Dilemma Orang Agama Dalam UMNO
SEORANG tokoh Umno yang mendapat pendidikan tinggi agama Islam, lulusan Timur Tengah merasai hairan bagaimana orang-orang berpendidikan Islam tidak mendapat tempat yang menggalakan dalam Umno.
Jika ada pertandingan merebut jawatan antara orang berkelulusan agama dengan seorang yang tidak berkelulusan agama, maka yang tidak berkelulusan agama lebih mudah menang. Dalam pemilihan ketua-ketua bahagian baru-baru ini, boleh dikatakan tidak ramai yang berkelulusan agama mendapat tempat.
Datuk Zainal Abidin Abdul Kadir, Adun Melor di Kelantan misalnya disetujui secara muafakat untuk menjadi Timbalan Ketua tanpa bertanding.
Ada pendapat jika dia bertanding terbuka dengan Datuk Annuar Musa bagi menjadi Ketua Bahagian Peringat, dia boleh menang. Tetapi melihat kepada keputusan pemilihan di bahagian itu pada keseluruhannya, penyokong Datuk Zainal habis tewas.
Tinggallah beliau seorang dalam bahagian itu. Ini bererti, walau pun dia dikatakan popular, tidak ada pertandingan dengan Datuk Annuar dulu maka belum tentu beliau boleh menang.
Dalam keadaan tertentu Tan Sri Wan Mokthar Ahmad terus menerus menjadi Ketua Bahagian Kemaman dan kekal sebagai pemimpin yang tidak terusik bagi negeri Terengganu. Mungkin yang terlama memimpin sebuah negeri setakat ini. Kedudukan itu kebetulan dan ada faktor-faktor lain yang mengekalkannya.
Tetapi yang lain tidak boleh ke depan. Jika pun ada, adalah dalam jawatankuasa atau kalau muncul sebagai pemimpin seperti Datuk Yusuf Noor dan Datuk Hamid Othman adalah ditaja oleh pimpinan, bukan naik atas kekuatan dan keupayaan sendiri.
Saya berkeyakinan bahawa apa yang berlaku dalam UMNO terhadap lulusan agama atau ulama misalnya, bukan suatu yang terjadi begitu tetapi telah dirancang sejak lama oleh golongan yang berkepentingan dari luar Umno.
Kedatangan penjajah barat antaranya bertujuan untuk melumpuhkan Islam. Mereka telah berjaya memencilkan ulama dari kalangan umat Islam. Hingga para ulama rata-rata terasa rendah dibandingkan dengan yang berpendidikan barat dan sekular.
Mereka diletakkan dalam kelas yang rendah. Dalam masyarakat mereka dikira layak membaca doa dan ketua tahlil. Telah tertanam dalam fikiran rakyat bahawa golongan agama tidak layak memerintah dan jika mereka memerintah, mereka tidak boleh membawa kemajuan.
Umno adalah sebuah pertubuhan yang dari awal mendapat restu dan dokongan penjajah barat. Tamaddun barat adalah gabungan tamaddun Kristian dan Yahudi. Justeru itu pihak penjajah sudah tentu menggunakan semua pengaruh yang ada, termasuk semua jentera kerajaan penjajah dulu untuk memastikan golongan berpendidikan agama tidak diberi tempat dalam politik dan dalam kerajaan.
Ternyata dalam gerakan kemerdekaan golongan agama telah ke depan. Tetapi mereka telah dapat disisihkan. Dari awal Umno ikut disertai oleh golongan agama. Haji Ahmad Fuad Hassan adalah tokoh yang disegani dalam Umno di peringkat awalnya.
Beliau duduk setingkat dengan Datuk Onn. Ketika Datuk Onn berundur, Haji Ahmad Fuad yang terkenal itu adalah calon penggantinya. Ramai yang nampak akan kemunculannya dalam masyarakat.
Tetapi dia kalah pada Tunku Abdul Rahman Putra yang ketika mulanya tidak ramai yang menduga Tunku bersedia dan mampu menjadi pejuang kemerdekaan.
Mungkin Umno mengira pemilihan Tunku itu suatu proses demokrasi biasa, tetapi sebenarnya peranan penjajah British dan pengaruh Yahudi secara harus dan tidak disedari memainkan peranan mengelak Umno dari dipimpin oleh golongan ulama.
Barat - Yahudi dan Kristian - mengelak mana-mana tokoh ulama malah yang berpendirian Islam dari memimpin, kerana ini akan mengganggu dominasi pengaruh barat.
Dalam kontek politik di Malaysia, semua pengaruh penjajah dan lain-lainnya digerakkan supaya memencilkan PAS kerana ia beraliran Islam.
Sebelum PAS wujud, British berusaha melumpuhkan Parti Kebangsaan Melayu Malaya. Sekalipun PKMM tidak menonjolkan politik Islam, tetapi tokoh seperti Dr. Burhanuddin Al Hilmi yang berpendidikan tinggi Islam dikira ancaman kepada pemikiran dan tamaddun barat.
Justeru itu semua pihak yang bersekongkol memencilkan PAS dari tampuk kekuasaan.
Menakala dalam Umno pula, yang dikira lunak bagi barat, dipastikan golongan beragama ada tempat tetapi terancang. Arus perdana dalam pimpinan parti itu adalah di tangan golongan tidak terdidik di sekolah agama.
Bagaimana pun golongan berpendidikan agama tetap diberi peranan dalam Umno. Oleh kerana golongan agama ini dididik berpidato, maka mereka cekap memberi penerangan. Mereka sangat sesuai dijadikan pegawai penerangan dalam Umno.
Inilah tugas yang diberi kepada Syed Jaafar Albar misalnya. Beliau terkenal sebagai Ketua Penerangan Umno yang sangat cemerlang baik di zaman Datuk Onn mahupun di zaman Tunku.
Tetapi beliau tidak diberi peranan yang lebih penting pada peringkat awal. Pada ketika usianya sudah lanjut maka baru Umno memberikan peranan penting, tetapi tempohnya sudah tidak panjang lagi.
Kebolehan agama yang ada pada tokoh berpendidikan agama mudah menarik orang ramai menyertai Umno tetapi mereka tidak diberi peranan untuk menentukan dasar dan hala tuju Umno.
Bagaimana pun Umno memberi peluang kepada tokoh agama memimpin negeri seperti Datuk Hassan Yunus di Johor. Tetapi dari semua Menteri Besar dan Ketua Menteri, beliau seorang sajalah yang berpeluang.
Kemudian sesudah ketiadaannya, Umno mencari seorang lagi tokoh agama untuk memimpin kerajaan negeri iaitu Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad di Terengganu. Dia juga seorang saja.
Kewujudan seperti itu adalah untuk menunjukkan bahawa ada juga orang yang beragama diberi tempat. Tetapi kerana seorang saja, maka dia tentu tidak mampu mencorakkan suasana kerana yang lain lebih ramai.
Wan Mokhtar misalnya diberi peluang yang besar kerana politik Terengganu berbeza. Adanya tokoh-tokoh berpendidikan Islam dalam PAS yang ketara menyebabkan Umno memerlukan orang tahu agama juga untuk mengimbangi kuasa.
Pada ketika yang sama pula orang-orang yang menyertai Umno pula pada peringkat akhir-akhir ini adalah yang kurang tertonjol dalam masyarakat pelajar. Antaranya tidak cemerlang pelajarannya.
Kebanyakan dari mereka menyertai PAS. Maka yang tidak berapa cekap ini menyertai Umno bukanlah kerana perjuangan sangat, tetapi adalah untuk mendapat tempat - lebih banyak untuk makan gaji dan mencari kesenangan.
Oleh itu peranan mereka dalam Umno pun tidak ketara dan Umno tidak terasa yang mereka itu hebat dan layak memimpin mereka.
Dalam masa sedekat lalu ramai yang berfikiran dan terlatih dalam kefahaman Islam menyertai Umno atas alasan untuk membetulkan Umno dari dalam. Tetapi dalam pemilihan yang baru selesai itu golongan ini mula dilumpuhkan. Ada satu dua yang naik tetapi masa depan mereka tidak terjamin.
Dengan kedatangan era IT sekarang, pemikiran anti Islam berkembang lebih canggih dan serangan terhadap Islam juga canggih. Aliran modal yang datang akan mengawal Umno dan orang-orangnya. Golongan agama dimestikan ada oleh gelombang IT, tetapi tidak memimpin dan tidak boleh buat apa-apa.