Membina rumah ibadat beradab
PARA fuqaha telah menggariskan akan keperluan dan panduan umum tentang pembinaan masjid sebagai rumah ibadat.
Sebuah masjid bagi satu kariyah. Jarak antara satu masjid dengan yang lain kira-kira azan tidak kedengaran. Boleh sebuah masjid lagi didirikan jika dipisahkan oleh sungai. Tidak boleh didirikan masjid atas tanah milik orang kecuali dengan kebenaran tuan tanah.
Di zaman sahabat pernah khalifah memutuskan pembesaran masjid hingga melibatkan tanah milik orang. Tuan tanah membantah di mahkamah, hakim memutuskan tidak boleh tanah itu diambil sekalipun untuk membesarkan masjid.
Atas keputusan hakim yang adil itu tuan tanah kemudian mewakafkan tanah tadi secara ikhlas untuk pembesaran masjid.
Dan masjid mesti didirikan kerana Allah.Ada masjid dirar diperintah bakar oleh Rasulullah SAW kerana tidak mengikut adab Islam.
Keperluan masjid sebenarnya bukan sekadar rumah ibadat. Ia tempat pertemuan dan tempat perbincangan. Ada fungsi sosial dan politiknya.
Ibadat boleh dilakukan di rumah sendiri dan dalam bilik tidur sendiri. Tetapi afdhalnya berjamaah. Justeru itu dalam perkara berjamaah afdhallah di kawasan bebas dan rumah ibadat itu tidak dijadikan milik peribadi.
Dalam konteks masyarakat majmuk pembinaan rumah ibadat adalah isu sensitif jika adab-adab bernegara tidak diberi perhatian.
Islam mengiktiraf kebebasan beragama dan justeru itu mengakui adanya keperluan rumah ibadat bagi tiap-tiap agama.
Dalam kontek sebuah negara yang menjadikan Islam sebagai agama negara, maka kebebasan beragama itu haruslah bersendikan kepada agama negara tadi.
Islam mengiktiraf hak agama masing-masing mendirikan rumah ibadat. Oleh itu, Islam menjamin keselamatan rumah ibadat itu. Jika ada mana-mana pihak mengganggu keselamatan bangunan itu atau mengganggu penganut-penganutnya beribadat, maka pemerintah Islam wajar menghantar perlindungan polis.
Tetapi ada adab-adabnya.
Tidak boleh rumah ibadat itu tumbuh macam rumah setinggan. Walaupun kadang-kadang rumah setinggan tidak dapat dielakkan, tetapi kerajaan mutakhir ini tidak belas lagi terhadap rumah setinggan.
Kerajaan sudah bertindak di banyak tempat merobohkan rumah-rumah setinggan atas alasan kawasannya diperuntukkan untuk tujuan lain.
Rumah ibadat baik pagoda, gereja, kuil, tokong, sinagog dan lain-lain jika dibina secara setinggan atau dapat ditakrifkan sebagai berhala setinggan bila-bila masa menjadi isu sensitif dan setiap yang sensitif di negara ini menjadi ancaman kepada keharmonian kaum.
Kes di Kampung Rawa, Pulau Pinang bukanlah satu kejadian orang Islam bencikan kuil tetapi kerana pembinaannya mengikut kaedah setinggan dan adab-adab toleransi tidak diberikan perhatian, maka ia telah menimbulkan perbalahan agama.
Keharmonian kaum dan perpaduan negara yang dipupuk oleh kerajaan sejak selepas 13 Mei l969 hancur berkecai akibat wujudnya pembinaan rumah ibadat yang tidak sah.
Setakat ini mengikut keterangan rasmi terdapat beribu rumah ibadat setinggan itu. Bilangannya jauh lebih banyak dari bilangan yang sah.
Kerajaan peka akan masalah itu tetapi kerajaan sendiri pun tidak punya wawasan bagaimana hendak mengendalikannya dari awal. Ini adalah disebabkan tiada ketegasan dan tidak panduan yang jelas.
Apatah lagi dalam suasana Barisan Nasional telah menjadi kuasa mutlak seperti keadaan raja mutlak, tiap-tiap ahli Barisan Nasional merasa dirinya ketua semua jabatan dalam kerajaan. Seorang kerabat Barisan dilihat sebagai Ketua Polis bila dia ke balai. Dia dilihat sebagai nazir sekolah bila ke sekolah hingga nazir sebenar tidak terasa dirinya nazir lagi.
Dalam keadaan seperti ini tidak ada petugas negara berani menghalang kewujudan berhala yang menjelma tiba-tiba di mana-mana saja. Seorang polis biasa kadang-kadang lebih takutkan seorang aktivis Barisan dari OCPD dan seterusnya.
Sekarang semuanya telah belajar dari kejadian di Kampung Rawa. Kewujudan rumah ibadat tanpa nisbah peratusan dan tanpa pengesahan dari pihak berkuasa kerajaan tempatan telah menimbulkan huru hara dan mengancam keselamatan serta menakutkan pelabur.
Justeru itu, adab-adab kebebasan beragama hendaklah didefinisi semula supaya ianya jelas dan difahami oleh semua. Kebebasan beragama di Malaysia mestilah dibuat bersendikan faham bernegara yang menjadikan Islam sebagai Agama Persekutuan.
Kebebasan beragama di Malaysia akan hancur kiranya orang boleh membina pagoda dan gereja ikut suka masing-masing di mana saja atau bila-bila masa saja. Kebebasan beragama mesti mengambil kira ajaran Agama Persekutuan. Penganut agama itu tidak boleh diganggu aqidahnya. Hukum tentang gangguan aqidahnya sangat jelas dan tegas.
Jika ini tidak diberi perhatian dan tidak ditegaskan dari awal, hingga tidak siapa hirau dan tidak siapa gerun dengannya, maka inilah yang akan menyulitkan pembinaan perpaduan dan toleransi itu. Dalam kontek kebebasan beragama ini keperluan rumah ibadat diakui tetapi definisi semula rumah ibadat mestilah diketengahkan.
Rumah ibadat mesti mengambil kira keperluannya dan lokasinya. Lokasi semula adalah perlu. Hendaklah dipastikan keperluannya adalah di kawasan yang ramai penganutnya. Tidak terlalu banyak rumah ibadat bagi satu kawasan dan rumah ibadat itu yang berjiran dengan penganut lain tidak menjadi jiran kepada rumah ibadat agama lain.
Rumah ibadat yang baru didirikan sebelah rumah ibadat lain bagaikan satu provokasi dan mencabar ketenangan. Ia mesti dielakkan.
Dalam apa keadaan jua melokasikan semula rumah ibadat mestilah ditataaturkan dulu oleh penguasa tempatan. Jika ini tidak diambil kira, maka rumah ibadat setinggan tidak akan terkawal.
Kebebasan beragama tidak boleh dijadikan alasan bagi sesiapa membina rumah ibadat di mana-mana dan bila-bila masa. Kebebasan beragama sebenarnya adalah satu peraturan beragama. Islam sendiri memerlukan kebebasan yang berperaturan ini bagi menjamin kesuciannya. Itulah sebabnya mana-mana gejala sesat dan khurafat disekat dalam Islam bagi memastikan Islam itu tidak disesatkan.
Peraturan yang jelas dan pantang larang yang digariskan oleh agama itu memungkin kesucian agama itu terpelihara. Itulah sebabnya al-Quran mesti jangan ada silap dan jangan ada satu baris pun yang tidak betul. Jika satu garis saja silap ia sudah cukup untuk menghuruharakan Islam. Ia bagaikan tidak ada kelonggaran. Tetapi itulah disiplin.
Cuma yang mengganggu Islam sekarang ialah sekularisme. Ia adalah contoh ajaran yang meruntuhkan Islam. Sekularisme menganjurkan orang boleh mengabaikan peraturan Islam tetapi mendakwa sebagai masih kekal Islam.
Apabila sekularisme cukup tinggi seperti di Turki kebebasan beragama sudah hilang sekurang-kurangnya untuk Islam. Orang Islam sudah tidak bebas menganut Islam 100 peratus. Kebebasan beragama di Barat menyulitkan orang Islam untuk ada kubur sendiri.
Tetapi di mana-mana negara Islam, penganut agama lain ada kubur sendiri jika mereka mahu kubur. Kubur itu juga mestilah mengikut lokasinya dan jangan terlalu besar. Jika ruang kubur untuk satu mayat besarnya layak untuk tujuh lapan orang, maka zaman yang bertambah densiti penduduk ini nanti tidak cukup kawasan pembangunan industri dan lain-lain.