Pelarian Acheh

SEKALIPUN pendatang luar yang melimpah ruah di Malaysia sekarang umumnya adalah pelarian ekonomi, tetapi yang datang dari wilayah Acheh bukan pelarian ekonomi sebaliknya adalah pelarian politik.

Ia sudah bukan rahsia. Adalah benar Indonesia sudah terperangkap sejak sekian lama dengan isu Acheh sejak dari mula kelahirannya. Acheh mendakwa ia tidak pernah mengaku kalah kepada Belanda dan justeru itu ia tidak bersedia untuk menjadi sebahagian dari wilayah Indonesia yang merdeka.

Penduduk Acheh telah mengangkat senjata menentang Indonesia sepanjang sejarah kewujudan Indonesia. Walaupun pemerintah Indonesia dapat mematahkan pejuang-pejuang Acheh, tetapi terbukti kini warga Acheh tidak mengaku kalah.

Wilayah Acheh terus bergolak. Mungkin keadaan dilihat tenang tetapi ia ibarat api dalam sekam. Ia wilayah yang bermasalah. Acheh dikenali sebagai Wilayah Istimewa Acheh. Yang istimewanya ialah ia diakui sebagai wilayah yang mahu mendaulatkan Islam. Acheh mendakwa ia adalah Serambi Mekah.

Kerana ia bergolak rakyat Acheh bertenaga tidak merasa dirinya selamat tinggal di Acheh dalam suasana rakyat Indonesia yang kesempitan lari ke Malaysia, maka mereka pun lari sama. Jika yang lain lari semata-mata kerana kesempitan ekonomi, Acheh datang kerana kesempitan ekonomi dan tersepit dalam politik.

Sama ada kita akui atau tidak akui ternyata Indonesia tidak berjaya menyelesaikan isu Acheh itu mengikut cara mereka dan ternyata sekarang Malaysia ikut menanggung masalah.

Malaysia mahu memulangkan sekalian pendatang Indonesia. Indonesia agak culas untuk menerimanya kerana terpaksa berbelanja kerananya, tetapi Indonesia tidak keberatan menerima pulang warga Acheh. Malah Indonesia mahu mereka dipulangkan dan boleh bermasam muka jika tidak dipulangkan. Tetapi bagi warga Indonesia lainnya Indonesia tidak kecil hati jika tidak dipulangkan.

Dunia mengakui jika warga Acheh diserahkan kepada Indonesia, mereka tidak selamat. Mereka datang ke Malaysia kerana tidak mahu diapa-apakan di Acheh, dan apabila dipulangkan mereka mengira diserahkan untuk diapa-apakan.

Justeru itu mereka rela mati berdarah di Malaysia supaya mati mereka diketahui dunia dari hilang di Indonesia. Kisah mereka dengan kerajaan dan polis Malaysia telah menjadi berita dunia sama seperti lain cerita keburukan yang mendapat liputan antarabangsa.

Pelarian Acheh itu wajar mendapat perlindungan antarabangsa. Tetapi malangnya mereka datang ke Malaysia, sebuah negara yang tidak ada dasar memberi perlindungan politik kepada warga jirannya. Bukan orang Acheh saja yang kerajaan Barisan Nasional dan Umno pulangkan. Warga Berunei Darussalam dan Pattani juga dipulangkan.

Sekitar berbelas-belas tahanan Berunei telah dibenarkan menetap di Malaysia. Mereka berumahtangga dengan orang tempatan. Mereka dikehendaki oleh kesultanan itu dulu, tetapi Malaysia dulu tidak pernah bersetuju dengan permintaan Berunei itu.

Tidak pula Berunei dan Malaysia bergaduh. Malaysia dulu ada dasar perlindungan politiknya. Tetapi akhir-akhirnya orang Berunei itu diminta pulang oleh kerajaan Malaysia. Ada yang pulang dan terpaksalah mereka yang pulang itu bersoal jawab dan direhatkan seketika.

Baru-baru ini kerajaan baru Thailand mahukan orang-orang Pattani yang mereka namakan pejuang-pejuang Polo. Antara yang dikehendaki itu sudah berumahtangga dan beranak pinak. Mungkin sudah bercucu dengan orang tempatan. Ada yang menjadi Umno.

Thailand mahukan apa yang dipanggilnya rakyatnya kerana mereka dulu lahir di Pattani. Tidak kira mereka warga Malaysia atau Thailand, Thailand mahukan mereka. Semua orang tahu akan nasib orang-orang yang dikira polo apabila diserahkan kepada polis Thailand. Tidak ada jaminan keselamatan.

Kerana Malaysia kini tidak ada dasar perlindungan politik, maka Malaysia menyerahkan keturunan Pattani itu walaupun mereka warga Malaysia. Keturunan Pattani itu juga tidak rela diserahkan, ada yang meronta bila dipaksa pergi. Malanglah mereka.

Kini giliran orang-orang Acheh yang melarat itu pula. Mereka tidak selamat di negerinya dan tidak dikehendaki di sini. Keluarga orang-orang Acheh di Malaysia sangat terharu dengan kejadian sekarang. Mereka mahukan pertolongan. Tidak ada yang mahu menolong kerana rata-rata orang Malaysia adalah sayangkan kerajaannya dan patuh kepada polis dan undang-undang.

Rakyat Malaysia sendiri sibuk dengan sekolah anak-anak dan yang menyertai politik pula sibuk untuk mendapatkan habuan dari tuan politiknya. Maka mereka tidak tahu sangat tentang nasib dan masalah orang lain dan tidak kenal antara Indonesia itu yang mana Acheh dan yang mana bukan.

Apabila ada pertentangan antara orang Acheh dan petugas keselamatan Malaysia, maka yang mati tidak diserahkan kepada Indonesia. Yang dimuatkan ke kapal Indonesia ialah yang hidup.

Pelarian Acheh yang belum ditangkap mendakwa bahawa keluarga di Acheh yang menunggu kepulangan mereka belum menemui sanak saudara yang pulang itu. Mereka khuatir apakah masing-masing terjun laut atau dicampakkan ke laut atau dalam kurungan untuk disiadat atau apa-apa.

Bagi yang mati pula berhadapan dengan masalah bahawa keluarga Acheh tidak mahu jenazah itu dimandi dan dikapankan. Mereka mahu jenazah itu dikebumikan seperti orang syahid kerana mereka adalah dalam keadaan berperang. Sedang orang Malaysia tahu bab syahid itu dari Al Quran dan kitab-kitab lain tetapi tidak tahu bagaimana rupa yang dikatakan syahid itu.

Orang Malaysia pun pernah berperang melawan Jepun, melawan komunis dan melawan kongsi gelap. Ramai juga yang mati, tetapi mereka tidak dilayan sebagai orang syahid. Pengetahuan syahid yang ada pada orang Malaysia ialah tentang kumpulan Ibrahim Libya. Sampai hari ini masing-masing berbalah apakah dia syahid atau tidak.

Walaupun kini Malaysia sudah ada IKIM dan sudah ada UIA, tetapi orang Malaysia masih dalam keadaan tahu ada syahid tetapi tidak tahu nak menentukan yang mana syahid dan tidak.

Malaysia ada pengalaman melayan pelarian Vietnam. Bilangannya ribuan saja. Tetapi pelarian itu tidak membebankan sangat Malaysia. Mereka diletakkan di bawah Suruhanjaya Pelarian Bangsa-Bangsa Bersatu. PBB memberikan peruntukan dan Vietnam yang lari itu membawa ketul-ketul emas dan barang berharga.

Keadaan itu memungkinkan peluang berniaga dan tukaran wang asing bagi negara. Mereka boleh bertahan lama.

Tetapi pelarian Acheh tidak membawa apa-apa. PBB pula belum membuat apa-apa sikap tentang Acheh. Dan orang ASEAN belum membangkitkannya di PBB.

Akhirnya yang memberi perhatian kepada pelarian Islam Acheh itu ialah kumpulan-kumpulan pejuang hak asasi manusia yang bukan Islam. NGO dari Amerika dan dari Barat. Kerabat OIC diam dan berpeluk tubuh.

Ke mana orang Islam yang sudah sebilion orang di dunia sekarang? Mereka sudah menjadi buih di permukaan air. Menggelembung dan pecah.Kemudian menggelembung lagi. Hari ini Acheh tidak boleh mengadu kepada ASEAN kerana mereka sibuk dengan isu Hun Sen dan Ranariddh, IMF dan El Nino.

Acheh tidak boleh menghalakan tongkangnya ke Malaysia kerana tidak ada perlindungan politik dalam kamus di Malaysia. Halakanlah tongkang masing-masing ke Lautan Hidi mungkin terdampar ke Madagaskar atau ke Kutub Selatan.