Indonesia jadi Afghanistan kedua

Indonesia sedang merayakan kemenangan menuntut reformasi total di seluruh negara. Apakah pengisian reformasi atau revolusi itu akan berjaya akan bergantung pula kepada keupayaan dan perpaduan rakyat yang sejumlahnya kira-kira antara 202 hingga 207 juta itu. Setakat ini seluruh rakyat Indonesia bersatu menuntut reformasi. Berkat perpaduan itu mereka mula dapat apa yang mereka mahu.

Puncak tuntutan itu ialah menyingkir Presiden Suharto dan meletakkan keluarga dalam satu bentuk kurungan. Mereka tidak ditahan tetapi mereka tidak bebas dan terus diperhatikan oleh mata-mata penuntut reformasi. Dengan Presiden Habibie menjadi pengganti Suharto, dikira reformasi total tadi mungkin tidak total kerana Habibie tadinya adalah ibarat keluarga angkat Suharto.

Tetapi Habibie pulalah yang menjadi aparat penting dan utama membuka laluan kebebasan bagi melaksanakan reformasi itu. Pelaksanaan seterusnya ialah mengadakan pilihan raya bagi memilih kerajaan pilihan rakyat. Presiden pilihan rakyat dan Parlimen pilihan rakyat. Habibie bersetuju mengadakan pilihan raya dalam masa setahun. Ada pihak mahu ia disegerakan tetapi Habibie dan Amein Rais sekata bahawa pilihan raya itu mestilah diadakan di bawah peraturan pilihan raya yang baru. Peraturan sekarang memberikan lambakan kepada tentera untuk menduduki Parlimen dan jabatan-jabatan kerajaan.

Dengan kemenangan awal itu rakyat Indonesia kini menjadi bangsa yang bebas atau bagaikan baru mencapai kemerdekaan semula. Mereka kini bebas menubuhkan parti politik dan sudah ramai orang yang muncul menubuhkan parti politik. Kuasa rakyat itu dilihat oleh dunia sebagai kuasa orang Islam semata-mata kerana ia adalah rakyat Islam yang terbesar di dunia atau negara keempat paling ramai penduduk di dunia. Dunia memerhatikan Indonesia seperti memerhatikan kemenangan Afghanistan, Algeria dan Bosnia dulu.

Gerakan reformasi itu tidak dikenali sebagai gerakan mujahiddin, tetapi yang mengambil bahagian cergas meruntuhkan kuasa Suharto itu adalah tokoh-tokoh dan pertubuhan Islam seperti Muhammadiah yang dikatakan mempunyai 28 juta penyokong dan Nahdatul Ulama yang mempunyai hampir 30 juta penyokong. Berbeda dengan Afghanistan yang kemenangannya mengusir komunis Soviet adalah atas nama jihad. Kemenangan jihad Afghanistan sehingga ini gagal mewujudkan sebuah negara dan kerajaan Islam. Kegagalan umat Islam Afghanistan itu bukan mereka tidak cukup jihad dan bukan kerana mereka tidak bersungguh-sungguh, tetapi menjelang kemenangan, mereka diperangkap oleh perancangan halus dari luar hingga tertubuh sekitar sepuluh kumpulan atau parti.

Mula-mulanya parti yang banyak itu dikira kemudahan untuk menentang Soviet, tetapi ternyata ia membawa perpecahan berterusan. Ketika peperangan memuncak mereka ada sembilan parti. Bagaikan mustahil pertubuhan yang banyak itu untuk menjadi satu. Mereka mengundang Rasul Sayaf, seorang ulamanya yang tinggal di Saudi untuk membentuk satu badan gabungan. Rasul Sayaf memimpin gabungan itu. Akhirnya gabungannya menjadi puak yang kesepuluh.

Ketika Bosnia di tengah-tengah jihad menghadapi Serbia banyak cadangan supaya ditubuhkan pasukan-pasukan bersendirian dan kawasan berlainan. Pemimpin Bosnia cepat sedar dan menghalangnya kerana ia akan menjadikan rakyat Bosnia berpecah dalam banyak pertubuhan dan akhirnya jadi seperti Afghanistan berperang sama sendiri. Indonesia punya ramai orang Islam yang tinggi idea jihad dan ada pandangan Islam tersendiri dan jelas. Sebelum ini mereka tidak bebas berpolitik Islam.

Sekarang mereka bebas. Terdapat kini orang-orang yang dikira aktivis Islam tampil membentuk kumpulan sendiri. Siapa saja boleh menubuhkan parti. Adalah dipercayai sesiapa saja mudah mendapat sokongan dari mana-mana saja untuk menubuhkan parti itu. Malanglah bagi aktivis Islam yang ramai dan berpotensi itu jika mereka berjaya dijadikan seperti umat Afghanistan terbagi dalam banyak parti.

Dalam keadaan yang ada semua pihak bersedia untuk melabur dalam politik Indonesia. Amerika bersedia, Perancis pun sanggup, Jerman, Arab, Israel dan lain-lain lagi. Israel memang jelas telah pun ada hubungan dengan Gusdur, pemimpin uzur Nahdatul Ulama itu. Dia adalah anggota Yayasan Yitzhak Rabin di Israel. Dan tali-tali barut musuh mudah menyelinap di tengah umat Islam. Jika masing-masing tidak hati-hati rakyat yang sudah bersatu itu mudah dipecahkan.

Umat Indonesia berhak menubuhkan parti politik, tetapi umat Islam hanya wajib berada dalam satu jamaah. Indonesia tidak mungkin berada dalam satu parti saja. Ia akan melahirkan banyak parti, tetapi dalam masyarakat berbagai parti itu umat Islam mesti mempunyai satu parti saja. Jika mereka mempunyai banyak parti yang beraliran Islam, maka ia akan mengelirukan umat Islam, yang mana satu patut mereka sokong. Bila terlalu banyak parti Islam menyertai pilihan raya, maka sukar bagi sesebuah parti untuk mendapat sokongan besar disebabkan pengundi akan berpecah.

Mujaddidi adalah seorang tokoh ulama Afghanistan yang terkenal. Demikian juga Burhanuddin Rabbani dan Hekmatyar, masing-masing adalah pemimpin mujahiddin yang berwibawa. Apabila mereka berada dalam pertubuhan yang berasingan, maka tidak siapa mahu mengalah kepada yang lain. Akhirnya mereka berperang sama sendiri dan dalam keadaan yang sudah runtuh adalah terlalu lambat untuk bersatu menghadapi Taliban.

Indonesia mempunyai ramai pemimpin Islam yang berpotensi dan berkalibar. Jika masing-masing tidak berjaya mewujudkan sebuah jamaah yang menyatukan semua, Indonesia akan terus kerugian dalam masyarakat sekular. Ketika rantau dunia sebelah sini belum mengenal harakah Islamiyyah, Indonesia telah maju dengan perjuangan Islam. Syarikat Islam telah mengenalkan Asia Tengara dengan politik Islam. Perpecahan antara Syarikat Islam putih dan merah memulakan perbedaan. Akhirnya setelah merdeka langsung Islam tidak diberi kesempatan untuk