Arak Penyelamat Sukom?
PRI najis arak - jenama Carlsberg - mencomotkan keharuman Sukan Komanwel yang tidak sampai seratus hari lagi itu menyebabkan rakyat Malaysia berbelah bagi menyambut Sukom yang banyak dipertikai itu. Negara dan kerajaannya mengira menjadi tuan rumah Sukom 98 ini satu rahmat yang boleh mengharumkan negara dan Malaysia dapat diperkenalkan kepada dunia. Ia dikira satu penghormatan Komanwel kepada Malaysia. Komanwel kira-kira mengakui kemampuan Malaysia.
Rakyat yang prihatin ragu ia menguntungkan malah mungkin mendatangkan bala. Umat Islam yang prihatin pula bimbang sukan seperti itu lebih cenderung kepada maksiat atau munkar walaupun Islam menggalakkan riadhah. Islam pro sukan. Bila sukan diadakan ia satu ibadat. Adakah Sukom boleh jadi ibadat? Banyak ramalan negatif tentang natijah Sukom itu nanti. Ada pandangan ia akan meninggalkan beban dan apabila sukan itu diadakan ketika negara dan rakyat jatuh miskin, sudah tentu orang ramai teragak-agak untuk menghabiskan duitnya untuk membeli tiket Sukom. Justeru itu Sukom memerlukan banyak penaja. Tiba-tiba ia memilih jenama Carlsberg menjadi salah satu penajanya.
Iklan arak bukan ganjil di negara ini. Tetapi dalam kegiatan yang melibatkan negara, maka orang Islam terasa mereka ada saham kerana Islam adalah tuan utama negara ini. Lalu mereka pun menggunakan haknya untuk membantah iklan arak sekalipun sekadar menyebut jenama. Tauke utama Sukom, Jeneral Hashim Ali mengira ia benda kecil, tidak mahu isu Carlsberg itu dibesar-besarkan walaupun logo jenama air syaitan yang terpampang di bas agak besar.
Raja JPJ pula mengira ia tidak salah dari segi akta tetapi dia tidak mengambil kira apakah ia salah pada Allah dan NabiNya. Ertinya mereka tidak sensitif melihat jenama itu diiklan kerana iklan itu tidak menyeru supaya ia diminum. Agaknya mereka tidak tersinggung gambar kerbau pendek dijadikan hiasan rumah mereka walaupun tiada seruan kepada orang yang melihatnya supaya makan daging kerbau pendek itu.
Beberapa orang Hindu menyatakan tidak senang dengan iklan itu. Orang Hindu nampaknya lebih sensitif dari setengah orang Islam. Iklan air iblis itu digunakan dikenderaan awam - bas dan teksi. Orang Islam terasa hina apabila mereka menaiki bas dan teksi yang menghormati arak. Jika mereka merasa mereka subahat membenarkan kejadian itu. Ada hadith menyebut betapa maksiat mesti dicegah samada dengan tangan (tenaga), kata-kata atau membencinya dalam hati. Membenci saja adalah selemah-lemah iman.
Setakat ini mereka sekadar membantah dengan kenyataan, belum pula menggunakan batu atau menghalang bas dan teksi dari beroperasi. Logiknya iman mereka sekadar sederhana. Orang yang bersubahat dengan arak memikul beban besar kerana arak adalah satu dosa besar. Kaki botol boleh dihukum sebat 40 kali. Betapa hina dan salahnya jenayah arak dapat dilihat dari hukum betapa Allah melaknat orang yang sekadar menghidang arak pada orang lain. Ertinya pelayan arak dilaknat, tidak payah minum dan menjual atau mengeluarkan lesennya. Jika yang mengedar saja sudah dilaknat, maka yang minum, mengilang, memberi lesen, mengiklan tentulah lebih teruk.
Sehingga ini makhluk yang Allah laknat ialah iblis dan orang Yahudi. Jika ada makhluk lain yang kena laknat, maka samalah makhluk itu dengan iblis dan Yahudi. Dalam satu kisah yang masyhur dalam Islam tentang besarnya dosa arak ialah dosa itu lebih besar dari berzina dan membunuh.
Ceritanya kira-kira: Seorang guru para wali telah terpesona dengan ibadat iblis yang menjelma sebagai manusia yang kuat ibadat, melebihi ibadat guru itu. Maka guru wali itu mahu tahu akan rahsia iblis yang menjelma itu begitu kuat beribadat. Iblis memberi tahu rahsianya ialah dulunya dia membuat berbagai maksiat dan setelah bertaubat, pengalaman maksiatnya tadi menyebabkan dia benci kepada maksiat lalu dia pun tekun dan kuat beribadat. Lalu guru wali itu bernafsu pula untuk membuat maksiat supaya kemudiannya bertaubat dan dapat melipatgandakan ibadat. Dia minta nasihat iblis, apakah maksiat yang patut dilakukannya. Nasihat iblis, ialah dia hendaklah memilih antara membunuh, berzina atau minum arak. Dia memilih minum arak kerana fikirnya minum arak tidak melibatkan orang lain. Kesannya dia mabuk. Bila mabuk dia pun berzina dan kemudian terpaksa membunuh. Ajalnya tiba ketika dia tidak sempat taubat.
Ertinya jenayah minum arak memungkinkan seseorang melakukan lain-lain jenayah. Jenayah arak adalah raja jenayah. Jenayah arak adalah yang kedua selepas murtad atau menyengutukan Allah. Orang murtad hukumnya bunuh. Peminum arak ada peluang taubat tetapi bila mabuk dia mudah syirik dan murtad. Arak adalah perkara yang boleh mencacatkan otak dan fikiran manusia.
Dalam Islam menjaga otak dan fikiran adalah satu dari lima perkara yang wajib dipelihara oleh Islam. Pertama akidah, kedua nyawa, ketiga otak/fikiran, keempat keluarga dan kelima harta. Menjaga otak dan fikiran begitu penting. Walaupun ada orang tidak dapat memelihara akidah, tetapi otak dan fikirannya siuman, maka ada kalanya orang kafir yang adil itu lebih baik dari orang Islam yang zalim. Walaupun akidah tadi sudah rosak, tetapi kerana otaknya waras, maka ramai orang bukan Islam berjasa kepada dunia dan manusia.
Tetapi orang Islam yang mabuk dan hilang fikiran kerana arak, maka ketika itu dia adalah hina dan tidak berharga. Ketika itu dia boleh jual negara dan rakyat. Atau jual anak bini. Manakala nyawa dikira lebih penting dari otak. Tetapi apabila seseorang tidak boleh menggunakan otak dan fikiran dengan baik kerana dilalaikan oleh arak, maka orang yang seperti ini lebih bahaya dari orang mati atau lebih tidak berguna dari orang yang tidak bernyawa.
Justeru itu arak mesti dijauhkan kerana otak boleh diganggu oleh arak. Atas dasar ini manusia yang beriman mesti sensitif dengan gejala arak atau mesti mengelakkan dari fitnah arak. Membenarkan jenama arak digunakan pada kenderaan untuk mengiklankan Sukom adalah untuk mendekatkan Sukom itu kepada fitnah. Sudahlah Sukom itu sendiri sudah mendatangkan banyak fitnah, maka dengan kerelaan Sukom memilih arak untuk menjadi salah satu dari penaja Sukom, maka ia menambah lagi fitnah temasya sukan itu. Dalam apa keadaan baik dari segi agama mahu pun dari segi moral arak adalah najis yang mesti dijauhkan.
Jika di Barat orang menjadi hamba arak ini tidak bererti agama Kristian menghalalkan arak. Orang Kristian yang menjadi hamba arak ialah kerana orang Kristian tertentu tadi telah membelakangkan agamanya dan telah tidak berakhlak. Untuk itu tidak ada apa-apa untungnya mempertahankan iklan arak tadi. Adalah lebih baik tauke Sukom diam dan tunduk kepada teguran orang ramai. Teguran itu bukan untuk menggagalkan Sukom tetapi untuk melihat Sukom berjaya dan taukenya lena tidur setelah Sukom berakhir.