Matnor Daim, satu kes ajaib
APA ajaibnya, maka Matnor Daim yang tidak dikenali ramai itu di jadikan Ketua Pengarah Pendidikan setahun dulu, tidak diketahui. Tetapi persaraan awal baginya akibat satu rombakan pegawai profesional di kementerian pendidikan yang berlaku secara tiba-tiba adalah satu keajaiban.
Barang ajaib memang tidak ada jawapan. Tetapi satu penjelasan sangat diperlukan oleh umum tentang keajaiban yang menyelubungi persaraan awal tokoh pendidikan itu.
Setakat ini keajaiban yang ada jika hendak dikira ajaib apabila beliau menjadi Ketua Pengarah menggantikan Tan Sri Wan Zahid dulu ialah dia tokoh pendidikan dari Sarawak, yang pertama dari luar Semenanjung.
Apakah kemunculannya dalam barisan depan senarai pegawai-pegawai pendidikan dulu ada hubung kaitnya dengan Dr. Sulaiman Daud menjadi Menteri Pendidikan dulu tidak diketahui, tetapi ada pandangan merasa begitu.
Bagaimanapun tidak kedengaran perlantikannya kejawatan utama dalam perkhidmatan pendidikan itu dipertikai oleh sesiapa. Suasana di kementerian itu terasa tenang sejak Matnor Daim memegang kedudukan itu.
Memang Matnor tidak semasyhur Aminuddin Baki, Ham dan Syeikh Tahir, atau Lokman Musa sebelum memegang jawatan itu, kerana orang itu kelihatan lebih terkenal daripada menteri-menteri di situ.
Matnor merangkak naik dari bawah, dan sekalipun tidak masyhur, perkhidmatannya, kalau pun tidak dikagumi, setakat yang ketahui dihormati oleh banyak pihak.
Semua persatuan di bawah perkhidmatan pendidikan terharu atas kejadian dia dibersarakan awal itu. Menteri Pendidikan telah membuat penjelasan tetapi tidak melegakan kekeliruan orang. Rombakan biasa dan kejadian biasa, tidak dapat memuaskan orang. Orang mahukan satu penjelasan.
Jika Matnor seorang pemegang jawatan politik, maka pertukaran jawatan, perletakan jawatan atau apa-apa jua teknikal yang digunakan untuk mengubah jawatannya, adalah suatu yang diterima sebagai kejadian biasa.
Biasanya pertukaran mengejut pegawai tinggi atau persaraan awal berlaku atas sebab-sebab yang tidak normal. Biasanya kerana tidak cekap, atau sebab-sebab disiplin, atau tidak sesuai dengan orang atas ataupun kerana gangguan politik.
Ada pegawai kanan di bawah naungan kementerian itu dihantar bertugas ke UNESCO di Paris atau ke mana-mana saja kerana hendak mengelakkan keadaan tertentu sama ada di tempat dia berkhidmat atau buang negeri baginya, ia dilakukan secara penuh adab dan diterima sementara menunggu tempoh persaraannya.
Tindakan demikian dibuat bagi membolehkan langkah-langkah kemajuan dilakukan di tempat perkhidmatannya, dan jika hendak menunggu persaraannya baru tindakan memajukan dimulakan, mungkin terpaksa menunggu waktu yang lama.
Ketika Yayasan Tun Razak mengadakan perbincangan mengenai penulisan biografi Tun Razak yang sedang diselanggara itu ada dibangkitkan tentang hasrat Tun Razak hendak membersara-awalkan pegawai-pegawai muda tentera.
Sudah tentu langkah itu dibuat atas sebab-sebab politik. Bagi memboleh satu tindakan dilakukan. Tindakan itu tentunya tidak dapat dilakukan selagi pegawai-pegawai itu berada di situ.
Menunggu mereka bersara, adalah masih lama, kerana mereka muda-muda belaka. Mengubahnya ke tempat lain juga sukar kerana tiada tempat lain yang wajar untuk mereka. Langkahnya ialah membesarakan awal. Tetapi pencennya hendaklah mengikut pencen orang yang berkhidmat penuh tempoh.
Bersara awal boleh tetapi pencennya adalah hak usia persaraan dan tempoh perkhidmatnya. Bila-bila masa saja boleh dilakukan.
Tetapi untuk membersara awal seperti persaraan Dr. Tajuddin Ali dari Sirim yang kononnya dapat pencen orang tua - pencen penuh - walaupun dia masih muda dan belum cukup tempoh bersara dan tidak cukup juga tempoh perkhidmatannya, tentulah akan membangkitkan masalah peraturan.
Di bawah peraturan mana ia hendak dibuat? Peraturan itu mungkin ada dan mungkin tidak ada. Sesuatu boleh dibuat dan diterima jika ada peraturan dan ada penjelasan. Tidak berbangkit apa-apa untuk membersarakan Dr. Tajuddin Ali kerana tempat baru dia dihantar pula adalah ibarat lombong emas pula. Tidak timbul prestasinya di Sirim dan tidak berbangkit sesuatu yang ajaib.
Tetapi dalam kes Matnor Daim yang tempoh persaraannya adalah sekitar enam bulan saja lagi, maka apa perlunya dia bersarakan awal. Jika orang yang menggantikannya itu dikira lebih berwibawa daripadanya, maka apa salahnya tunggu enam bulan lagi?
Syukor yang menggantikannya tentu boleh menjalankan tugas ajaib yang hendak dilakukan oleh kementerian itu besama-sama Matnor menjelang persaraannya enam bulan lagi itu. Apakah Syukor tidak boleh memulakan kerja baik tadi sebagai pembantu kepada Matnor? Apa halangan memulakan pembaruan itu jika Matnor masih Ketua Pengarah Pendidikan?
Matnor bukan tidak boleh dikenakan tindakan pertukaran dan sebagainya. Dia pernah menjadi guru dan dia pernah jadi pegawai rendah di perkhidmatan. Soal tukar mengejut dan lain-lain adalah benda biasa yang mungkin juga pernah dialaminya.
Tetapi tukar jawatan bagi orang nombor satu kepada jawatan yang tidak diketahui apa kedudukan dan di mana, tetap menjadi satu keajaiban. Dan kerja apa yang hendak dibuatnya dalam masa lima atau enam bulan menjelang persaraan?
Kerja menjelang persaraan, jika ibarat pegawai rendah tentera, ialah kursus peralihan dalam bidang yang dicadangkan untuk diceburinya apabila bersara dari perkhidmatan nanti. Kursus bergaji penuh itu ada yang diikuti bersungguh dan ada juga tiada tumpuan penuh.
Dan jika kerja tadi adalah sementara menunggu hari pencen, maka apalah yang boleh dibuat? Pembantunya pun tahu bahawa dia akan pergi dan selepas itu ada ketua baru yang belum tentu dapat meneruskan dasar dan kerja enam bulannya itu.
Menteri Pendidikan adalah orang politik yang kedatangannya ke situ pun adalah atas missi politik. Kementerian itu adalah sarang politik sejak dari mula lagi.
Dari kementerian inilah lazimnya dihantar orang-orang yang berpotensi untuk menjadi Perdana Menteri. Tun Razak, Khir Johari, Abdul Rahman Yaakub, Tun Hussein Onn, Dr. Mahathir, Musa Hitam, Abdullah Badawi dan lain-lain yang datang ke situ sekaliannya adalah persiapan untuk menjadi Perdana Menteri.
Dapat atau tidak adalah hal lain. Yang tidak dicadangkan untuk jawatan penting itu dihantar ke situ ialah Abdul Rahman Talib, Hamid Khan, Muhammad Yaakub dan akhirnya Dr. Sulaiman Daud.
Menteri Pendidikan sekarang adalah dicadangkan atau bercadang untuk menjadi Perdana Menteri kalau boleh selepas Dr. Mahathir. Jika tidak, tunggulah selepas orang yang menggantikan Dr. Mahathir. Orang-orang yang menjadi Ketua Pengarah pun akhir-akhir ini sudah jadi politik juga. Ada yang nak jadi calon dan jadi menteri.
Dr. Sulaiman dan Matnor dirasakan terlepas dari kongkolan politik kementerian pendidikan atau politik guru. Suatu yang sihat pada pandangan umum. Tetapi Menteri Pendidikan adalah berpolitik. Apa dia tidak boleh buat dalam masa enam bulan ini jika Matnor masih di situ? Apa ajaibnya maka Syukor mesti di situ sekarang? Bagaimanapun keajaiban pemergian Matnor tetap memerlukan jawapan.