Berikut adalah ucapan Ketua Pemuda PAS, Ustaz Abu Bakar Chik di Muktamar Tahunan Pemuda PAS ke 39 yang diadakan di Taman Melewar, Kuala Lumpur pada 14 Mei 1998 bersamaan dengan 17 Muharram 1419H:

BANGKIT MENOLAK BN

Alhamdulillah, segala puji dan kesyukuran kepada Allah SWT di atas segala nikmat dan kurnia-Nya maka kita berhimpun di majlis Muktamar Tahunan Ke-39 pada pagi ini. Mudah-mudahan perhimpunan besar dan bersejarah ini akan menjana kekuatan bagi melonjakkan kita kepada penguasaan daulah yang kita perjuangkan.

Bagi pihak kepimpinan Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat), saya mengalu-alukan dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas kehadiran YB Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Hj. Awang, Timbalan Presiden PAS bagi merasmikan Muktamar Tahunan ini. Kami juga mengalu-alukan tuan-tuan yang dimuliakan para tetamu, sahabat-sahabat yang dikasihi para perwakilan dan pemerhati ke majlis yang serba sederhana ini. Mudah-mudahan dengan kehadiran tuan-tuan akan menjadikan majlis muktamar ini dilimpahi keberkatan daripada Allah Azza wa Jalla.

Muktamar kali ini amat significant bagi kita merumuskan agenda dan tindakan realistik bagi menyelamatkan ummah dan negara yang kini di tebing kehancuran. Segala pakej pembangunan dan wawasan muluk yang ditaja oleh kelompok sekular yang memerintah negara ini telah terbukti gagal dan merosakkan. Tiada pihak lain yang mampu dan layak bagi memulihkan negara dari kebinasaan yang dibuat oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) melainkan Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang mendokong risalah Islam dengan segala kehebatannya.

DPP SATU DEKAD

Sejak hampir sedekad yang lalu kita telah berusaha keras bagi membina gerakan pemuda yang tersusun dan mantap. AlhamduliLlah, dengan rahmat-Nya, pembinaan organisasi DPP untuk mencapai matlamat gerak kerja dan sasaran di semua peringkat telah dilakukan dengan sebaik-baiknya. Sehingga  ini lajnah-lajnah, jawatankuasa-jawatankuasa dan unit-unit dalam organisasi  DPP memenuhi ruang lingkup pergerakan umat dalam negara ini. Pembinaan ini menyediakan asas kekuatan kukuh bagi PAS mengambil tampuk kekuasaan negara dengan penuh kewibawaan.

Tarbiah sebagai mekanisme utama pembinaan pemuda telah diselaraskan dengan keperluan pembinaan parti. Melalui pembentukan Usrah Unit Kerja Jemaah (UUKJ), ianya diharapkan menjadi nukleus pergerakan pemuda menjana kuasa rakyat. Kita mempertegaskan bahawa kegiatan tarbiyah berasaskan usrah sebagai kemestian bagi melatih dan memantapkan keperibadian aktivis Islam di semua peringkat tidak boleh diabaikan daripada kegiatan parti. Sesungguhnya agenda kita dalam memastikan sifat-sifat hizbullah dihayati oleh anggota pemuda akan diteruskan. Kita menyedari hakikat perjuangan Islam melalui jalan yang panjang serta liku-liku yang banyak serta menjadi sunnah dan sirah perjuangan sepanjang zaman.

Begitulah benarnya hakikat firman Allah SWT yang bermaksud:"Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperolehi dan perjalanan yang tidak berapa jauh, pastilah mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka. Mereka akan bersumpah dengan (nama) Allah :

"Jikalau kami sanggup tentulah kami berangkat bersama-samamu".Mereka membinasakan diri mereka sendiri; dan Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka benar-benar orang-orang yang berdusta." (Surah At-Taubah : 42)

Pemuda juga telah berjaya meletakkan asas cemerlang mencernakan pembangunan politik dan kepimpinan pelajar yang jelas serta berketrampilan untuk mereka menjadi pemimpin abad akan datang. Kita bersyukur, hala tuju sebahagian pergerakan perdana pelajar negara kini sedang terarah dengan betul bagi mengembalikan kedaulatan Islam dan menjadi aset besar untuk mengisi kemenangan Islam dalam waktu terdekat, insyaAllah.

Pemuda Malaysia mestilah diwajahkan semula menjelang alaf akan datang. Dasar-dasar pendidikan, budaya, sukan dan penyiaran negara dewasa ini membentuk mereka menjadi remaja yang liar; yang memegang kuasa terus mengikut jejak langkah kerajaan BN yang mewarisi budaya hidup penjajah. Orang-orang tua mereka dalam politik tidak boleh berbuat apa-apa kerana manakan 'ketam dapat mengajar anaknya berjalan betul' dan tentulah 'bapa borek anaknya rintik.'

Pemuda Umno masih terkinja-kinja dalam isu murtad tetapi bersungguh dengan isu khazanah filem P.Ramlee, petanda mereka ketandusan wawasan pembangunan ummah. Oleh itu masyarakat Melayu/Islam perlu berubah dengan kesedaran dan usaha yang bersungguh-sungguh melaksanakan kerja-kerja Islam/fisabilillah. Pemuda PAS akan berusaha terus menerus membantu penyelesaian masalah belia Islam Malaysia yang telah diserang oleh pelbagai penyakit ini dengan usaha-usaha tarbiyah dan tablighat Islamiyyah.

Dewan Pemuda PAS akan terus bersama masyarakat memberitahu rakyat dan mengajak mereka bersama-sama dengan jamaah Islam berusaha menyelamatkan dana-dana rakyat seperti KWSP, Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Petronas daripada terus 'dirompak' oleh kepimpinan Umno bagi menyelamatkan 'tycoon-tycoon' dan qarun-qarun di sekeliling mereka.

Sudah sampai masanya Pemuda PAS memainkan peranan yang konkrit dalam menggabungkan kekuatan belia  Malaysia untuk mendokong pembangunan umat atas dasar Islam. Untuk itu satu kongres nasional yang dinamakan Permesyuaratan Pemuda Malaysia akan dilaksanakan secepat mungkin daripada sekarang. Sebagai persiapannya pemuda di semua peringkat mestilah mempunyai kekuatan sumber dan intelektual. Agar dengan itu kuasa rakyat akan dapat digemblengkan sebagai mekanisme menolak kebejatan kuasa sekular.

KEUTUHAN PAS

Melalui kepimpinan ulama dan dokongan pemuda yang komited dengan Islam, PAS berjaya mengatasi halangan-halangan  yang membantutkan perkembangan untuk muncul sebagai Parti Islam yang terulung di negara ini. Dengan menggerakkan kesedaran ummah dalam semua  peringkat  dan disiplin kehidupan moden di Malaysia, PAS muncul sebagai pelopor gerakan umat serantau yang menangani keperluan amar makruf dan nahi munkar dengan berkesan dan berupaya mencapai kekuasaan.

Keutuhan PAS terbina di atas kefahaman pemimpin dan pendokongnya tentang dasar Islam yang terpancar dari wahyu Ilahi dan Nubuwwah Muhammad SAW, kefahaman aqidah dan akhlak Islamiyyah iaitu dengan mendalami nusus syar'iyyah dan amalan yang ikhlas kepada Allah. Mereka merasa bahagia dengan pilihan Allah SWT atas diri mereka sebagai muslim dan akan terus kehadapan melaksanakan kebaikan dan tidak akan melakukan perlumbaan melainkan kerananya.

Itulah yang telah dibandingkan oleh Allah SWT di dalam firman-Nya yang bermaksud:

"Kemudian Kitab itu Kami wariskan kepada orang-orang yang Kami pilih di antara hamba-hamba Kami, lalu di antara mereka ada yang menganiaya diri mereka sendiri dan di antara mereka ada yang pertengahan dan di antara mereka ada (pula) yang lebih cepat berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu adalah kurnia yang amat besar." (Surah Faathir : 32)

Semua ini akan dapat dicapai dengan disiplin yang tinggi diikuti pula dengan kesabaran dan tawakkal kepada Allah SWT. Disiplin seperti ini akan menyelamatkan parti dari kelemahan dan perpecahan. Kerana itu anggota-anggota jemaah tidak seharusnya keluar daripada disiplin kepartian yang telah diterimapakai di dalam jemaah dan dimaktubkan di dalam perlembagaan parti. Sebarang usaha melemahkan disiplin dan perpaduan hendaklah diambil tindakan sewajarnya. Segala kecenderungan  mencetuskan kegelisahan dalam jemaah hendaklah dibendung. Sebagai gerakan ummah di negara ini, PAS bertanggungjawab  memastikan perpaduan ummah di peringkat nasional lebih-lebih lagi di kalangan ahli diusahakan dengan sedaya upaya. Untuk itu, DPP Pusat mempertegaskan sokongan sepenuhnya kepada pimpinan parti atas tindakan disiplin memecat mereka yang membawa, mengamal dan menyebar ajaran Syiah di dalam parti bagi melaksanakan Fasal 75 Perlembagaan Parti Islam Se Malaysia (PAS) (Pindaan 1993).

Saudara-saudara perwakilan dan pemerhati sekelian,

Perjalanan PAS sepanjang empat puluh tujuh tahun yang lalu menempatkannya sebagai satu harakah yang teguh. Dasar-dasarnya yang terus merujuk kepada Al-Quran dan Al- Sunnah, Ijmak Al-Ulama dan Al-Qiyas serta dasar-dasar hukum lainnya yang dipakai oleh para ulama muktabar tidak sepatutnya dipersoalkan sampai ke tahap perlu merombak prinsip-prinsip yang telah sebati dipakai oleh anggota umat Islam di negara ini. Segala kebijaksanaan dari luar masyarakat setempat dan doktrin-doktrin baru dalam politik, ekonomi dan kemasyarakatan patut diterimapakai sebagai satu kebijaksanaan tetapi tidak seharusnya menjadi keyakinan yang meminda dasar-dasar aqidah dan ibadah yang tidak berlawanan dengan amalan jumhur ummah.

Sementara perkembangan dalam jemaah di pelbagai peringkat kegiatan janganlah diresapi dengan gejala kelalaian akibat pengaruh maddiyyah. Kegiatan dan institusi ekonomi yang didokong oleh ahli sepatutnya menambahkan input perjuangan disertai dengan rasa syukur ke hadrat Allah SWT dan kasihkan perjuangan. Aneh sekali kiranya kemajuan ekonomi jemaah dan anggotanya melalaikan mereka daripada menjaga syakhsiyyah Islamiyyah.

Institusi ekonomi yang diasaskan atas political will pimpinan jemaah perlu kembali memainkan peranannya meneguhkan jemaah itu sendiri. Ahli yang mendokong institusi ini mesti faham tujuan sebenar penyertaan di dalam institusi ini bukan untuk menyuburkan nilai-nilai maddiyyah tetapi nilai keimanan dan pengorbanan yang tinggi.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Lelaki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak pula oleh jual beli dari mengingati Allah dan dari mendirikan solat dan dari membayarkan zakat. Mereka takut kepada suatu hari di mana di hari itu hati dan penglihatan menjadi goncang..". (Surah An-Nuur : 37)

Jihad menentang hawa nafsu dan jihad fisabilillah mesti digembleng berterusan sebagai tanggungjawab setiap individu untuk mempertahankan maruah Islam dan umat dengan mengambil pendapat ulama salaf dan khalaf yang meletakkan tanggungjawab mempertahankan bumi Islam sebagai fardhu 'ain. Peribadi Muslim mesti berjihad dengan bergerak dan bekerja untuk memastikan keadilan dan rahmat Islam dapat dinikmati kerana sifat Islam adalah rahmatan lil alamin. Elemen-elemen untuk memperkuatkan dakwah Islamiah dalam masyarakat di seluruh negara patut disegerakan dan diberikan tumpuan dengan sebenar-benarnya. PAS Sabah dan Sarawak mesti segera diperkuatkan dengan jentera perkaderan dan dakwah agar Islam tidak diperlemahkan oleh gerakan pengkristianan yang diberikan perlindungan oleh Barisan Nasional yang memerintah di kedua-dua negeri berkenaan.

Pergerakan individu  Muslim sepatutnya mencari sasaran sehingga mereka boleh membentuk kekuatan kelompok Islam yang sedia ada, bahkan kelompok-kelompok Islam yang dimunculkan atas pembangunan ummah secara berencana dan menyeluruh.

KESELAMATAN NEGARA

Senario politik negara kian gawat. Umno sebagai tulang belakang parti pemerintah telah hilang kekuatan dan menunjukkan tanda-tanda kehancuran dengan politik wang dan perbalahan dalaman yang berterusan. Pemimpin-pemimpin Umno pula tidak mempedulikan Islam. Islam terus dipinggirkan dan terpisah jauh dari dasar politik dan negara. Isu-isu yang banyak dalam negara seperti kejatuhan ekonomi dan nilai ringgit, jerebu, krisis air dan kerugian dalam syarikat-syarikat besar seperti Perwaja menunjukkan bahawa setiap pembinaan ekonomi dan pembangunan yang diusahakan selama ini natijahnya hancur berkecai. Semua ini berlaku bukan kerana masalah prasarana yang tidak kuat tetapi kelemahan kepimpinan parti-parti yang memerintah negara terutama Umno.

Rasuah dan skandal pemimpin-pemimpin besar dan pegawai-pegawai kerajaan seperti bekas Menteri Besar (MB) Selangor, bekas Ketua Menteri Melaka dan hukuman ke atas Setiausaha Kerajaan (SUK) Melaka yang lalu, penyalahgunaan kuasa dalam pemilikan tanah, pemilikan ekuiti melalui penswastaan. Kebebasan pemilikan asing dan pembahagian kekayaan negara secara tidak adil dan menindas, menambahkan bukti tentang kelemahan kepimpinan negara khususnya kepimpinan Umno.

Serentak dengan itu juga negara menyaksikan kemusnahan institusi keluarga dan ummah dengan  berkembang hebatnya gejala sosial dan pelbagai jenis maksiat seperti arak, judi, perzinaan, sanjungan melulu terhadap artis dan pemuzik, pesta seks remaja,  cacian terhadap alim ulamak dan lain-lain. Maksiat-maksiat ini sampai ke kemuncaknya dengan berlakunya peristiwa-peristiwa yang sangat menyayat hati tanpa perlindungan dan pembelaan undang-undang dalam menjaga maruah Islam dan umatnya.

Kita mengingatkan mereka sekali lagi tentang bahaya tindakan-tindakan mereka kerana Allah SWT dan Rasul-Nya telah mengingatkan kita bertapa kehancuran yang akan menimpa apabila perkara-perkara tersebut berlaku dalam negara dan masyarakat:

Firman Allah:

"Tidakkah mereka memerhati dan memikirkan berapa banyak ummat yang telah Kami binasakan sebelum mereka, padahal (ummat-ummat itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di mukabumi (dengan kekuasaan dan kemewahan) yang tidak Kami berikan kepada kamu, dan Kami turunkan hujan yang lebat ke atas mereka, dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka dengan sebab dosa mereka sendiri, dan Kami ciptakan sesudah mereka ummat yang lain." (Surah Al-An'am : 6)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Apabila umatku melakukan lima belas perkara luluslah untuk mereka azab Allah". Lalu ditanya : "Apakah ia wahai Rasulullah?"; Sabda Rasulullah SAW "Apabila harta negara berkisar di kalangan orang-orang yang tertentu, amanah dijadikan peluang untuk mendapat harta, zakat dianggap cukai, orang lelaki mentaati isteri dan mendurhakai ibunya, berlaku baik terhadap rakan dan berkasar terhadap bapanya, hingar bingar di dalam masjid, orang yang menjadi pemimpin di kalangan kaum ialah orang yang paling hina, dimuliakan seseorang kerana takutkan kejahatannya, diminum arak, dipakai sutera oleh kaum lelaki, diambil penyanyi wanita, disanjung alat-alat muzik, dan orang yang kemudian di kalangan umat ini melaknat orang yang terdahulu. Di kala itu tunggulah angin yang membinasakan dan bumi yang menghapuskan." (Riwayat At-Tirmidzi)

Dalam masa yang sama politik MCA, Gerakan dan DAP terus memperjuangkan kepentingan kaum Cina di Malaysia. MIC pula setelah menyatupadukan kaum India kelihatan memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi dan pendidikan. Tetapi malangnya mereka telah gagal memandu halatuju masyarakat Hindu sehingga menimbulkan keresahan rakyat negara ini seperti isu berleluasanya pembinaan kuil-kuil sesuka hati. Adalah difahamkan terdapat sebanyak  17,600 buah kuil di negara ini dengan hanya 2000 sahaja yang yang dilaporkan berdaftar.

Nampaknya percaturan politik di antara  Umno dan anggota komponen Barisan Nasional di seluruh negera telah menyebabkan Umno kehilangan kekuatan. Konsesi-konsesi yang diberikan oleh Umno kepada rakan-rakan kongsinya di dalam BN sangat menyulitkan masa depan umat Islam negara ini terutamanya orang Melayu. Gagasan Bangsa Malaysia kerajaan BN tidak jauh bezanya dengan Malaysian Malaysia yang digagaskan oleh kelompok berkepentingan perkauman. Gagasan-gagasan sempit ini tidak memberi apa-apa makna kepada pembangunan ummah dan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Negara terus diheret oleh falsafah politik nasional sempit yang memberi ruang kepada 'chauvinist' perkauman mengeksploitasi kaum dan puak bagi kepentingan kepimpinan masing-masing. Kekayaan negara dibahagi-bahagikan di kalangan pihak atasan kaum kononnya atas nama keadilan. Bangsa Melayu yang selamanya hidup sederhana dan berhati murni dicengkam dan diperalatkan menjadi bangsa miskin dan tertindas sedangkan pemimpinnya menjadi pemakan rasuah dan penipu rakyat.

Masalah petani dan nelayan yang tidak mempunyai tanah dan kediaman, tiada skim jaminan sosial, buruh ladang yang bergaji rendah, penyelesaian hak milik yang boleh difaraid mengikut Islam belum diperolehi oleh peneroka, kemarau melanda, pengambilan tanah petani untuk projek pembangunan yang gagal di Kerpan di samping pemberian tanah dan konsesi kepada bukan Melayu yang kaya-raya membenarkan ungkapan peribahasa Melayu :  'ayam di kepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan' atau 'kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan'. Tidak kurang juga masalah yang dihadapi oleh pekerja-pekerja sektor industri, kilang dan bank yang hilang pekerjaan dan akan hilang pekerjaan menunjukkan betapa sempitnya kehidupan golongan mustadh'afin di bawah dasar kerajaan BN.

Negara juga menyaksikan pembaziran wang rakyat yang hebat akibat kegagalan penswastaan projek-projek mega bernafsu besar seperti Projek Empangan Bakun dan penswastaan bekalan air Lembah Klang. Kegagalan ini bukan sahaja memamah khazanah rakyat malah menimpakan penderitaan yang tidak terungkapkan ke atas rakyat.

Bangsa Melayu/Islam telah hilang kekuatan sejak dipimpin oleh Umno/BN dan tiada sesuatu apa pun yang boleh dibanggakan melainkan angan-angan dan slogan-slogan yang dilaungkan. Sesungguhnya bangsa Melayu/Islam tiada kekuatan dalam ekonomi, politik dan pendidikan walaupun digagas sekian lama melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB). Bangsa Melayu/Islam tidak mempunyai apa-apa dalam negara ini kecuali kehidupan yang sangat sederhana dan dhaif. Adalah dilaporkan bahawa tanah-tanah milik orang Melayu di bandar-bandar sangat sedikit seperti di Pulau Pinang hanya sekadar 2% sahaja. Rakyat diperdaya dengan slogan-slogan muluk seperti Wawasan 2020 tetapi hakikatnya tanah air, bangsa dan agama semakin hari semakin hilang dari pegangan.

Maka benarlah firman Allah S.W.T:

"Dan orang-orang yang kafir amal-amal mereka adalah laksana fatamorgana di tanah yang datar, yang disangka air oleh orang-orang yang dahaga, tetapi bila didatanginya air itu  dia tidak mendapatinya sesuatu apapun. Dan didapatinya (ketetapan) Allah di sisinya, lalu Allah memberikan kepadanya perhitungan amal-amal dengan cukup dan Allah adalah sangat cepat perhitungan-Nya." (Surah An-Nuur : 39)

Kita menegaskan bahawa negara sebenarnya sedang mengalami krisis ekonomi yang tenat bukan kegawatan ekonomi seperti yang digambarkan oleh pemimpin BN - manifestasi kegagalan ideologi dan sistem sekular global dan sekarang adalah giliran rantau Asia Tenggara menerima padahnya. Kerajaan BN ternyata gagal mengurus krisis ekonomi negara sehingga membawa kepada keadaan lebih parah dan menghakis keyakinan rakyat. Mereka tanpa segan silu menyalahgunakan wang rakyat untuk menyelamatkan (bail out) syarikat-syarikat korporat bermasalah dengan sewenang-wenangnya menggunakan dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang merupakan wang amanah rakyat. Pembaziran wang rakyat melalui SUKMA, SUKOM dan isu pembinaan rumah Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri di Putra Jaya serta isu pengubahsuaian kediaman rasmi Menteri Besar Selangor yang didakwa menelan kos jutaan ringgit turut menyumbang kepada kemarau tabung negara.

Rakyat Malaysia terus malang apabila konsep ketelusan dalam pengurusan negara hanya menjadi slogan pemanis pidato pemimpin BN walhal mereka terus berusaha menyembunyikan segala kesalahan mereka dengan berbagai dalih dan alasan. Hal ini ternyata apabila setiap kali Perdana Menteri didesak menjelaskan secara tuntas punca sebarang krisis negara maka beliau akan melenting dan melemparkan tuduhan-tuduhan tidak berasas kepada golongan lain.

Di Kelantan pihak-pihak yang tidak berpuas hati terhadap kerajaan negeri terus memainkan peranan melemahkan kepimpinan kerajaan negeri bagi kepentingan segelintir pihak atasan, pegawai-pegawai tadbir dan pemimpin politik BN. Mereka tidak segan silu bersekongkol atas nama menjaga agama dan pembangunan rakyat sedangkan kerajaan negeri melayan mereka dengan baik dan adil. Ketika mereka memegang kuasa yang dimandatkan oleh rakyat mereka melakukan kerosakan dan menyusahkan rakyat jelata. Alhamdulillah, PAS sudah menunjukkan model cemerlang di Kelantan. Kebenaran Islam sebagai akidah dan nizam untuk masyarakat dan negeri telah dapat dibuktikan oleh kerajaan PAS di bawah pimpinan ulama. Kelantan merupakan merupakan model yang hidup bagi seluruh rakyat Malaysia.

PILIHANRAYA

Kekalutan yang melanda negara sudah lebih daripada cukup bagi rakyat negara ini bagi melakukan hijrah dengan menukar kerajaan BN kepada kerajaan Islam yang didokong oleh PAS. Segala penyelewengan dan kegagalan kerajaan BN sudah didedahkan oleh Allah melalui berbagai krisis, kemelut dan bencana yang menimpa negara. Rakyatlah golongan paling teruk tertindas dan menerima padah angkara kebejatan kerajaan BN.

Umat Islam hendaklah yakin dengan kemampuan Islam mentadbirkan negara kerana negara Islam telah mempunyai model yang unggul iaitu negara Islam Madinah yang dihasilkan daripada peristiwa hijrah Rasulullah SAW. Rakyat yang bukan Islam pula perlulah menaruh keyakinan kepada keadilan Islam. Ini terbukti, walaupun mereka hidup di Malaysia, sebuah negara ummat Islam, mereka dibenarkan melakukan aktiviti harian tanpa diganggu oleh orang-orang Islam. Perlembagaan negara Islam mengizinkan orang yang bukan Islam hidup seaman-amannya bahkan akan mengenakan hukuman terhadap orang Islam yang menganiayai mereka, membenarkan mereka mengamalkan agama mereka dan tidak memaksa mereka menganut agama Islam. Pemerintahan Islam yang diperjuangkan oleh PAS menjamin keadilan sebenar kepada mereka.

Firman Allah yang bermaksud:

"Tidak ada paksaan (untuk) memasuki (agama) Islam, sesungguhnya telah jelas jalan yang benar dari jalan yang salah". (Surah Al-Baqarah : 256)

Al-'Allamah Shamsuddin Al-Ramli As-Shafie di dalam kitabnya Nihayah al-Muhtaj menjelaskan bahawa ahlul al-Dhimmah samalah seperti orang-orang Islam, menghalang kemudharatan supaya tidak menimpa mereka adalah wajib".

Saudara-saudara sidang perwakilan dan pemerhati sekelian,

Dalam masa yang sama PAS mesti mengemblengkan pemikiran dan tenaga bagi menyampaikan seruan Islam secara berkesan kepada kaum bukan Islam di Malaysia. Statistik yang menunjukkan penambahan drastik penganut Kristian dari kaum China di negara ini patut menjadi isyarat yang jelas kepada kita bagi memperhebatkan dakwah Islamiyyah kepada golongan ini. Golongan ini mesti didekati dan diberitahu bahawa pemahaman terhadap aqidah Islam tidak harus dibentengi oleh perkauman yang selama ini mengancam perpaduan negara. Perkongsian aqidah mestilah dijadikan teras perkongsian pintar sebenar yang akan memacu kekuatan negara menjelang alaf akan datang.

Sementara para petugas PAS mestilah membuat persediaan maksimum bagi menghadapi cabaran pilihanraya umum akan datang. Kerajaan BN walaupun dilanda berbagai  masalah dan di ambang kehancuran, namun gerakan sekular global pasti tidak akan membiarkan Islam merampas tampuk kekuasaan negara begitu mudah. Segala taktik, strategi dan tindakan mestilah dipelajari dan dipertingkatkan bagi menghadapi 'ghazwah' penentuan ini.

Pengurusan jentera pilihanraya parti perlu diberi suntikan kaedah-kaedah pengurusan terkini di samping kaedah-kaedah lama yang perlu dipertingkatkan. Para petugas pilihanraya PAS mestilah mampu menguasai dan memanfaatkan sepenuhnya produk teknologi maklumat (IT) bagi menjana kemenangan. Setiap anggota PAS mesti menjadi ejen promosi dengan segala keupayaan yang ada pada mereka untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat supaya menerima kehadiran PAS sebagai pembela keadilan. Seluruh usaha mesti digemblengkan untuk mengajak rakyat bangkit menolak BN.

Pilihanraya dijangka akan diadakan samada tahun ini atau selewat-lewatnya awal tahun 2000. Kerana itu sebagai jemaah yang memilih saluran pilihanraya, persiapan seharusnya sudah berjalan sekian lama. DPP di semua peringkat seharusnya sudah menggerakkan jentera pilihanraya bagi menghadapi pilihanraya akan datang tanpa sebarang dalih dan tangguh. Dengan meletakkan pergantungan sepenuhnya kepada Allah SWT, rakyat Malaysia mestilah berani melakukan perubahan melalui pilihanraya umum akan datang. Rakyat Malaysia mestilah mengambil peluang berharga ini bagi menyelamatkan negara dan ummah dari kebinasaan akibat keangkuhan dan kerakusan para pemimpin kerajaan BN.

Meningkatkan peranan PAS di Asia Tenggara

Malaysia bersatu di bawah ASEAN sebagai pertubuhan terbuka tanpa terikat dengan ideologi tertentu; masing-masing bertujuan menyelesaikan masalah ekonomi dan pembangunan semasa dengan tolak ansur di peringkat negara masing-masing. Inilah 'perkongsian pintar' yang diasaskan kepada kepentingan maddiah semata-mata. Mesej tauhid yang menjadi agenda anbiya' dan mursalin sepanjang zaman nyata tandus daripada pemikiran para pemimpin negara beragama Islam yang menganggotai pertubuhan serantau itu.

Sebagai gerakan Islam PAS tidak boleh mengabaikan perkembangan-perkembangan yang berlaku kerana setiap   perkara yang berlaku di ASEAN memberi kesan segera ke atas Malaysia seperti isu pelarian politik Acheh dan jerebu.  Kita tidak dapat menerima hakikat kerjasama serantau semata-mata atas pembangunan duniawi.  Kita menegaskan bantahan terhadap sokongan Kerajaan Malaysia kepada kerajaan junta tentera di Myanmar tetapi dalam masa yang sama mengenepikan Gerakan Islam Asia Tenggara. Kita menentang keras dasar 'perkongsian pintar' kerajaan BN yang hanya  membolehkan pelaburan ekonomi di Kemboja, Vietnam dan Myanmar tetapi dalam masa yang sama menghantar pulang para ulama Islam dan pejuang Islam ke Thailand dan Acheh untuk kononnya 'diadili' oleh regim kafir/sekular di sana.

DPP Pusat menyedari bahawa peranan kita umat Islam Malaysia dalam membantu umat Islam Asia Tenggara belum digemblengkan  dengan sebaik-baiknya. Perihal dari itu, maka hubungan persaudaraan Islam PAS dengan masyarakat Islam di Thailand, Indonesia, Kemboja, Filipina, Brunei dan seluruh negara ASEAN tidak boleh diabaikan. Adalah menjadi satu kesalahan agama sekiranya kita tidak mengambil berat masalah umat Islam di Asia Tenggara. Kita harap PAS akan dapat membentuk rangkaian persaudaraan umat Islam Asia Tenggara atau satu badan yang menangani isu tersebut seberapa segera.

Allah SWT telah mengingatkan kita berkenaan aspek-aspek di atas di dalam firman-Nya yang bermaksud:

"Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah, dan orang-orang yang memberi tempat kediaman dan memberi pertolongan (kepada orang-orang muhajirin), mereka itulah orang-orang yang benar-benar beriman. Mereka memperoleh keampunan dan rezeki (nikmat) yang mulia." (Surah Al-Anfaal : 74)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Bandingan orang-orang yang beriman  dalam kasih sayang, lemah lembut dan belas kasihan  mereka  di antara satu sama lain diibaratkan seperti jasad yang satu. Apabila salah satu anggotanya mengadu sakit maka terpanggillah seluruh anggota sehingga tidak dapat tidur dan demam."Al-Hadis

Kita tidak boleh menutup mata melihat tindakan dan kezaliman ke atas umat Islam kerana kesungguhan atau jihad dalam menghadapi konspirasi musuh umat Islam adalah fardhu 'ain yang disepakati oleh ulama Salaf dan Khalaf.

As-Syahid AbduLlah Azzam memberikan satu panduan yang bernilai : "Bahawasanya apabila telah berlaku pencerobohan ke atas sebahagian daripada tanah air umat Islam, jihad menjadi fardhu ain ke atas setiap muslim dan muslimah dengan sekira-kira seorang anak boleh keluar berjihad tanpa keizinan bapanya dan isteri tanpa keizinan suaminya."

DPP menyatakan sokongan tegasnya terhadap perjuangan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) di bawah pimpinan Ustaz Selamat Hashim. Begitu juga mana-mana perjuangan Islam bagi menegakkan daulah Islamiyyah di atas muka bumi ini.

Asia Tenggara kini menghadapi pendakyah-pendakyah Kristian dan pelobi-pelobi mereka dalam rangka menjadikan Asia Tenggara sebagai blok Kristian. Setelah mereka kian terpinggir dan merasa lemah di Barat, gerakan Kristianisasi beralih ke beberapa bahagian dunia yang lain terutama ke Asia Tenggara bagi menyelamatkan institusi rahib dan dakyah ketuhanan mereka yang menyesatkan. Fokus mereka tertumpu kepada bangsa Melayu khususnya di Malaysia dengan gelaran 'The Unreached Peoples'. Kita memandang serius penyebaran dokumen dakyah Kristian di kalangan para pelajar Islam di sebuah sekolah di kawasan Damansara pada awal tahun ini. Umat Islam di negara ini wajib mengambil langkah tegas dan proaktif dalam menangani masalah ini.

Sesungguhnya kerajaan BN dan undang-undang negara tidak memberi perlindungan kepada aqidah umat Islam seperti yang telah dibuktikan secara jelas oleh kes Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri lwn Jamaluddin Bin Othman (1989) 1 MLJ 418 m/s 420. Fakta rayuan kes menyatakan bahawa responden mengambil bahagian di dalam sebuah seminar untuk tujuan menyebarkan dakyah Kristian di kalangan orang Melayu. Responden telah berjaya memurtadkan enam orang Melayu Islam dan mereka kemudiannya memeluk Kristian.

Dalam justifikasinya mengenai Perkara 11 Perlembagaan Malaysia, Yang Amat Arif Hakim Hashim Yoep Abdullah Sani menyatakan dengan semata-mata mengambil bahagian di dalam seminar dan mesyuarat tidak boleh menyebabkan seseorang itu menjadi ancaman keselamatan negara. Berkenaan dengan tuduhan murtadnya enam orang Melayu Islam beliau berpendapat sekalipun benar ia tidak dengan sendirinya boleh dianggap sebagai suatu ancaman terhadap keselamatan negara. Kes murtad Hartina Kamarudin dan Nor Aishah Bokhari yang meledak pada tahun 1996/1997 dan menjelang Ramadhan yang lalu merupakan rentetan-rentetan kesan gerakan pengkristianan yang berlaku semenjak sekian lama di wilayah ini.

KEMBALIKAN MARUAH UMMAH

Persada antarabangsa tidak lagi kedengaran suara Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) dan mereka telah kehilangan taring dalam menangani isu ummah. Tiada satu isu pun mampu ditangani oleh OIC dengan berkesan. Usaha yang moderate seperti yang dipelopori oleh Parti Refah dengan Gagasan G8 telah hancur berkecai akibat penguasaan fahaman sekularisme yang dibawa oleh Kamal Ataturk dan kuncu-kuncunya ke atas Turki. Sementara kesumat Amerika Syarikat (AS) dan gerakan Yahudi/Zionis antarabangsa terbukti dengan konspirasi jahat mereka ke atas negara-negara umat Islam.Mei 1998 genaplah lima puluh tahun penjajahan ke atas Palestin oleh pengganas Yahudi dan sekutu-sekutunya. Dunia telah menyaksikan kegagalan regim-regim sekular yang menguasai negara-negara umat Islam bagi membebaskan bumi Palestin dan Kashmir ari keganasanYahudi dan pelampau Hindu. Harapan kini hanya kepada gerakan Islam seluruh dunia yang mesti mengumpulkan segala kekuatan bagi berpadu menamatkan segera penindasan dan kezaliman ini .Kita juga amat sedih dengan kepimpinan sekular di beberapa negara Arab yang terus menerus melakukan kezaliman terhadap gerakan Islam. Umat Islam di Algeria, Syria dan lain-lain terus dinafikan hak mereka untuk hidup di bawah naungan syariat Islam walaupun mereka adalah pewaris tunggal bumi berkenaan. Kerajaan-kerajaan sekular ini sanggup melakukan apa sahaja di luar batasan semata-mata untuk mengekalkan kuasa dan memenuhi nafsu 'tuan-tuan' zionis mereka.

Di negara-negara di mana umat Islam menjadi golongan minoriti, mereka turut ditindas tanpa sebarang pembelaan. Barat yang mendakwa pembela hak-hak asasi manusia ternyata hanya memperuntukkan hak-hak tersebut kepada zionis Israel tetapi memecingkan mata terhadap penindasan ke atas umat Islam. Tugas gerakan Islam sebagai kuasa pembela mustadh'afin dengan ini bertambah berat yang menuntut pengorbanan maksimum dalam jihad yang bersifat alami ini. Di rantau ini, PAS akan mengambil tanggungjawab bagi mengembalikan maruah ummah.

Kewujudan dua ratus entiti masyarakat Islam dalam dunia (Tajamuat Islamiyah) hendaklah digemblengkan peranan mereka oleh individu-individu muslim yang mampu. Kita yakin kewujudan jamaah-jamaah Islam seperti Ikhwanul Muslimin di Mesir, Jamaat Islamiyah di Pakistan, Jamaah Islamiyah Qaumiyah di Sudan, PAS di Malaysia, Parti Refah di Turki, FIS di Algeria dan lain-lain akan mengisi peranan individu-individu muslim secara jama'ie dalam bentuk jamaah-jamaah yang bekerja di setiap bumi yang dihuni oleh manusia dan mengembleng jihad alami untuk menyebarkan dakwah Islam ke seluruh pelusuk dunia. Kita yakin pertembungan Islam dan Barat (Kristian) telah melumpuhkan kekuatan Kristian di setiap tempat mereka di benua Amerika Syarikat dan Eropah seterusnya ini akan menguatkan Islam.

Tugas besar ini hanya mampu dipikul oleh golongan yang mempunyai ciri yang disebut Allah di dalam al-Quran yang bermaksud:"Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu..." (Surah Al-Baqarah : 143)

Kita juga sangat menyedari betapa perkembangan I.T. dan multimedia akan mempengaruhi dunia dengan cepat dan penyebaran maklumat tanpa batas dan sempadan. Kita menerima tanggapan-tanggapan yang disebut oleh Alvin Toffler, Kenichi Ohmae, Harland Cleveland, Peter Drucker dan lain-lain mengenai dunia sebagai global village dan pertembungan budaya dan pemikiran baru seperti yang disebutkan oleh John Naisbitt, Marbin Cetron, Prem Kirpall, dan E.F. Schumacker.

Namun begitu, kita tetap yakin bahawa umat Islam adalah yang terbaik dan penerusan perjuangan Islam atas dasar menegakkan iman dan amar makruf nahi munkar akan dapat menyelamatkan dunia daripada pertarungan dan pertembungan pelbagai ideologi dan penguasaan dalam mempertahankan kepentingan mustakbirin.

Begitulah penegasan yang telah dibuat oleh Allah di dalam firman-Nya yang bermaksud:

"Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah..."(Surah Ali Imran : 110)

Semoga Allah SWT berkenan memberikan kekuatan dan kemenangan kepada kita di medan juang yang terdekat. Muktamar hari ini akan memperlengkapkan persiapan kita untuk ke 'ghazwah' penentuan dan menggolongkan kita semua sebagai ghuraba' akhir zaman.