KALI KETIGA DR. MAHATHIR BUANG TIMBALAN?
KETIKA rencana ini ditulis, Perdana Menteri Dr. Mahathir belum membuang Timbalan Perdana Menterinya yang ketiga bagai yang disebarkan oleh kahbar-khabar angin dalam dan luar negeri. Walaupun kedua-duanya pernah berkali-kali berkata bahawa mereka tidak berbalah dan saling sama-sama setia, tetapi kononnya sudah tiba waktunya yang kedua-duanya sendiri pun tidak percaya kepada ikrar masing-masing.
Entah karenah siapa, maka kedua-duanya tidak sebulu lagi, tidak diketahui. Tetapi semuanya percaya akan berulang juga peristiwa seperti dulu, iaitu Dr. Mahathir terpaksa berpisah dengan timbalannya, macam dia berpisah dengan Tan Sri Musa Hitam dan Tun Ghafar Baba.
Yang dahulu telah diketahui cara dan sebabnya, tetapi kali ini cara mana dan apa taktik dan teknik yang digunakan. Sukar hendak dipercayai yang Dr. Mahathir akan bercerai lagi dengan timbalannya. Tetapi itulah yang ditunggu oleh semua orang. Musuh mereka memang mendoakan supaya porak poranda itu berlaku. Tidak kurang orang di sekeliling janggut masing-masing pun lebih teruk lagi.
Hatta timbalannya sendiripun mungkin menunggu kejadian itu. Sebenarnya kedua-duanya adalah saling tidak cocok dari zaman dulu lagi. Cuma kedua-duanya cuba berlakon hampir dua dasawarsa yang mereka adalah regu yang tepat.
Yang satu sentiasa hidup dengan krisis dan bangun di atas keruntuhan krisis itu. Yang satu lagi dikatakan menjadi jurubicara ummah, mahu bertenggek atas kepincangan dan keributan yang berlaku dalam alam sekular tempatan.
Ada cara yang lurus, tetapi mencari jalan senang sekalipun bebas dari perjuangan. Benjamin Disreali, Yahudi British kurun lalu pernah berjaya mengaut kekuasaan British melalui kaedah penyusupan. Telah diketahui bahawa jalan yang dilalui oleh Umno sejak dari mula penuh dengan ranjau, liku dan budaya surat layang baik panjang mahu pun pendek. Tetapi itulah jalan yang dipilih untuk mencari kekuasaan. Maka terima sajalah apa yang datang dari budaya palsu yang runtuh itu.
Tetapi agak sukar difahami, gerangan apa maka dalam keadaan politik, ekonomi dan keselamatan yang tidak stabil sekarang, kedua regu itu mahu berpatah arang. Dr. Mahathir tidak pernah menghadapi cabaran seperti sekarang. Memadai dengan jeling dan kiasan saja, maka Tan Sri Musa Hitam pun merajuk dan pergi. Manakala dengan Tun Ghafar dipermain dengan beberapa baling batu sembunyi tangan, lalu orang tua itu pun terbuang.
Bagaimanapun untuk kali ini, tidak ada jalan mudah. Bertengkar, beradu kecekapan, pintas memintas, megeras otot, lengan dan buku lima, kelihatan liat. Maka tidak ada pilihan melainkan menunjukkan kemahiran dan kekuatan bermain kuasa.
Perdana Menteri mungkin tidak pernah menemui timbalan yang sebegitu degil seperti kali ini. Masing-masing percaya tidak ada pihak yang bersedia mati seorang. Kalau terpaksa binasa, biar sama-sama binasa. Negara kini dilanda keruntuhan ekonomi. Ia berdepan dengan suasana seperti perang dingin dengan Singapura, pilihanraya disebut-sebut akan berlangsung bila-bila masa sebelum kokok ayam pertama tahun depan.
Belum pernah Umno begitu keliru seperti sekarang. Tiada ketua yang benar-benar kuat dan tidak tercabar. Kepimpinan dan kejujuran masing-masing dipersoal oleh Umno dan rakyat. Malah Arau yang stabil dulunya tiba-tiba terlepas dari kawalan sekurang-kurangnya untuk satu pilihan raya kecil. Sepatutnya kedua regu mencari jalan bagaimana mengurangkan perbezaan dan bermuafakat bagi menghadapi pilihanraya dan membaiki keruntuhan negara.
Tetapi proses berebut pengaruh dan berebut kuasa sudah bermula. Dr. Mahathir terasa tidak akan selamat sekiranya dia menunggu lebih lama. Kepimpinannya sudah pun dipersoal. Cabaran terbuka yang awal sudah dimulakan oleh Zahid Hamidi dalam perhimpunan agung Umno dengan isu nepotisme dan kronisme.
Perdana Menteri sudah pun melepaskan 'lis' orang kaya segera Umno yang mendapat faedah dari apa yang dikatakan kronisma, cuma 'lis' itu dipercayai tidak penuh. Jika 'lis' penuh keluar, nescaya semuanya tenggelam kelemasan.
Surat layang panjang bergelar Dalil dan lain-lain tohmah skandal sudah masuk mahkamah. Bom asap sudah menjerebu alam politik kerajaan. Pendek kata tiada lagi yang dapat dibendung. Jika Perdana Menteri lambat, nanti dia terlambat. Dia mesti bertindak segera sebagai ikhtiar untuk mempertahankan keadaan.
Dr. Mahathir mungkin boleh bertahan lama jika perang dingin dibendung. Walaupun dia tercabar dan mungkin dicabar, sebenarnya bukanlah mudah untuk mencabar singa lama yang dirasakan letih. Singa tetap menggerunkan dan tetap boleh mencakar sesiapa cuba mencabar.
Dalam keadaan yang ada tidak mudah kuasa dan pengaruh Perdana Menteri hendak digugat. Sesiapa menggugatnya akan tumbang atau paling handal sama-sama tumbang dan mungkin sama-sama kecundang. Tetapi Perdana Menteri tidak akan merasa bebas selagi dia terasa ada ancaman dari dalam kumpulannya. Jika dia tidak berbuat sesuatu dia digambarkan akan bertambah tidak bebas dan mungkin tidak berkuku.
Dr. Mahathir dipercayai tidak boleh menunggu hingga lepas pilihanraya dan hingga ke perhimpunan agung akan datang. Pengaruh ancaman mungkin bertambah jika dibiarkan. Pilihanraya cepat adalah jawapan bagi menghilang serabut. Tetapi ia belum tentu dapat selamat. Bertindak lebih baik dari tidak berbuat apa-apa.
Jika anasir ancaman dalaman diketepikan dari menyertai pilihanraya, iaitu satu pembersihan menyeluruh, di harap dapat membebaskan Perdana Menteri dari sebarang tekanan. Ia dapat menumpukan kerja menghadapi pembangkang dengan lebih senang.
Andainya ada anasir dalaman yang tidak puas hati lalu membuat kerenah dalam pilihanraya, yang dikira menderhaka, maka mereka boleh pula dibersihkan. Dengan demikian, Dr. Mahathir dapat menghadapi perhimpunan agung dengan selesa. Bacaan politik ini banyak risikonya. Sebarang langkah menggantikan timbalan ketiga dengan yang keempat, akan menghadapi tindakan balas yang tidak dapat diduga akibatnya.
Ia boleh mencetuskan satu bentuk Team B baru setelah Team B Tengku Razaleigh dulu menjadi mendiang tak bernisan. Umno banyak pengalaman. Ia berjaya mematahkan pemergian Datuk Onn Jaafar bersama anaknya Hussein Onn. Tetapi saki baki pengaruh Datuk Onn memungkinkan Perikatan tewas di Kelantan dan Terengganu tahun 1959. Ia dapat menggagalkan pemberontakan guru-guru Umno pimpinan Cikgu Muhamad Nor Ahmad.
Umno dengan mudah mengatasi pengikut Aziz Ishak yang menubuhkan Parti Konvensyen Rakyat tahun 1964. Ia juga tidak sukar mematahkan kumpulan Dato' Harun Idris. Paling akhir ia selamat dari ancaman Tengku Razaleigh yang menubuhkan Parti S46. En. Ghafar tidak dapat membangkitkan apa-apa setelah dianugerah Tun.
Justeru itu kelahiran veteran Umno percaya tidaklah payah bagi Umno menghadapi golongan Umno yang mendakwa pernah bersemangat Islam. Semangat tadi mungkin pudar setelah bergelumang dengan budaya dalam Umno yang serba boleh, boleh dan boleh. Umno belum pernah dikecewakan dan Dr. Mahathir juga belum dapat dikecewakan. Adakah dia tidak apa-apa dengan orang yang paling degil dan dilihat tidak menunjukkan reaksi?