini belum ada lagi. Murid-murid ditempatkan di beberapa buah bangunan dan sekolah seperti Pusat PVR, Jalan Temiang, Sekolah Gandiji, Sekolah Rendah Tamil di Lobak dan Sekolah 'Sino-English' di Jalan Paul. Persekolah dapat berjalan terus di beberapa tempat itu sepanjang tahun 1958.
Pada tahun itu juga, YTM Data Klana Putra, Undang Luak Sungai Ujung diberi penghormatan menjadi penaung sekolah ini.
Empat 'Rumah' telah ditubuhkan dan dinamakan mengikut nama-nama orang yang terkenal seperti Encik S. Thambiah, Y.M. Tunku Mohd. Nordin Alhaj bin Raja Deli, Encik Yap Mau Tat dan Y.M. Tan Sri Mohd. Sharif bin Abu Abdul Samad. Pada 10hb. April, 1958, satu upacara yang bersejarah telah diadakan, di mana bendera sekolah dengan warna-warna rumah telah disampaikan oleh penaung-penaung sendiri. Sukan Sekolah telah diadakan buat pertama kalinya pada 20hb. Jun, 1958, di padang bernama "Peoples' Park", Seremban. Sekolah ini juga telah turut serta dalam berbagai pertandingan permainan antara sekolah-sekolah Rendah Negeri Sembilan.
Mesyuarat Lembaga Pengurus Sekolah telah diadakan pada bulan November, 1958 bagi pertama kalinya.
Pada awal bulan Januari, 1959, sekolah ini telah ditempatkan di bangunannya sendiri, iaitu bekas Rumah Orang-Orang Tua di Jalan Range, yang mempunyai beberapa buah bangunan papan yang rendah.
Pada tahun 1959, Sekolah ini telah diberi nama SRJK Datu Klana Maamor, Seremban, sempena nama YTM Dato Klana Maamor, bekas Undang Luak Sungai Ujung. Sekolah ini telah dibuka dengan rasminya di suatu majlis yang bersejarah pada 1hb. Ogos, 1959 oleh YTM Dato Klana Putra, Undang Luak Sungai Ujung.
Pada tahun 1961, block papan yang ada sekarang telah siap dibina dan dua buah block batu bata tambahan telah siap dibina pada tahun 1969. Bilik-bilik darjah ini mula digunakan pada 13hb. Mei, 1969.
Sekolah ini mula menerima murid-murid Cacat Pendengaran pada tahun 1962. Pada permulaanya, murid-murid ini hanya seramai 12 orang dengan seorang guru. Kini murid-muridnya adalah seramai 66 orang dari Darjah 1 hingga Tingkatan III dengan 6 orang guru.
Pada tahun 1975, Sekolah ini dikenali sebagai Sekolah Rendah Kebangsaan Dato Klana Maamor dengan Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Pengantar.
Pada tahun 1978, rumah Guru Besar yang berada dalam kawasan sekolah telah diubahsuai menjadi Mini Asrama. Murid-murid cacat pendengaran yang tinggal luar dari Seremban diberi peluang tinggal di situ.
Sepanjang 25 tahun yang lalu, sekolah ini telah mengambil bahagian dalam berbagai pertandingan permainan antara sekolah-sekolah rendah dan berbagai acara yang lain berkaitan dengan pelajaran.
Tahun ini, sekolah telah mengadakan sukan tahunan yang ke 24 pada 28hb. Mei, 1983.
Pada bulan September, 1983, bilangan murid sekolah ini adalah seramai 824 orang dengan 21 darjah biasa dan 6 darjah cacat pendengan dengan 35 orang guru semuanya.


