Berikut adalah Ucapan Dasar Presiden PAS, Dato' Haji Fadzil Mohd Noor sempena perasmian Muktamar Tahunan PAS Ke 44 di Taman Melewar, Kuala Lumpur pada 15 Mei 1998 bersamaan 18 Muharram 1419H.
BERTEKAD MENCAPAI KEMENANGAN
MUQADDIMMAH
Kita bersyukur ke hadhrat Allah s.w.t. kerana dengan hidayat dan inayahNya kita dapat bertemu dalam majlis perasmian Muktamar Tahunan PAS Ke-44 pagi ini yang akan berlangsung selama tiga hari. Kita masih dalam semangat HijratulRasul 1419 yang baru saja kita sambut ulangtahunnya. Kita berkongsi keazaman dan komitmen dengan pejuang Islam yang lain di seluruh dunia untuk meneruskan perjuangan jihad Rasulullah s.a.w. ini. InsyaAllah, PAS akan terus berada di saf hadapan dalam perjuangan ini di Malaysia. Malah saya percaya kehadiran tetamu kita, dalam dan luar negara, sahabat handai dan rakan seperjuangan mencerminkan sokongan mereka terhadap perjuangan PAS selama ini dan kita mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih atas sokongan mereka.
Kita bermuktamar kali ini dalam suatu suasana yang sungguh berlainan dari masa lalu, satu suasana tidak menentu dalam suhu panas yang bukan kepalang, bencana kemurtadan, ekonomi yang gawat, yang diakibatkan oleh, antara lain, krisis keyakinan terhadap kepimpinan negara. Dari segi keutuhan ummah, suasana yang ada lebih mencemaskan lagi, iaitu suasana yang hampir menyamai keadaan semasa peperangan Al-Ahzab dulu, di mana semua musuh bersekongkol dalam satu barisan untuk memusnahkan Islam dan umatnya. Wajah dunia yang amat suram menyaksikan dengan penuh ngeri kebangkitan militan ganas Hindu di India dan di tempat-tempat lain, ditambah dengan kebangkitan semula fanatisme Kristian, Zionisme Yahudi dan cengkaman sekularisme yang hampir melumpuhkan daya fikir umat. Inilah gerakan Al-Ahzab sejagat bentuk baru yang mengepung kita sekarang ini.
Kita mendapati belum pernah wujud musuh Islam bersatu sekuat dan sebengis ini selepas peperangan Al-Ahzab dulu. Mereka memerangi umat Islam dalam semua bidang kehidupan dengan pelbagai bentuk dan strategi, malah menggunakan sesetengah pemimpin negara umat Islam yang lemah dan sekular untuk memisahkan institusi ulama dari memimpin ummah supaya mereka mudah menewaskan Islam dan umatnya.
Sesungguhnya rangkaian keganasan dan penghinaan terhadap umat Islam ini akan berterusan, ditambah dengan gejala riddah (murtad) yang berleluasa. Ini kerana didorong oleh suasana yang kelihatan memihak kepada golongan musuh Islam, pada ketika umat Islam di negaranya sendiri dibelenggu oleh undang-undang yang menghalangnya untuk bertindak bagi memelihara maruah agamanya, pada ketika pemimpin seperti Abu Bakar Al-Siddiq tidak ada di tengah kita untuk memerangi gejala riddah ini. Tidak ada penghinaan yang lebih memedihkan, selain daripada kita melihat segolongan orang Islam mengucapkan 'selamat tinggal' kepada agamanya pada ketika kita dihalang oleh undang-undang untuk bertindak memelihara maruah Islam. Sungguh memedihkan apabila kita melihat Islam didedahkan kepada penghinaan, dipencil dan dilucutkan kuasanya seperti yang ada hari ini. Kita dituntut supaya bertoleransi dengan penganut agama lain, supaya menerima hakikat berbilang kaum dan agama di negara ini, tetapi di masa yang sama agama Islam dibiarkan dihina dan dipinggirkan oleh musuh. Kita diminta supaya bersikap terbuka, tetapi di masa yang sama, suasana yang memencilkan Islam dan umatnya dibina secara sistematis.
Hari ini kita menyaksikan dengan cemas bagaimana sesetengah pemimpin umat Islam sendiri hilang keyakinan kepada kekuatan Islam dan pertolongan Allah s.w.t. lalu menghulur tangan melutut kepada golongan kuffar. Mereka 'berlemah lembut dengan golongan kuffar ini, tetapi bersikap keras sesama Islam'. Mereka berusaha memelihara hati Zionis Yahudi yang jelas menjadi musuh Allah, tetapi bersikap keras terhadap pejuang-pejuang Islam.
Firman Allah s.w.t.
"Mereka yang mengangkat orang-orang kafir menjadi pemimpin, bukan orang-orang mukmin. Adakah mereka (orang-orang beriman) mengharap kekuasaan dari mereka itu? Sesungguhnya kekuasaan itu semuanya bagi Allah". (Surah Al-Nisaa : 139)
Sementara itu muncul pula segolongan intelektual keliru yang cuba menyamakan status agama Islam dengan agama-agama lain, satu pemikiran yang dianggap oleh para ulama' boleh merosakkan aqidah. Tidak mungkin Islam setaraf dengan agama lain, sedangkan Islam itu lebih tinggi dari segala-segalanya. Namun kempen untuk membina pemikiran bahawa kononnya agama lain sama dengan Islam diteruskan juga, malah ada isyarat bahawa pemikiran sedemikian dikongsi bersama oleh sesetengah pemimpin umat Islam. Sesungguhnya tidak ada umat yang menyintai damai lebih dari umat Islam sendiri berdasarkan doktrin dan fakta yang dirakam oleh sejarah. Toleransi boleh saja, tetapi perjuangan menyelamatkan aqidah umat adalah sesuatu yang 'vital' dan tidak boleh dikompromi.
Sesungguhnya inilah cabaran besar yang kita hadapi, kerana pada saat yang gawat ini kita yang berada di saf hadapan perjuangan ini, dituntut memaksimakan tahap pengorbanan, daya juang, istiqamah dan segala elemen perjuangan untuk menghadapi ujian ini. InsyaAllah, dengan ini kita akan mencapai kemenangan atas keyakinan bahawa Allah akan menolong mereka yang menolong agamaNya.
Firman Allah s.w.t.
"Hai orang-orang yang beriman, kalau kamu menolong (agama) Allah, nescaya Allah akan menolong kamu dan memantapkan pendirian kamu". (Surah Muhammad : 7)
AQIDAH PERJUANGAN
Islam telah menjadi aqidah perjuangan PAS, matlamat dan cita-citanya wajib dipertahankan. Ianya adalah kesinambungan daripada yang dibawa oleh Nabi kita Muhammad s.a.w. yang ditegakkan di dalam diri individu, keluarga dan masyarakat, sehinggalah menegakkan negara Islam yang mendaulatkan hukum Allah secara menyeluruh, walaupun terpaksa menghadapi cabaran yang datang dari segenap penjuru.
Kejayaan Islam sebenarnya direalisasikan oleh umat Islam yang terpilih, seperti yang dinyatakan oleh firman Allah di dalam Al-Quran:
"Dan hendaklah ada di kalangan kamu satu golongan yang menyeru kepada yang baik (berdakwah), yang menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah kemungkaran, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat kejayaan." (Ali-Imran : 104)
PAS berusaha mentarbiyahkan ahlinya untuk mencapai ciri-ciri tersebut. Ianya bukan se- kadar mengaku menjadi Islam secara individu, tetapi mestilah berusaha agar cahayanya menerangi alam dengan meninggikan Islam itu sehingga ke peringkat menyuruh dan menegakkannya ketahap kekuatan iman yang kental. Ini telah terbukti dengan terbentuknya kerajaan yang didirikan oleh Rasulullah s.a.w.
Yang dimaksudkan dengan aqidah itu ialah menegakkan Tauhid kepada Allah di dalam Ibadah, Syariah dan Nizam. Kerana itu PAS wajib memegang dan mempertahankan Islam daripada sumbernya yang paling teguh sebagaimana ditegaskan di dalam undang-undang tubuh PAS iaitu Al-Quran, hadis, ijma' dan qias yang nyata.
PAS menolak dan menentang dengan tegas segala yang bercanggah dengannya sama ada dinamakan agama, ideologi ataupun 'isme', dan dengan sikap terbuka menerima segala yang baik walau daripada mana datangnya. Dengan sikap tersebut, Kita mengajak manusia secara individu dan kerajaan menerima Islam secara total.
Justru itu, PAS menentang faham sekularisme yang diamalkan oleh mereka yang menonjolkan Islam dalam batas tertentu saja sepertimana program Islamisasi yang tidak memberikan tempat kepada Islam menjadi agama yang memimpin. Kita yakin bahawa keingkaran kerajaan Barisan Nasional (BN) melaksanakan hukum Islam yang 'soreh' dan qatie' di dalam al-Quran dan al-Sunnah seperti mengharamkan arak, judi, riba, hukum qisas, hudud dan lain-lain, adalah bukti jelas menunjukkan parti itu menganut ideologi sekularisme, biarpun UMNO yang menjadi parti utama dalam kerajaan itu menegaskan mereka juga kononnya berjuang untuk menegakkan Islam.
Faham sekularisme diilhamkan oleh masyarakat Barat yang beragama Kristian yang tidak menerima wujudnya politik dalam agama dan menolak perkembangan ilmu duniawi dan hubungannya dengan agama. Apabila ajaran 'Masihiyah' diselewengkan dan dibawa ke Eropah yang kemudiannya melahirkan sekularisme, maka daripada falsafah sekularisme ini pula lahir pelbagai tasawwur sesat di bidang ideologi, teori politik, ekonomi dan lain-lain.
Oleh itu,sekularisme dan segala cabangnya amat bercanggah dengan aqidah Islamiyah kerana ia mencabar sifat kesempurnaan dan keagungan Allah s.w.t., agamaNya dan hukum syariatNya. Seseorang muslim yang menganut faham sekularisme akan menafikan hukum-hakam Islam yang telah digariskan dalam urusan duniawi seperti politik, ekonomi, undang-undang jenayah dan lain-lain. Penafian yang telah dinaskan secara sahih akan mengakibatkan rosaknya syahadah.
Penjajah telah menjadikan sekularisme sebagai senjata momokan paling berkesan untuk menghalang ummah membangun, maju dan mulia bersama Islam. Agenda menghalang kewujudan semula negara Islam yang sebenar dilangsungkan sehingga kini, di antara buktinya ialah merampas kemenangan Parti Islam FIS di Algeria, pengharaman parti Refah di Turki serta kepungan terhadap Sudan dan Iran yang sedang berusaha melaksanakan Islam. Semua angkara durjana itu disokong oleh negara Barat yang kononnya memperjuangkan demokrasi dan kebebasan, hak asasi manusia, dan keadilan sejagat.
Sepatutnya umat Islam telah sedar dan insaf dengan iktibar keruntuhan yang dialami oleh Turki selepas kejatuhan kerajaan Othmaniyah. Kononnya dengan mencontohi Barat secara menerapkan sekularisme ke dalam negara Islam seperti yang dilakukan oleh Kristian didakwa boleh membawa kemajuan. Akan tetapi sebenarnya membawa bala bencana seperti yang dirasai sekarang oleh Turki dalam politik, ekonomi dan moral natijah dari perubahan yang dilakukan oleh Kamal Ataturk.
Kebanyakan negara umat Islam yang mencapai 'kemerdekaan' juga mencontohi Ataturk menurut cara di tempat masing-masing. Ada yang menolak Islam secara total dan terang-terangan, ada yang mengakui kewujudan agama dengan cara menerima sebahagian dan menolak sebahagian yang lain, melaksanakan Islam dalam perkara ibadah, pembahagian harta pusaka dan waqaf dan agenda mutakhir ini mereka memasukkan aspek Islam dalam beberapa bidang ekonomi, politik secara terhad tetapi terus mempertahankan prinsip sekularisme. Kesemua cara ini ditolak oleh Islam dan dikira sebahagian daripada langkah-langkah syaitan.
Sebagaimana Allah s.w.t. berfirman;
"Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam agama Allah semuanya (dengan mematuhi segala hukumNya), dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu." (Surah Al-Baqarah : 208)
Setiap orang beriman mesti menolak sekularisme, ideologi yang lahir daripadanya undang-undang dan cara-cara yang dicipta oleh akal manusia dalam perkara yang tidak diizin oleh Allah s.w.t., kerana Islam itu agama Allah Yang Maha Sempurna dan Maha Suci daripada segala sifat kekurangan. Sebenarnya Islam itu sendiri bersifat sempurna, merangkumi segala aspek yang perlu bagi manusia tanpa mengongkong mereka dalam perkara yang diberikan kemampuan kepada mereka berbuat sesuatu.
Al-Quran yang diwahyukan telah disempurnakan dengan selengkap-lengkapnya mencakupi segala urusan manusia dengan Tuhannya, dirinya dalam semua aspek, dengan masyarakat, dan dengan segala makhluk yang ada hubungan dengan peranan manusia untuk mengabdikan diri kepada Allah dan menjadi khalifah di bumi dengan menegakkan hukum Allah.
Rasulullah s.a.w. telah merealisasikan Islam secara amalan dan lisan selama dua puluh tiga tahun, bermula daripada ikrar dua kalimah Syahadah sehinggalah menegakkan negara Islam. Perlaksanaan Islam secara menyeluruh telah berjaya menegakkan masyarakat 'madani' sebagai kenyataan yang benar-benar berlaku, bukannya slogan sebutan lidah dan catatan tulisan yang diimpikan oleh golongan orientalis, ahli-ahli falsafah dan pengikut-pengikut mereka yang berkeliaran di tanah air kita.
Sementara itu pemimpin-pemimpin yang cuba untuk memperkecilkan Islam dan mempertahankan penyelesaian secara sekularistik, sebenarnya menegakkan ketokohan palsu mereka dengan politik wang dan konon mereka dihormati, tetapi hakikatnya kerana takut kepada kezalimannya, bukan kerana ilmu dan akhlaknya. Sesungguhnya sesiapa yang terus menerus mempertahankan sekularisme dan segala ideologi serta teori yang diimport itu sebenarnya mencabar ketuhanan Allah s.w.t., mukjizat Al-Quran dan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w.
PAS akan terus menerus mempertahankan aqidah perjuangan Islam dan mentarbiahkan ahli, penyokong dan rakyat umumnya dalam meneruskan perjuangan yang mulia ini. Kita sedar perjuangan ini memerlukan pengorbanan yang besar, cabaran yang tinggi, masa yang panjang, namun PAS berkeyakinan bahawa inilah caranya untuk mendapat keredhaan Allah, menyelamatkan ummah dan menerima janji kemenangan dunia dan akhirat.
ISLAM DAN ISU SEMASA
Dengan sikap terbuka PAS mengajak umat dan rakyat menegakkan Islam bagi menyelamatkan mereka dan menyelesaikan masalah yang selama ini mereka tercari-cari penyelesaiannya. Sekarang ini semua pihak mengeluh kerana dibelenggu masalah yang menghantui pemikiran mereka. Berlakunya penyelewengan aqidah di kalangan umat Islam, keruntuhan moral dan pelbagai gejala sosial, peningkatan kadar jenayah, pembunuhan secara sengaja, pencabulan harta dan maruah, gejala politik wang, kegawatan ekonomi, kemusnahan alam sekitar, perubahan cuaca dan lain-lain adalah masalah yang tidak selesai dan tidak dapat diselesaikan.
Benarlah firman Allah s.w.t.;
"Telah nyatalah berbagai-bagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia, kerana Allah hendak merasakan kepada mereka sebahagian dari balasan perbuatan buruk itu supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)". (Surah Al-Rum : 41)
Gejala murtad yang sampai ke tahap kritikal menunjukkan kerapuhan status Islam yang diletakkan dalam Perlembagaan Negara. Islam sebenarnya tidak diberi kedudukan yang sewajarya sehingga mengatasi segala agama dan ideologi. Seseorang itu boleh meninggalkan Islam dengan mudah dan menghina hukum Islam sewenang-wenangnya, membuktikan kelemahan dalam pendidikan terhadap aqidah. Lebih parah lagi bila tidak ada undang-undang yang mengawal aqidah kerana pengaruh sekularisme dalam undang-undang tidak membolehkan hukuman dijatuhkan ke atas orang yang murtad.
Memelihara aqidah wajib menjadi agenda utama kepada umat dan negara dalam Islam. Apabila ideologi ciptaan manusia yang diilhamkan oleh pengaruh sekularisme menguasai pemikiran, maka kebendaan telah mengatasi ketaatan kepada Allah, Justru itu, kita dapat melihat dengan jelas apabila mereka yang dibelenggu pemikiran kebendaan tersebut, mereka memandang remeh terhadap gejala murtad, walaupun kita menyedarkan mereka dengan hukum Allah dan RasulNya yang tidak boleh dipertikaikan oleh setiap orang Islam.
Keruntuhan moral ketara gagal diatasi melalui pelbagai tindakan undang-undang manusia, walaupun dengan hukuman yang paling keras seperti hukuman bunuh mandatori ke atas pengedar dadah. Ini kerana mereka menganggap dadah sahaja yang najis, tetapi tidak termasuk arak, judi dan lain-lain, namun undang-undang yang keras itu masih mengalami kebuntuan.
Di samping itu, merebak gejala pergaulan bebas yang melahirkan anak-anak luar nikah yang dicampak ke dalam longkang dan tong sampah. Ini kerana tiada kawalan undang-undang yang kuat dan tegas. Rasuah, penyalahgunaan kuasa dan politik wang diambil tindakan secara 'Bani Israel' di mana undang-undang dikenakan terhadap orang tertentu dan golongan tertentu saja. Begitu juga dengan peningkatan kadar jenayah akibat kelemahan undang-undang manusia yang digantikan atau berpaling daripada hukum Allah, sepatutnya semua keadaan ini menyedarkan pihak berkenaan supaya kembali kepada jalan Allah. Gejala maksiat yang berleluasa menjadi penempah bencana yang menimpa negara dan umat Islam tanpa mengira sesiapa, sama ada bersifat bencana alam seperti kemarau, banjir dan perubahan cuaca, atau secara tindakan tangan-tangan manusia sendiri seperti inflasi yang tidak mampu disifarkan, jenayah rasuah dan lain-lain.
Ideologi ciptaan manusia dan undang-undangnya tidak akan dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi sekarang, kerana penyelesaiannya tidak merangkumi segala aspek naluri mereka. Ada yang diberi penekanan hanya kepada aspek lahiriah saja tanpa aspek rohani yang menyatakan dosa, pahala dan pembalasan selepas mati, dan ada yang memberi perhatian kepada kepentingan individu tanpa masyarakat dan akasnya. Sepatutnya pihak berkenaan sedar dan insaf dengan keruntuhan kominisme dan kebuntuan Barat dalam menangani masalah negara dan masyarakat di negara yang mencipta dan mencanangkan ideologi itu.
Adapun Islam ciptaan Allah pencipta seluruh alam merangkumi semua aspek naluri manusia dan seluruh keperluan mereka, sesungguhnya aspek hubungan dengan Allah dan manusia tidak boleh dipisahkan. Begitu juga dengan aspek roh dan jasad, individu dan masyarakat, politik dan ekonomi tidak boleh diasingkan daripada Islam. Begitulah kenyataan yang ada di dalam Al-Quran dan Rasulullah s.a.w. menjadi contoh Imam solat dan Imam negara.
Generasi awal umat Islam terdiri dari kalangan mereka yang tidak tercemar dengan tamadun jahiliah yang bersifat kebendaan dan terpisah daripada penyelewengan ahli Kitab dan falsafah akal yang terhad kemampuannya. Mereka yang diisikan dengan aqidah Islamiah, akhlak dan syariat Allah telah berjaya menegakkan tamadun yang tersendiri, sehingga mereka menjadi umat yang termulia.
Firman Allah s.w.t.;
"Kamu adalah sebaik-baik ummah yang dilahirkan bagi kebaikan umat manusia, kamu menyuruh berbuat baik, kamu mencegah kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah". (Surah Ali-Imran : 110)
Adapun kelemahan yang jelas berlaku mutakhir ini apabila ajaran Islam ditinggalkan, ialah penyerahan kuasa pemerintahan diserah kepada mereka yang tidak memenuhi syarat dan sifat kepimpinan Islam. Ulama lemah dan jahat dijadikan penasihat yang bersekongkol dengan umarak yang leka dan lalai dengan nikmat kuasa pemerintahan. Merekalah yang memberikan peluang kepada musuh Islam menjajah tanah air Islam dan penganutnya hingga terdedah kepada serangan pemikiran yang ketara, sehingga ajaran Islam terhakis daripada sebahagian besar penganutnya. Mereka ini menjadi alat kepada musuh Islam di zaman penjajahan, dan kepada mereka juga diserahkan kemerdekaan yang diberi secara terancang.
Pada mulanya perjuangan menentang penjajah di negara umat Islam didokong oleh pejuang Islam tulen yang gugur sebagai syuhada, dipenjara dan dibuang negeri, tetapi golongan yang bersekongkol dengan penjajah dan ideologinya menjadi pewaris pemerintah negara selepas mencapai kemerdekaan. Oleh itu, Islam masih juga tidak memerintah walaupun diberikan kemerdekaan, kecuali pada nama saja.
Krisis yang melanda negara dan umat Islam sekarang sebahagian besarnya berpunca daripada golongan ini yang melaksanakan program sekularisme mengikut perancangan mereka, tanpa memberi ruang dan kedudukan sebenar kepada Islam. Golongan seperti inilah yang disifatkan oleh Rasulullah s.a.w.;
"Penyeru-penyeru kepada neraka jahanam, sesiapa yang menyahut seruannya, nescaya ia dicampak ke dalamnya".
MENEGUHKAN JAMAAH DENGAN AQIDAH
PAS wajib membina jamaah supaya menjadi golongan Islam yang meneruskan perjuangan Islam tulen kerana perjuangan PAS adalah kesinambungan daripada perjuangan Islam. Kita berpegang teguh dengan prinsip perjuangan dan akan terus menerus mengajak umat supaya kembali kepada Islam yang menyeluruh yang pernah memberi kejayaan dan kemuliaan kepada penganutnya, dengan membawa kebaikan dan menegakkan keadilan untuk manusia sejagat. PAS mewajibkan ahlinya supaya berpegang dan beramal dengan Islam secara syumul dan berjuang menghadapi segala cabaran dan halangan dengan penuh hikmah bagi melaksanakan tuntutannya.
Untuk mencapai kejayaan sepenuhnya jamaah mestilah dibentuk berlandaskan aqidah yang dinyatakan oleh Allah s.w.t.;
"Sesungguhnya orang-orang yang sebenarnya beriman itu hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka tidak ragu lagi serta mereka berjihad dengan harta benda dan jiwa raga mereka pada jalan Allah, mereka itulah orang-orang yang benar" (Surah Al-Hujurat : 15)
Program tarbiyah dan majlis ilmu yang menjadi kegiatan penting dalam parti hendaklah menjurus ke arah melahirkan kader-kader parti yang berkemampuan untuk menyatakan Islam dan menterjemahkan perlaksanaannya ke dalam masyarakat dengan kemampuan hujah menegakkan Islam dan membatalkan segala ideologi yang menjadi cabaran kini. Pendukung jamaah mestilah mampu mendedahkan penipuan musuh-musuh Islam sehingga kita dapat menawan hati manusia dengan kebaikan Islam yang dapat menarik sokongan majoriti yang perlu dalam konteks perjuangan melalui demokrasi berparlimen dan seterusnya mempertahankan kemenangan kurniaan Allah s.w.t.
Setiap cabang di dalam parti, Dewan Ulamak, Pemuda, Muslimat mesti berperanan sebagai sayap dan jentera yang berkemampuan untuk melaksanakan agenda parti dan menyediakan pelapis yang melangsungkan perjuangan yang tidak berkesudahan sehingga pertemuan dengan Allah menjadi hari yang paling berbahagia bagi kita semua.
Setiap lajnah yang ditubuhkan wajib didukung oleh setiap ahli yang ditugaskan di dalamnya dengan melaksanakan kegiatan secara Islam yang membezakan kita dengan golongan yang lain. Setiap ahli PAS mestilah menjadi contoh serta mampu berhujah dengan paling baik bagi menjawab dan memberi penjelasan kepada mereka yang tidak yakin kepada perjuangan Islam.
KEJAYAAN KELANTAN
Kejayaan kita menerajui semula Kelantan telah melenyapkan momokan negatif yang dilemparkan kepada PAS. Kelantan terus ditadbir dengan aman dan sentosa dan rakyatnya dari pelbagai kaum hidup tenteram. Bahkan dari sudut kadar jenayah, Kelantan telah mencatatkan kadar penurunan yang berterusan untuk beberapa tahun.
Tanggapan bahawa PAS hanya mampu bercakap dan mengkritik dan tidak mungkin berjaya mentadbir kerana ketandusan idea dengan sendirinya tenggelam apabila Kerajaan Kelantan memperkenalkan satu demi satu perubahan-perubahan keIslaman. Ar-Rahn, pajak gadai yang pertama di negara ini dengan sistem tanpa riba, industri perlancongan dan perhotelan yang terus berkembang sekalipun telah diubahsuai mengikut kehendak Islam, pengharaman sepenuhnya perjudian dan penyusunan penggunaan minuman keras untuk rakyat yang bukan Islam, penubuhan hospital An nisa', sebagai model hospital Islam dan pinjaman perumahan dan kenderaan kepada kakitangan kerajaan secara Islam. Dalam hal cuti bersalin untuk kakitangan wanita, umpamanya, Kelantan telah mendahului kerajaan pusat lebih 7 tahun yang lalu.
Dari segi pengurusan kewangan, Kerajaan Kelantan telah membuktikan pengurusan kewangan Islam yang mampu membebaskan sesebuah negeri dari beban hutang dan pembaziran, serentak dengan itu melihat peningkatan hasil simpanan negeri. Semua ini sudah cukup untuk meyakinkan seluruh rakyat di negara ini bahawa Islam membawa kerahmatan kepada negara.
SIKAP KITA TERHADAP KEMELUT EKONOMI NEGARA
Mutakhir ini kerajaan Barisan Nasional sedang menghadapi 'krisis keyakinan' yang amat parah. Pelabur-pelabur luar yang selama ini dianggap menjadi sumber modal utama perlaksanaan rancangan pembangunan negara telah tidak yakin lagi terhadap pengurusan dan keutuhan ekonomi negara ini. Kejatuhan mendadak nilai pertukaran Ringgit Malaysia serta Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) yang mengalami kegawatan dan kerugian yang amat besar, telah menghanyutkan cita-cita dan pendewaan pembangunan ekonomi yang menjadi agenda agung BN selama ini.
Pemimpin negara di seluruh Asia Tenggara tiba-tiba terperangkap dalam kemelut ekonomi yang amat meruncing. Awal tahun lepas perkembangan ekonomi di rantau ini berkembang dengan baiknya sehingga ia digelar "East Asia Economic Tigers". Apa yang mengejutkan mereka, secara tiba-tiba ia jatuh dengan teruknya. Nilai mata wang dan saham dari Malaysia sehingga ke Indonesia telah jatuh ke paras yang amat rendah.
Perdana Menteri Malaysia pula telah mengakui bahawa krisis kewangan yang dihadapi oleh Malaysia sejak beberapa bulan yang lalu telah meletakkan kembali Malaysia 25 tahun terkebelakang untuk menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Beliau turut mengakui bahawa Keluaran Kasar Dalam Negara (GDP) yang dijangkan sebanyak 8% pada tahun ini tidak mungkin akan mencapai matlamatnya. Malahan statistik terakhir yang dikeluarkan oleh Malaysian Institute of Economic Research (MIER) menjangkakan pertumbuhan GDP negara pada tahun ini hanya 0.9% sahaja.
Kos keperluan asas makanan dan kehidupan harian semakin hari semakin melambung akibat kelemahan dan kepincangan pengurusan negara yang berterusan. Amalan 'nepotisme dan kronisme' dengan menyalahgunakan kuasa serta memelihara kalangan tertentu yang menjadi 'Qarun' dalam negara dengan mengambil kesempatan daripada kekayaan negara di masa lalu mengakibatkan ekonomi rakyat semakin parah.
Pegawai kerajaan pula 'dihadiahkan' dengan pemotongan gaji dan elaun manakala bagi mereka di sektor swasta pula menghadapi pemotongan gaji hampir separuh dan berpuluh-puluh ribu diberhentikan kerja. Ini sudah tentu menimbulkan kesengsaraan kepada rakyat jelata terutamanya golongan yang hidup 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang'. Keadaan gawat dan mencabar ini membuktikan dengan jelas kepalsuan slogan 'tradisi membela rakyat', 'bersih, cekap dan amanah' serta laungan 'kempen inflasi sifar'.
Pemimpin-pemimpin negara pula terus dengan sikap bermuka-muka serta 'denial syndrome' (sindrom menafi). Mereka begitu lantang mengkritik tindak tanduk kuasa-kuasa Barat dalam hal ketidakadilan di dalam hak asasi manusia, perdagangan dan urusniaga kewangan di dalam sistem pasaran bebas. Malangnya mereka tidak menyerlahkan konsistensi dengan amalan dalam negara ini dengan tidak adanya 'ketelusan' terutamanya dalam menguruskan ekonomi negara. Faktor konspirasi Barat dan George Soros yang di gunakan oleh pemimpin-pemimpin negara telah menjadi alasan utama bagi menjustifikasikan kejatuhan ekonomi negara. Rakyat telah 'dialihkan pandangan' mereka dengan teori konspirasi ini.
Yang nyata, kebanyakan pedagang di Kuala Lumpur percaya bahawa peranan spekulator asing dalam kejatuhan ringgit sangat kecil. Malahan ramai pakar ekonomi sendiri menyatakan bahawa PM Malaysia orang yang menjadi pengacau kepada negaranya sendiri dengan melemparkan tuduhan konspirasi Barat bagi melindungi kesilapannya. Kejatuhan ekonomi serta mata wang negara adalah berpunca daripada polisi negara yang terikut sama dengan 'sistem liberalisasi' yang merupakan dasar yang diperkenalkan oleh kapitalis antarabangsa.
Kepercayaan penuh kepada konsep sistem pasaran bebas 'free market' serta dasar liberalisasi ekonomi telah menimbulkan percanggahan di antara keperluan hujah strategik dan justifikasi hujah ekonomi. Ini jelas terbukti dengan dasar perindustrian yang terlalu mementingkan perkembangan industri tanpa memberi perhatian yang seimbang kepada kepentingan sektor pertanian yang merupakan sektor asas dalam sesebuah negara. Dasar ini telah mewujudkan kepincangan negara yang terlalu bergantung kepada bahan asasi yang diimport yang bernilai melebihi RM9 bilion setahun. Dalam keadaan sekarang ini sebagai pengajaran yang amat pahit, keperluan hujah strategik seperti 'food security' terbukti lebih penting daripada justifikasi hujah ekonomi.
Kemelut ekonomi yang sedang melanda negara kita sekarang ini sepatutnya menjadi pengajaran kepada semua pihak. Adalah lebih baik dan munasabah sekiranya Malaysia memastikan 'future growth' lebih tertumpu kepada pembangunan sumber manusia tempatan dari bergantung terus kepada kemasukan lebih 2.2 juta buruh asing. Dianggarkan lebih 1 juta di kalangan mereka tidak mempunyai permit dan bergerak bebas di seluruh negara.
Begitu juga dengan kemasukan teknologi serta pemodal luar negara. Sepatutnya penumpuan terhadap sumber dalaman harus dipertingkatkan kerana fungsinya amat penting bagi membina masa depan ekonomi negara.
Pemimpin BN tidak boleh berdalih lagi dengan hanya mengecam Barat dan individu tertentu dari Barat di dalam persoalan kejatuhan ekonomi kita. Semua pihak harus menerima kenyataan bahawa negara kita masih tersepit dengan 'sistem ekonomi kapitalis' yang terus menindas. Dari segi pembahagian kekayaan 'economic cake' di negara ini, jurang perbezaan kekayaan yang amat ketara antara yang kaya dan miskin juga harus diberi perhatian oleh kerajaan. Apa yang berlaku yang miskin semakin miskin dan terhimpit manakala yang kaya dan berkedudukan terus menerus mengeksploitasi segala khazanah negara yang ada.
Di dalam rangka usaha untuk menangani kemelut keruntuhan ekonomi negara yang semakin parah ini, PAS telah mengemukakan satu memorandum kepada pihak kerajaan agar mengambil langkah-langkah keselamatan dan perancangan jangka masa panjang untuk menyelesaikan kemelut ini. Antaranya kita telah mencadangkan penubuhan satu majlis Perunding Syariah dan Tenaga Pakar sebagai sumber rujukan utama bagi merangka kaedah dan sistem yang dapat membentuk satu sistem perekonomian berimbang, berstrategi, adil, berakhlak dan berperikemanusiaan. Kita juga telah mencadangkan agar kerajaan Malaysia merangka dan mewujudkan dengan segera suatu bentuk mekanisma berteraskan Syariah yang mampu dan boleh mengawal pelbagai jenis 'gharar' dan manipulasi, sama ada dalam perdagangan mata wang, barangan ataupun perkhidmatan.
Kita juga telah menegaskan agar kerajaan Malaysia mengambil langkah segera bagi membasmi rasuah di semua peringkat. Rakyat umumnya melihat, antara sebab keruntuhan ekonomi negara, ialah berlakunya rasuah yang bermaharajalela di semua peringkat. Sungguhpun Akta Pencegah Rasuah telah diluluskan pindaannya supaya lebih berkesan, namun ia tidak akan memberi apa-apa erti jika perlaksanaannya lebih di pengaruhi oleh kepentingan politik.
Malahan kita masih tertunggu-tunggu hasil siasatan BPR terhadap kes rasuah dan penyelewengan syarikat Perwaja Steel yang telah mengalami kerugian kira-kira RM 3 billion dan gagal membayar hutang bank sebanyak RM7 billion. Penyelewengan ini telah di dedahkan sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri di Parlimen sejak tahun 1996 lagi. Di tengah-tengah kita menunggu hasil siasatan BPR ini, ibarat 'menunggu buah yang tidak akan gugur', kerajaan BN telah mengumumkan pula, Syarikat Perwaja ini akan diberikan 'pinjaman mudah' sebanyak RM710 juta dari wang KWSP. Inikah bentuk amalan tradisi membela rakyat BN dan 'double standard' yang di amalkan? Apa yang nyata, ikan-ikan bilis ditangkap tetapi jerung-jerung yang memusnahkan ekonomi negara sehingga hampir muflis terus menerus dibela dan terlepas dari sebarang hukuman.
Telahan awal kita terhadap kewibawaan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MATEN) telah terbukti dengan isu 'bailout' atau 'menyelamat' syarikat-syarikat tenat yang mempunyai hubungan dengan pemimpin negara. Misalnya Petronas yang merupakan khazanah negara telah sekali lagi digunakan bagi menjadi 'penyelamat' bagi golongan Kapitalis yang selama ini menjadi Qarun-Qarun yang rakus di dalam negara. Petronas pernah digunakan bagi menyelamatkan Dayabumi serta Bank Bumiputera dan sekarang ia telah digunakan pula bagi menyelamatkan Konsortium Perkapalan Berhad (KPB) yang menjadi milik anak PM! Bayangkanlah, manusia waras manakah yang mahu membeli sebuah syarikat yang mempunyai jumlah hutang sebanyak 1.7 billion ringgit dengan 'debt-equity ratio' sebanyak 298%? Apa bezanya anak kesayangan Mahathir Mohammad ini dengan anak Ling Liong Sik yang mampu membeli ekuiti saham berjumlah lebih dari 1.3 billion ringgit dalam usia baru meningkat 27 tahun? Inilah yang dikatakan amalan politik dan ekonomi suku sakat BN di mana keluarga dan anak-beranak pemimpin negara sahaja yang menjadi kaya raya.
Sepatutnya penubuhan MATEN mengambil peluang ini bagi mengkaji kembali kedudukan ekuiti ekonomi golongan Bumiputera di negara ini. Kajian di bawah Rancangan Malaysia ke 6 menunjukkan bahawa kontraktor Bumiputera hanya mendapat RM620 juta atau 5% ekuiti berbanding dengan kontraktor bukan Bumiputera yang mendapt RM10.3 billion atau 95% ekuiti. Begitu juga dengan pemilikan hartanah bangsa Melayu di negara ini di mana mereka hanya memiliki 16% dari tanah-tanah yang ada di bandar-bandar di seluruh negara. Sementara itu bangsa Melayu hanya memiliki 10.5% dari jumlah keseluruhan rumah kedai yang dibina di seluruh negara. Di tengah-tengah kedudukan bangsa Melayu yang kritikal ini timbul pula cadangan agar menghapuskan kuota dan hak istimewa Bumiputera serta membuka ruang seluas-luasnya kepada pelabur-pelabur asing bagi mengambil alih serta memiliki ekuiti yang menjadi hak Bumiputera.
Begitu juga dengan penggunaan sewenang-wenangnya dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi 'menyuntik' syarikat-syarikat yang mempunyai hubungan serta kepentingan dengan pemimpin-pemimpin kerajaan. Bagi tahun 1997 KWSP telah mengisytiharkan bahawa pembahagian dividen hanya 6.7% kepada setiap pencarum. Ini merupakan peratus yang paling rendah sejak 22 tahun malahan lebih rendah dari tahun kemelesetan 1985 dimana GDP pada waktu itu adalah -1%, namun KWSP masih mampu mengisytiharkan dividen sebanyak 8.5%. Persoalannya, siapakah yang akan membela nasib lebih 9 juta pencarum KWSP yang menpunyai jumlah caruman lebih dari RM130 billion?
Kita menggesa kepada kerajaan memastikan adanya ketelusan dalam urusan penggunaan wang KWSP. Namun apa yang berlaku setakat ini pebabitan KWSP dalam pembelian saham adalah lebih berbentuk 'menyelamatkan' syarikat yang mempunyai hubungan dengan pemimpin negara. Di manakah hak pencarum KWSP apabila wang mereka telah digunakan dengan sewenang-wenangnya bagi membeli saham UEM, Sime Bank dan KUB serta pemberian pinjaman mudah kepada syarikat Perwaja Steel yang tenat? Mungkin ada benarnya ungkapan beberapa pengkaji ekonomi yang membuat telahan bahawa, "Kita (Malaysia) tidak memerlukan IMF kerana kita mempunyai EPF". Kita juga bimbang wang umat Islam di Tabung Haji mungkin mengalami nasib yang sama.
Kita ingin menegaskan sekali lagi di dalam kemelut yang kritikal ini, semua lapisan masyarakat mestilah di ajak memberikan pandangan, kritikan serta cadangan terhadap kemelut ekonomi ini tanpa rasa takut dan bimbang dengan pelbagai undang-undang seperti OSA dan ISA. Sudah sampai masanya pemimpin-pemimpin BN menerima hakikat bahawa kepincangan yang berterusan ini adalah akibat dari kegagalan mereka mentadbir negara dengan baik dan berkesan.
Sesungguhnya selagi kepentingan kebendaan adalah matlamat utama dasar ekonomi negara, maka selama itulah kita akan terus gagal untuk mencari penyelesaian kepada kemelut ini. Oleh yang demikian, kita hendaklah menjadikan matlamat utama perancangan negara untuk tujuan kemanusiaan, persaudaraan nilai-nilai murni dan kebahagiaan sejagat tanpa mengira kaum, keturunan dan agama. Untuk tujuan ini ajaran Al-Quran dan Al-Hadis dapat membimbing kita mengharungi kemelut ekonomi yang mencabar ini. Firman Allah s.w.t:
"Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatan mereka". (Surah Al-A'raf : 96)
Terhakisnya Hak Melayu
Pada hemat kita, ada dua perkara yang boleh memberi kesan besar kepada perkembangan ekonomi negara. Pertama, kejatuhan kadar pertukaran luar dengan dollar Amerika yang disebabkan oleh peratus pinjaman luar lebih tinggi daripada nilai harta atau rezab negara. Ruang perbezaan yang begitu luas telah mencetuskan krisis keyakinan akan kemampuan Malaysia untuk membayar balik hutang yang dipinjam daripada sumber luar.
Kedua, cetusan daripada pembangunan hartanah yang begitu pesat yang telah menarik lebih banyak pinjaman-pinjaman yang diberikan sehingga peratusannya lebih tinggi daripada yang sepatutnya. Mengikut istilah yang biasa kita panggil ialah 'bubble' yang semakin hari semakin besar dan apabila sektor hartanah merosot, pinjaman yang telah diberikan tidak dapat lagi digerakkan dengan pembayaran balik pinjaman tersebut. Dengan itu kesannya boleh melumpuhkan bank-bank dan juga institusi-institusi kewangan tempatan kerana putaran wang semakin perlahan dan akhirnya akan terhenti sehingga menyebabkan institusi kewangan berkenaan menghadapi masalah mudah tunai (cash flow) seperti yang berlaku sekarang.
Rakyat juga diberi tanggapan bahawa dasar pembangunan yang ditaja oleh Umno dan Barisan Nasional kononnya membantu rakyat menikmati hasil pembangunan tersebut. Dengan itu dicanangkan slogan pembangunan datang daripada kekayaan orang berada kepada orang yang tidak berada. Sekaligus kononnya dianggap sebagai usaha menghapuskan kemiskinan. Adakah hakikat sebenarnya begitu?
Sekiranya asas perkembangan ekonomi sedemikian berterusan, terutama pembangunan tanah dengan kenaikan nilainya, tentulah orang Melayu amat bertuah di negaranya sendiri. Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Tanah pertanian ataupun tanah dusun yang sebahagian besarnya dimiliki oleh orang Melayu telah terhakis. Iaitu dengan berkembang pesatnya pembangunan ekonomi menyebabkan tanah orang kampung menjadi sasaran untuk menampung perkembangan ekonomi.
Akta Pengambilan Tanah telah digunakan oleh golongan atasan dengan rakus untuk mengambil alih tanah pertanian, dusun, desa dan sawah untuk dijadikan kawasan perumahan ataupun perindustrian dengan harga yang murah, kemudian menjualnya dengan harga mahal. Keadaan ini telah pun berlaku sejak awal 1980an dan telah membuka peluang kepada segolongan ahli politik dan korporat untuk membina kekayaan dengan begitu mudah dan cepat. Perkembangan tragis ini menyebabkan amat sukar bagi generasi masa depan Melayu/Islam untuk memiliki semula tanah berkenaan dengan kawasan yang begitu luas. Kehilangan tersebut adalah tragedi yang paling pahit bagi Melayu/Islam. Dengan demikian bukan orang kaya yang menolong orang miskin tetapi orang miskin yang menolong golongan berkuasa dan korporat mencipta kekayaan sekelip mata.
Eksploitasi ini sebenarnya adalah dibina di atas hasil penganiayaan dan penindasan ke atas orang Melayu/Islam yang cuba diyakinkan sebagai orang yang diheret ke arah masyarakat madani. Dalam mengejar kemajuan, mereka diperhamba oleh kebendaan yang akan merugikan mereka sendiri.
Kita mendapati, wang pampasan yang diterima oleh pemilik tanah ini, sebahagiannya untuk menunaikan fardhu haji, membeli barangan yang kadang-kadang tidak perlu dan bakinya digunakkan untuk dilaburkan dalam amanah saham di mana pada hari ini nilainya turun hampir 40 peratus. Akhirnya mereka hilang segala-galanya.
Sikap, dasar dan amalan kerajaan Umno/BN terhadap sistem ekonomi dan perniagaan amat bertentangan dengan ajaran Islam seperti yang terserlah dalam pemerintahan Islam Madinah pimpinan Rasulullah s.a.w. Penghayatan Islam baginda Rasul s.a.w. sebenarnya tidak didorong oleh kepentingan mata benda seperti yang berlaku dalam sistem sekularisme sekarang ini.
Walaupun baginda berada di mercu kekuasaan di Madinah, namun kekuasaan dan kekayaan negara tidak dieksploitasi untuk kepentingan suku sakat bagi tujuan mencipta jutawan segera. Malahan baginda sendiri hidup dalam keadaan paling sederhana, tanpa amalan nepotisme dan sebagainya. Jika dibandingkan dengan di zaman ini kehidupan baginda boleh dikategorikan hidup dalam keadaan daif. Walaupun kedudukan baginda sebagai seorang ketua negara, tetapi pengurusan ghanimah umpamanya dijamin untuk kesejahteraan rakyat Madinah seluruhnya. Inilah di antara aspek keagungan akhlak baginda Rasulullah s.a.w. sepertimana yang dimaksudkan dalam Al-Quran:
"Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu suri tauladan yang baik bagimu iatu bagi orang yang mengharapkan (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari qiamat dan dia banyak menyebut Allah". (Surah Al-Ahzab : 21)
"Sesungguhnya engkau (Muhammad) mempunyai akhlak yang agung". (Surah Al-Qalam : 4)
Sebagai ketua negara, baginda Rasulullah s.a.w. menangani pengaruh kebendaan meng- ikut tuntutan Al-Quran. Baginda tidak menolak penguasaan kebendaan, tetapi penguasaan tersebut tidak untuk kepentingan peribadi atau keluarga, jauh sekali kecenderungan untuk mengekalkan kuasa mutlak. Kerana, kuasa dan kekayaan adalah untuk kepentingan ummah semata-mata.
Baginda tidak dipengaruhi hawa nafsu untuk hidup mewah, walaupun kesempatan tersebut sentiasa terbuka. Keadaan ini menyerlahkan suatu aspek penting berkaitan dengan kaedah menangani pengaruh mata benda dan contoh akhlak yang baik untuk pemimpin hartawan dan penguasa khazanah negara. Dengan kata lain, pengaruh kebendaan hanya berada di bawah telapak kaki baginda dan tidak dibiarkan naik ke atas kepala sehingga lupa daratan dan sebagainya.
Natijah kedua, baginda menggalakkan kebolehan dan kepakaran untuk penguasaan mata benda iaitu ilmu yang berkaitan dengannya. Justeru itu, satu perkara yang amat penting dicontohi ialah baginda sentiasa menguasai diri dan menafikan pada diri baginda sendiri keperluan untuk hidup dalam keadaan bermewah-mewah.
MASALAH SOSIAL
Keruntuhan moral masyarakat terutamanya golongan remaja hari ini semakin ketara. Masalah ini sudah menjadi barah yang merebak kesegenap pelusuk negara ini. Harapan kerajaan menyelesaikan kemelut sosial ini dengan merangka Program Rakan Muda misalnya, tersasar jauh, kerana dari awal lagi program ini tidak bercirikan 'pencegahan'. Program ini tidak membina syaksiyyah remaja tetapi sekadar menyalurkan keseronokan remaja ke dalam program rasmi. Ternyata kini aktiviti Rakan Muda sudah dipinggirkan kerana gagal menepati hasrat penganjurannya.
Input yang diberikan oleh kerajaan dalam bentuk kewangan tidak setimpal dengan hasil yang diperolehi. Penekanan kepada pembiayaan rawatan ubat-ubatan yang mahal tidak menyelesaikan masalah. Program pencegahan yang dipromosikan oleh kerajaan dan NGO banyak menumpukan kepada modifikasi gaya hidup songsang semata-mata seperti penggunaan kondom dan penggunaan jarum suntikan bersih. Sudah ada cadangan pihak tertentu untuk memulakan program penukaran jarum suntikan baru di kalangan penagih dadah bagi mengelakkan jangkitan HIV sesama penagih dadah. Cadangan anih ini ternyata timbul daripada golongan yang tidak dapat membezakan antara dua gejala yang sama-sama berbahaya ini.
Kini juga sudah ada suara-suara pejuang hak asasi yang mahu golongan homoseks dan lesbian diterima sebagai satu variasi normal dalam kehidupan manusia di negara ini. Bagaimanakah kita mahu menyelesaikan satu malapetaka yang merupakan kesan tingkahlaku manusia jika kita tidak berusaha bersungguh-sungguh menghentikan tingkahlaku itu sendiri? Walaupun suara PAS tidak popular di kalangan NGO mahupun kerajaan, kita tetap mendesak pihak berkuasa melakukan usaha yang lebih drastik bagi menangani malapetaka HIV/AIDS ini melalui perlaksanaan undang-undang syariah secara menyeluruh. Kita yakin, perundangan Islam yang berteraskan pencegahan ini mampu memberikan jawapan kepada berbagai tingkahlaku dan budaya yang merosakkan.
Kompromi yang dilakukan selama ini ternyata tidak membantu membawa penyelesaian. Sistem pendidikan negara hari ini tidak dapat menimbal pengaruh negatif ini malah memburukkan lagi keadaan. Pendidikan Islam tidak diutamakan dalam sistem pendidikan negara, malah usaha golongan tertentu untuk menghidupkan semula institusi pendidikan Islam dilihat sebagai langkah mundur yang harus dibendung. PAS mengajak masyarakat untuk turut sama bersimpati dengan musibah yang dialami oleh anak bangsa kita tetapi bukan dengan cara menceriakan lagi tingkahlaku sonsang ini tetapi mengajak setiap lapisan masyarakat mendalami Islam serta mengamalkan cara hidup Islam yang telah diinstitusikan oleh Rasulullah s.a.w. dan umat Islam selepas Baginda.
Adab pergaulan, sifat menghormati orang tua dan ibu bapa, mengatur rekreasi yang bermanafaat, budaya cintakan ilmu dan aktiviti pemurnian akidah harus dijadikan sebahagian program pembangunan insan yang berterusan dan berkekalan.
SISTEM PENDIDIKAN
Pada lahirnya, perkembangan dalam sistem pendidikan di Malaysia sedang memasuki era baru yang menjanjikan pendemokrasian ilmu dan liberalisasi pendidikan. Kita menerima usaha yang mahu menjadikan budaya ilmu sebagai sebahagian elemen dalam proses kebangkitan tamadun ummah di negara ini. Masyarakat berilmu dan menjadikan ilmu sebagai budaya dan cara hidup adalah serasi dengan tuntutan Islam. Perubahan, pembaharuan dan pembangunan tamadun akan berlaku di kalangan masyarakat yang berilmu. Memang selama ini kita menantikan perubahan intelek masyarakat dan mengeluarkan mereka daripada kejahilan yang mencengkam kehidupan dan yang selama ini menghadkan pilihan mereka kepada cara hidup yang sempit. Namun, apabila meneliti perkembangan mutakhir mengenai pendemokrasian pendidikan yang berlaku hari ini, PAS terus terang menyatakan kekecewaannya atas keutamaan yang salah serta pendekatan yang tidak menyebelahi Islam dalam perlaksanaannya.
Yang paling ketara berlaku ialah penjajahan semula pendidikan barat ke dalam sistem pendidikan negara. Keghairahan mewujudkan ratusan gabungan atau program berkembar dengan berbagai jenis IPT luar negara tidak sedikitpun dapat membina ciri pendidikan Malaysia. Apa yang berlaku ialah adaptasi sistem pendidikan barat yang selama ini kita katakan menjadi punca kejatuhan peradaban pemikiran manusia. Jika dulu kita menghantar anak-anak kita untuk didedahkan dengan corak pemikiran dan peradaban barat, kini semuanya boleh diperolehi di tempat sendiri. Puluhan jenama-jenama universiti asing dari berbagai negara terdapat di negara kita. Ilmu itu sendiri tidak kita tolak tetapi pemisahan ilmu itu dengan ciri-ciri agama adalah keterlaluan dan akan hanya menebalkan lagi sekularisma yang menjadi akidah orang barat di kalangan generasi muda kita. Apakah sebenarnya agenda pemerintah hari ini, kalau tidak jangka-panjangnya untuk mengukuhkan lagi sekularisme sesat di negara ini?
Semasa kita menentang Akta Pendidikan 1995 dahulu, hal inilah yang kita takuti dan ternyata apa yang kita fikirkan dahulu kini menjadi kenyataan. Bahasa Melayu dikesampingkan sementara bahasa Inggeris akan menguasai semua IPTS. Pendidikan Islam termasuk bahasa Al-Quran tidak langsung diberikan keutamaan, malah jika diperhalusi, Akta ini boleh digunakan untuk mengongkong usaha mengujudkan satu sistem yang selari berlandaskan Islam. Bunga-bunga malapetaka yang melanda umat Islam di Turki sudah semakin ketara di negara ini.
Kos yang ditanggung oleh pelajar sudah dinaikkan dan membebankan mereka yang berpendapatan kecil dan sederhana. Skim Biasiswa Kerajaan yang merupakan program Affirmative Action kebanggaan pemerintah untuk membantu orang Melayu kini menjadi sejarah. Pengkorporatan IPTA akhirnya akan melenyapkan IPTA dan menjadikan IPTS yang berteraskan keuntungan semata-mata. Kita tidak faham bagaimana ahli UMNO boleh tidur lena dengan perkembangan yang sedang mengancam umat Islam/Melayu. Yang menarik nafas lega kini adalah orang bukan Melayu/Islam yang dahulunya merasa sistem kuota dan berbagai bantuan untuk orang Melayu dan bumiputera sebagai tidak adil. Kini mereka terus terang mengatakan bahawa perjuangan mereka selama ini telah membuahkan hasil. Walaupun Akta ini sudah berkuatkuasa, kita mengajak setiap umat Melayu/Islam yang prihatin meneruskan penentangan agar titik hitam dalam sejarah pendidikan di negara ini dapat kita pulihkan semula.
ALAM SEKITAR
Negara kita turut dilanda kegawatan alam sekitar yang telah menimbulkan pelbagai implikasi terhadap keselesaan hidup. Musibah ini bermula dengan jerebu yang menyelubungi hampir seluruh negara tahun lalu, sehingga dharurat alam sekitar diisytiharkan di Sarawak.
Kita yakin ini adalah bala yang diturunkan oleh Allah s.w.t. walaupun sebahagian mereka dalam kerajaan sangat 'allergik' dengan perkataan bala ini. Bagi mereka malapetaka tidak sama dengan bala. Kita tahu kenapa mereka amat sensitif dengan terminologi bala ini kerana jika mereka bersetuju; mereka terpaksa kembali ke jalan Allah s.w.t., sedangkan pengakuan inilah yang mereka cuba elakkan. Pemerintah tetap menafikan bahawa jerebu turut disumbangkan oleh dasar kerajaan yang tidak 'environment-friendly'. Penebangan hutan dan pembotakkan gunung dan bukit telah menjejaskan ekosistem dan kestabilan mukabumi. Semua pihak yang neutral sepakat dengan pendapat ini tetapi pemerintah angkuh dan tetap meneruskan usaha pembangunan yang tidak serasi dengan masa depan umat manusia.
DASAR LUAR
Ketika kita bermuktamar ini, negara haram Israel menyambut ulangtahun penubuhannya yang ke 50, Zionis Yahudi yang disokong Britain dan Amerika sudah 50 tahun menduduki bumi Palestin. Secara kebetulan genap 50 tahun British menyerahkan bumi umat Islam Kashmir kepada India, dimana sejak itu umat Islam Kashmir dihalang menentukan nasib mereka sendiri.
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dibentuk untuk memerdekakan semua tanah yang dijajah, tetapi PBB yang dibentuk ini jugalah yang telah membenarkan pula penjajahan bentuk baru di setengah bumi umat Islam seperti Palestin, Kashmir dan lain-lain. Kita mengulangi tekad untuk terus bersama untuk terus bersama umat Islam Palestin pimpinan Hamas dan Mujahidin Kashmir sehingga kemerdekaan tercapai sepenuhnya.
Isu Palestin bukanlah persoalan mendapat hak menubuhkan sebuah negara Palestin yang beribu-kotakan Baitulmaqdis semata-mata. Akan tetapi persoalannya ialah kemerdekaan dari penaklukan zalim regim Zionis. Kemerdekaan Palestin dan Kashmir tidak boleh ditangguhkan lagi. PAS mendesak masyarakat antarabangsa agar menghentikan 'sandiwara' mereka dan mengembalikan semula hak umat Islam dengan segera.
Sekalipun Islam cuba dipinggirkan dari arus perdana dunia, tetapi kehancuran empayar Marxist memberi nafas baru kepada Islam. Beberapa buah wilayah di Eropah yang umat Islam menjadi majoriti, bangun mengisytiharkan kemerdekaan dari belenggu Komunis. Dunia menyaksikan sekurang-kurangnya muncul tiga buah negara umat Islam di Eropah mengisytiharkan kemerdekaannya iaitu Bosnia-Herzegovina, Chechnya dan Kosovo. Kemerdekaan Bosnia sudah diiktiraf, manakala Chechnya yang diisytiharkan merdeka belum diiktiraf. Kosovo adalah diambang kemerdekaan. PAS menyeru kerajaan Malaysia supaya mempelopori masyarakat antarabangsa mengiktiraf kemerdekaan Chechnya dan Kosovo. Kita yakin perkembangan terbaru itu akan mendorong kemunculan beberapa lagi wilayah merdeka di kalangan umat Islam di Afrika, Asia dan Eropah.
Di Asia Tenggara kita bertembung dengan isu Bangsa Moro, Rohingya, Patani dan Aceh. Kita tidak berhajat untuk mengeruhkan muafakat, kestabilan serta kerukunan Asean. Tetapi isu-itu itu masih tidak diselesaikan dengan baik oleh negara terbabit serta telah mengheret Malaysia secara tidak langsung dan menyentuh perasaan nurani umat Islam Malaysia. Untuk kerukunan bersama Asean, PAS menyeru pihak terlibat menyelesaikan masalah dalaman itu dengan cara yang sebaik-baiknya supaya Asean menjadi rantau contoh yang menghormati prinsip-prinsip utama keadilan sejagat. PAS tidak terpesona dengan politik dan diplomasi adu domba barat, tetapi PM Britain hampir mencapai suatu kejayaan apabila ia cuba menyelesaikan Ireland Utara yang dikira mustahil boleh diselesaikan secara demokrasi tetapi dapat mula ditangani melalui perundingan. Sudan juga telah lebih dulu mengambil langkah perundingan untuk menyelesaikan pemberontakan di selatan negara itu yang sudah memakan masa lebih 40 tahun. Sudan sudah merekodkan kejayaan. Sudan dan Britain kini menunjukkan 'sikap terbuka' dan PAS berharap semangat ini diperhatikan oleh negara-negara lain yang menghadapi masalah.
Menyerahkan masalah umat Islam kepada dunia Barat bererti umat Islam menjemput bala dan fitnah ke tengah masyarakat Islam. Perjanjian damai Dayton sekalipun dapat menghentikan perang Bosnia tetapi telah melemahkan kedudukan Islam dibandingkan dari sebelum perjanjian itu. Pembahagian wilayah di Bosnia adalah amat tidak adil. Barat jelas mengkhianati kejayaan umat Islam di Algeria dan Turki. Rakyat Algeria dan Turki telah membuat keputusan melalui demokrasi untuk kembali kepada peradaban Islam. Dunia Barat melalui bonekanya telah mengkhianati kemajuan umat Islam melalui suatu proses yang diiktiraf oleh Barat sendiri, sehingga pimpinan Islam diletakkan di kandang orang salah.
Dasar memusuhi Islam oleh Barat dan Nato tidak menguntungkan dunia Barat sendiri serta tidak pula melemahkan umat Islam untuk mencapai kemerdekaan. Bosnia, Chehcnya dan Kosovo lahir menuntut kemerdekaan ketika Nato dan Pentagon mengisytiharkan Islam sebagai musuh utama setelah komunis berkubur. Justeru itu, dunia Barat hendaklah menyesuaikan diri dengan perkembangan dunia. Obor perjuangan Islam tidak akan dapat disekat dan dipadamkan.
Dasar luar adalah strategi keselamatan dalam negeri. Masalah dalam sebuah negara lain mudah berjangkit kepada negara kita. Kebakaran hutan di Indonesia menyebabkan Malaysia menjadi pengimport asap utama dari negara jiran itu. Kejatuhan mata wang dan ekonomi Thailand antara yang mempercepatkan Indonesia, Filipina dan Malaysia menghadapi bala yang sama. Haba pergolakan di Myanmar misalnya begitu cepat panasnya dirasakan Kuala Lumpur.
Malaysia kelihatan tidak berupaya untuk menghadapi diplomasi Thailand apabila Bangkok menuntut beberapa orang pemegang kad pengenalan Malaysia diserahkan kepadanya. Akhbar Bangkok telah melaporkan betapa Malaysia telah menyerahkan beberapa orang yang dikehendaki oleh kerajaan Thailand. PAS mendapat tahu Kuala Lumpur telah menyerahkan rakyatnya yang berasal dari Patani kepada kerajaan Thailand. PAS tidak menentang pemulangan pendatang tanpa izin ke negara asalnya, tetapi tidak berlaku di mana-mana di dunia sebuah kerajaan menyerahkan rakyatnya kepada sebuah kerajaan asing. PAS menyesali langkah kerajaan Malaysia menyerahkan rakyatnya kepada Thailand. Perbuatan itu hendaklah dihentikan dan menuntut supaya rakyat yang diserahkan itu dipulangkan ke pangkuan keluarga masing-masing. Di mana mereka lahir tidak penting tetapi apabila seseorang itu sudah menjadi rakyat, maka negara mestilah menjamin hak dan memberi perlindungan kepadanya.
PAS tidak berhajat mencampuri urusan dalaman negara jiran. Tetapi umat Islam Malaysia mempunyai tanggungjawab terhadap sanak saudaranya dan umat Islam di mana-mana juga di dunia. PAS juga ada tanggungjawab terhadap perikemanusiaan dan hak asasi manusia. PAS juga peka tentang peraturan antarabangsa. Atas dasar inilah kita tersentak dengan sikap lemah Kuala Lumpur dan kita mahu negara-negara tetangga menyelesaikan masalah dalaman masing-masing dengan cara yang sebaik-baiknya supaya rakyat negara ini tidak terseret dalam masalah yang tidak selesai di negara jiran.
PAS membangkitkan hal ini bukan untuk mengganggu muafakat Asean, tetapi kelemahan menangani isu seperti yang berlaku itu, menyebabkan urusan muafakat itu tidak berjalan lancar.
KEKUATAN KITA
Kita percaya umat Islam Melayu mulai insaf betapa UMNO sudah tidak mampu mempertahankan hak bangsa apatah lagi agama. Kebimbangan Presiden UMNO terhadap perubahan sikap rakyat yang kian memandang jijik terhadap UMNO membuktikan parti itu sedang menuju ke arah kehancuran dari dalaman. Kalau dulu mereka dengan nada angkuh mendakwa bahawa merekalah pembela bangsa dan agama, laungan itu tidak berbisa lagi. Pemimpin mereka dilihat lebih mementingkan diri, keluarga dan suku sakat.
Keberanian golongan bukan Islam mencabar kewibawaan Umat Islam adalah disebabkan mereka yakin bahawa kerajaan hari ini lebih memberi perlindungan kepada mereka daripada umat Islam itu sendiri. Peranan golongan bukan Islam memurtadkan umat Islam yang begitu berleluasa sejak kebelakangan ini dan juga peristiwa pembinaan kuil bersebelahan Masjid Kampung Rawa, Pulau Pinang sudah cukup membuktikan betapa umat Islam terus dicabar.
Dalam kegawatan umat dicabar, para pemimpin UMNO membisu seribu kata. Kalaulah tidak ada PAS bangun menyuarakan tentang nasib umat Islam dan masa depan mereka sudah tentu keadaan akan semakin teruk dan serius. Bagi UMNO aqidah dan kepentingan ummah tidak begitu penting tetapi yang penting ialah kekayaan yang merupakan matlamat suci mereka . Pada hal kekayaan yang dikejarkan telah musnah dan rakyat terus menderita akibat tindakan mereka. Sungguhpun demikian mereka terus mengkaburi mata rakyat dengan mendakwa bahawa merekalah pembela agama dan bangsa.
Menyedari bahaya yang kian melanda umat Islam hasil dari dasar-dasar UMNO/BN, kita hendaklah lebih bersungguh-sungguh lagi melaksanakan tanggungjawab perjuangan suci Islam untuk 'survival' dan kedaulatanNya serta yakin dengan kemenanganNya.
Hasil dari perjuangan dan usaha kita yang berterusan selama lebih empat puluh tahun kini ternyata keberkesanannya. Umat Islam kian ramai menyertai gerakan kita. Mereka sudah jijik dan muak dengan dasar UMNO. Mereka telah sedar betapa umat Islam perlu menyertai gerakan Islam kalau ingin melihat kedaulatan agama dan bangsanya terus unggul dan mulia.
Saya mengharapkan pimpinan dan pendukung PAS di semua peringkat menghayati dasar- dasar dan perjuangan kita dengan jujur dan tabah, meletakkan keredhaan Allah s.w.t. sebagai matlamat terunggul dalam perjuangan kita. Adalah salah bagi ahli gerakan kita meletakkan harapan bahawa dengan menyertai PAS kita akan mendapat kemewahan di dunia.
Kita hendaklah sedar bahawa gerakan yang kita dokongi sekarang ini adalah gerakan yang memperjuangkan kesyumulan Islam, kita bukanlah gerakan yang memperjuangkan sudut-sudut tertentu ajaran Islam.
Kita adalah gerakan yang menjalankan tugas-tugas dakwah, ekonomi, politik, pendidikan, kebajikan dan lain-lain tuntutan Islam sama ada perlaksanaannya secara berjemaah atau individu. Kesemuanya perlu difahami dan dihayati. Biar apa keadaan sekalipun, agenda melaksanakan hukum Allah dan mempertahankan hukum Allah serta kesucian Islam hendaklah mendahului agenda-agenda lain. Di samping itu saya berharap setiap rangka kerja yang kita lakukan dalam apa bentuk sekalipun ianya janganlah dilekangkan dari prinsip Islam. Dasar dan perjuangan Islam hendaklah merupakan keutamaan dalam semua program kita.
PILIHANRAYA
Kita menjangka pilihanraya sudah hampir, kita perlu bersedia dari sekarang dan mesti berkerja keras demi untuk mencapai kemenangan.
Saya yakin dengan perpaduan yang kental dalam jamaah serta hasrat dan semangat yang kuat, kita akan hadapi pilihanraya akan datang dengan gerak kerja yang lebih tersusun dan meyakinkan. Selepas itu kita menyerah kepada Allah s.w.t. dalam menentukan hasil perjuangan kita.
Kekuatan dan perpaduan di kalangan kita akan merupakan asas utama kemaraan kita. Tanpa perpaduan dan ikatan kukuh di kalangan kita memang sukar untuk kita menghadapi lawan. Untuk tujuan itu sebarang unsur yang boleh membawa kepada perpecahan perlu kita atasi dengan segera dan kalau perlu kita hendaklah mematahkannya sejak ianya mula bertunas. Kita begitu yakin dengan perpaduan sebagai sumber kekuatan dan kita juga yakin bahawa perpecahan akan membawa kita kepada kehancuran.
Allah s.w.t. berfirman;
"Berpeganglah dengan tali (agama)Allah dan janganlah kamu berpecah belah". (Surah Al-Imran : 103)
Dan firmanNya lagi;"Janganlah kamu bertelingkah maka kamu akan gagal dan kekuatan kamu akan hilang". (Surah Al-Anfaal : 46)
Pucuk pimpinan parti kita sentiasa menimbang dan mengikuti perkembangan yang berlaku dengan penuh rasa tanggungjawab dan timbangan yang begitu cermat, supaya ianya tidak menjejaskan perjuangan kita sama ada jangka panjang mahupun jangka pendek.
Kita membuka tangan kepada semua umat Islam yang ingin turut serta dalam gerakan kita. Bagaimanapun kita mempunyai prinsip dan dasar yang perlu dihayati dan dipatuhi oleh semua agar ianya dapat memantapkan jemaah kita.
BERTEKAD MENCAPAI KEMENANGAN
Di Muktamar tahun lalu, saya telah menggariskan bahawa agenda besar PAS, di antaranya, meruntuhkan tembok kekeliruan yang memenjarakan umat ini. Saya percaya pendukung PAS menghayati mesej ini, bahawa kita adalah gerakan jihad untuk menyelamatkan ummah dari kegelapan kepada cahaya hidayah, membebaskan mereka dari penjara pemikiran keliru, membina jatidiri mereka sebagai Muslim sejati. Dalam usaha mencapai kemenangan sebagai 'pembebas dan penyelamat ummah', pengorbanan optimum, keutuhan jamaah, daya juang yang tinggi, berdisiplin, berakhlak dan berilmu menjadi pra-syaratnya.
Kita sekarang ini sedang bergerak dengan penuh yakin membawa misi dan visi menuju ke arah membebas dan menyelamatkan ummah. Dengan paras ketaatan kita yang tinggi, InsyaAllah, kita akan mencapai kemenangan.
Firman Allah s.w.t "Allah akan menolong sesiapa yang menolong (agamaNya) Sesungguhnya Allah maha berkuasa." (Surah Al-Hajj : 40)
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar.