PM nafi campuri urusan kapal anaknya
PERDANA Menteri Dr. Mahathir telah menolak segala sangkaan yang beliau ikut bertanggungjawab dalam jual beli Konsortium Perkapalan Berhad (KPB) yang diterajui anaknya Mirzan kepada MISC, Syarikat Perkapalan Antarabangsa Malaysia.
Penjelasan itu dibuatnya ketika menjawab soalan di Parlimen dan dapat didengar di seluruh negara kerana TV ketika itu membuat liputan terus. Sebelum ini perkara itu menjadi perbualan umum betapa Perdana Menteri dikatakan terlibat. Malah syarikat perkapalan itu pula kini diambil oleh Petronas. Dipercayai juga Perdana Menteri ada peranan. Jika ini dibangkitkan, maka Perdana Menteri akan membuat keterangan yang sama.
Apabila sesuatu keterangan itu disebut di Parlimen, maka ia dikira suatu yang dibuat dengan penuh tanggungjawab kerana Dewan itu tidak menerima dan tidak bertolak ansur dengan sebarang kenyataan yang tidak betul.
Risiko berbohong di Parlimen sangat tinggi. Jika seorang berbohong di luar Parlimen, risikonya melibatkan kewibawaannya saja. Dia boleh dipercayai atau tidak selepas itu. Tetapi jika berbohong di Parlimen, risikonya dia hilang kelayakan menjadi anggota. Jika anggota parlimen itu lucut kelayakan maka hilang juga kelayakan menjadi Perdana Menteri kerana Perdana Menteri mestilah ahli Dewan Rakyat.
Justeru itu Perdana Menteri faham perkara itu dan sewajarnya dia tidak akan membuat keterangan yang tidak bertanggungjawab. Untuk bersangka baik, maka keterangan itu boleh diterima dan perkara itu pun selesai.
Tetapi dalam politik, terutama bagi yang memerintah, setiap kejadian dan kenyataan terpaksa diteliti dan dikaji apakah ia benar atau palsu? Itulah sebabnya masyarakat Amerika membincangkan kenyataan Bill Clinton yang menafikan setiap tohmah skandal seksnya sekalipun ada wanita yang dibabitkan itu mengaku Clinton dan dirinya tidak terbabit.
Clinton tidak mengaku ada apa-apa dengan Monica Lewinski dan Monica juga berkata mereka tidak ada apa-apa, tetapi masyarakat Amerika terus menyiasat kes itu hingga Clinton bagaikan sudah duduk di kandang orang salah.
Clinton mempunyai penyokong yang ramai tetapi tidak boleh menghalang kerja-kerja menyiasat terus tohmah itu. Sekeliannya tahu bahawa Clinton mampu mengendalikan tugas dengan baik, tetapi mereka memastikan presiden mereka bersih setelah memegang jawatan dan tidak berbohong.
Clinton tentu tahu bahawa bahawa suasana yang ada di Amerika dan demikian juga negara-negara maju di Barat, setiap pemimpin tidak kebal dan setiap perbuatan diperhati dan dipersoal. Oleh itu tidak mudah bagi mereka untuk menyorokkan keburukan. Dalam keadaan seperti itu pun masih banyak kejadian pemimpin-pemimpin negara berkelakuan tidak senonoh. Kes Clinton adalah contohnya.
Keadaan di Timur termasuklah di Malaysia para pemimpin mudah kebal dan mudah menyorokkan kelemahan. Orang tidak ke depan jika ada pemimpin menyeleweng dan mereka tidak tergamak bertindak terhadap pemimpin yang curang. Justeru itu, pemimpin negara membangun lebih senang bertindak ikut sukanya dibandingkan dengan pemimpin Barat. Risiko atau ancaman terhadap Mahathir tidak banyak dibandingkan dengan Clinton.
Dalam keadaan seperti inilah pemimpin Malaysia lebih mudah membuat keterangan tidak tepat kerana tidak mudah cakapnya itu dipersoal. Setakat ini keterangan Dr. Mahathir tentang perkapalan anaknya itu terbuka untuk diteliti. Keadaan akan menentukan apakah beliau tiada kaitan atau memang ada peranan.
Orang tidak percaya badan-badan besar seperti Petronas, MISC, Bank Bumiputera, Sukom dan lain-lain bebas dari perhatian Dr. Mahathir. Tidak mungkin dalam perkara-perkara yang besar ditentukan oleh pegawai dan pengarahnya saja. Dalam apa keadaan jua, kemahuan, kecenderungan, kesukaan dan andaian Dr. Mahathir diambil kira.
Orang tidak fikir pegawai-pegawai atau menteri yang bertanggungjawab atas MISC begitu bebas memutuskan membeli syarikat anak Dr. Mahathir tanpa mengambil kira perkara itu ada dalam pengetahuan Dr. Mahathir. Dan orang tidak fikir Mirzan menyembunyikan hasratnya itu dari pengetahuan bapaknya.
Dan bapanya pula jika sensitif, tentu tidak boleh tidak akan memberi apa-apa pandangan dalam perkara itu. Dia tidak boleh kata dia tidak tahu, kerana bapanya adalah orang yang suka mengambil tahu tentang apa saja. Dia mesti waspada terhadap apa juga yang dibuat oleh anaknya, kerana dalam dunia demokrasi banyak anak mengambil kesempatan dari kedudukan ayahnya.
Jika ayah tidak mengawasi perjalanan anak, maka anak akan menjadi macam tikus di hadapan kucing yang tidak bergigi. Anak bekas diktator Rumania, baik laki-laki mahu pun perempuan akan buat apa saja yang mereka mahu, hingga tiada menteri menolak kemahuannya sama ada ayahnya tahu atau tidak akan permintaan anak-anaknya.
Anak bekas Presiden Korea Selatan mungkin menyembunyikan sesuatu dari ayahnya. Tetapi perkembangan politik menjadikan Presiden itu tidak popular. Dalam hal ini Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn agak rasional. Mereka agak merenggangkan anak mereka dari perhatian umum. Orang tidak tahu di mana anak Tunku? Adakah beliau ada anak atau tiada? Apa anaknya buat?
Orang juga tidak kenal anak Tun Hussesin hinggalah selepas dia meninggal. Orang mengetahui yang dia juga tidak mudah ditemui oleh adik beradiknya semasa dia menjadi Perdana Menteri. Mungkin mereka juga tidak sunyi dari mengambil kesempatan, tetapi tidak banyak yang orang cakapkan mengenainya.
Mungkin ini agaknya yang dibimbangkan oleh Lee Kuan Yew apabila dia mula menjadi Perdana Menteri Singapura tahun 1958. Dia mengumpulkan ayah dan adik beradiknya. Dia menjelaskan yang mereka mesti tahu kedudukannya. Dia mesti tegas dengan adik beradik. Dalam keadaan macam itu pun banyak juga orang komen tentangnya. Orang kata juga tentang anaknya yang sememangnya cerdik itu begitu cepat mendapat kedudukan tinggi dalam politik Singapura. Dan isterinya terus aktif sebagai peguam ketika dia berkuasa menjadi perhatian.
Demikianlah sensitifnya masyarakat pemerhati terhadap perkembangan sekitar orang-orang yang berkuasa yang asalnya dari rakyat biasa.Orang tidak kisah jika Raja Jordan hanya berunding dengan adiknya kerana cara monarki mutlak di situ memang begitu. Orang tidak kisah jika Raja Kuwait bagi macam-macam pada anaknya. Orang-orang feudal memang begitu.
Tetapi orang tetap berbisik bila Udai jadi orang penting dalam pengaruh Saddam yang besar itu.
Inilah menyebabkan isu Mirzan menjadi bahan percakapan. Adalah benar Lim Guan Eng disediakan oleh Lim Kit Siang untuk menjadi ganti pemimpin DAP, Sebelum ini telah ramai jadi orang kanan Lim Kit Siang, tetapi ramai yang keluar DAP. Guan Eng saja agaknya yang kekal.
Bagaimana pun perkembangan di sekeliling Lim Kit Siang itu tidak menjadi pasport untuk memungkinkan Perdana Menteri membiarkan anaknyaa merebut apa-apa peluang sama ada Perdana Menteri tahu atau tidak tahu. Tanggungjawab menjaga nama baik Dr. Mahathir lebih besar atas bahu anak-anaknya dari orang-orang UMNO.