Suharto berkunjung ke Arau
BARU beberapa minggu Perhimpunan Agung Umno berdebat tentang amalan nepotisme dan kronisme di kalangan pimpinan Umno dan baru lebih sedikit sebulan Asia Tenggara menyelar amalan mengumpulkan suku sakat dalam politik dan ekonomi oleh Suharto dan keluarganya di Indonesia, maka penyakit negatif itu kira-kira terjelma di Arau.
Dalam kempen pilihan raya kecil kawasan parlimen Arau yang jatuh pada 4 Julai nanti, sibuk di perkatakan kisah adik Tan Sri Shahidan Kassim, Menteri Besar Perlis iaitu Cikgu Ismail Kassim yang ditunjuk menjadi calon Barisan Nasional. Dalam pilihan raya itu calon Pas Ustaz Hashim Jasin ditentang oleh Ismail Kassim. Shahidan anak keluarga petani, macam juga Suharto anak petani.
Sejak Shahidan jadi wakil rakyat Umno hinggalah dia kini menjadi Menteri maka ramai adik beradik berkedudukan baik dalam ekonomi. Buat masa ini keluarga Shahidan adalah keluarga orang berada atau terpisah terus dari keluarga kaum tadi keluarga itu dulu dan kebanyakan keluarga di Perlis. Kini adiknya menjadi calon atau contoh penguasaan dalam politik Umno.
Hingga ada yang menyangka Umno Arau khusus dan Umno Perlis amnya akan dikuasai oleh keluarga Shahidan. Seorang pemerhati di Perlis berkata: Indonesia berjaya mengakhiri atau keluar dari monopoli ekonomi dan politik Suharto, Shahidan memulakan politik Suharto itu di Perlis. Bezanya Suharto melakukan secara diam tetapi Shahidan cara keras dan bising.
Dalam kenyataannya mengumumkan adiknya menjadi calon, dia berkata bahawa ia adalah pilihan pucuk pimpinan Umno dan bukan kemahuannya sendiri saja. Seolah-olah ia bukan amalan pilih keluarga oleh dirinya. Dia pun menyebut ia akan menjadi isu pembangkang dalam kempen pilihan raya itu.
Sebelum Ismail diumumkan sebagai calon, orang-orang Umno Arau sudah bising yang Shahidan akan mengambil adiknya yang kebetulan adalah Ketua Pemuda Umno bahagian Arau. Isu nepotisme Shahidan itu telah dihebohkan sendiri oleh ahli-ahli Umno. Malah sebelum wakil rakyat kawasan itu meninggal usaha dikatakan begitu ketara untuk menggugat pengaruhnya dan jika beliau tidak meninggal, maka belum tentu kedudukannya dikekalkan.
Pengaruh dan peranan Shahidan membantu adiknya mara dalam hiraki pimpinan Umno. Lain-lain tokoh yang dicalonkan seperti bekas Menteri Besar Tan Sri Abdul Hamid Pak Wan Teh yang mungkin dalam zaman ekonomi tidak cerah ini ada minat semula dalam politik. Tetapi bekas Menteri Besar itu akan hilang begitu saja.
Soal adik beradik dan anak beranak mendapat kedudukan dalam politik bukan baru. Tun Dr. Ismail dan abangnya sama-sama jadi wakil rakyat di Johor pernah berlaku. Tunku Abdul Raham Putera menerima abangnya Tunku Kassim jadi calon tahun 1955. Ghazali Jawi menonjolkan anaknya Tajul Rosli jadi gantinya di DUN Perak. Banyak kejadian seperti itu, tetapi isu nepotisme tidak dibangkit secara ketara.
Pemuda Umno dalam perhimpunan terakhirnya membincangkan isu nepotisme secara serius. Walaupun ia tidak disenangi oleh pimpinan Umno melalui mesyuarat dalamannya dan akhbar-akhbar yang menyuarakan pandangan dan kemahuan pimpinan telah membayangkan perkara itu.
Tetapi Zahid Hamidi telah menjadikannya thema penting ucapannya dan ia disokong penuh oleh perwakilan Pemuda. Dipercayai Wanita cenderung dengan Zahid walaupun mereka tidak banyak bersuara. Perhimpunan Agung Umno menjadi medan perdebatan amalan buruk itu. Pimpinan Umno dari Dr. Mahathir hingga kepada setengah perwakilan bertentang mengatakan betapa amalan itu tidak pernah dan ia bukan sifat pimpinan Dr. Mahathir.
Tetapi Zahid berkeras menyebut bahawa ia bukan dasar pimpinan tetapi yang dibangkitkan bahawa amalan itu tidak dapat dinafikan berlaku. Hingga beberapa minggu selepas perhimpunan Dr. Mahathir masih menafikan ia adalah amalannya. Walaupun Pemuda Umno tidak menyebutkan bukti-bukti, pendapat umum setuju yang amalan itu ada.
Dr. Mahathir menafikannya dan adalah benar ucapannya menggulung perhimpunan itu tidak diganggu. Jika Dr. Mahathir berada dalam mahkamah berucap panjang mengatakan amalan tidak dilakukan oleh Umno, sudah tentu peguam akan mengemukakan berbagai soalan dan bertanyakan macam-macam perkara mengenainya. Ketika itu akan kita ketahui ada bukti atau tidak.
Tetapi ucapan penggulungan itu tidak dicabar. Ia tidak bererti penafian itu diterima. Walaupun Umno berbincang panas tentang nepotisme, ia bagaikan tidak ada apa-apa erti pada Umno. Belum pun isu itu dilupakan bukti nepotisme tertonjol pula dalam pilihan raya kecil Arau.
Macam isu amalan politik wang. Umno mengutuknya dalam perhimpunan dan membuat keputusan untuk memeranginya. Belum sempat perwakilan Umno tiba ke rumah, jenayah politik wang berjalan semula. Macam anjing dengan najis. Katakanlah baik melalui kata-kata, surat layang atau melalui TV bahawa najis itu najis, tetapi anjing yang biasa dengan najis walaupun tidak makan najis, ia cium juga najis itu.
Calon Umno Arau itu atau pun mana-mana calon juga sudah tentu diperkenan oleh pimpinan Umno. Mungkin Tunku dan Hussien Onn tidak begitu hirau siapa calon tetapi kalau ia sudah diperkenan oleh Umno, maka perkara itu tidak bermasalah lagi. Tetapi tidak bagi Dr. Mahathir. Dia mahu tahu calon dan apa missi dan siapa dia.
Orang lain juga begitu. Ghafar dulu begitu. Dia mahu tahu orang yang menyokongnya atau tidak. Ismail Kasim tentunya pilihan Shahidan, tetapi Dr. Mahathir tentu sudah tahu bahawa dia adik Shahidan dan dia juga tentu tahu apa yang berlaku. Mungkin beliau sengaja memilih adik Shahidan supaya orang tahu bahawa nepotisme juga berlaku di kalangan keluarga ketua Umno Perlis.
Jika ada adik beradik lain-lain pemimpin, Dr. Mahathir tidak keberatan menyetujui malah mungkin suka ia berlaku. Hatta jika Zahid mahu adiknya yang cergas dalam Pemuda Umno Bagan Datoh sekarang mahu jadi calon DUN di daerah itu dalam pilihan raya akan datang, Dr. Mahathir mungkin suka. Kalau menteri kewangan mahu adik, ipar atau bapa mertua menjadi calon maka mungkin Dr. Mahathir akan galakkan.
Terutama dalam keadaan sekarang adalah dipercayai Dr. Mahathir tidak membantah perkara itu. Kenapa? Jika semua orang membawa adik beradik dan keluarga, maka orang tidak boleh menuduh ia saja mengamalkan nepotisme dan kronisme. Ia akan jadi satu budaya dan disukai oleh semua Umno. Ketika itu tidak akan ada orang menjadikan dia sasaran disebabkan semuanya sama.
Itulah sebabnya tidak ada tentera dan pimpinan Golkar membantah Suharto mengangkat anak-anak dan menantunya dalam politik dan peluang ekonomi, kerana setiap jeneral dan setiap pemimpin Golkar dan menteri, isteri, anak-anak, menantu, adik tiri dan lain-lain adalah ahli MPR. Malah anak jeneral yang berusia 23 tahun ahli MPR. Ibunya dan ayahnya.
Bila Suharto meletak jawatan, anak isteri Harmoko, anak Wiranto dan lain-lain berundur. Dr. Mahathir bagai membenarkan Shahidan memulakannya di Perlis dan kemudian ke tempat lain. Ia memulakan feudalisme baru - sama seperti raja-raja juga.