Rakyat mahu perubahan di Indonesia
Minggu lalu, maklumat akhir yang kedengaran di Indonesia ialah adanya usaha untuk menjadikan ABRI, Angkatan Bersenjata Republik Indonesia, berkecuali dalam pertarungan antara pemerintah dan rakyat yang tidak puas hati dengan pemerintah sekarang. Dan memang kelihatan ABRI sendiri capik atau penat dalam menghadapi keresahan para pelajar di Jawa dan Sumatera. Sekalipun bilangan pelajar yang turun padang itu belum besar, tetapi belum dapat diredakan oleh tentera dan polis.
Selain dari kejadian itu menyusahkan pemerintah khususnya Presiden Suharto dan keluarganya, tetapi peniaga dan orang ramai juga takut dan bimbang kerana ketegangan tadi boleh mencetuskan rusuhan. Sudah banyak harta musnah, rumah kedai dan kereta terbakar. Berita yang mengatakan ada pelajar-pelajar yang aktif dikatakan hilang tidak menghentikan pelajar-pelajar menuntut apa yang mereka panggil reformasi. Apa yang dimaksudkan dengan reformasi menjadi teka-teki.
Reformasi mudah difahami sebagai pembaharuan, perubahan, rombakan atau adakah ia boleh diertikan pertukaran. Setakat ini semua pihak mahu mengendurkan keadaan dengan melembutkan erti reformasi. Ia adalah satu pembaharuan. Pembaharuan boleh mengekalkan kerajaan tetapi pendekatan ini mengubah semua aspek yang perlu diubah.
Pembaharuan boleh dibuat oleh pemerintah sendiri. Presiden boleh mengarahkan dan mengepalai perubahan. Ia boleh menukar menteri dan boleh mengubah corak politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan sebagainya. Dalam reformasi ini rasanya mereka juga mahu meletakkan badan berpakaian seragam berkecuali dalam politik. Tetapi ia juga boleh diertikan bahawa perubahan seperti orde lama dulu ditukar dengan orde baru. Termasuklah penghuni Istana. Ini yang dirasakan menyebabkan pemerintah Indonesia yang didukung oleh tentera itu payah berpakat dengan kebangkitan yang besar itu.
Minggu lalu, Presiden Suharto belum mahu tunduk kepada desakan mengadakan reformasi tadi. Tetapi kini beliau terpaksa tunduk. Ketika itu penjelasan menyebut bahawa reformasi boleh saja tetapi lepas penggal sekarang atau tidak ketika Suharto masih presiden. Apa juga janji dan harapan yang diberikan, tuntutan reformasi terus berlaku. Suharto boleh mengendurkan tekanan IMF. Beliau boleh mengelirukan Clinton tentang pembaharuan ekonomi mengikut kemahuan Amerika. Indonesia boleh menangguhkan pelaksanaan kemahuan IMF dan boleh mengurangkan tekanan terhadapnya, tetapi tidak dapat mengendurkan kemahuan pelajar walaupun kebangkitan tadi belum dilihat besar. Bila kebangkitan kecil dan disertai oleh bilangan yang belum besar tidak dapat diredakan, maka dengan sendirinya kebangkitan tadi berkembang.
Kini semua orang yang memerintah gelisah. Sasaran sudah sampai kepada kedudukan Suharto sebagai Presiden dan kehadiran anak perempuannya kepada kedudukan yang sangat tinggi. Anak-anak Suharto hampir setahun lalu meminta supaya ayah mereka dibebaskan dari beban memimpin bangsa dan negara setelah sekian lama supaya dapat bersama sanak saudara pula. Walaupun alasan itu dirasakan menggelikan bagi keluarga orang politik, tetapi ia boleh diterima. Kemudian anak-anaknya mengubah fikiran demi Indonesia.
Tetapi yang menarik keluarga Suharto tadi membenarkan pula Tutut, orang terpenting dan paling senior dalam keluarga Suharto untuk memegang jawatan tinggi dalam politik pemerintahan. Mungkin ia tidak pelik dalam politik tetapi ia ganjil jika dilihat dari kemahuan awalnya mahu semua lebih rapat bersama keluarga. Keluarga Suharto hilang seorang lagi kerana Tutut terpaksa lebih masa bersama rakyat.
Bagaimanapun kegelisahan rakyat tadi adalah disebabkan oleh kegawatan ekonomi yang seluruh dunia tahu. Setakat ini bukan Indonesia saja gawat. Thailand, Malaysia, Filipina dan Korea Selatan juga gawat. Maka mengapa Indonesia saja yang dibicarakan? Benar Thailand mula-mula sekali gawat. Tetapi pemerintah sudah menerima padahnya. Perdana Menteri Chauvalit sudah digantikan oleh Chuan Leekpai. Korea Selatan adalah gua huruhara dunia sebelah sini sekalipun rakyatnya kaya, itu pun boleh meredakan sedikit politik kerana mereka baru bertukar Presiden.
Filipina bukanlah aman sangat tetapi ia dilihat reda kerana ada pilihanraya presiden. Ertinya mereka boleh menukar kerajaan. Di Malaysia keadaan berbeda kerana kegawatan belum menyebabkan rakyat menderita dan belum ada orang Malaysia terpaksa keluar negara untuk mencari sesuap pagi dan sesuap petang. Justeru itu kegawatan ekonomi belum menggawatkan politik.
Maka di Indonesia keadaannya lain. Maka kini ia bukan sekadar ekonomi gawat tetapi ia sudah politik gawat. Beratus ribu orang yang keluar negara mencari rezeki begitu kecewa kerana dikerah pulang, dan mereka tidak banyak pilihan melainkan mahu makan dan menampung keperluan keluarga. Ketika mereka di Malaysia misalnya mereka mewah - sebelum Malaysia gawat - dan mereka mengirim nafkah yang mengembirakan keluarga. Sesudah pulang mereka sudah tidak ada apa, maka bukan mulut lagi yang berkata-kata, perut pun berkata sama.
Kehadiran Habibie sebagai Naib Presiden dengan kuasa yang lebih banyak daripada penjawat dulu, tidak mudah meredakan keadaan sekalipun dia mungkin tertarik kepada reformasi yang dia mahu. Habibie akan ikut menjadi sasaran jika reformasi yang rakyat mahu itu tidak dapat diselesaikan dengan baik. Jika keadaan tidak dirundingkan segera dan tidak pula dicapai persetujuan segera, maka pemerentah tidak mungkin dapat bertahan lama. Kita pun tidak nampak apa pilihan jika kebangkitan yang kecil ini menjadi besar. Pilihan semua kerajaan menghadapi gawat lazimnya kekerasan.
Setakat ini China saja yang mampu menggunakan kekerasan dan dapat kekal. Tetapi China menghadapi tekanan yang hebat di seluruh dunia terutama Amerika. Bagaimana pun Suharto banyak pengalaman. Hatta Nee Win yang begitu cekap dengan masalah dalam negerinya pun selalu minta nasihat Suharto dalam menangani masalah Myanmar. Tentangan terhadap Suharto bukan kali pertama. Beliau dapat menyelesaikannya dengan selamat. Tetapi kali ini tidak lagi.
Beliau memilih untuk berundur. Dulu belum ada orang seperti Amien Rais dari luar kerajaan, berani menyatakan kritiknya dengan lantang dan berani pula menawarkan diri untuk menggantikan Suharto. Tetapi kali ini Amien Rais yang lima tahun dulu saya temui dia sebagai pimpinan pemuda Muhammadiyyah, saya tidak menyangka dia mahu dan boleh mejadi Presiden Indonesia. Kini dia menjadi begitu hebat. Pentadbiran Suharto akan terselamat jika penentangnya mahukan ketua masing-masing menjadi presiden juga. Jika tentera mahukan tentera dan jika Megawati dengan kumpulannya dan PPP dengan Buya Hassannya.
Tetapi jika semuanya yang tidak ada orang yang betul kuat itu memberi laluan kepada Amien Rais, maka kita jangan terkejut reformasi berlaku bagai yang diteriakkan dalam bentuk tertentu. Harapan kerajaan kepada ABRI.
Tetapi ABRI kini tiada Nasution dan Ahmad Yani. Ia mahukan Suharto baru, tetapi adakah jeneral yang boleh jadi Suharto baru? Suharto tidak bercakap. Dia naik dengan tidak bercakap. Bagaimana dengan cara diamnya dia menangani suasana sekarang? Setelah seminggu bergolak sedemikian, kini Suharto mengambil keputusan berundur dan terserah kepada Habibie untuk menentukan masa depan Indonesia.