DALAM nada keras Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad menyebut tentang dasar tauliah yang dikeluarkan kepada guru-guru agama di seluruh negara bagi membolehkan lulusan agama mengajar atau tidak. Pemberian tauliah itu akan dikaji semula.
Ertinya dasar pemberian tauliah itu akan diperketat atau tauliah yang sudah diberi boleh dibatalkan. Barangsiapa yang tidak ada tauliah tidak dibenarkan mengajar agama, berceramah agama di bangunan-bangunan kerajaan atau masjid dan surau yang digazetkan oleh kerajaan.
Dan mungkin juga satu masa nanti untuk menjadi imam di surau atau di mana-mana juga mesti menunjukkan tauliah. Atau mungkin juga dikeluarkan tanda - seperti pas pelawat - untuk dikepilkan di baju untuk digunakan ketika mengajar dan berdakwah bagi memastikan tanda itu adalah tauliah.
Dengan itu pegawai penguatkuasa tidak sulit seseorang itu ada lesen mengajar atau tidak.
Sejarah tauliah bermula di Turki setelah khalifah Othmaniyyah digulingkan. Pentadbiran sekular Kamal Attaturk mengenakan lesen yang dinamakan tauliah kepada sesiapa yang hendak mengajar dan mengembangkan agama Islam.
Alim ulama' dikehendaki mengambil tauliah. Sudah tentu tauliah hanya dikeluarkan kepada orang tahu agama yang mematuhi kemahuan pemerintahan sekular Turki itu. Mana-mana guru agama yang tegas dan tidak tunduk kepada kemahuan Attaturk nescaya tidak diberi tauliah.
Kedua adapun logik tauliah itu untuk memastikan seseorang lebai dan haji betul-betul tahu ilmu Islam. Zaman dulu sekolah agama adalah melalui pondok atau mengaji di surau.-surau secara tidak rasmi. Pondok tidak mengeluarkan sijil atau ijazah yang dapat menentukan tingkat pengetahuan seseorang dalam bidang agama.
Justeru itu sistem tauliah diperlukan bagi memastikan lebai dan haji yang dilihat warak itu benar-benar ada ilmu atau tidak. Atau bagi memastikan mereka tidak mengembangkan ajaran sesat. Tetapi setelah sekolah agama rakyat memperkenalkan sistem peperiksaan dan ada sukatan pelajaran, maka sijil mereka menentukan kelayakan dan kebolehan masing-masing.
Apatah lagi bagi mereka yang lulus dari institusi pengajian tinggi Islam dari Mesir, Madinah, Baghdad, Durban dan lain-laian, maka sudah tentulah keupayaan masing-masing tidak dipertikai. Kecualilah anak yang mengaku pada ayahnya belajar di Azhar, Mesir tetapi semasa di Mesir tidak belajar, melainkan menghabiskan masa di tebing Sungai Nil dan asyik menonton tari gelek di padang pasir saja.
Jenis yang macam ini pun ada. Apabila mereka pulang, maka pak lebai yang mengaji di kampung lebih tahu dari mereka. Jenis macam ini layaknya, bila pulang, dipanggil Syeikh Kuda saja. Tetapi bila antara yang pulang dari luar negeri dengan ijazah, maka ijazah itu adalah lebih berharga dari tauliah.
Orang yang ada kelulusan, ada sijil empat sanawi, ada STA, lulus Azhar dan lain-lain, maka keupayaan mereka sudah diakui, lantas tauliah logiknya tidak diperlukan lagi. Lainlah kalau dasar tadi hendak diselaraskan seperti yang Kamal Attaturk kehendak tadi. Adapun Kamal Attaturk itu sudah sedia maklum dan orang Umno yang jahil pun tahu siapa dia di sisi agama Islam.
Sehingga ini Kamal Attaturk atau warisannya Kemelisme, berjaya menghancurkan Islam tetapi masih terkial-kial untuk menjadikan Turki sebagai sebahagian dari masyarakat Eropah. Tiba-tiba Malaysia yang sudah 40 tahun membangun, sudah ada Universiti Islam Antarabangsa, ada fakulti Islam atau yang setaraf dengannya di setiap universiti, lalu mahu balik ke zaman pemikiran pemimpin sekolah pondok dulu juga.
Dulu yang dipanggil imtihan untuk mendapat tauliah adalah lebai-lebai dan haji-haji yang tidak diketahui di mana sekolahnya dan siapa guru Qurannya. Tetapi sekarang yang hendak diberi tauliah ialah pensyarah agama di universiti dan pengarang kitab.
Jika ini diteruskan juga, maka ia bererti menghina Universiti Al Azhar dan lulusannya. Ia sama seperti tidak mengiktiraf Al Azhar dan tidak mengiktiraf institusi pengajian tinggi yang lain. Ia juga tidak mengiktiraf semua sijil-sijil sekolah menengah agama yang ada di negara ini.
Keadaan itu boleh diibaratkan kita lebih mengiktiraf guru sekolah Kemas dari lulusan universiti kita yang banyak itu. Bagaimana kalau diisyaratkan sesiapa yang hendak menjadi guru mesti menunjukkan sijil sekolah Kemas. Adapun diploma dan ijazah masing-masing tidak laku. Imtihan sekolah Kemas saja diperlukan.
Sudah tentu Kementerian Pendidikan merasa terhina. Maka demikianlah kisah antara tauliah dan ijazah ini.
Apa kata kalau Dr. Yusof Nor yang balik dengan ijazah doktor falsafah Azhar, tiba-tiba diminta tauliahnya? Bukankah itu menghina dia. Lainlah Dr. Hamid Othman, jika diminta sijil sekolah Kemas pun dia rela.
Jika Dr. Mahathir serius dengan kenyataannya dan hendak mengadakan dasar tauliah juga, maka dasar itu bukan saja menghina institusi pengajian tinggi Islam antaranya ialah Universiti Al Azhar tetapi meletakkan beberapa orang penasihat agamanya seperti Dr. Yusof Nor, Dr. Hamid Othman dan lain-lain ke bakul muzium.
Adapun punca yang Dr. Mahathir tak nampak telinganya itu atau telinganya naik merah adalah disebab oleh kebanyakan pendakwah dan lulusan agama sekarang tidak mencarumkan kepada pemikirannya tentang Islam. Orang-orang yang tahu agama kebanyakannya tidak menyokong Umno dan kalaupun menyokong Umno sudah tidak menerima lagi kepimpinan Dr. Mahathir.
Sehingga ini dia sudah berbalah sekurang-kurangnya dengan dua orang bekas mufti; mufti Selangor dan mufti Wilayah Persekutuan yang dulu. Ada pun mufti-mufti yang lain adalah ibarat biar pecah di perut, jangan pecah di mulut. Sudah tentu orang-orang yang tahu agama ini jika mereka jujur dan tidak mengampu, akan bercakap benar tentang kes bekas Mufti Selangor dan tentang lain-lain.
Apabila lulusan agama ini bercerita benar tentang agama, maka ia tidak menguntungkan Umno dan kepimpinannya. Ia tidak juga menguntungkan sistem sekular. Ia membahayakan ajaran sekular. Ia dengan sendirinya mendaulatkan Islam. Sudah tentu kepimpinan kerajaan merasa dirinya tergugat.
Dalam keadaan ini, Dr. Mahathir terdapat ada pula kisah seorang imam bercakap tentang apa yang dikatakan ada mayat Dato' dilihat seperti khinzir. Kejadian seperti itu adalah satu dalam seribu. Ia bukan pandangan ijmak ulama'. Kebanyakan ulama' tidak menerima bulat-bulat cakap imam itu. Mereka pun tertanya-tanya akan kebenarannya. Imam itu sudahpun dipecat. Apa mahu lagi?
Kalau kerana seorang imam yang kontroversi itu, maka semua rasionaliti hendak diketepikan, maka kelam kabutlah tamadun kita. Bagaimana kalau berlaku di kalangan kita tentang kecurangan seorang doktor. Maka kerajaan pun mengkaji semula lesen doktor dan semua ijazah doktor tidak diakui. Semua doktor diperiksa semula. Apa para doktor kata?
Walaupun dasar tauliah itu menghina institusi pengajian tinggi Islam dan mempersenda lulusannya, ia dikira baik bagi PAS. Lulusan agama yang menghabiskan masa untuk mengajar dan tidak memberikan waktu untuk siasah, maka bila ditarik tauliah atau hilang kelayakan mengajar kerana tiada tauliah, sudah tentu mempunyai masa cukup untuk PAS. Maka bertambahlah kekuatan PAS.