Indonesia : Reformasi atau revolusi?

SEMUA pihak, baik rakyat mahupun orang asing di dalam dan di luar negeri, setuju atau akur dengan tuntutan reformasi yang dituntut untuk Indonesia sekarang. Ada pun yang menghalang reformasi itu untuk seketika sebelum ini ialah pentadbiran Suharto, Golkar dan ABRI yang menjadi tulang belakang kekuasaan Suharto, suku sakat Suharto - keluarga dan orang-orang sekelilingnya.

Tetapi menjelang 21 Mei, detik Suharto setuju undur atau terpaksa undur dari jawatan Presiden setelah 32 tahun berkuasa, mungkin anak-anak saja yang tidak gembira dengan tuntutan reformasi itu. Sehari dua sebelum Suharto meletak jawatan seolah-olah ada ancaman besar terhadap gerakan reformasi itu jika ia hendak diteruskan juga.

Ketika Parlimen sudah dipenuhi demonstiran yang terdiri dari pelajar dan rakyat biasa, Harmoko Speaker Parlimen dan pemimpin Golkar mengumumkan saranan Parlimen supaya Suharto undur secepat mungkin. Mungkin Harmoko belum sempat menyampaikan saranan itu kepada Suharto tiba-tiba Jenderal Wiranto, Menteri Pertahanan dan pemimpin ABRI membantah kenyataan Harmoko itu. Baginya kenyataan Harmoko tidak mempunyai pergantungan undang-undang, malah ia adalah pandangan peribadinya.

Lalu dunia yang agak lunak dengan kenyataan Harmoko tadi, gelabah dan bertambah semangat untuk merempuh Istana Presiden. Kenyataan Wiranto itu dikira dan diterima bagaikan menentang arus. Maka ia diikuti dengan ancaman belum mahu berundur oleh Suharto kerana langkah berundur itu baginya satu sikap tidak bertanggungjawab kepada bangsa dan nusa. Dia mahu mengelakkan ancaman perang saudara dan pertumpahan darah. Reformasi baginya bukan sekadar meminggirkan diri dan keluarganya dari kekuasaan malah ia juga akan menghanyutkan sama Naib Presiden Habibie jika Habibie jadi penggantinya.

Wiranto mengeluarkan kenyataan lagi, jika rancangan tunjuk perasaan besar-besaran di seluruh negara pada hari Rabu berikutnya, bagai yang dirancang, maka dia tidak teragak-agak untuk bertindak. Ia memaksa Amien Rais, tokoh utama gerakan reformasi yang menonjol keluar TV menyeru supaya rakyat membatalkan rancangan menggempur kekuasaan bagi mengelakkan kecelakaan. Tetapi ia tidak menghalang pelajar dan lain demonstiran mengadakan perhimpunan di tempat tertentu.

Yang kelihatan ketika itu ialah jika Suharto tidak mengalah dan Wiranto tegas dengan amarannya, maka rakyat dan ABRI akan bertembung secara terbuka. Jika ini yang berlaku, tidak siapa dapat menduga apa yang akan terjadi kepada kesatuan Indonesia itu. Berbeda dengan gerakan menggempur Sukarno 32 tahun lalu. Ketika itu ABRI pimpinan orde baru Harris Nasution-Suharto bersama rakyat dan Sukarno hanya dengan komunis yang melarikan diri. Tetapi kali ini Suharto dan ABRI di satu pihak, gerakan reformasi di pihak yang lain.

Jika Suharto berkeras, jika Wiranto kekal bersamanya, dan jika ABRI setia kepada Wiranto sedang rakyat nekad dengan reformasinya, maka dunia akan melihat wajah reformasi Indonesia yang sebenarnya. Jika ugutan perang saudara yang Suharto pernah sebut itu hendak diadakan juga, maka ketika itu dunia tidak dapat mengelak melihat serbuan seperti saat kemenangan Vietcong di Vietnam, Khmer Rouge di Kemboja dan seperti kedatangan revolusi Islam yang menggempur Shah di Iran atau macam kuasa rakyat menyerang Marcos di Manila.

Jika ini yang ditunggu oleh penghalang reformasi, maka erti reformasi itu akan sama seperti revolusi di semua tempat tadi, malah ia akan mengulangi revolusi yang Sukarno pelopori dan Indonesia sendiri ada pengalaman dulu. Ketika itu tiada Suharto, tiada Habibie, tiada perlembagaan dan tiada parlimen hatta ABRI pun tidak dapat diramalkan. Suharto, Wiranto dan ABRI hanya ada jika tindakan nekad seperti yang Deng Xio Peng sanggup lakukan ke atas kebangkitan rakyat China itu dilakukan pula di Jakarta. Sudah tentu harga dan risikonya sangat tinggi. Jika ini yang berlaku nescaya pembaharuan atau reformasi akan mustahil Suharto boleh dikalahkan melalui pemilihan kerana MPR terdiri dari orang yang tidak akan buat selain dari kemahuannya.

Amein Rais sudah menawarkan diri tetapi atas hakikat yang ada beliau mulanya sedia jadi calon Naib Presiden. Golongan Islam menyokongnya. Tetapi kerana Naib juga bergantung kepada persetujuan Presiden, maka Amein yang banyak mengkritik Suharto itu tidak mungkin diterima oleh Suharto. Komprominya ialah Habibie dan Suharto pun kasih kepadanya. Ramai pula dari kalangan kaum mendatang, bukan Islam dan negara luar tidak gemar pada Habibie. Tetapi dia yang terbaik ketika itu.

Sekarang dia jadi Presiden disebabkan oleh Suharto mengubah fikirannya. Suharto bersetuju berhenti kerana mendapati dia tidak lagi mendapat sokongan rakyat, Parlimen dan pada saat akhir dikatakan Wiranto pun mengubah fikiran. Bagaimana Wiranto yang mencabar Harmoko sehari sebelumnya boleh membiarkan Suharto berundur. Suharto undur tidak takjub, tetapi dia undur sehari selepas dia berkata dia tak akan undur, itulah yang menakjubkan. Indonesia baru ada dua presiden. Kedua-duanya berakhir secara tidak gemilang.