Ghafar kembali aktif, sambutan dingin?

Tun Ghafar Baba, bekas Timbalan Presiden Umno dan be kas Timbalan Perdana Menteri yang digulingkan menawarkan diri untuk menjelajah negara bagi menjelaskan isu kegawatan ekonomi sekarang. Dr. Mahathir yang dipercayai ada peranan dalam menyingkirkannya dulu menyambut baik tawaran itu dan memberi laluan kepadanya walaupun beliau mengira perkembangan itu bukan suatu usaha Ghafar untuk kembali berkuasa.

Tawaran Ghafar dan penerimaan Dr. Mahathir itu tidak disambut segera oleh media. Sekurang-kurang tiga atau empat hari selepas maklumat itu tersebar. Akhbar-akhbar utama memberikan liputan awal yang kecil dan tersorok di muka dalam. TV memberikan sedikit liputan sekadar satu catatan. Mungkin ketika rencana ini tersiar, publisitinya sudah besar dan meluas.

Tetapi ia sepatutnya mendapat reaksi besar yang segera, kerana Tun Ghafar adalah tokoh umum yang tentunya menarik perhatian umum. Apakah tokoh umum itu popular atau sebaliknya tidak menjadi isu, tetapi seorang yang dikira tokoh umum gerak-gerinya menjadi maklumat umum. Seperti Pol Pot, dikutuk oleh penghuni bumi, apa pun suasananya, seluruh media bumi menyediakan ruang untuknya. Ghafar sepanjang sejarah politiknya adalah orang yang mendapat liputan luas media tempatan.

Hatta ketika beliau menjadi Ketua Menteri Melaka, sebuah negeri kecil yang tidak membangun ketika itu, cakap-cakap dan kegiatannya mendapat tempat dalam akhbar dan radio. Malah dalam zaman Tunku, boleh dikira dia menjadi orang kesukaan media terpenting selepas Tunku dan Tun Razak. Sama ada orang suka atau tidak, atas tujuan apa jua Tun Ghafar menawarkan diri untuk datang semula ke te-ngah masyarakat adalah perkembangan besar.

Dalam keadaan Umno dan pemimpin-pemimpin kerajaan bergolak sekarang kedatangannya itu menjadi asam garam politik dan maklumat yang sangat menarik. Ia berita besar. Tetapi layanan media tidak sebesar yang diberikan kepada Tengku Razaleigh apabila beliau rujuk kepada sarang asalnya. Sehingga ini Tengku Razaleigh yang jadi belut pulang ke lubuk tadi tenggelam dalam belut-belut kecil yang banyak itu. Ia gara-gara media dan masyarakat awam tidak memberi tempat kepadanya. Maka Ghafar yang belum diberi tempat itu bergerak seperti Parti Rakyat dan lain-lain pembangkang tidak dipandang terus oleh media utama.

Tidak dapat ditolak apa-bila Tun Ghafar datang untuk menjelaskan kedudukan ekonomi negara yang dhaif sekarang adalah dikira sebagai penasihat ekonomi tidak rasmi negara, suatu kedudukan sama jarak antara kerajaan dan NGO. Ia satu saingan dengan Tun Daim yang menjadi penasihat rasmi ekonomi manakala Tun Ghafar adalah penasihat tidak rasmi. Ini bererti kerajaan dan Perdana Menteri ada dua Tun menjadi penasihat ekonomi. Tun Daim di sektor kerajaan dan Tun Ghafar di sektor massa.

Di negara kita ada tiga orang Abdul menangani ekonomi sejak dilanda musibah beberapa bulan lalu. Abdul-abdul itu ialah Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Tun Daim sendiri. Mereka ada keajaiban. Bila Tun Ghafar yang dulunya sangat ajaib datang pada ketika yang sangat genting, maka ia bagaikan mencabar keajaiban tiga abdul baru itu. Atau seolah-olah abdul yang tiga itu tidak ajaib lagi. Semua memerhatikan apakah Malaysia akhirnya memerlukan juga khidmat nasihat dan penyertaan aktif Dana Kewangan Antarabangsa IMF. IMF belum datang tetapi yang datang Tun Ghafar Baba.

Dalam ekonomi Tun Ghafar banyak pengalaman. Dialah menteri ekonomi luar bandar Malaysia yang paling tertonjol. Lain-lain pemegang jawatan itu ialah Aziz Ishak, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tan Sri Sanusi Joned dan Annuar Musa, tetapi yang paling terkenal dan tertonjol ialah Tun Ghafar. Dalam Umno dialah pemegang dasar ekonominya. Tidak kurang pentingnya ialah Tun Ghafar adalah orang yang mewujudkan Kompleks Kewangan. Lepas dia tidak ada, tiada yang tahu Kompleks Kewangan masih ada atau tidak. Teorinya tentang baiknya nilai mata wang jatuh dan hebatnya berhutang adalah bahan khazanah arkib ekonomi yang orang Malaysia dapat sumbangkan kepada ensiklopidea ekonomi dunia.

Tiga abdul ekonomi buntu, IMF tidak menarik dan apakah keajaiban yang boleh disumbangkan oleh Tun Ghafar dalam menangani ekonomi negara yang sakit ini akan menjadi perhatian. Mungkin ada yang memandang perkembangan itu seperti mempercayai keupa-yaan Si Luncai atau mengharapkan saranan dan nasihat Abu Nawas, tetapi masyarakat awam tahu Tun Ghafar ada pengalaman dan pengetahuan sendiri tentang ekonomi.

Sebagai orang politik, bekas menteri dan pernah menjadi pemimpin, maka beliau mahu bergiat semula kepada masyarakat melalui kesempatan ekonomi menjunam.Dia datang ketika Dr. Mahathir memerlukan kawan kerana dia sudah keseorangan. Rakan rapatnya Tun Daim, Megat Joned, Muhammad Rahmat, masing-masing dikira peninju yang jebnya tidak menemui sasaran dan jauh dari menumbangkan lawan. Seperti Don King memerlukan tokoh tinju. Tokoh tinju baru tidak ada, maka Don King mencari bekas juara tinju lama seperti Holyfield. Ternyata Don King berjaya.

Tun Ghafar sudahpun memberi tahu dia akan bertemu dengan semua Menteri Besar dan Ketua Menteri untuk menyusun gerak kerja. Ertinya dia akan mengadakan road show ke setiap kota untuk memahamkan orang ramai tentang keadaan ekonomi dan sudah tentu akan membuat saranan-saranan baru. Ia adalah laluan kepadanya untuk datang semula atau kedatangan kali ketiga. Kedatangan kali keduanya ialah apabila dia setuju dengan tawaran Dr. Mahathir untuk mencabar Tan Sri Musa sebagai Timbalan Presiden Umno setelah beliau tiada dalam sejak Tun Hussein Onn berkuasa. Tun Ghafar tidak sukar untuk bergiat semula kerana beliau tidak pernah membuat apa-apa perisytiharan tentang masa depan politiknya.

Tidak seperti Tan Sri Musa Hitam yang banyak kali mengisytiharkan bersara. Orang bersara bagaimana mahu berkhidmat semula? Tun Ghafar hanya menghilangkan diri dan dia tidak kata rehat atau bersara. Jadi bila mahu berkuasa semula, orang tidak boleh kata apa-apa. Jika Dr. Mahathir menyebut ia bukan kembali bergiat, ia suatu komen yang banyak makna. Ia boleh jadi menyuruh atau mengingatkan Tun Ghafar tentang berkuasa semula.

Dr. Mahathir terkenal tentang kemahiran memberi laluan kepada orang yang mahu lalu. Dia tidak sekat. Dia sudah beri laluan kepada Menteri Kewangan dan pernah beri laluan kepada Tun Ghafar untuk datang semula ke kabinet sebagai Timbalan Perdana menteri. Dia bagaikan sudah memberi laluan kepada Tengku Razaleigh dan banyak kali mencuba memberi laluan kepada Tan Sri Musa. Ada yang berjaya dan ada yang tidak. Malah ada yang tidak berminat seperti Tan Sri Musa yang mengaku bersara.

Tun Ghafar bermula dengan road show ekonomi. Jika jalan terbuka, maka boleh sampai ke mana saja. Jika di tengah jalan dirasakan tidak terdaya, maka mungkin saja seperti Mike Tyson memilih untuk menggigit telinga. Dalam isu kegawatan hubungan antara Perdana Menteri dan timbalannya yang sering dinafikan, maka kemunculan semula Tun Ghafar bagai mengesahkan ada kegawatan dan adakah dia mahu mencuba seperti Holyfield. Holyfield tidak menemui Mike Tyson dulu. Tun Ghafar sudah masuk gelanggang untuk berlatih. Jika jebnya kencang, Don King akan menganjurkan pertandingan.