Kegawatan air satu kegagalan penswastaan

APA jua puncanya, gangguan bekalan air di Lembah Kelang sekarang adalah satu bukti kegagalan dasar penswastaan kerajaan yang menjadi tunjang pentadbiran sekarang, bukan semata-mata gara-gara kemarau el-Nino.

Ketika dasar penswastaan - sogososya - diperkenalkan kira-kira dalam tahun l982, penswastaan dikatakan untuk memberikan perkhidmatan yang cekap dan canggih untuk rakyat di samping meringankan beban kerajaan.

Tidak perlu disentuh di sini tentang perkhidmatan telefon, eletrik, pos dan lain-lain, memadai sekadar menyorot tentang bekalan air sekarang, ternyata terlalu banyak sungutan menyentuh tidak licinnya perkhidmatan bekalan air.

Ketika belum diswastakan dulu, walaupun ada gangguan bekalan air, tetapi tidak pula pernah orang ramai mengalaminya ujian dan kepayahan hingga berminggu-minggu.

Datuk Samy Vellu mungkin berjaya melepaskan dirinya bila dia memberi tahu bahawa pihaknya telah mengingatkan kerajaan Selangor enam bulan lalu betapa Lembah Kelang mungkin menghadapi gangguan bekalan air.

Malah ada ingatan dari pakar menyebutkan kemungkinan negara akan menghadapi gangguan air yang teruk menjelang tahun 2000.

Puncak Niaga yang berjaya meraih persyarikatan menswastakan air juga disebut sudah mengingatkan hal yang sama.

Jika sebelum penswastaan ada gangguan tetapi ia tidak teruk dan dapat diatasi segera, maka apa untungnya dasar penswastaan yang tidak pula mengurangkan masalah tetapi keadaannya adalah lebih menyusahkan orang ramai?

Justeru itu dasar penswastaan sudah menyulitkan, malah lebih menyulitkan dari sistem sebelumnya. Maka tiba waktunya supaya dasar penswastaan yang lebih menguntungkan segelintir orang yang dikenali oleh golongan pemerentah itu dikaji semula.

Jika segala kepayahan, rakyat terpaksa mencari kerajaan dan memaki hamun pemimpin dan pegawai kerajaan seperti yang dideritai oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, maka adalah wajar ditimbang supaya dasar penswastaan diakhiri dan kembali seperti dulu.

Lazimnya penswastaan menyebabkan rakyat menanggung beban kewangan. Semua bil naik. Beban kewangan kerajaan mungkin kurang, tetapi beban orang awam naik.

Kerajaan dikatakan terlepas dari beban kewangan lebuhraya, tetapi pemandu terpaksa membayar tol yang sentiasa naik. Pemandu bagaikan didera, seolah-olah sama dengan cerita orang ramai didera oleh anak-anak raja zaman purba yang mencukai orang lalu lalang ikut suka hati.

Air adalah antara zat yang tidak boleh niaga secara monopoli. Ada hadis mengenainya. Air mesti dikongsi bersama oleh orang ramai.

Sebelum air diserahkan kepada Puncak Niaga, orang tidak susah untuk mendapatkan air dari Jabatan Air Selangor. Kini kawasan yang diserahkan kepada Puncak Niaga, rata-rata menghadapi masalah putus bekalan.

Kawasan yang belum diserahkan hanya baru dicatu bagi membolehkan kawasan Puncak Niaga berpeluang dapat sedikit bekalan.

Yang membimbangkan sekarang ialah rakyat nanti akan didera lagi jika syarikat terbabit tidak cukup wang atau tidak cukup pendapatan bagi meneruskan pengurusannya.

Jika lebuh raya acap menuntut tol dinaikkan kerana pungutan tidak mencukupi, maka bukan mustahil pihak yang berkepentingan yang menuntut bil air dinaikkan kerana ia perlu mengadakan semua keperluan untuk mengatasi gangguan bekalan.

Orang ramai yang sekarang terpaksa berbelanja membeli baldi dan tangki plastik, mengupah orang mengangkut air atau menggunakan kenderaan mencari air tentu akan terasa senang jika diminta menambah sedikit lagi bayaran bil kerana bekalan dapat disempurnakan.

Memang orang sanggup berbelanja untuk kemudahannya tetapi ia adalah satu cara halus mendera mereka yang tidak ada pilihan.

Kerajaan akan memberi berbagai alasan untuk menyokong tuntutan peniaga, tetapi ia suatu yang bercanggah dengan thema pilihan raya Barisan tahun l990 - tradisi membela rakyat. Ia bertukar menjadi tradisi membala rakyat.

Setakat ini mulai ada maklumat kononnya bekalan air akan pulih empat bulan lagi. Ramalan itu berdasarkan serangan El Nino akan berakhir dan hujan bersama ribut petir akan datang tidak lama lagi. Ketika itu bekalan air ada semula.

Tetapi ada pula yang menyebut bahawa empat bulan lagi Sukom pun selesai. Jika ketika itu air ada semula, mungkin kebetulan, tetapi mungkin juga kerana Sukom tidak memerlukan air itu lagi.

Ketika itu orang akan berkata bahawa ketiadaan air sekarang adalah satu muslihat bagi memastikan Sukom cukup air. Air terpaksa dialih ke persiapan Sukom.

Jika sangkaan itu betul, maka orang boleh mentohmah, jelaslah negara sanggup melihat rakyat berhempas pula keputusan air demi bermegah-megah kepada dunia dengan menganjurkan Sukom.

Keuntungan yang hendak diperolehi dari Sukom belum tentu dirasai, tetapi warga ibu kota sudah pun kemarau dalam negara yang banyak hujan. Penswastaan belum tentu mengurangkan beban kewangan kerajaan, tetapi rakyat sudah pun kekeringan dalam negara yang berlebihan air.

Rakyat sudah menderita di bawah kerajaan yang mendakwa bersih, cekap dan amanah. Dan mereka tidak wajar menanggung beban lagi.

Justeru itu kerajaan hendaklah membebaskan warga Lembah Kelang dari bayaran bil air selagi bekalan air tidak dipulihkan seperti sedia kala.

Meter bil air hendaklah mula dikira semula pada hari yang dtentukan sesudah bekalan pulih sepenuhnya.

Pada ketika bekalan putus, meter air tidak berjalan normal. Tekanan angin dalam paip yang kosong bolh menolak putaran meter lebih laju. Air tidak boleh mengalir ke bahagian paip yang kosong kerana di tempat kosong itu dipenuhi tekanan air yang tersumbat.

Setengah paip mengambil waktu yang agak lama untuk dilalui aliran air secara normal. Sepanjang masa itu tekanan angin akan menolak perjalanan meter lebih laju dari tolakan air.

Oleh itu, wajar bayaran air dikecualikan. Orang ramai tidak menikmati air percuma selama ini. Mereka membayar ssetiap unit air yang digunakan. Jika mereka lewat membayar air, bekalan akan dipotong. Untuk menyambung semula bekalan, tidak peercuma. Mereka kena membayar upah pemasangan semula.

Apabila mereka tidak mendapat perkhidmatan yang dijanjikan, maka giliran pihak yang berkuasa pula mesti menanggung akibat.

Dalam masyarakat moden, semua kerajaan memberikan perkhidmatan kepada rakyat. Rakyat berdaulat memang begitu. Mereka adalah seperti raja zaman dulu. Dulu raja tidak pernah salah. Kini rakyat tidak boleh disalahkan.

Kerajaan berjanji untuk memberi khidmat yang terbaik sebelum mereka mati, maka dengan janji dunia itu mereka memberikan sokongan. Rakyat tidak memaksa mereka membuat janji dan tidak meminta apa yang mereka tidak janji. Yang ditagih adalah janji. Bila janji itu tidak dipenuhi maka rakyat berhak mendapat ganti dari perkhidmatan yang tidak sempurna.

Atau giliran rakyat pula menghukum kerajaan. Hukuman itu adalah melalui pengecualian bayaran bil sehingga ada bekalan sempurna.

Dengan berbagai sangkaan dan tohmah yang dilemparkan kepada pentadbiran, maka tiba waktunya kerajaan membentuk sebuah jawatankuasa penyiasatan akan punca krisis bekalan air sekarang. Kajian ini perlu bagi memastikan punca sebenar, bukan sekadar menyalahkan bencana alam.

Jika punca sebenar diketahui, jika berulang kemarau lagi, maka kita tidak akan terjerumus lagi dengan bencana yang sama.