Bala datang bertimpa?
SELURUH Lembah Kelang dilanda gangguan bekalan air walaupun kerajaan dikatakan membuat bermacam-macam persiapan untuk memodenkan bekalan air.
Pada ketika seluruh fikiran dan tenaga tertumpu untuk persiapan Wawasan 2020, supaya kehidupan sebelum dan sesudah tahun 2020 nanti tidak terganggu, maka tidak siapa terfikir gangguan yang penuh ujian berlaku menjelang pertengahan tahun l998. Ia bagaikan kita nampak tahun 2020 yang 22 tahun lagi tetapi tidak nampak tahun dan hari-hari yang kita lalui sekarang.
Apa juga masalahnya ia adalah tanda-tanda kebesaran Allah, bahawa hamba boleh mencipta wawasan yang indah-indah tetapi yang wawasan Allah juga Yang Maha Indah.
Gangguan air menyebabkan orang lupa wawasan dan orang lupa korporat dan penswastaan. Orang kembali kepada teknologi asli dan tradisional. Menggali perigi, turun ke sungai dan ke paya bagi mendapatkan setimba air.
Gangguan air ini adalah ujian dan ia adalah bala. Adapun yang dikatakan bala itu banyak puncanya. Ribut greg yang melanda Sabah beberapa tahun lalu adalah suatu yang datang dari Allah. Lazimnya ia disebut bencana. Tetapi orang beriman melihatnya sebagai balasan ke atas kedurjanaan manusia yang mengingkari peraturan Allah.
Bagaimanapun bala seperti gangguan bekalan air ini boleh difikirkan oleh manusia akan sebab-sebabnya. Sedikit kerana bencana el-Nino, tetapi banyak merasakan kerana salah urusan, tiada wawasan bekalan air yang sempurna, penyelewengan dan lain-lain.
Tetapi kejadian ini adalah untuk menguji apakah manusia serba maju sekarang bersetuju atau tidak akan adanya bala dalam kehidupan manusia?
Sebenarnya dalam masa setahun sebelum bala ketiadaan air, negara kita tidak sudah-sudah dirundung bala. Bagi orang-orang yang warak - yang oleh setengah golongan disifatkan sebagai kolot, konservatif atau fundamentalis - mengira ratu cantik adalah satu bala.
Ratu cantik dalam dunia moden adalah satu kemuncak aktiviti kemajuan yang berani. Orang-orang yang berani saja yang berani menganjurkan peraduan ratu cantik dan orang yang berani telanjang di khalayak ramai saja yang berani menyertainya. Gorbachev, pemimpin Soviet Union yang terakhir, dikira bapa pembaharuan moden Soviet. Keberaniannya memecah amalan dan hukum komunis memungkin bermula peraduan ratu cantik di Soviet dulu.
Orang warak tidak mengira ratu cantik itu satu kemajuan dan keberanian. Orang warak mengiranya sebagai bala. Ia hanya sanggup dianjurkan oleh orang-orang yang terganggu akhlak dan disertai oleh orang-orang yang tak pemalu.
Di zaman pra-moden yang sanggup telanjang di depan orang yang bukan muhrim ialah pelacur saja. Semua tamaddun mengutuknya. Dan pemaju pelacuran dikira pengusaha yang hina kerana sanggup mencari nafkah keluarga dari lendir-lendir hina pelacuran.
Bagi orang warak penganjur ratu cantik adalah sehina saudagar pelacuran. Siapakah yang setuju di kalangan orang Islam bahawa ratu cantik satu kemajuan?
Bila peraduan ratu cantik dikira kemuncak kemajuan dan dimuliakan, maka ia dikira masyarakat gembira dengan kedatangan bala. Masyarakat seperti itu benci kepada penentang ratu cantik.
Mahu tidak mahu ada sebilangan umat Islam yang bertindak. Mereka ialah pegawai penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor. Mufti Selangor (bekas), Datuk Ishak Baharom mempertahankan petugas penguat kuasa yang menahan dan mendakwa peserta Islam.
Maka ia menjadi satu bala lagi apabila akhirnya petugas-petugas itu dikecam dan Mufti ditamatkan perkhidmatannya. Adakah pemecatan mufti yang menyuarakan kebenaran itu satu kemajuan atau satu bala?
Orang yang berfikiran moden, liberal dan global mengira bertindak terhadap ulama bengkeng satu ketegasan dan keberanian. Orang warak yang fikirannya menyelinap hingga ke tujuh petala langit dan tujuh petala bumi, merangkumi alam dunia dan alam selepas kiamat melihat kejadian itu sebagai bala.
Selepas itu datang lagi bala. Jerebu. Ia bermula dari kebakaran hutan. Hutan Malaysia terbakar tetapi yang lebih banyak terbakar ialah hutan Indonesia. Indonesia dengan ini menjadi pengekspot asap terbesar dunia. Malaysia sekadar pengeluar kecil dan menjadi pengimpot asap Indonesia terbesar.
Hujan asli yang banyak di Malaysia tidak memadai untuk melenyapkan jerebu hingga terpaksa memikirkan hujan tiruan. Itupun tidak memadai.
Jerebu itu hilang sendiri selepas berbulan-bulan. Puaka itu bukan sekadar bala terhadap Malaysia saja, ia adalah juga bala bagi kebanyakan negara ASEAN.
Sebelum bala itu hapus, bermulalah di Thailand kejatuhan nilai Bhat. Negara itu tiba-tiba muflis. Ia dikuti oleh Indonesia, Filipina dan akhirnya menjangkiti ringgit hinggalah membinasakan pasaran saham Kuala Lumpur.
Bala ini menjadi kemajuan ekonomi Malaysia yang dikatakan berkembang pada kadar 8 peratus setahun selama lapan tahun itu runtuh dan mundur kira-kira 20 tahun ke belakang atau lebih. Keajaiban Asia Tenggara dan Malaysia menjadi 'keghaiban'. Ajaib bukan sekadar ghaib, malah ajaib sudah bertukar menjadi takjub.
Dunia mengira bala bagi Malaysia itu adalah sementara, tetapi yang jelas sementara atau sekejap ialah keajaiban. Keajaiban sudah hilang. Keajaiban sudah ghaib dan untuk sementara duit dan pasaran saham Malaysia terus takjub hinggalah keajaiban datang semula. Bencana dari bala itu telah banyak dihuraikan dan sekarang kita masih bergelut dengan bala itu.
Sementara bala ringgit dan ekonomi belum reda umat Islam negara ini dikejutkan oleh kes Nor Aishah Bokhari yang pernah murtad atau dimurtadkan. Orang-orang liberal dan global tidak mengiranya bala tetapi orang Islam yang tidak liberal mengiranya satu bala besar yang mencanam agama Islam yang suci itu.
Dalam Islam murtad atau riddah adalah jenayah paling besar bagi orang Islam dan adakah jenayah bukan satu bala? Jenayah adalah bala.
Ada pihak berwajib menjadi loyar buruk, tidak mahu membangkitkan isu murtad kerana ia menyebabkan pelaburan asing mengalir keluar. Tidak berbangkit isu murtad di Korea Selatan dan Thailand, mengapa pelabur keluar dan ekonominya punah.
Kini datang pula bala el-Nino, satu anak angin panas yang melanda rantau ASEAN juga. Mula-mula al Nino dikira pergi bulan April, sekarang ia diramal pergi bulan Julai.
Ia menjadikan Malaysia negara terpanas di dunia. Ia sepanas Mekah dan New Delhi dalam musim panas. Kemarau ini menyebabkan tanah kering kontang dan lazimnya ia menyebabkan terbantut semua hasil pertanian. Kesan pertanian itu belum dilihat, tetapi Filipina sudah pun terasa, tanaman tak jadi dan berlaku kekurangan makanan. Sedikit sebanyak kemarau ini menurunkan paras takungan bekalan air di Lembah Kelang. Sebahagian dari kawasan itu sudah putus bekalan sejak dua bulan lalu.
Kini bala tadi nampak bertimpa-timpa dan masih terkumpul. Bala ratu cantik dan membuang mufti belum reda. Jerebu hilang sekejap datang sekejap dan ada lagi. Ringgit masih rendah dan ekonomi belum pulih. Bala murtad belum selesai dan Nor Aisyah masih ghaib. El-Nino masih membakar bumi dan Lembah Kelang tidak cukup air. Apakah ini bukan bala terkumpul?