PAS, ulama' dan Perodua

SEJAK petang 13 Mei lagi orang mula datang ke Taman Melewar, Gombak untuk memeriahkan Muktamar PAS ke 44. Muktamar sebenar bermula 15 Mei. Tetapi peniaga datang lebih awal untuk persiapan. Pemuda juga tiba awal kerana Dewan Pemuda PAS mengadakan muktamarnya sehari awal iaitu pada 14 Mei. Hari 13 Mei itu panitia mengadakan sembelihan aqiqah enam ekor lembu untuk perwakilan dan petugas muktamar.

Memang muktamar PAS bagaikan satu kenduri besar. Pada zaman kenduri kahwin rata-rata di kota mahu pun desa orang menggunakan khidmat catering, maka kenduri besar gotong royong masih boleh dilihat dalam muktamar PAS selama empat hari itu sehari muktamar Dewan Pemuda, tiga hari muktamar penuh. Muktamar itu sudah bukan sekadar acara mesyuarat tahunan parti saja, selain dari jadi kenduri besar, ia jadi medan pameran perdagangan. Ada pameran komputer, dulu ada contoh reka bentuk markaz, dan kali ini ada gerai pameran motokar Proton dan Perodua. Ramai yang datang menempah Kancil, van Rusa dan Proton Wira.

Motokar besar seperti Mercedes dan Pajero yang ada di tempat kereta khas bukan sekadar kepunyaan beberapa orang pembesar kerajaan Kelantan, tetapi usahawan-usahawan PAS yang berjaya datang dengan berbagai jenis kereta. Lembu enam ekor untuk muktamar kali ini sudah tidak cukup. Mungkin tahun depan kena lapan ekor pula kerana perwakilan mungkin bertambah.

Memang parti Islam itu meningkat dari semasa ke semasa. Petang muktamar itu ia meluluskan permohonan tiga ribu ahli baru. Dua bulan sebelumnya ia meluluskan tiga ribu juga, bulan lalu empat ribu. Ertinya dalam masa tiga bulan ini ahli baru PAS ialah sepuluh ribu. Muktamar itu bukan sekadar membincangkan usul Dewan Ulamak mengenai ketelusan calon, tetapi ia juga membincangkan mahukan Dr. Mahathir meletak jawatan kerana gagal menangani isu keruntuhan ekonomi. Isu keruntuhan akhlak, keruntuhan aqidah, murtad, rasuah, politik wang adalah benda biasa. Kerana keruntuhan aqidah dan akhlak bukan isu besar bagi kegagalan kerajaan sekular, maka kali ini isu keruntuhan ekonomi ikut dibincangkan.

Perkembangan di Jakarta dijadikan contoh, betapa kepekaan rakyat Indonesia itu harus menjadi perhatian semua pihak di Malaysia. Justeru itu usul Dewan Pemuda yang memberi tempoh sebulan lagi kepada Dr. Mahathir untuk meletak jawatan diterima sebulat suara dengan setiap perwakilan termasuk pemimpin mengundi dengan berdiri. Sekaliannya bangun meluluskan usul itu. Pemuda memberi tempoh, jika dalam masa enam bulan pertama tahun ini Perdana Menteri gagal menyelesaikan kegawatan ekonomi, dia mestilah meletak jawatan.

Muktamar itu berlangsung pertengahan bulan Mei. Ini bererti beliau ada sebulan saja lagi untuk berhenti. Bukan untuk pembaharuan atau reformasi. Ia juga meluluskan usul supaya Suruhanjaya Pilihan Raya membatalkan undi pos yang tidak dapat dipastikan perlaksanaannya mengikut peraturan atau tidak. SPR sendiri tidak menjamin kebersihannya, tetapi demi keuntungan Umno, undi pos diteruskan juga.

Muslimat membentangkan usul supaya dipulaukan hasil dagangan yang memperguna wanita sebagai iklan. Ada yang membangkang tetapi kalah. Bagaimanapun perbahasannya panas. Pak Ya dari Bandar Tun Razak ketika membahaskan usul Muslimat itu membangkitkan supaya umat Islam memulaukan teksi dan bas di Kuala Lumpur yang mengiklankan arak. Memang teksi dan bas sekarang dikenakan mengguna pelekat iklan satu jenama arak kerana syarikat itu menaja Sukom. Berkata Pak Ya, menghidang arak dilaknat Allah, maka mengiklan arak tentu lebih laknat. Sukarlah bagi penumpang Islam jika seruan Pak Ya itu dilaksanakan, tetapi itulah yang orang Islam mesti fikir dan insaf. Celakalah sekalian orang-orang yang bersubahat dengan iklan arak itu.

Muktamar ke 44 PAS kali ini mengemukakan tema "Bertekad Mencapai Kemenangan". Thema ini dirasakan tidak agresif, tetapi ia telah berjaya menyatukan perhatian perwakilan. Seorang yang tinggal di luar negeri minta teks ucapan dasar Datuk Fadzil Noor itu dikirimkan segera untuk simpanan perpustakaannya. Dia sudah membacanya dari Home Page PAS dan berpendapat inilah ucapan paling sempurna. Sekaliannya bercakap tentang bagaimana hendak menang. Sudah tentu jawapannya sekalian mesti bekerja keras dan menguasai ilmu pilihan raya. Ada yang tidak nampak bagaimana boleh menang dalam keadaan peratus penduduk Islam menurun sedang sesama Islam itu pula terbahagi kepada penyokong sekular dan penyokong gerakan Islam.

Kemudian ada pula penipuan seperti undi pos dan membeli undi dan lain-lain yang menyebabkan undi untuk PAS itu berkurangan. Tetapi ramai yang menyarankan bahawa kemenangan tadi bukan mustahil tetapi ia tidak datang menggolek. Kemenangan tercapai dengan merancang kerja dan mengerjakan rancangan. PAS mesti mampu merancang kerja. Tetapi kemenangan tidak tercapai sekadar pandai merancang kerja. PAS mestilah juga mampu mengerjakan rancangan tadi.

Ada yang menyebut bahawa cawangan dan ahli mesti diperbanyak. Setiap kawasan yang hendak dipertandingi mesti mempunyai cawangan yang banyak, sekurang-kurangnya setiap peti undi mesti ada cawangan. Dua tahun lalu ucapan dasar Presiden menyarankan supaya ada cawangan PAS di setiap kampung, taman perumahan dan lorong. Ia sudah berjalan. Ada juga yang mencadangkan supaya parti mempunyai ramai petugas parti penuh masa. Setiausaha penuh masa di bawah Setiausaha Agung hendaklah difikirkan.

Bagaimanapun Datuk Fadzil dalam ucapan menggulung menyebut bahawa kemenangan tadi jangan dihadkan kepada menguasai parlimen dan mendapatkan kekuasaan saja. Adalah benar azam PAS untuk berkuasa melalui pilihan raya dan mahu membentuk kerajaan. Ia adalah matlamat jangka panjang. Untuk sekarang PAS mesti meramaikan ahli dan membanyakkan cawangan serta mengemaskan gerak kerja parti. Jika ini dapat dicapai, maka ia sudah memberikan kemenangan.

Kita juga sudah menang jika kita dapat menambah bilangan anggnota parlimen dalam pilihan raya akan datang. Bagi negeri yang tidak ada Adun, kita akan dikira menang jika kita berjaya mendapatkan kerusi. Dan kita juga dikira menang apabila kita dapat menambah undi dan menambah ahli di setiap tempat. Semua setuju supaya dakwah dan memperkenalkan PAS kepada warga bukan Islam menjadi sasaran. Kerja ini sukar tetapi bukan mustahil. Rasulullah s.a.w. dan nabi-nabi tidak lahir di tengah masyarakat majoriti Islam. Tetapi setiap nabi memperkenalkan Islam kepada bukan Islam. Perjuangan para nabi itu mesti dicontohi. Berkata Datuk Fadzil, jangan hadkan masyarakat Cina kepada MCA, DAP dan Gerakan saja.

Ramai masyarakat Cina tidak menyertai DAP atau MCA. Dan ramai juga orang India tidak menyertai MIC. Orang-orang bukan Islam ini mesti didekati dan tidak mustahil Islam boleh diperkenalkan kepada mereka. Akhirnya kemenangan di Kelantan sejak tahun l990 telah mencatitkan 130 perubahan. Ustaz Fadzil mahu perubahan itu disenaraikan. Keupayaan kerajaan Kelantan mengekalkan gaji pegawai adalah kemenangan. Katanya, kerajaan Kelantan tidak mengalami masalah kewangan seperti negeri lain. Justeru itu kerajaan Kelantan boleh menaikkan gaji kaki tangannya seperti biasa.