Iraq-Kofi Annan bukan hamba
HAMPIR tiga bulan lalu saya menyebut di ruangan ini betapa Kofi Annan, Setiausaha Agung PBB seolah-olah memilih untuk menjadi hamba abdi Amerika, suatu kehidupan yang dialami oleh orang-orang Afrika yang dijual beli di Amerika sehingga ke zaman Abraham Lincoln.
Maka beberapa hari setelah rencana itu terbit Kofi Annan berangkat ke Baghdad hingga dia berjaya memeterai perjanjian dengan Saddam Hussein bagi membenarkan rombongan pemeriksa PBB menggeledah lapan buah istana presiden seperti yang dikehendaki oleh Amerika.
Sekarang misi Kofi Annan telah dipenuhi. Saddam memberi kerjasama sepenuhnya. Lapan istana itu telah digeledah dan masing-masing pulang dengan cerita betapa tiada ditemui senjata yang Amerika percaya ada di situ.
Sehingga rencana ini ditulis belum ada sepatah jua kata-kata dari Amerika berhubung dengan kenyataan awal rombongan penyiasat yang tidak menemui senjata bahaya itu. Sedang sebelum Annan ke Baghdad, dunia bagaikan hendak memulakan satu perang dunia ketiga atas isu istana yang lapan itu tertutup untuk rombongan pemeriksa yang warga Amerika dijadualkan ikut serta.
Cadangan memeriksa istana itu lebih merupakan rancangan Amerika dari suatu kesungguhan PBB. PBB bagaikan mengikut kemahuan dan rentak Amerika sedang Amerika sendiri ketika itu hampir kehilangan hak mengundi disebabkan terlalu banyak hutang tertunggak pada badan dunia itu.
Arahan menggeledah kediaman Saddam itu banyak datang dari Amerika dan Annan bagaikan tiada kuasa untuk membuat keputusan. Demikianlah hinanya Annan pada pandangan dunia ketika itu.
Dalam suasana antara perang dan tidak itu, Annan berangkat ke Iraq melalui Paris, Dia tidak mencapai banyak kejayaan dalam perundingan dengan Tareq Aziz, juru runding utama Iraq yang juga Timbalan Perdana Menterinya.
Annan datang bukan untuk mentiadakan pemeriksaan di istana yang lapan, tetapi untuk meminta laluan supaya pintu istana dibuka bagi pemeriksaan tadi. Jika pintu tidak dibuka, perang bagaikan tidak dapat dielak lagi. Annan tidak dapat menahan Amerika melancarkan perang jika pintu ditutup kerdap. Annan tiada kuasa menyekat Amerika sama ada Annan setuju atau tidak dengan peperangan itu.
Pada ketika itu orang tetap melihat kunjungan Annan itu tidak lebih dari satu perlaksanaan dasar dan kemahuan Amerika. Amerika sendiri pun tidak ada pilihan melainkan berperang. Ia mahu berperang bukan kerana peperangan itu betul, tetapi kerana Amerika sudah berkata yang ia akana berperang sekalipun bersendirian.
Amerika pada peringkat itu sangat kecewa dengan sambutan dunia. Ia gagal untuk memaksa sekutunya untuk menyerang Iraq lagi. Hanya Kuwait yang bersetuju tetapi belum pasti Kuwait akan membiayai peperangan itu seperti sebelumnya.
Sekalipun dunia dulunya tidak sesuka hati memerangi Iraq, tetapi masing-masing terpaksa menyetujui kemahuan Amerika, sikap mereka itu ada juga disebabkan oleh rasa tidak senang dengan langkah Iraq menakluki Kuwait.
Tetapi kali ini sebab tidak ada lagi bagi mereka untuk menyokong Amerika. Iraq sudah kalah dan penderitaan yang dialami oleh Iraq dan rakyatnya cukup besar. Ia sudah mematuhi semua hukuman yang dikenakan.
Yang Iraq tidak penuhi ialah Saddam berundur. Ia tidak termasuk dalam resolusi PBB dan dunia tidak fikir mereka patut terlibat dalam kerja-kerja CIA itu. Menggulingkan Saddam bukan kerja PBB. Ia adalah kerja CIA. Oleh itu, dunia dan PBB tidak patut dilibatkan.
Jika perang tidak dapat dielakkan, Amerika akan menanggung risiko yang tinggi. Ia akan berbelanja sendiri. Ia akan dikutuk lebih teruk dari kutukan yang diterimanya di Vietnam dan Kemboja. Imej Amerika di Indochina agak reda kerana adanya kekejaman Pol Pot yang membunh berjuta-juta rakyatnya. Jika tidak kerana kekejaman Pol Pot itu beban dan dosa Amerika di dunia tidak akan tertebus.
Perempuan tua Amerika, Albright sendiri pun menyebut betapa payahnya Amerika menghadapi Iraq bersendirian jika peperangan tidak dapat dielakkan. Sekarang Amerika bagaikana beruntung kerana ia dapat faedah tukaran mata wang akibat kejatuhan ekonomi dan mata wang Asia Tenggara. Tetapi jika perang terjadi, semua wang Amerika akan dicurahkan ke Iraq.
Ia akan menempah kegawatan ekonomi dan sekali pun ia menang dalam pertempuran tetapi Amerika akan menjadi pihak yang kalah lagi. Saddam menyedari risiko Amerika itu tetapi Saddam tidak terdaya untuk mengelakkan Iraq jadi padang jarak padang tekukur jika perang berlaku.
Saddam sudah membuktikan Annan gagal dalam misinya apabila ia tidak mencapai persetujuan dengan Tareq Aziz, Sikap Tareq itu adalah sikap rasmi Iraq. Sikap Tareq itu adalah sikap rasmi Iraq. Tareq tidak akan berbuat sesuatu jika ia tidak disetujui oleh Saddam.
Annan hanya ada harapan terakhir iaitu menemui Saddam. Saddam boleh mengubah sikap pada saat terakhir baik untuk mengelakkan kehancuran Iraq ataupun kerana menghormati Kofi Annan yang datang jauh itu.
Mesej Annan tidak panjang, Jika Saddam enggan membuka pintu, Amerika akan menyerang ketika Amerika sudah tidak boleh menggunakan pertimbangan lagi. Akibat perang tidak difikirkan lagi. Ia bagaikan membuk atau hilang fikiran.
Kofi Annan tidak ada kuasa dan wibawa untuk menghalang Amerika menyerang walau peperangan itu boleh meletakkannya di tempat Saddam selepas perang dulu. Annan ketika itu tidak lebih dari seorang penghantar surat. Ia dilihat seperti abdi Amerika yang menjadi bapa Afrika Amerika dua abad dulu.
Yang boleh berfikir ketika itu hanya Saddam. Dia tahu Amerika boleh binasa tetapi sebelum Amerika binasa, Iraq dan dunia Arab akan binasa dulu. Dia pun bersetuju. Ia mengelakkan Iraq dan rakyatnya dari dibom lagi. Ia bukan sekadar menyelamatkan Iraq, ia sudahpun menyelamatkan tamadun Amerika. Hingga ke tahap itu Annan masih dilihat sebagai seorang posmen Amerika.
Annan pun pulang ke New York membawa pas memasuki pintu istana Saddam. Majlis Keselamatan PBB segera meluluskannya. Pemeriksaan istana kini dikendalikan oleh wakil PBB, bukan rombongan Rumah Putih. Apakah senjata yang tersorok di situ sudah dialih ke lain atau memang betul ia satu anggapan tak berasas, tidak dibangkitkan oleh mana-mana pihak ketika ini.
Amerika terus senyap dan ia lebih banyak menumpukan tentang kegagalannya mengenai perdamaian Palestin-Israel. Mungkin kerja tadi lebih banyak menyelamatkan Amerika dari menyelamatkan Iraq. Dan ini Annan dilihat sebagai orang yang penting. Dia tiba-tiba tidak lagi dilihat sebagai hamba kulit hitam yang baru.
Sejarah perhambaan sudah lama diharamkan di Amerika. Orang kulit hitam sendiri pun sudah menjadi menjadi saudagar dan pembesar di Amerika. Bukan senang mereka hendak dijadikan hamba lagi. Tetapi dasar imperialis Amerika tadi tetap mahu menjadikan orang lain hambanya. Ia berjaya menjadikan Boutros Ghali dari Mesir sebagai hamba. Bila hamba itu tua, ia mencari hamba baru. Annan mungkin sedar dia mahu dijadikan hamba tetapi dia sudah pun membuktikan dia telah menyelamatkan Amerika.
Untuk sementara waktu ini Annan adalah manusia merdeka atau baru membebaskan diri dari perhambaan. Annan mesti buktikan dia bukan hamba hingga perkhidmatannya tamat.