Berikut adalah ucapan Ketua Dewan Ulama' PAS Pusat, Ustaz Haji Harun Taib dalam Muktamar Dewan Ulama' Kali ke-37 yang diadakan di Taman Melewar, Kuala Lumpur pada 15 Mei 1998 bersamaan 18 Muharram 1419H:

Cabaran ulama' dalam era globalisasi

Yang Dihormati dan Dikasihi Saudara Pengerusi Tetap, Ustaz Kasim Ahmad, Yang Dihormati dan Dikasihi, para pemerhati daripada PAS Pusat yang terdiri daripada Timbalan Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Ketua Penerangan PAS Pusat, YB Ustaz Haji Umar Muhamad merangkap ahli exco kerajaan negeri Kelantan, Pengerusi Lujnah Guaman dan Undang-Undang PAS Pusat, Tuan Haji Abdul Mutalib Embong, Naib Ketua Dewan Ulama' PAS Pusat, Ustaz Mohamad Daud Iraqi, Setiausaha Dewan Ulama' PAS Pusat, Saudara Dr. Badrulzaman Yusof, seterusnya ahli-ahli jawatankuasa Dewan Ulama' PAS pusat, saudara-saudara perwakilan Dewan Ulama' PAS Negeri-Negeri, Mufti dari Australia dan seterusnya para pemerhati sekalian.

Assalamulaikum w.r.t

Pertama-tamanya, marilah kita bersyukur kepada Allah s.w.t kerana pada petang ini, Dewan Ulama' PAS Pusat dapat melaksanakan Muktamar Sanawi kali yang ke-37, mengikut undang-undang tubuh PAS. Saya juga mengambil kesempatan pada petang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada PAS yang menghantarkan perwakilan untuk memerhati muktamar kita pada tahun ini yang terdiri daripada Timbalan Presiden, Penasihat Guaman dan Undang-undang, Ketua Penerangan PAS Pusat. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih di atas kehadiran ulama' sekalian di dalam muktamar kali ini. Di atas kehadiran saudara-saudara sekalian, mungkin banyak perkara yang boleh diutarakan untuk  dijadikan renungan dalam meneruskan perjuangan ini.

Al-Fadhil Pengerusi Tetap, pagi tadi baru kita mendengar ucapan perasmian dan ucapan dasar daripada Presiden PAS dan segala-galanya merangkumi keperluan dan kepentingan perjuangan. Saya tidak berhasrat untuk menyampaikan ucapan yang panjang pada petang ini kerana untuk memberi peluang kepada saudara-saudara sekalian untuk mengutarakan pandangan dan pendapat.

Saudara-saudara yang saya hormati dan kasihi sekalian,

Pada tahun ini banyak sekali ijtimak-ijtimak yang kita adakan terutama sekali di peringkat negeri-negeri iaitu ijtimak para ulama' di negeri masing-masing. Terutama perbincangan kita lebih banyak berkisar dari sudut tugas dan tanggungjawab para ulama' dan kita telah bersetuju ulama' itu, warisatul ambia' seperti mana yang kita tahu dan maklum bahawa para ambia' dan mursalin tidak meninggal kita harta benda tetapi yang ditinggalkan kepada kita -ilmu,  Al-Quran dan Sunnah.

Ulama' warisatul ambia' ini ditafsirkan oleh para ilmuan Islam seperti yang telah dikatakan banyak kali oleh Al-Imam Al-Mawardi, Abu Yaqla dan Ibnu Khaldum. Ulama' warisatul ambia' bermakna ulama' yang mempusakai daripada nabi dalam perkara menjaga agama dan mentadbir dunia ini mengikut ajaran agama.

Al-Iman Al-Mawardi di dalam membicarakan kemajuan dan keutuhan sesebuah negara itu berdasarkan dua perkara. Al-Iman Al-Mawardi menyatakan di antara punca-punca untuk menjadikan sebuah negara itu terus berada dalam keadaan yang baik ialah negara itu mestilah ditadbirkan mengikut agama dan seterusnya kemajuan dan pembangunan negara berjalan secara berkekalan.

Yang Berbahagia Tuan Pengerusi Tetap dan Saudara-saudara yang saya hormati sekalian,

Bila kita bercakap dalam dua perkara ini bagaimana sebuah negara itu boleh menjadi baik dan berkekalan iaitu, apabila ia dipimpin mengikut ajaran agama. Maka peranan ulama' untuk meneruskan pemerintahan dan berlandaskan cara Islam berakhir pada 1924. Apabila Khalifah Islamiah yang terakhir gugur di Turki. Pada masa itu para ulama' tidak dijadikan rujukan lagi dalam urusan mentadbirkan negara. Para ulama' dipinggirkan, malahan para ulama' itu berhempaskan pulas menjelaskan politik tidak boleh dipisahkan dengan agama. Di mana-mana saja gerakan Islam yang lahir selepas 1924 untuk menyakinkan umat Islam supaya dunia ini ditadbir mengikut ajaran Islam.

Walaupun usaha ini terlalu sulit, perjuangan untuk menyatakan Islam dan politik tidak boleh dipisahkan berjaya diketengahkan. Suara-suara sumbang yang mengatakan politik suku, agama suku dapat dipinggirkan. Walaupun masih ada suara-suara sumbang yang bercakap tetapi bercakap berseorangan di pinggir-pinggir gunung dan bukit-bukit yang masih menyatakan bahawa agama tidak ada kena mengena dengan politik. Ini adalah salah satu daripada kejayaan dan kemenangan yang telah dicapai oleh perjuangan Islam, sesudah para ulama' dipinggirkan daripada pemerintah dan pentadbiran. Bagi kita, parti PAS sejak tahun 1951 perjuangan ini kita lakukan, Alhamdulillah, boleh dikatakan sekarang ini untuk mengatasi masalah fahaman politik suku, agama suku hampir kita berjaya, walaupun tidak sepenuhnya. Kita bukan saja berjaya daripada sudut teori tetapi berjaya dari sudut amali, bila kita dihadiahkan Allah s.w.t sebuah negeri di Malaysia  iaitu, Kelantan yang dipimpin oleh ulama' yang berjaya mengekalkan kestabilan politiknya, kestabilan ekonominya, dan kesetabilan sosialnya. Maka ini adalah memberi jawapan amali atau penterjemahan  kepada segala permasalahan dankemusykilan yang diada-adakan oleh orang yang tidak suka kepada Islam dan juga kepada perjuangan Islam.

Saudara-saudara yang saya hormati sekalian,

Namun begitu, perjuangan kita masih panjang, walaupun kita katakan perjuangan Islam telah mencapai kejayaan dan kemenangan tetapi agenda perjuangan Islam itu belum dapat dilaksanakan. Kita berjaya di dalam negara kita ini khususnya dan juga lain-lain negara yang berjaya mengajak orang bersama-sama perjuangan Islam. Boleh dikatakan setiap hari ada orang yang memeluk agama Islam dan setiap hari ada orang yang menyertai gerakan Islam terutama parti kita. Tiap-tiap bulan lebih daripada 3,000 orang menyertai PAS. Pendek kata ini adalah satu kemenangan dan satu kejayaan tetapi masih banyak agenda-agenda yang perlu kita laksanakan. Saya, dalam ucapan yang serupa ini di dalam beberapa tahun yang lalu menegaskan bahawa Dewan Ulama' PAS akan berusaha sedaya mungkin untuk mengemaskini ahli-ahli Dewan Ulama' PAS itu sendiri. Kita mempunyai harapan supaya Dewan Ulama' PAS mempunyai ahli yang berdaftar sekurang-kurangnya bagi setiap negeri 100 orang. Saudara-saudari sekalian, agenda ini belum selesai kerana ia belum berjaya.

Agenda kedua adalah untuk menjadikan ulama' itu seorang yang peka dan arif segala perkembangan yang berlaku di dalam masyarakat. Kita tidak mahu ulama' tidak mengetahui apa yang berlaku di sekitarnya seperti dalam perkara-perkara hukum yang mereka tidak jelas kerana tidak berlaku di sekeliling mereka. Ulama'-ulama' kita menyatakan bahawa memberikan hukuman terhadap sesuatu adalah catan kepada tasawuf, maknanya bila kita hendak menghukum sesuatu itu berlandaskan kepada kenal atau tidak kenal kepada sesuatu, maka orang yang tidak kenal kepada sesuatu, maka kita tidak boleh memberi hukuman kepada sesuatu. Sebagaimana yang kita ceritakan, seorang ulama' yang mengajar agama yang menerangkan tentang haramnya arak berdasarkan nas Al-Quran dan Sunnah. Tetapi oleh kerana arak itu dinamakan oleh Arab dengan nama Khaus atau bila dibawa dengan perkataan lain maka dia sudah tidak tahu untuk menjatuhkan hukuman. Oleh itu, di antara agenda penting kita juga ialah kita mahu menjadikan ulama' kita ini mengetahui alam keliling mereka.

Saudara-saudari sekalian,

Sekarang ini, umat Islam dikejutkan dengan beberapa perkara yang berkait dengan fiqul muamalah seperti bursa saham, bon, pasaran hadapan dan pelbagai lagi. Oleh itu, saya rasa ramai lagi di kalangan para ulama'-ulama' kita tidak tahu dan kita alhamdulilah cuba menyelesaikan masalah ini dengan mengadakan program-program seperti wacana. Kita menjemput orang-orang yang pakar di bidang-bidang tertentu untuk menyatakan kepada kita apa itu pasaran hadapan, bursa saham, bon dan sebagainya. Kita bimbang, ada orang-orang kita yang terlibat dalam perniagaan-perniagaan yang mungkin tidak halal. Jadi, oleh kerana itu, dalam dunia perniagaan hari ini, ulama' hendaklah mengetahui banyak istilah-istilah dan perkara-perkara. Sekarang ini ulama' juga tercabar dari sudut sains seperti bayi tabung uji dan lain-lainnya. Ulama' juga tercabar dengan zaman teknologi maklumat, bagaimana peranan teknologi maklumat di dalam kehidupan manusia. Oleh itu, kita tidak mahu ulama' ketinggalan, apabila kita dikemukakan dengan perkara-perkara seperti itu kita tidak tahu menjawab. Kadang-kadang kita terikut keputusan yang dibuat oleh orang lain. Begitu juga dari sudut ekonomi, kita terikat dengan keputusan yang dibuat oleh orang. kita tidak mempunyai pandangan sendiri, kita tidak mempunyai sikap sendiri, kita tidak mempunyai daya usaha sendiri untuk menunjukkan apa itu hak Islam yang sebenarnya.

Saudara-saudari yang dihormati sekalian,

Oleh kerana itu, usaha-usaha untuk mengatasi masalah ini telah kita buat dan dijalankan, saya tidak mengatakan kita gagal tetapi setakat ini kita belum berjaya sepenuhnya. Kenapa kita tidak berjaya sepenuhnya, sebab yang utama ialah sambutan daripada para ulama' sendiri yang saya rasakan seperti dingin. Bila program-program untuk menjaya diri, maka sesungguhnya kita dapati sambutannya kurang memuaskan. Kedatangan tidak memuaskan, apatah lagi untuk kita hendak membuat kajian.

Kita kena tahu di zaman di mana juga kita berada, kita alim ulama'  kena tahu kebolehan kita dibidang politik, pentadbiran, ekonomi dan lain-lain. Kita tidak mahu bila bercakap bidang ekonomi, kita dikatakan ulama' ini orang warak dan tidak payah berekonomi. Tetapi jika mendengar cerita Abu Iman Abu Hanifah r.a. seorang usahawan yang mana ia boleh membiayai pelajar-pelajar yang belajar di pusat pengajiannya seperti biasiswa dan sebagainya.

Tetapi kita ulama' hanya tumpang dengan perniagaan orang lain dan tidak ambil perhatian dengan apa yang orang lakukan sama ada halal atau tidak.

Saudara-saudara yang dihormati sekalian,

Pada satu ketika ada orang kita yang mengambil peluang untuk menjadi agen kepada MNI. Bila mereka menjadi kepada agen takaful, apabila orang bertanya apakah pandangan Islam terhadap perkara ini?

Apabila kita membuat kajian, kita tidak membenarkan memberi kebenaran kepada orang kita untuk menjadi agen MNI. Maka datang suara-suara bahawa ulama' lambat bertindak. Kita orang-orang Islam kena faham bahawa fardu ain itu bukan sembahyang, puasa dan zakat sahaja. Apabila kita hendak berniaga, kita kena belajar berniaga cara Islam itu adalah fardu ain. Tetapi kita lebih suka buat dahulu baru bertanya.

Saudara-saudari sekalian,

Dengan hasil kajian yang kita buat, kita buat kertas kerja kita, kita berikan pandangan, dan kita mengadakan pertemuan dengan orang-orang yang pakar dibidang itu dan kita membuat keputusan. Begitu juga dengan pasaran saham papan pertama kita katakan halal dan pasaran saham kedua kita katakan haram. Orang kata kita ketinggalan zaman dan sebagainya. Cabaran seperti ini terus wujud daripada semasa ke semasa.

Untuk itu kita cadangkan para ulama' ada perpustakaan sendiri di rumah masing-masing yang dimuatkan dengan kitab-kitab mukatabar, kajian-kajian yang terperinci dalam semua bidang, terutama yang terkini tetapi kita tidak boleh lepaskan diri daripada rujukan-rujukan asas berkenaan dengan Islam yang penuh dengan mutiara-mutara yang bernilai dan berharga.

Saudara-saudara sekalian, Orang baca tentang Al-Iman Al-Ghazali, tentang tasawuf, tentang taghut dan mereka tidak baca pandangan beliau tentang ekonomi, perniagaan, mata wang. Sekarang ini berlakunya kejatuhan nilai mata wang atau krisis mata wang di negara kita ini, mereka terlalu merujuk kepada sebab itu dan ini.

Mereka tidak rujuk kepada Al-Iman Al-Ghazali dalam kitab Ihya' Ulumuddin ia telah menerangkan jika mata wang telah disalah gunakan, maka jika mata wang dijadikan bahan perniagaan ia akan terpesong daripada peranan asal iaitu untuk beli barang. Mata wang yang disalah gunakan diibaratkan sebagai seorang perdana menteri yang dilantik dan kemudian dipenjarakan.

Sudah tentu dia tidak dapat berperanan. Oleh itu, dalam muktamar ini saya tidak mahu bincang tentang tindakan liar pihak musuh terhadap kita tetapi saya lebih berselera membincangkan tentang persiapan, ketahanan, dan kesediaan kita untuk mencapai kejayaaan.

Mungkin untuk mencapai kejayaan mudah tetapi untuk mempertahankan kemenangan dan merealisasikan perjuangan kita adalah amat sukar. Kita tidak mahu dikatakan ulama' tidak mampu dan sebagainya. Sebenarnya yang tidak mampu itu bukan ulama' tetapi orangnya. Ketidakupayaan itu datang daripada diri mereka sendiri.

Saudara-saudara yang saya hormati sekalian,

Saya mengharapkan negeri-negeri bersungguh-sungguh mencari ahli-ahli yang ramai dan meningkatkan keupayaan ahli-ahli dalam bidang-bidang yang kita perlu. Apa yang kita rancangkan pada tahun ini adalah untuk meningkatkan keupayaan dan daya juang para ulama' seperti yang diharapkan oleh parti. Kerja ulama' juga tidak boleh dipisahkan dengan tarbiyah, walaupun kita ada lujnah tarniyah di peringkat pusat tetapi kerjasama dengan ulama' tidak dapat dipisahkan.

Oleh kerana itu sebagai langkah untuk membentuk sesuatu generasi yang akan mewarisi perjuangan ini, Dewan Ulamak dengan kerjasama Lujnah Tarbiyah telah menubuhkan Majlis Pendidikan di peringkat kebangsaan.

Kita juga berhasrat untuk mewujud pusat pengajian tinggi yang tersendiri yang dipimpin oleh khususnya Dewan Ulamak dan Lujnah Tarbiyah PAS. Kita berusaha untuk mewujudkan pelapis-pelapis yang akan mewarisi perjuangan kita. Saudara-saudara sekalian, Akhirnya saya suka mengingatkan tugas kita juga dalam menjaga akidah ummah dalam negara ini, khususnya dalam parti kita sendiri.

Kita bimbang ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS terlibat dengan akidah yang bukan akidah yang dipakai dan dihayati oleh parti kita. Oleh kerana itu, tanggungjawab ulama' untuk menerangkan akidah yang dipakai oleh PAS ialah akidah ahli Sunnah Wal Jamaah, kita tidak pakai akidah Mutazilah, Jabariah, Qadariah, Syiah dan berbagai-bagai lagi.

PAS telah mengedar pekeliling ke kawasan-kawasan dan negeri-negeri supaya mengingatkan supaya mereka yang mempunyai niat untuk menganut mana-mana fahaman yang lain daripada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah supaya mereka meninggalkan fahaman itu ataupun mereka keluar daripada PAS ataupun mereka itu dikeluarkan daripada parti kita.

Perkara ini adalah sangat mustahak difahami oleh ahli-ahli kita. Sekali lagi ingin saya mengingatkan adalah tugas ulama' itu besar dan penting untuk menerangkan perkara ini kepada anggota masyarakat.

Oleh kerana itu, saudara-saudara sekalian, banyak perkara-perkara yang tidak dapat kita selesaikan dan kita harapkan agenda-agenda yang tidak dapat kita selesaikan dapat diselesaikan pada tahun-tahun yang akan datang, Insya'Allah.

Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan terima kasih pada saudara-saudara saya dalam ahli jawatankuasa Dewan Ulamak yang bekerja yang bersungguh-sungguh mengikut kadar dan keupayaan masing-masing untuk menjayakan cita-cita kita.

Dengan ini, Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Pengasih, saya rasmikan Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat pada kali yang ke 37.

Sekian Terima Kasih.