Mahathir mencari ganti
KETIKA Dr. Mahathir meraikan ekspo 98 Pasir Mas atau kenduri Ibrahim Ali, kelihatan dua tokoh veteran tetapi istimewa duduk bersebelahan, bertopi capio dan berbaju batik kuning seragam. Itulah Tun Ghafar Baba dan Tengku Razaleigh. Hanya Tan Sri Musa Hitam yang tidak kelihatan. Jika beliau ada, maka jadilah mereka tiga abdul baru dalam episod Dr. Mahathir mencari ganti.
Ketiga-ketiga mereka adalah old guards Umno yang menjalani hidup masing-masing menjelang persaraan Dr. Mahathir. Tun Ghafar sudah diberi laluan untuk menjelaskan keadaan ekonomi negara ke seluruh ceruk rantau, tetapi sesudah lebih sebulan laluan diberi, dia hanya muncul di Pasir Mas. Itupun sekadar mendengar ucapan, bukan berucap. Bila road shownya hendak bermula? Mungkin beliau menunggu bermulanya kegawatan ekonomi negara dalam dua atau tiga bulan lagi?
Mengikut setengah ahli ekonomi kegawatan ekonomi Malaysia baru hendak bermula. Bertanya saya, "Sekarang belum gawat?". "Belum," jawapannya. Sudah semua orang Malaysia hampir mampus belum gawat lagi? "Belum," jawabnya. Selagi ekonomi tidak pulih, maka payah Dr. Mahathir berundur kerana langkah itu dikira dia melarikan diri dari tanggungjawab.
Dr. Mahathir sudah selalu bercakap tentang berundur. "Bila-bila masa saja," katanya. Cuma bila?. Isyaratnya yang terakhir ialah setelah masalah ekonomi diatasi. Jika gawat baru hendak bermula, lagi lambatlah ia diatasi dan lagi lambatlah dia berundur.
Saya kira sebab lain dia lambat berundur ialah dia mempelajari liku-liku hidup Suharto selepas bersara. Sesudah Suharto menjadi "pandito" yakni pendita, tiada jaminan untuk anak-anaknya. Maka dipercayai harta anak-anaknya nanti. Dr. Mahathir sudah dua kali menggantikan gantinya. Maka tidak mustahil ganti yang baru itu boleh digantikan juga.
Setakat ini Datuk Najib sedia menjadi ganti mengikut syarat Dr. Mahathir tetapi jebnya tidak cukup kuat dan payah kena ke muka ganti itu. Adapun yang dipercayai sedia menjamin anak-anak bertuah itu dan jebnya boleh mencecah muka lawan ialah Tengku Razaleigh. Orangnya keras. Maklumlah anak raja. Orang tidak fikir dia boleh tunduk dengan Dr. Mahathir bila dia berpatah arang dulu. Tentu ada janji dan muafakat maka dia sedia masuk Umno semula dan mengakui Dr. Mahathir sebagai pemimpinnya.
Tengku Razaleigh hanya jadi ahli biasa Umno macam orang bodoh saja. Tetapi dia dipercayai menyediakan diri untuk menggantikan Dr. Mahathir sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri selepas pemilihan Umno akan datang. Old Guard Umno termasuk Tan Sri Musa akan berkampung di belakang Tengku Razaleigh jika itulah pilihan Dr. Mahathir.
Jalan bagi Tengku Razaleigh untuk menggantikan Dr. Mahathir lebih terbuka dan lebih cerah dari lain-lain orang. Semua orang percaya Perdana Menteri dan timbalannya ibarat hubungan antara Puteri Diana dan Putera Charles sebelum berpisah dulu. Senyum dan dilihat mesra di khalayak ramai tetapi masuk bilik masing-masing ke katil sendiri. Tiada penafian dapat dipercayai dan berdamai seikhlas mana pun dikira satu lakonan jua.
Justeru itu Umno berada di ambang perpecahan lagi hingga nasibnya samalah dengan Golkar yang jatuh harga sekarang. Tengku Razaleigh yang dipercayai sanggup memelihara anak Dr. Mahathir dan dijamin pula oleh Tun Daim, akan berlakon mencabar Dr. Mahathir sebagai Presiden Umno dalam pemilihan akan datang. Tengku Razaleigh lebih mudah berbuat demikian dari ganti rasmi yang ada.
Ganti rasmi itu terpaksa menunggu dulu sebelum memutuskan untuk menjadi calon Presiden dalam keadaan Dr. Mahathir masih bersetuju untuk dicalonkan. Adalah bahaya dan tinggi risikonya bagi ganti itu membiarkan Dr. Mahathir ditandingi sendirian oleh Tengku Razaleigh. Yang jelas Timbalan Presiden akan ditandingi oleh calon ganti yang disetujui oleh Dr. Mahathir, Datuk Abdullah Badawi atau Datuk Najib.
Jika ganti rasmi mencabar Dr. Mahathir, Tengku Razaleigh akan menarik diri di saat terakhir. Ini bererti pilihan yang berisiko tinggi juga bagi ganti itu kerana dia terpaksa berlawan satu sama satu dengan Dr. Mahathir. Jika bertanding tiga penjuru, mungkin kedua-dua Dr. Mahathir dan Tengku Razalegh tewas. Justeru itu tidak siapa pun dari penyokong Dr. Mahathir dan Tengku Razaleigh mahu melihat kedua-duanya tewas.
Ganti rasmi tidak boleh membiarkan Dr. Mahathir tidak dicabar kerana ia memberi laluan kepada dirinya dicabar dengan mudah. Semua orang tidak nampak Tengku Razeleigh akan menjadi pengganti baru kepada Dr. Mahathir tetapi itulah yang saya nampak.
Jika dalam politik tinggi ini Tengku Razaleigh dicalonkan oleh beberapa bahagian untuk menjadi calon Presiden, maka laluan itu membuka jalan kepadanya menjadi Presiden Umno yang baru. Jika disahkan Tengku Razaleigh menjadi calon tunggal menentang Dr. Mahathir, maka sahlah Tengku Razaleigh akan memenangi jawatan itu tanpa bertanding.
Dr. Mahathir akan menarik diri pada saat terakhir, kira-kira tidak lagi ada peluang untuk lain calon mencelah dan tidak kemungkinan sesiapa mengubah keadaan. Bukankah ia jalan mudah bagi Tengku Razaleigh menduduki kerusi yang hampir diperolehinya dalam tahun l987 dulu.
Tahun itu Presiden Umno sepatutnya sudah menjadi miliknya tetapi kecekapan Dr. Mahathir menggunakan kuasa menyebabkan peluang Tengku Razaleigh itu hilang dan musnah. Kini Tengku Razaleigh menunjukkan kelincahannya lagi. Dia sudah berjaya mengnekalkan kerusinya di Gua Musang ketika dia menentang UMNO. Dia berkawan dengan PAS dan seolah-olah menjadi kawan setia Tuan Guru Nik Aziz.
Lepas itu dia meninggalkan Tok Guru dan sanggup melutut kepada Dr. Mahathir. Dia tidak mahu apa-apa jawatan tetapi menyediakan diri untuk menjadi orang yang paling dipercayai oleh Dr. Mahathir. Dr. Mahathir memang dalam keadaan yang sangat gusar. Dia tidak sukar dengan dua timbalannya yang lalu. Mereka itu setia dan tidak pernah membantah kemahuan Dr. Mahathir.
Tetapi ganti rasmi sekarang adalah sedegil-degil timbalan yang Dr. Mahathir pernah jumpai. Dia tidak akan tunduk dan akur dengan semua kemahuan Dr. Mahathir dan tidak pula mudah bagi Dr Mahathir menyingkirkannya. Jika Dr. Mahathir tidak berbuat sesuatu, tidak siapa dapat menjamin apa dunia Dr. Mahathir selepas berundur nanti.
Bagi memastikan anak-anak terjamin maka Dr. Mahathir memilih untuk meraih simpati Tengku Razaleigh. Tun Ghafar memang menunggu saat itu. Tan Sri Musa Hitam hanya akan datang meraikan kemudian kerana beliau tidak mahu Dr. Mahathir memperalatnya pula.