Berikut adalah ucapan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Senator Jamilah Ibrahim di Muktamar Tahunan Muslimat PAS ke 38 Taman Melewar, Kuala Lumpur pada 15 Mei 1998 bersamaan 18 Muharram 1419H:
TINGKATKAN KECEMERLANGAN
Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dipertemukan semula dalam Muktamar Dewan Muslimat PAS Pusat kali ke 38 ini. Saya mengalu-alukan kedatangan para perwakilan dan pemerhati serta Wakil Jawatankuasa PAS Pusat ke majlis muktamar ini, mudah-mudahan ia dapat diteruskan dalam suasana mahabbah dan diberkati Allah SWT.
Bertepatan dengan bulan Muharram 1419 hijrah ini, kita melangkah ke tahun baru dengan harapan agar ia menjadi detik perpindahan daripada tahap lama kepada tahap yang lebih cemerlang, dalam menggerakakan kerja-kerja perjuangan Islam yang kita dokong dan yakini ini. Setiap tahun kita mengadakan muktamar adalah untuk bermuhasabah di atas kerja-kerja sepanjang tahun yang lalu dan seterusnya berbincang serta merancang gerakerja pada masa hadapan. Kita perlu membuat penilaian sejauh manakah perancangan yang telah dibuat dapat dilaksanakan. Sekiranya tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya, sewajarnya kita mengenalpasti faktor penghalangnya. Pimpinan muslimat di semua peringkat perlu menilai kekuatan dan kelemahan di kawasan masing-masing dan seterusnya mengenalpasti peluang yang ada untuk mendekati masyarakat.
PENGURUSAN
Perjuangan PAS adalah perjuangan yang berterusan yang tidak terhenti dengan kekalahan atau kemenangan, kerana kita semua selaku pendokongnya yakin dengan firman Allah dalam Surah Al-Baqarah, ayat 214 yang bermaksud:
"Apakah kamu kira bahawa kamu akan dimasukkan ke syurga dengan begitu mudah pada hal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya umat-umat dahulu sebelum kamu yang ditimpa malapetaka dan kesengsaraan serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan), sehingga berkata Rasul dan orang-orang beriman bilakah tibanya pertolongan Allah, Sesungguhnya pertolongan Allah itu sudah hampir."
Dalam usaha kita ke arah memantapkan lagi gerak kerja muslimat, sebagaimana para perwakilan semua sedia maklum, Dewan Muslimat PAS Pusat telah membentang dan melancarkan Plan Induk Dewan Muslimat 1997 hingga tahun 2000 dan Plan Tindakan Dewan Muslimat, yang sepatutnya menjadi panduan kepada muslimat dalam menjalankan gerakerja Jamaah di mana visi Dewan Muslimat ialah "Tertegaknya Daulah Islamiyyah di Malaysia Menerusi Tenaga Muslimat".
Di sini saya ingin menekankan bahawa sesuatu perkara yang ingin dicapai dan dilaksanakan tidak akan membuahkan hasil serta natijah yang baik tanpa didokongi oleh sebuah pasukan kerja yang benar-benar komited kepada jemaah.
Sebuah pasukan kerja yang berjaya hendaklah terdiri daripada ahli-ahlinya yang sama-sama berkongsi matlamat dan nilai, bersungguh-sungguh dan beriltizam serta saling bekerjasama dalam semua hal. Begitulah juga kita dalam perjuangan PAS. Gerak kerja secara berjemaah memerlukan gabungan tenaga dari anggota di dalam organisasi.
Tidak dinafikan sesuatu pekerjaan itu boleh dilakukan seorang diri, tetapi kejayaan yang diperolehi adalah hanya untuk jangkamasa yang singkat. Oleh yang demikian, setiap dari kita yang mengaku sebagai pejuang Islam hendaklah sedar bahawa rasa kebersamaan dan perasaan kekitaan adalah suatu keperluan dalam usaha kita untuk memastikan Islam tertegak di muka bumi Allah, InsyaAllah.
"Sesungguhnya Allah menyukai apabila salah seorang dari kamu melakukan sesuatu kerja maka ia melakukan kerja itu dengan penuh kemahiran." (Hadith)
Dalam melaksanakan proses gerakkerja muslimat, kita perlu mengambil kira konsep Pengurusan Kualiti Menyeluruh ringkasnya TQM dalam organisasi. Saya kira konsep ini bukannya suatu perkara yang asing pada kita semua, tetapi sejauh manakah kita faham dan dapat mengaplikasikannya dalam budaya kerja kita agar prestasi kerja yang cemerlang dapat diperolehi.
Pengurusan kualiti menyeluruh adalah budaya kerja yang mementingkan kualiti samada di peringkat awal perancangan sehinggalah kepada penghasilan mutu barangan ataupun perkhidmatan. Seterusnya matlamat akhir pengurusan kualiti menyeluruh adalah untuk mencapai standard ISO 9000 di mana produk atau perkhidmatan kita telah berada di tahap yang memuaskan dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Budaya pengurusan berkualiti dalam Islam sebenarnya bukanlah sesuatu perkara yang baru, sebaliknya Allah SWT telah banyak menyebut dan memberi peringatan dalam Al Quran tentang kepentingannya. Islam tidak pernah mengabaikan apa-apa kerja mesti kualiti dalam apa jua kerja dan aktiviti umatnya. Ini telah jelas dinyatakan oleh Allah SWT dari beberapa surah dalam Al-Quran.
Muslimat sekalian, sudah tiba masanya kita perlu bangkit dan bertindak memastikan setiap aktiviti atau program yang dirancang, dilaksanakan dengan penuh rasa tanggungjawab, penelitian yang rapi serta tersusun di peringkat awal lagi.
Semoga dengan pengurusan kerja yang terancang, beracuan Al-Quran dan Al-Hadis serta disesuaikan dengan waqi' masa kini saya yakin dan percaya Insya Allah, apa jua gerak kerja yang kita rancangkan akan membuahkan hasil yang bermakna.
KEPIMPINAN
Sebagai sebuah organisasi yang bergerak untuk mendaulatkan Islam di Malaysia, PAS memerlukan kepimpinan yang berwibawa yang mempunyai kefahaman yang jelas tentang misi dan visi parti serta mampu menjelaskannya kepada orang lain. Oleh itu sebagai pemimpin sesebuah organisasi, kita perlu berpegang kepada disiplin yang termaktub di dalam perlembagaan parti yang menjadi garis panduan kepada semua ahli untuk bergerak. Sokongan padu daripada ahli terhadap kepimpinan menjadi syarat asasi kepada kejayaan dan kecemerlangan sesebuah organisasi.
Kita hendaklah sedar bahawa PAS bergerak di bawah teraju kepimpinan ulama'. Konsep kepimpinan ulama' ini hendaklah diselaraskan samada di peringkat pusat, dewan-dewan peringkat negeri, kawasan dan cawangan kerana golongan ulama' ialah mereka yang menerima dan memikul amanah Allah dan Rasulnya dalam menyampaikan dakwah Islamiah kepada umat manusia. Para pimpinan muslimat hendaklah sedar akan hakikat ini. Konsep kepimpinan ulama' hendaklah diterapkan dalam kehidupan pimpinan muslimat.
Terdapat golongan muslimah di zaman sahabat yang berperanan mengeluarkan Fatwa sebagaimana kata Ibnu Al-Qayyim:"Bahawa Fatwa telah dibuat oleh para ulama' yang dikira bilangan mereka lebih dari 130 para sahabat yang terdiri dari lelaki dan perempuan. Para sahabat yang banyak mengeluarkan fatwa di antara mereka itu ada tujuh orang iaitu Umar Bin Al-Khattab, Ali Bin Abi Talib, Abdullah Bin Mas'ud, Zaid Bin Thabit, Abdullah Bin Abbas serta Abdullah Bin Umar dan yang pertengahan memberikan fatwa dari kalangan mereka ialah Abu Bakar, Ummu Salamah, Anas Bin Malik, Othman Bin Affan. Ada diriwayatkan bahawa Siti Aisyah adalah tokoh sahabat yang paling terkemuka dalam masalah Faraidh dan hukum yang halal dan yang haram kerana sahabat-sahabat besar pernah mendatanginya untuk menanyakan masalah Faraidh.
TARBIAH
Untuk meningkatkan prestasi kerja jamaah, proses pentarbiyahan yang syumul yang meliputi tarbiah ruhaniah, tarbiah jamaiah, tarbiah jihadiah dan sebagainya, berdasarkan kesyumulan Islam di dalam aspek aqidah, kaedah, syariat dan nizam amat diperlukan. Proses pentarbiyahan yang syumul mestilah melalui proses fitrah manusia. Maka segala-galanya mestilah dibina di atas iman dan amal yang ditingkatkan melalui proses ilmu, amal, fatanah dam mahfat.
Untuk meningkatkan kecemerlangan amat memerlukan kepada bekalan ilmu pengetahuan. Kita perlu menjadikan diri kita sebagai muslimat yang cinta dan dahagakan ilmu pengetahuan. Kita sepatutnya sentiasa berusaha dan tidak jemu untuk menambah dan meningkat ilmu pengetahuan yang ada pada diri kita.
Khalifah Umar ibnu al-Khattab r.a. pernah berkata dengan maksud:"Perdalamkanlah pengetahuan tentang agama sebelum kamu dijadikan pemimpin."
Musimat sekalian, para Salafus Soleh mencari ilmu tidak mengira penat dan jauh, walaupun sekadar menerima riwayat satu hadis yang ringkas daripada Rasulullah s.a.w. Mereka tidak jemu belajar walaupun sudah alim dan mempelajari perkara yang sama walaupun beberapa kali kerana dengan ilmu dari sumbernya yang sebenar akan melahirkan aqidah yang sebenar yang menggerakkan seseorang itu untuk beramal.
Kita perlu menerima hakikat bahawa apabila kita melibatkan diri dengan jamaah Islam, kita hendaklah menyedari bahawa jalan yang berdasarkan kepada fikrah sahaja tidak akan mendatangkan hasil yang baik, bahkan tidak akan menjadi pegangan yang kukuh untuk jangka masa panjang kalau tidak disertakan dengan amal yang ikhlas kerana Allah.
Kita perlu berusaha meningkatkan kecemerlangan diri untuk menjadi seorang yang berkesan dalam memberikan sumbagan kepada jamaah Islam. Keberkesanan dalam gerakerja jamaah akan terhasil daripada muslimat yang cemerlang dan proaktif. Kita perlu berusaha meningkatkan keimanan, keilmuan dan kematangan dalam perjuangan agar kita dapat mencapai tahap kecemerlangan dalam segala aspek.
Di mana-mana jua diperkatakan betapa pentingnya ilmu pengetahuan, Ilmulah yang akan mencorakkan cara dan ketajaman berfikir manusia. Ilmu dapat membantu menambah keyakinan kita untuk berhadapan dengan pihak lain. Ilmu jugalah yang mengangkat martabat dan nilai diri seseorang.Firman Allah di dalam Surah Al-Mujadalah: 11 yang bermaksud:
"Nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa ayat."
TEKNOLOGI MAKLUMAT
Untuk meningkatkan kecemerlangan pada zaman teknologi maklumat ini, kita amat memerlukan kepada ilmu dan kemahiran kerana kita tidak mahu menjadi muslimat yang ketinggalan. Muslimat PAS perlu memanfaatkan dan memaksimumkan penggunaan teknologi maklumat sebagai media dakwah untuk kita menyampaikan mesej Islam dan memperjelaskan matlamat perjuangan kita kepada umum dengan tepat dan pantas. Sehubungan itu kita dapat bertindakbalas dengan segera terhadap musuh-musuh Islam yang memberi maklumat yang tidak tepat tentang Islam melalui internet dan sebagainya.
Dunia barat sering menyalahtafsirkan Islam dengan mengaitkan Islam dengan keganasan, tidak berperikemanusiaan dan mundur. Kita bertanggungjawab dan perlu memperdengarkan serta memperbetulkan kebenaran Islam kepada dunia. Kita tidak boleh berdiam diri melihat Islam dikutuk dan dihina. Kita perlu melaksanakan tangungjawab kita sebagai khalifah Allah sebaik mungkin agar kita sentiasa mendapat keberkatan dan keredhaan Allah SWT.
Dalam perkembangan terkini muslimat telah melangkah ke dunia antarabangsa. Wakil muslimat telah menghadirkan diri ke majlis Umanat sebuah badan wanita-wanita Islam sedunia yang berpusat di Khartoum Sudan pada 14-16 Septembar 1997. Perasmian muktamar tersebut turut dihadiri oleh Naib Presiden PAS Pusat. Mereka telah mengenali kita secara dekat dan kita juga telah diberi mandat menduduki satu dari unit badan gerakan Islam tersebut.
Walaupun kita sibuk dengan tugasan harian dan tugasan organisasi, kita sepatutnya tidak ketinggalan dengan perkembangan dunia umat Islam Antarabangsa di Kosovo, Bosnia Herzegovina dan Pakistan contohnya di mana pergolakan yang berlaku telah menyebabkan kaum wanita dan kanak-kanak tidak terlepas dari menjadi mangsa kezaliman dan keganasan. Bagi umat Islam, keimanan dan amalan yang berteraskan Al-Quran dan As-Sunnah telah menjadi benteng, memberi kekutan kepda mereka untuk berhadapan dengan kezaliman.
MEMASYARAKATKAN PAS
Untuk meningkatkan prestasi gerak kerja jamaah, kita perlu menguasai kemahiran berkomunikasi samada dalam aspek bahasa serta cara gaya kita menyampaikan dakwah. Kita perlu menguasai bahasa dengan baik dan seterusnya menggunakan bahasa yang mudah difahami oleh semua lapisan masyarakat yang boleh membawa pengertian dan makna yang jelas serta dapat dimengerti oleh pendengar.
Perkataan yang lemah lembut perlu digunakan untuk mendorong penerima dakwah untuk menerima yang haq.
Firman Allah dalam Surah Thaha ayat 43 hingga 44 yang bermaksud:
"Pergilah kamu berdua kepada Firaun, Sesungguhnya dia telah melewati batas. Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah-lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut."
Muslimat yang dihormati sekalian, sudah tiba masanya kita bergerak aktif dalam masyrakat. Tugas muslimat bukan sekadar mendidik keluarga malah meliputi persekitaran yang semakin mencabar. Oleh itu kita perlu melibatkan diri kita dengan anggota masyarakat dan memenangi hati mereka dengan budi pekerti yang baik. Sehubungan itu, program-program dan aktivit-aktiviti yang bakal kita rancangkan nanti perlu mengambil kira masyarakat setempat. Contohnya dengan memberi dan menyediakan khidmat masyrakat akan dapat membantu menjinakkan hati-hati masyarakat dengan PAS.
Untuk mendekatkan diri dengan masyarakat, ia bermula dari diri kita sendiri. Memasyarakatkan PAS seharusnya bermula dari hati dan sifat kita yang suka untuk bergaul mesra dengan orang lain, wajah yang jernih dan ceria dengan senyuman. Diri kita sepatutnya mudah didekati oleh orang lain. Kita tidak akan dapat merubah masyarakat apalagi mendekatkan mereka dengan kita jika kita sendiri tidak melakukan perubahan dalam diri kita kerana hati yang baik akan mudah menawan hati yang lain. Kita perlu jadikan diri kita sebahagian dari masyarakat dan bukan terpisah daripada mereka. Penampilan diri kita dalam masyarakat amat perlu dititikberatkan. Ilmu etika sosial dapat membantu kita menghormati dan memahami orang lain. Apabila budaya, nilai dan norma orang lain difahami, maka ia akan memudahkan kita untuk bergaul, mendekati dan melibatkan diri dalam masyarakat.
Dalam kehidupan berjamaah, jangan ada di kalangan muslimat yang berilmu dan terpelajar mengabaikan tugas dan tanggungjawab kepada masyarakat dan menyerahkannya kepada muslimin sahaja. Muslimat bertanggungjawab untuk tampil ke hadapan menentang arus kesesatan, keruntuhan pemikiran dan kerosakan akhlaq. Kita sepatutnya memandang jijik dan membenci akan kemajuan-kemajuan yang melanggar hukum-hukum Allah.
Firman Allah SWT dalam Surah Al-Ahzab ayat 23 yang bermaksud:
"Di antara orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah, maka di antara mereka ada yang telah gugur. Dan di antara mereka ada pula yang menunggu dan mereka sedikitpun tidak merubah janjinya."
Bergerak ke arah kecemerlangan bukanlah suatu perkara yang mudah. Ianya memerlukan kepada usaha yang bersungguh-sungguh serta komitmen yang tinggi. Bekalan yang diperlukan ialah iman yang teguh serta taqwa kepada Allah. Bekalan iman dan taqwa itulah yang akan memancarkan segala mataair kebaikan dari lubuk hati, melahirkan segala daya dan tenaga, memupuk ketinggian cita-cita serta menambahkan keazaman dan kemahuan. Natijahnya ia akan memudahkan segala gerakan dan langkah serta dapat mengatasi segala rintangan. Kita sangatlah memerlukan kepada Nur Islam bagi menerangi jalan kita supaya kita sentiasa melangkah di atas basirah dan berpandangan jauh, jelas dan terang tanpa penyelewengan, kesilapan atau tergelincir yang mungkin menyekat kita untuk berjalan terus.
Firman Allah SWT dalam Surah Al-An'am ayat 153 yang bermaksud:
"Sesungguhnya inilah jalan yang lurus, ikutilah dia dan janganlah kamu mengikuti jalan yang lain lalu kamu bercerai berai dari jalannya, demikianlah diwasiatkan kepada kamu, semoga kamu bertaqwa."
(Bersambung)