Gara-gara gangguan bekalan, bukan krisis air

GARA-GARA gangguan bekalan air di beberapa kawasan penting di Lembah Kelang telah memungkinkan rakyat mengetahui kelemahan dan kepincangan pentadbiran Negeri Selangor di bawah UMNO.

Sekurang-kurangnya dua kepincangan telah tertonjol setakat ini. Pertama, adanya syarikat besar mencuri air sejak dua tahun lalu. Ia didedahkan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Abu Hassan Omar. Kedua, adanya penerokaan keatas kawasan-kawasan tadahan air di Selangor seperti laporan media seminggu lalu.

Mengenai yang pertama, apa komen Datuk Samy Vellu? Bukan sekadar sebuah syarikat yang mencuri air, malah dipercayai banyak syarikat lagi di Lembah Kelang melakukan jenayah itu?

Kecurian air bukan kejadian baru. Ia sudah ada sejak adanya kilang dan adanya setinggan atau adanya bekalan air yang tidak sempurna di kawasan-kawasan pinggiran kota.

Kawasan setinggan tidak didaftarkan sebagai kawasan pembangunan yang rasmi. Justeru itu tidak ada bekalan air yang rasmi, jika pun ada ia bukan suatu yang terancang.

Cara mudah mendapatkan bekalan air ialah mengadakan saluran sendiri dan percuma. Itulah kemudahan untuk rakyat yang tidak terbela.

Tetapi kilang bukanlah pihak yang tidak terbela. Jika kilang haram boleh diwujudkan seperti kilang mercun yang meletup beberapa tahun lalu, maka mencuri air bukanlah sukar sangat, apatah lagi dalam suasana pentadbiran negeri yang lembab dan alpa.

Mengenai penerokaan hutan tadahan air pula ada dua kemungkinan. Pertama penerokaan itu dibuat secara haram. Kedua ia berlaku atas persetujuan pihak yang berkuasa.

Atas apa sebab jua, yang jelas kerajaan Selangor bertanggungjawab dan mesti mengambil tanggungjawab atas kepincangan yang terbongkar itu.

Sama ada kepincangan itu baru berlaku atau ia adalah lanjutan dari kepincangan lama - sekadar diwarisi oleh pentadbiran baru, kerajaan yang ada tetap memikul tanggungjawab itu.

Jika sebuah kilang yang dikatakan telah dua tahun mencuri air, jika ia sabit, maka pencurian itu berlaku setahun sebelum Menteri Besar sekarang mengambil alih pentadbiran. Gerangan apa maka setahun setelah mengetuai kerajaan baru maka baru kepincangan itu diketahui.

Itupun kerana berlaku gangguan bekalan air. Jika tiada gangguan maka kelemahan itu berterusan. Penerokaan kawasan tadahan hujan adalah isu lama. Dalam sidang alam sekitar di mana-mana saja, ia berbangkit tetapi ia tidak pernah menarik perhatian kerajaan.

Sama ada Menteri Besar sedar atau tidak, sama ada ia kejadian baru atau ia diwarisi dari pentadbiran lama, Datuk Abu Hassan terpaksa memikul tanggungjawab itu kerana kepincangan itu hanya dipersoal pada masa ini.

Datuk Abu Hassan tidak ada pilihan melainkan bertindak ataupun dikenakan tindakan. Dia mesti membuat penjelasan bagaimana ia terjadi dan siapa pelakon utamanya.

Rakyat di Selangor mahukan suatu pentadbiran yang bersih, cekap dan amanah. Kerajaan sekarang tidak dapat memenuhi tanggungjawab itu.

Datuk Abu Hassan dibawa dari pusat ke Selangor adalah untuk mengepalai sebuah kerajaan yang bersih dan atas imej itu dia masuk pilihanraya kecil di Kuala Selangor setahun lalu.

Banyak beban di bahunya. Tetapi kini orang Lembah Kelang menghadapi kepayahan antaranya adalah atas kelemahan pentadbiran Selangor. Kepayahan itu berlaku ketika Menteri Besarnya ialah Datuk Abu Hassan Omar.

Pilihan beliau tidak banyak. Pertama meletakkan kesalahan kepada pentadbiran lama. Tindakan mesti dibuat bagi membersihkan namanya jika ia diwarisi dari pentadbiran lalu.

Jika tidak dia sendiri memikul beban itu dan mesti bersedia dikenakan tindakan politik. Kekurangan bekalan air tidak boleh diletakkan kepada kesan kemarau panjang al Nino saja. Adalah benar kemarau itu menyebabkan bumi kering kontang, tetapi meletakkan kepincangan itu kepada al Nino adalah satu perbuatan melarikan diri dari tanggungjawab. Ia satu sikap eskapisme.

Kuala Lumpur bukan menghadapi krisis air. Ia sekadar menghadapi kekurangan air di kawasan tadahan air. Adalah benar kolam takungan merosot.

Tetapi di dalam bumi Kuala Lumpur pada keseluruhannya masih mengandungi air. Percubaan penduduk menggerudi perut bumi Lembah Kelang mudah menemui mata air.

Projek air mata kasih PAS di Bandar Tun Razak berjaya menemui mata air setelah menggerudi sedalam 38 kaki. Di Kampung Pandan pula kurang dari itu.

Saya melihat di kaca TV betapa ada rombongan dari Ipoh berjaya memancutkan air yang deras dan tinggi dari bumi di Lembah Kelang.

Kini sudah ada syarikat sanggup mengeluarkan modal besar untuk meneroka air bawah tanah untuk kegunaan umum. Ini bukti air masih banyak di Kuala Lumpur walaupun berlaku kecurian bertahun-tahun dan walaupun berlaku tebangan di hutan tadahan air.

Gangguan bekalan sekarang kerana air hanya kurang di kawasan tadahan air. Dan kelemahan bekalan sekarang ialah sistemnya hanya bergantung kepada sumber biasa di kolam takungan yang ada.

Sepatutnya kerajaan Selangor, pembekalan sumber air utama Lembah Kelang mesti menyediakan rancangan lengkap bagi mendapatkan air dari berbagai sumber termasuklah dari air dalam bumi.

Teknologi air dunia sudah membekalkan penduduk bandar dengan air dari dalam bumi. Saya pernah menulis di ruang ini sebelum ini betapa pentadbiran Parti Refah Istanbul merancang untuk menyedut air dari sungai di bawah bumi kota raya itu.

Sumber air sungai bawah tanah itu jika diterokai cukup membekalkan keperluan 13 juta penduduknya. Air hujan dan salji setiap tahun adalah bonus untuk penduduk Istanbul.

Perdana Menteri adalah orang yang suka meninggalkan negeri. Tiap-tiap bulan, kadang-kadang tiap-tiap minggu menjelajahi setiap kota di dunia.

Sepatutnya beliau dan rombongannya mengetahui tentang sumber air selain dari air takongan kolam bekalan rasmi untuk keperluan orang Lembah Kelang.

Perdana Menteri membuat persiapan untuk penduduk tahun 2020 dan untuk 70 juta rakyat tahun 2050. Itulah wawasannya yang terkenal itu.

Tetapi tidak siapa nampak keperluan air bagi 1.2 juta penduduk Lembah Kelang dalam tahun l998. Perdana Menteri memikirkan alam antara 20 hingga 50 tahun akan datang hingga tidak nampak alam yang dipijaknya sekarang.

Macam ayam jantan berkokok di reban menjelang fajar. Jangan fikir hari tak siang kalau ayam jantan tidak berkokok.

Datuk Samy Vellu sudah melepaskan batuk di tangga. Katanya dia telah mengingatkan kerajaan Selangor enam bulan lalu betapa Lembah Kelang akan menghadapi gangguan bekalan air. Puncak Niaga sudah menduga akan masalah itu menjelang tahun 2000.

Apa jawapan kerajaan Selangor kepada penjelasan Datuk Samy itu?

Umat Islam adalah peka dengan kegagalan kerajaan pimpinan UMNO dalam bekalan air ini. Mereka tidak mahu disamakan dengan warga kota lain. Mereka memerlukan air secukupnya bagi membezakan mereka dengan warga kota lain.

Mereka perlu air untuk kekal sebagai warga membasuh kencing, pengguna air bukan pengguna kertas tandas bagi mengesat dubur dan berhadas besar setiap pagi. Datuk Abu Hassan khasnya dan UMNO amnya mesti peka keperluan orang Melayu itu.