Samy Temui Ketua Kuil
DATUK Samy Vellu, Presiden MIC yang juga seorang menteri yang berpengaruh akan bertemu dengan para pemimpin kuil pada 19 April nanti bagi membincangkan isu pembinaan kuil tanpa peraturan.
Di samping semua kelemahan yang ada pada Datuk Samy tetapi dialah orang yang paling baik untuk membincangkan kecenderungan membina kuil yang sangat ketara akhir-akhir ini.
Orang lain mungkin boleh memberi berbagai komen tentang gejala itu tetapi kerana Datuk Samy adalah pemimpin masyarakat India yang agak kontroversi dan dapat menundukkan orang-orang yang bermasalah dengannya. Maka dia juga dipercayai ada pengaruh yang besar ke atas masyarakat Hindu yang tentunya ada pandangan tersendiri dalam membanyakkan kuil di seluruh negara itu. Kedudukan dan pengaruhnya yang agak besar atas Perdana Menteri sudah tentu dikira penting oleh penganut Hindu itu.
Dan pembinaan kuil yang pesat dan ketara itu sama ada kebetulan atau terancang berlaku kira-kira sama dengan kemunculan Datuk Samy sebagai pemimpin MIC. Samy Vellu sudah menjadi pemimpin masyarakat India sebelum beliau menjadi Presiden MIC.
Mengikut Datuk Samy pertemuannya itu adalah berbangkit justeru tiadanya peraturan dalam pembinaan kuil sekarang. Penganut agama Hindu begitu mudah membina kuil. Ia boleh memulakannya di tempat yang sempit dan boleh di mana-mana saja.
Justeru itu beberapa kuil kecil boleh dibina di satu kawasan. Dalam keadaan seperti inilah sebuah kuil dibina berhampiran dengan masjid di Kampung Rawa Pulau Pinang. Kuil itu mulanya agak kecil. Tetapi kuil tidak kaku. Ia membesar dan akhirnya menyaingi kemakmuran masjid.
Dengan kehendak Allah seminggu dua lalu berlaku konfrontasi antara orang masjid dan orang kuil. Apa sebenarnya yang berlaku tidak ramai yang tahu kerana perkembangannya tidak disiar dan tidak diumumkan.
Apakah ia sama seperti 13 Mei atau seperti kudis saja jika dibandingkan dengan kejadian tahun 1969 itu. Kerajaan tidak bersedia memperincikannya. Yang diketahui ada amaran dan ada tangkapan.
Kejadian itu ada natijah dari membenarkan terkumpulnya dua rumah ibadat di satu tempat bagi dua agama yang sudah pun menyulitkan India sejak mencapai kemerdekaan.
Tidak banyak kontroversi bagi India sebelum kedatangan British. Tetapi setelah British pergi, India tidak pernah aman.
Mengumpulkan kuil dengan masjid, sama seperti menemukan api dengan gas. Api tidak dinamakan api jika ia tidak menyambar apabila disembur gas. Itulah sebabnya orang menjauhkan gas dari puntung atau gas mesti dikawal bila ia ketemukan dengan api.
Membina kuil dekat masjid adalah bahaya dan membiarkan kuil dibina di sisi masjid juga bahaya. Yang membina mesti bertanggungjawab dan yang tidak berbuat apa-apa untuk menghalangnya juga mesti bertanggungjawab.
Jika kuil dekat masjid Kampung Rawa telah membakar perpaduan yang lama ditaja, maka yang lain, yang terbiar dan dibina tanpa peraturan juga boleh mengulangi konfrontasi Kampung Rawa.
Kewujudan kuil tanpa peraturan diakui sendiri oleh Datuk Samy. Bukan kuil tidak boleh dibina, tapi biar ada peraturan. Kewujudan kuil seperti itu bukan baru, malah telah lama dan sudah disuarakan sebelum ini.
Peraturan dan tamadun mengajar rakyat betapa hal yang sensitif ini tidak dibantah secara terbuka. Membantahnya secara terbuka adalah sensitif dan yang sensitif adalah bercanggah dengan akta hasutan.
Bagi mengelakkan ia pecah, maka ia dikendong dalam perut masing-masing. Mungkin banyak ancaman kepada perpaduan sudah dibendung, tetapi pembinaan kuil bukan sekadar tidak terhenti malah adalah pesat sama seperti majunya kelas tae kwando di sekolah Tamil dan sekolah lain. Akhirnya ia pecah di Kampung Rawa.
Kejadian di Kampung Rawa membakar semua usaha perpaduan yang dibina sejak tahun 1969. Perpaduan kaum telah dibina lama dan banyak mana kerja dan apa kesannya mungkin tidak sebanyak mana tetapi sekali kecelakaan berlaku di Kampung Rawa, maka hancur kerja yang dibuat selama 30 tahun.
Datuk Samy Vellu bukanlah satu-satunya pemimpin yang berpengaruh dalam masyarakat Hindu. P. Panditan juga ada peranan dan besar pengaruh. Mereka boleh memahamkan masyarakat Hindu bahawa sensitiviti orang masjid kena jaga.
Datuk Samy mungkin sudah memahami sangat cara hidup dan pandangan Islam Dr. Mahathir. Dia mungkin sudah berjaya membawa Tan Sri Ahmad Razali Mohd Ali mendekati budaya dan amalan agama Hindu dalam satu perayaan keagamaan di Batu Caves tidak lama dulu.
Tetapi ia tidak cukup untuk Samy Vellu menguasai dan memahami psikologi orang Islam. Datuk Samy dan lain-lain mesti mengenali sama-sama orang Islam yang lain dari Dr. Mahathir. Dia kena tahu apa ada dalam kepala imam dan apa pula kemahuan yang lain sama ada kuat beribadat atau tidak. Semua pengalaman ini kena pula disampaikan kepada masyarakat Hindu dan penyokong MIC.
Saya tidak berhajat meletakkan penganut Hindu dan penyokong MIC dalam kandang orang salah. Tetapi mereka ada sumbangan bagi menjauhkan ancaman kepada perpaduan.
Dalam pertemuan Datuk Samy dengan pemimpin kuil ada dua perkara penting yang masyarakat Hindu dan lain-lain kaum India patut peka tentang orang Islam. Isu pembinaan kuil dan lain-lain rumah ibadat dan kedua, isu lelaki India ghairah mendekati wanita Islam hingga mendorongkan mereka murtad.
Dua isu ini boleh membakar semua pembangunan yang sudah dibina selama ini. Datuk Samy sudah tentu tahu hal ini dan ia patut disampaikan kepada pengikutnya.
Kuil, pagoda, gereja dan lain-lain boleh dibina tetapi biar ada peraturan dan biar jangan menjolok mata. Dalam suasana yang tidak ada peraturan sebelum ini sudah banyak kuil yang dibina tetapi baru sekali konfrontasi berlaku di Kampung Rawa.
Tetapi ini tidak bererti selepas ini kecelakaan itu tidak berulang. Jika pembinaan kuil tanpa peraturan berterusan, maka tidak mustahil yang sudah berlaku akan berlaku lagi.
Islam tidak dapat menerima wanita Islam meninggalkan agamanya kerana kahwin dengan orang lain. Islam tidak mengiktiraf kahwin seperti itu sebagai kahwin. Bukan ia pegangan Islam Malaysia saja. Ia pegangan Islam India dan Islam negeri China. Dalam zaman Mao Zedung yang berkarat komunisnya, komunis lelaki dan komunis wanita yang mahu kahwin dengan orang Islam mereka diisyaratkan memeluk Islam dulu sebelum kahwin. Mao akur keadaan itu.
Jika wanita Islam India kahwin dengan laki-laki bukan Islam, ia bukan kerana Islam tidak mensyaratkannya tetapi ia Islam di India sudah tidak cukup keupayaan.
Tidak salah laki-laki Hindu menyintai wanita Islam sama dengan tidak salahnya lelaki Islam meminati Aktres filem Hindu, tetapi bila mahu berkahwin, dia mesti Islam.
Jika seorang Hindu mahu hidup dan mati sebagai Hindu, maka dia jangan mendekati wanita Islam. Dekati saja wanita lain seperti Kadazan, Cina, Sikh atau Serani.
Datuk Samy boleh membincangkan hal ini dengan pemimpin kuil dan pemimpin MIC. Masing-masing telah sama-sama membina negara ini untuk semua rakyat tetapi jangan hancurkan keharmonian itu dengan hal sensitif itu.
Tidak seorang pun dari rakyat negara ini mahu kebimbangan penduduk benua kecil India - India dan Hindu - tidak pernah aman. Jangan kegerunan di Sri Lanka, pergaduhan antara majoriti dan Tamil Eelam beralih pula ke negara ini. Biar masalah Sri Lanka itu tinggal di sana dan kita di Malaysia dengan cara kita.