Zahid bongkar usaha guling MB Selangor

SEMUA perhatian tertumpu kepada Ketua Pemuda Umno Datuk Zahid Hamidi bila dia hendak mengumumkan komplot yang hendak menggulingkan Datuk Abu Hassan dari pimpinan Umno dan kerajaan Selangor.

Datuk Abu Hassan sudah pun meminta siapa orang dan kumpulan yang hendak menjatuhkan beliau. Datuk Zahid sebelumnya telah membongkar ada tokoh Umno Selangor diberi sejuta ringgit dan wang itu dimasukkan ke dalam akaunnya.

Lepas itu Datuk Saidin Tamby, Ketua Umno Selayang dan bekas Exco telah mengaku menerima wang itu tetapi ia bukan untuk Umno Selangor, tetapi adalah untuk dirinya.

Justeru dipercayai Datuk Zahid tidak bercakap kosong apabila dia menyebut pula ada golongan hendak menjatuhkan Datuk Abu Hassan dan beliau sendiri kononnya akan mempertahankan Datuk Abu Hassan.

Datuk Zahid patut memilih untuk menjelaskan pihak yang terbabit supaya orang tidak merasakan dakwaannya itu tidak berasas. Zahid boleh tidak mengumumkannya tetapi jika Zahid sanggup membongkar adanya komplotan, maka Zahid juga patut mendedahkan orangnya.

Soal adanya orang Umno guling mengguling sesama sendiri adalah perkara biasa. Aziz Ishak pernah digulingkan oleh Umno Selangor dari Pengerusi Perhubungan Umno awal tahun 60an. Datuk Abu Bakar Baginda memainkan peranan untuk menyingkirkan beliau.

Datuk Harun Idris juga digulingkan dari Menteri Besar Selangor melalui undi tidak percaya di Dun Selangor setelah majoriti Adun Umno Selangor yang diketuai oleh Datuk Hormat Rafie dan Datuk Ahmad Razali Ali berkumpul di Frazer Hill sebelum usul itu dikemukakan.

Malah Datuk Abu Hassan sendiri ketika dibawa masuk politik Umno dulu pernah disebut-sebut sebagai persediaan pihak tertentu untuk menggantikan Datuk Harun.

Malah malang yang dihadapi oleh Datuk Muhammad Mohd. Taib di Australia dikatakan juga sebagai satu perangkap untuk menggulingkannya.

Jika diteliti kes menukarkan Tan Sri Osman Arof dengan Tan Sri Sanusi Joned sebagai Menteri Besar Kedah secara teknikalnya boleh dikira satu penggulingan.

Jika diperhatikan betapa tidak senangnya kebanyakan Adun malah Exco Selangor terhadap pemilihan Datuk Abu Hassan untuk memimpin Selangor telah terdedah. Betapa ada Adun kena ketepi atau menjauhkan diri bukan juga rahsia.

Orang-orang ini tentunya tidak senang melihat Datuk Abu Hassan terus berkuasa dan orang ini tentunya seronok jika ada orang mahu menggulingkan Datuk Abu Hassan.

Adalah benar Tan Sri Rahim Tamby Chik dulu ada masalah tetapi penyingkirannya dari jawatan Ketua Menteri Melaka adalah satu penggulingan. Malah penyingkirannya dari Ketua Pemuda Umno dikira penggulingan. Justeru itu dia telah dikembalikan sebagai Ketua Pemuda setahun kemudian.

Hatta Umno yang tidak berkuasa di Kelantan itupun ada cerita guling mengguling. Jika tidak masakan Datuk Zainal Abidin Abd. Kadir cuba mencabar Datuk Annuar Musa. Malah ada cadangan pihak tertentu untuk menggantikan Datuk Annuar dengan Datuk Mustapha Muhamad.

Justeru itu jangan fikir Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, Tan Sri Khalil Yaakub, Datuk Sri Ramli Ngah Talib, Datuk Ghani Othman dan lain-lain bebas dari cubaan menggulingkan mereka.

Cuma percubaan itu terbuka atau tidak terbuka, mahu diakui atau tidak mahu diakui. Usaha Dr. Mahathir mengelakkan pertandingan ketua bahagian Umno baru-baru ini adalah untuk menutup peluang menggulingkan sesama pemimpin.

Jangan fikir Dr. Mahathir bebas dari percubaan atau ikhtiar untuk menggulingkannya. Dari mula Dr. Mahathir naik menjadi Perdana Menteri sudah ada usaha menggulingkannya.

Peristiwa penangkapan setiausaha politiknya Siddiq Ghouse di bawah ISA atas tuduhan terlibat dengan agen KGB pernah disifatkan sebagai percubaan menggulingkannya.

Kisah beliau dicabar bersama oleh Tengku Razaleigh dan Datuk Musa Hitam adalah percubaan menggulingnya secara demokrasi.

Dan jangan fikir selepas itu hingga sekarang tidak ada orang cuba menggulingkan Dr. Mahathir. Jika tidak masakan anggota Parlimen dari Selangor dipecat dari menjadi setiausaha politik kepada sesorang menteri.

Jangan pula kita fikir bahawa Timbalan Presiden Umno sekarang bebas dari usaha penggulingan. Dia juga berhadapan dengan percubaan yang demikian.

Mengapa Tun Ghafar Baba dan Tan Sri Musa Hitam tidak lagi menjadi Timbalan Perdana Menteri bukanlah kerana digugurkan dari jawatan atau mereka menarik diri, tetapi adalah natijah penggulingan.

Tun Daim dicabar sebagai Ketua Bahagian Merbuk oleh Datuk Zainal Johari bukan sekadar pertandingan biasa, tetapi usaha menggulingkan beliau.

Tetapi mengapa Pemuda Umno tidak gaduh dengan usaha menggulingkan pimpinan yang lain tetapi dengan tiba-tiba menimbulkan kisah Datuk Abu Hassan hendak diguling orang?

Sepatutnya dari segi penting seseorang tokoh, Dr. Mahathir dan Menteri Kewangan adalah lebih penting dari Datuk Abu Hassan.

Jika Pemuda Umno merasa perlu untuk mematahkan pengkhianatan Umno atau mana-mana pihak terhadap pimpinan Umno, maka Pemuda Umno mesti lebih waspada terhadap usaha menjatuhkan Dr. Mahathir dan timbalannya.

Tetapi tidak ke situ perhatian Pemuda Umno. Ia tidak mendahului berita tentang tokoh-tokoh tadi. Mereka berani mendahului berita terhadap Datuk Abu Hassan saja.

Pada hal usaha menggulingkan Perdana Menteri pernah datang dari Yahudi Antarabangsa dan oleh ahli-ahli Kongres Amerika. Dan boleh Zahid memberi amaran kepada pihak yang hendak menggulingkan Perdana Menteri dan lepas itu diam dan tidak menyebut siapa mereka seperti yang dilakukan terhadap Datuk Abu Hassan sekarang.

Zahid boleh membangkitkan tentang surat layang mengenai Timbalan Perdana Menteri yang menjadi barang siasatan polis sebagai usaha menggulingkannya. Tetapi dia tidak mendahului berita usaha penggulingan itu.

Mengapa?

Zahid tidak boleh kata tidak ada orang cuba menggulingkan Dr. Mahathir. Jika Zahid membuat tempelak itu, maka ia tidak dikira untuk membela dan menyelamatkan Perdana Menteri, tetapi ia dikira usaha menempelak Perdana Menteri.

Walaupun ia bertujuan jujur atau mahu mengampu, tetapi ia boleh dikira sebagai memberi tahu ada dalam Umno orang yang tidak mahukan Perdana Menteri sebagai Perdana Menteri.

Demikian juga jika Timbalan Presiden dikatakan hendak digulingkan, maka ia adalah untuk mengesahkan ada orang yang tidak mahukan dia.

Dalam konteks Datuk Abu Hassan, Zahid berikrar untuk bersama dengan Datuk Abu Hassan, tetapi ia adalah membuktikan bahawa Datuk Abu Hassan yang baru setahun jadi Menteri Besar Selangor, belum diterima oleh semua orang atau masih ada yang tidak mahukan dia.

Apakah Pemuda benar-benar menyokong Datuk Abu Hassan? Atau sokongan tadi tidak lebih dari menyokong membawa rebah.

Datuk Abu Hassan kira-kira diberi amaran, sedang orang lain yang lebih lama jadi Menteri Besar tidak menerima amaran itu. Orang boleh mengagak Datuk Abu Hassan cuba digulingkan atas dua kemungkinan. Pertama memang ada pengkhianatan. Orang dengki dan sebagainya. Dan kedua, dia mungkin tidak berwibawa atau lemah.

Sudah diberi peluang setahun, masih tidak diterima bulat.