Akhirnya kerajaan bersetuju menimbangkan supaya pelan rumah di masa akan datang menyediakan saluran palung yang ditakung dalam tangki khas. Dan tentunya rumah yang sedia ada mengubahsuai supaya dipasang palung supaya air hujan boleh ditakung untuk keperluan harian terutama dalam waktu gangguan bekalan air.
Sama ada kerajaan setuju atau tidak, orang-orang Lembah Kelang yang sudah berpengalaman menghadapi gangguan bekalan air berminggu-minggu sekarang boleh bertindak sendiri untuk kembali ke zaman palung supaya air hujan dapat dimanfaatkan dan ia boleh membantu kekurangan bekalan air di masa cemas.
Bila Menteri Teng Chew Peh menyebut hal ini, reaksi saya bercampur antara geli-lucu dan insaf. Yang menggelikan ialah Malaysia tidak mahu kalah dengan dunia dalam mengejar teknologi terkini. Kita sudah beberapa tahun bertolak dari garis permulaan Wawasan 2020. Kita sudah di tengah-tengah kenduri serambi raya multimedia yang akan meletakkan negara dan rakyat di tempat yang betul di zaman teknologi maklumat.
Maka dalam era mega maya yang cukup maju ini tidak dapat kita bayangkan bagaimana sumber bekalan air masuk ke rumah dan bagaimana ia ditakung. Saya mungkin boleh membayangkan akan kehebatan teknologi di masjid biru Alam Shah yang menarik perhatian pengunjung dan pelancung seluruh dunia. Kita tidak perlu lagi memulas kepala paip atau tidak perlu menakung air. Memadai menghulurkan tangan dan kaki di bawah kepala pancur, maka air turun dengan ajaibnya. Bila tangan ditarik, maka air terhenti turun. Tidak akan berlaku pembaziran air. Jika pun ada air terbuang adalah dari percubaan setiap pengunjung yang hendak menguji dan menyaksikan keajaiban saluran air di masjid itu.
Sudah tentulah keajaiban masjib biru Shah Alam akan kelihatan usang dangan kemajuan berganda gagasan serambi raya multi-media nanti. Agaknya akan ada bilik mandi di rumah masing-masing yang tidak perlu pemutar kepala paip dan mungkin tidak kelihatan pancurnya. Tiba-tiba air akan turun sendiri bila kita masuk ke tapak mandi di bilik air. Air itu misalnya tidak akan turun membasahi kita jika ada kain seperti tuala terlekat di badan. Apabila tuala sudah tiada dan seluar dalam sudah ditanggal, beberapa saat kemudian air pun turun seperti hujan.
Ataupun entah bagaimanalah agaknya rupa keajaiban tanda yang bila lepas saja membuang air besar, maka ada sistem secara otomatik menggosok najis di dubur. Dan bila pengesan bau tidak mengesan bau najis di kangkang, maka sistem itu terhenti sendiri. Ketika itu makhluk manusia yang menggunakan kertas tisu, mungkin tidak menggunakan budaya itu lagi dan orang Islam akan membebaskan tangan kirinya dari menggosok celah kangkangnya. Macam khayal yang boleh dimimpikan dengan dunia yang bertambah maju itu. Atau mungkin juga boleh dikhayalkan dunia yang maju itu dapat mendekatkan pemikiran kita ke alam ajaib syurga yang dijanjikan oleh Allah untuk orang-orang beriman.
Bukankah Maharaja 'Aad pernah mewawaskan sebuah syurga dunia persis kehebatan syurga yang disebutkan dalam kitab-kitab suci. Sistem Serambi Raya Multimedia bukan tidak boleh dikhayalkan untuk menguasai alam ajaib itu.
Tiba-tiba kawasan bekalan air di Lembah Kelang kekurangan air kerana kemarau dan takungnya susut. PAS Wilayah Persekutuan meneroka penggalian telaga paip bagi mengeluarkan air bawah tanah. Percubaan itu dibuat di Kampung Cubadak, Sentul pertengahan tahun lalu apabila bekalan air di kawasan setinggan itu dipotong oleh pemaju yang mengusir penduduk di situ. Telaga paip itu dapat membekalkan air untuk penduduk.
Ketika Lembah Kelang keputusan bekalan, orang-orang Kampung Cubadak boleh memanfaatkan telaga itu jika ada keperluan. Oleh kerana ia praktikal, maka ketika berlaku gangguan bekalan yang dikira bala sekarang, konsep itu diperkenalkan di Bandar Tun Razak dan Kampung Pandan.
Bekalan air boleh diteroka jika teknologinya ditingkatkan lagi. Kini Datuk Samy Vellu sudah menawarkan peluang penswastaan baru kapada golongan yang bertuah untuk memperniagakan air bawah tanah.
Kita tunggu saja kemajuannya. Bagaimanapun projek mata air kasih PAS Wilayah itu membuka jalan kepada penerokaan seluas-luasnya sumber air bawah tanah sebagai alternatif atau tambahan kepada bekalan air yang sedia ada. Ertinya Lembah Kelang bukan krisis air, cuma ia bergantung kepada bekalan air dari kawasan tadahan hujan.
Sekarang masyarakat Lembah Kelang yang berada dalam era teknologi maklumat dan antaranya termasuk dalam zon MSC hendak dikenalkan semula dengan teknologi pasca zaman batu dan gangsa iaitu menggunakan saluran palung yang airnya ditakung dalam tangki atau yang menyamainya.
Zaman saya kanak-kanak dulu air hujan melalui palung itu ditakung dalam tempayan atau pasu untuk kegunaan basuh kaki di tangga bila hendak naik ke rumah. Dan ia juga kadang-kadang ditakung dalam kolah untuk kegunaan mandi, mengambil air wuduk dan membasuh najis dan lain-lain.
Dan bagi rumah yang tidak menyediakan palung, tadahan air dibuat di bawah pancur atap.Biasanya sistem palung ini popular di kawasan tinggi yang payah air. Telaga di tempat seperti itu terlalu dalam. Maka orang terpaksa mengangkut air dari kawsan jauh ataupun mata air di tempat itu tidak bersih untuk diminum.
Maka di kawasan seperti ini sistem palung sangat penting untuk bekalan tambahan. Penduduk biasanya mengangkut air dari telaga untuk makan dan minum saja. Saluran palung atau tempayan sebagai tempat takungan sudah tidak ada apabila bekalan air paip masuk ke setiap kampung tradisi.
Maka kerajaan Dr. Mahathir nampaknya sudah jadi ibarat bangau yang terbang tinggi akhirnya hinggap di belakang kerbau juga. Peribahasa itu masyhur di zaman sebelum tertubuhnya UMNO dulu. Dr. Mahathir sudah membawa rakyat ke alam tinggi, alam mega dan alam maya. Rumah Perdana Menteri di Putra Jaya yang hampir seratus juta sepatutnya dilengkapkan dengan sistem tandas canggih yang ajaib. Tetapi kini jurubinanya terpaksa menambah dengan saluran palung. Di bilik air disediakan tempayan dan gayung.
Mana tahu akan tiba waktunya gayung berguna kerana palung sudah diperlukan sekarang. Jika umur Perdana Menteri panjang, mungkin beliau akan merasa semula mandi air hujan yang ditadah melalui palung setelah mandi dan berkubang dalam bilik air ajaib berkomputer tinggi.
Sepatutnya dalam alam teknologi ajaib ini bekalan air ke rumah tidak lagi memerlukan saluran paip. Ia mulai ketinggalan zaman. Orang sudah mula memikirkan bagaimana mencipta alat untuk menyedut air yang dikandung awan terus masuk ke saluran ajaib di bilik air rumah masing-masing yang tangki tak ada dan tempayan tidak ada. Tetapi yang berlaku kita kembali ke alam palung. Moga-moga terhenti di situ.
Jangan pula orang Malaysia meneroka lebih jauh ke belakang hingga sampai ke zaman batu di mana orangnya bercawat dan tidak dipastikan ada budaya nikah atau tidak. Bekalan air zaman itu mungkin melalui titisan dan lelehan di batang dan dahan atau dari akar yang bergayut.