TERPELOSOK DALAM BAKUL SAMPAH

 

 “Kak HannaN nak ke mana?”  

HannaN terus memerhati pilihan tiket yang ada.Tiket kapal terbang kali ini nampak lebih murah di internet.Mungkin kerana tidak ramai mahu berlibur atau kolej lain masih dalam sesi akademiks. 

“Akak nak tempah tiket.Untuk cuti break nanti.” senyum menguntum di bibir HannaN. JannaH memerhati sama.Soalan tidak berjawab.Di skrin,nampak destinasi yang dipilih. WALES.  

“Ikut boleh?” Tiada jawapan. 

“Kau nak ke mana nanti HannaN masa break nanti? Jom kita ke London.Tahun depan dah nak graduate dah.Bila lagi nak pergi London?”   

Beberapa gadis bertudung ringkas duduk di beranda rumah arkitektur British yang lama itu.Tintir kecil di penjuru rumah menerangi malam pekat awal Ogos itu.Mungkin dibina 80 tahun lalu.Atapnya pun sudah ada yang terkopak dan catnya luntur dimamah usia yang panjang. 

“Sorry la ye.Aku nak ke Cardiff.”  

“Cardiff? Ade apa kat sana? MSM ke Hizbi yang buat program?”  

“Takde program pun kat sana,Just jalan-jalan,” HannaN membalas ringkas. 

“Alah kawan istimewa ada kat sana.Itulah programnya,” kata salah seorang rakan HannaN.  

Berderau darahnya.Merah muka putih manisnya mendengar kata kawannya. Antara malu dan terasa HannaN tersenyum pahit.  

“Takde aku nak jalan-jalan je.Ada seorang sister di sana yang baru sampai hari tu.” HannaN cuba berdalih.  

Kawan-kawan HannaN tersenyum.  

“Tapi korang janganlah beritahu orang lain aku ke Cardiff.Tahu si Ustazah Humayra tu nanti,habis aku,” HannaN mengingatkan.Antara kata diri yang kesipuan dan ngiangan kata ustazah Humayra yang sentiasa memberi nasihat padanya.

“Oklah kalau gitu HannaN.Tapi kita tak boleh sembunyi dari Allah.” 

Alunan nasyid dari corong speaker komputer housemate HannaN berkumandang.Di dapur kelihatan dua anak dara sunti rancak memasak.Semerbak harum bau masakan ala Malaysia di tengah flat mewah di kawasan kolej mereka. Sudah lumrah bagi jiran-jiran di sekitar rumah nombor 16 itu,saban hari disajikan dengan bau-bau masakan yang menyelerakan.Pada mulanya,HannaN dan rakan-rakan gusar juga kiranya bau-bau masakan dari dapur mereka mengganggu jiran-jiran,tetapi apabila diajukan soalan kepada jiran-jirannya,rata-rata respons yang diterima positif.  

“Don’t worry about that….. hehehe, instead I like Malaysia cooking.” 

“Bila kau punya flight HannaN?” Aju Aisyah. 

“2.30 petang esok.”  

“Kita takde usrah ke malam esok?”  

“Aku pun tak pasti.Tapi aku dah tempah tiket petang esok.” 

“Kau rasa sesuai ke kau ke Cardiff tu?” Aisyah membuka tajuk perbualan.  

“Hmm,ok kot,” balas HannaN ringkas mengharapkan Aisyah tidak meneruskan tajuk perbualan itu.Sememangnya HannaN merasakan tidak begitu selesa dengan pertanyaan Aisyah itu.    

 Aisyah terdiam.Dia tahu soalan itu soalan killer.Tapi dia merasakan wajib dia memberitahu pasal hal itu.Dia rasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan rancangan HannaN ke Cardiff University.  

“Kau fikirlah HannaN.Kau pun lebih bagus background agama daripada aku.”  

Sekali lagi HannaN terhenyak.Dan gulai ikan masak lemak terus mendidih di atas dapur bersama teleku mata HannaN memikirkan pertanyaan kawannya yang dikenal seawal pengajian persediaan ke luar negara di KYMS dulu. 

“Ibu, jangan ditambah air itu ibu.Memang tidak boleh.” 

“Tidak mengapa anakku.Khalifah Umar tidak nampak kita menambah air di dalam susu ini.Boleh kita dapat duit lebih sikit kali ini.Lagipun susu yag kita peroleh hari ini terlalu sedikit berbanding semalam” balas si ibu. 

“Memang benar,ibu.Khalifah Umar tidak nampak.Tetapi Tuhan Khalifah Umar nampak apa yang kita lakukan.” 

HannaN masih teringat kata dari Ustazah Humayra pasal cerita itu. Dialog itu popular: antara seorang anak perempuan dan ibunya yang mencari nafkah dengan jualan susu saban hari.HannaN masih ingat apa yang terjadi selepas itu.Khalifah Umar cepat-cepat ke rumah bertanya anaknya yang belum berkahwin untuk dipasangkan dengan si anak perempuan itu.Yang tinggi konsep ihsan dalam diri.  

“Ihsan bererti kamu beribadat seperti kamu nampak Allah.Jika kamu tidak nampak, Allah nampak kamu,” jelas Ustazah Humayra. 

 HannaN mengiring ke kiri dan ke kanan di atas katilnya malam itu.Baju sudah dikemas untuk bertolak esok.Dia sudah merancang awal-awal dan baik-baik untuk ke Cardiff.Dia belum pernah ke sana.Biasanya HaiQal yang akan melawatnya di University of Manchester.Lagipun ini tahun terakhirnya di UK,insyaAllah. Inilah peluang untuk melawat sana,dan melawat sekali HaiQal,pelajar kejuruteraan elektrik yang dikenalnya tahun lepas melalui recommendation kawannya.  

 HaiQal memang memenuhi ciri-ciri yang dibayangkan dan diidamkan HannaN sebagai teman hidupnya.HaiQal seorang yang sentiasa bersemangat tinggi,malah dialah yang sentiasa memberikan dorongan dan kata-kata perangsang kepadanya setiap kali dia ada masalah.Acapkali nasihat-nasihat HaiQal sentiasa diselang selikan dengan pertanyaan sudah sembahyang ke belum?   

“Alim dan bersemangat!” HannaN tersenyum keseorangan mengenangkan HaiQal buah hatinya. 

 HannaN mengenang kembali kisah anak perempuan dan ibunya tadi.Tambah Ustazah Humayra lagi,dari generasi itulah lahirnya khalifah Umar Abd Aziz, khalifah bani Umayyah yang adil dan hebat yang muncul setelah beberapa khalifah sebelum itu yang ‘corrupt’ dan  mengamalkan ‘nepostisme’ serta cenderung ke arah kekayaan dunia. Sesuatu yang tidak dapat HannaN lupakan dan masih lekat di mindanya. 

“Kalau awak nak lahirkan generasi sebagus Umar Abd Aziz itu,jadilah sebagaimana si anak perempuan tadi.Amat cermat dan berhati-hati kepada Allah.Dan ia kena mula dari sekarang.Kalau awak nak cari pasangan jangan mula dengan sesuatu yang ditegah oleh agama seperti dating,bergayut di telefon.Lagi-lagi kita orang perempuan.Elakkan buka peluang pada orang lelaki.Mereka memang lemah pada perempuan pasal kita ini sentiasa menjadi alat mainan syaitan.Jangan buka peluang untuk orang bercampur gaul dengan kita tanpa ingat undang-undang Allah.” 

 HannaN bangkit dan menyelak diari lamanya.Tak sangka HannaN sudah hampir tiga tahun di tanah UK ini.Sudah 3 tahun HannaN bercampur dan hidup dalam masyarakat yang pelbagai adat dan budaya itu.Kesan pada diri HannaN? Tidak pasti.HannaN memang solehah,itulah kata-kata cikgu HannaN di sekolah lamanya.Sebelum HannaN berlepas ke UK,HannaN sempat menerima kata nasihat berharga dari Cikgu Umaimah di Lapangan Terbang KLIA.  

“HannaN,cikgu harap awak belajar sungguh sungguh.Apa yang awak belajar selama ini pasal hidup,jangan dilupa.InsyaAllah cikgu akan doakan awak menjadi pelajar yang cemerlang dan anak yang solehah.” 

HannaN terus membelek-belek diari lamanya.Tiba-tiba jatuh sekeping gambar kenangan. Gambar yang menyimpan seribu satu memori di sekolah lamanya dulu.Gambar itu gambar HannaN bersama-sama rakannya di bangku sekolah menengah dulu.HannaN masih ingat gambar itu diberi oleh Lin,selepas minggu akhir di sekolah menengah dulu.  

“Kita tidaklah sebaik mana,tapi kita jagalah batas Allah agar diri kita tinggi di sisi Allah.”

Mata HannaN merenung tulisan kecil dan kemas milik Lin di belakang gambar itu.   

 HannaN kembali menatap lama gambar itu.Satu persatu kawannya diperhatikan.Tanpa disangka-sangka air matanya mengalir membasahi pipinya. Tergenang deras sepantas gejolak hati yang rasa bersalah pada Tuhan atas janji dulu yang tidak ditepati malah dilanggar begitu sahaja.  

HannaN di dalam gambar itu bertudung litup.Elok pakaian dengan baju kurung dan tudung menutup labuh tangan dan badan.Tidak macam kini.Sering berseluar jeans ketat.Atau tudung diselempang sahaja atau dililit di leher.
 
“Sejuklah di sini,Lin.”Itu bicara HannaN bila dia menghantar gambar awalnya setiba di Manchester.  

Masa itu sering HannaN menghubungi Lin.Kini tidak begitu kerap lagi. Mungkin HannaN sibuk.Lagipun kini HannaN tidak gemar menelefon Lin kerana ada-ada sahaja yang ditegur Lyn. HannaN tahu Lyn kawan yang ikhlas atas persahabatan yang ada.Linlah antara rakan HannaN yang masih setia.Tapi itu dulu.
 
“Kau bertuah HannaN dapat ke UK.Aku terpaksa menolak tawaran yang ada tu kerana ibuku sakit.Aku tak boleh tinggalkan dia di sini keseorangan.Kau teruskan perjuangan kau di sana,ye? Dan selalu ingat Allah dalam apa jua yang kau buat,” pesan Lin. 

Dulu HannaN semacam Lin juga.Pakaian berjaga,sosial terkawal dan bagus akhlaknya. Tapi kini HannaN tidak macam Lin.HannaN kini sering berseluar panjang yang agak sendat ke kelas.HannaN kata pada Lin lagi,  

“Aku malu le Lin nak ke kelas pakai seluar besar dan baju labuh.Rasa macam asinglah. Lagipun nanti aku balik Malaysia,aku janji InsyaAllah pakai pakaian yang aku pakai dahulu.Macam Lin pakai sekarang, ok?” 

HannaN masing ingat ketika dia berkata begitu pada Lin di gagang telefon.HannaN keharuan.Bertambah deras mengalir permata panas dari matanya yang bergelas warna keemasan itu.
 
 Dalam hati,HannaN sedar akan hal itu.Cuma kekadang alam di UK ini banyak sungguh cabaran.
 
“Memang banyak cabaran,HannaN.Tapi di sinilah juga kau lebih mudah mendalami Islam dan belajar meneguhkan diri dalam agama.Banyak student dahulu yang pergi ke UK tah mende-mende,bila balik berpakaian elok,bagus akhlaknya dan teguh pemahamannya dalam Islam.Takkan kau tak nak jadi begitu?” getus hati kecil HannaN. 

 Entahlah! HannaN tidak pasti.Di sini memang banyak pilihan.Cuma HannaN tidak cukup kuat untuk itu semua.Ya Allah! Adakah masa untuk aku kembali? Atau aku sudah jauh dari jalan-Mu yang lurus itu?Ya Allah! Banyak sungguh dosa aku…. 

Dulu HannaN tidak sebegini.Dulu HannaN tidak bergurau senda dengan kaum Adam yang lain kerana HannaN tahu hukumnya.Ustazah di sekolah dulu pernah bilang: wanita Muslimat perlu menjaga aurat dan suara.Bila berbicara dengan dengan lelaki ajnabi, wanita Muslimat perlu tegaskan suara. 

Dulu HannaN tidak sebegini.Boleh keluar bersama lelaki lain berseorangan begitu sahaja ke pusat membeli-belah atau ke kelas.Paling tidak, dulu HannaN akan membawa teman sebagai peneman apabila ingin berurusan dengan pelajar lelaki di sekolah.Itu sudah maklum.Tapi kini HannaN selamba sahaja kerana HannaN rasakan ini tanah ‘merdeka’. Merdeka dari apa? HannaN tiada jawapan. 

Dulu HannaN tidak biasa bercakap telefon lama dengan lelaki lain. Tetapi kini HannaN tidak kekok lagi.Malah ada masa,HannaN akan berborak panjang hujung minggu dengan rakan-rakan lelaki yang lain yang di London,Liverpool dan banyak tempat lain.Ia semacam sumber kegembiraan buat HannaN.HannaN tahu itu bukan kegembiraan dari Allah.Tapi HannaN sudah biasa di bumi Manchester.Bumi yang HannaN ingin sangat jejaki sejak kecil dahulu. 

HannaN terus merenung siling lapuk biliknya yang kekuningan.HannaN terus mengingat dalam keheningan malam itu bicara hati yang tidak terarah. Bicara sufi sudah jauh dari dirinya yang sudah dimodenkan oleh bumi teknologis itu.Bicara kata hanya tergenang dalam kata sia-sia,mengeraskan kalbu yang dulu bersih dengan amal Islami untuk Allah Rabbul Jalil. 

Dulu HannaN rajin membelek buku agama.Membaca permasalahan dan ilmu Islam.Ada buku FiQh Sunnah.Ada buku Tauhid.Ada buku Akhlak Mukmin.Malah kini HannaN masih ada buku itu semua.Bezanya kini ia hanya menjadi bahan pameran yang sesekali dibelek atau dilawat oleh Mrs Stancy bila memungut sewa flat Greenville itu. 

 HannaN terus merenung dalam kejauhan malam.Gambar yang Lin beri itu dilekapkan di dadanya.Dan malam itu terus berlayar,dengan seribu satu kenangan menginjak diri untuk terus melakukan tadabbur.HannaN dibuai angin desir kosmopolitan Manchester.

Ring! Ring! Ring!Gagang diangkat.
 
“Assalamualaikum.Boleh saya bercakap dengan HannaN?”
 
“Waalaikumussalam.Kak HannaN? Kejap ye…”
 
JannaH berlari anak ke tingkat atas.
 
“Kak,abang HaiQal call,” jerit JannaH dari luar bilik HannaN.Diketuknya pintu perlahan.
 
Terdengar keriutan katil dari dalam bilik.  

“Hmm,Kak HannaN tidur lagi?” tanya hati kecil JannaH.  

 Pintu dikuak.HannaN menggosok-gosokkan mata sambil memerhati JannaH tercegat di depan pintu.  

“Abang HaiQal call.Dia nak cakap dengan Kak HannaN.” HannaN angguk.
 
“Thanks ye JannaH.Nanti akak pick up the phone.”
 
JannaH turun ke ruang studinya.  

“Eh,apasal kau tak bersiap lagi nie,HannaN? Flight kau kan 2.30 petang? Nie dah 1.00 dah nie,” tanya Aisyah pada HannaN. 

HannaN di dalam bilik terus tekun membuat kerja.Lagaknya seperti tiada apa yang berlaku.Aisyah menggeleng-geleng kepala.Kehairan dengan watak HannaN yang pelik hari itu.HannaN juga yang menghubungi Aisyah untuk ke Lapangan Terbang Manchester, tapi kini dia tidak pun bersiap lagi dari meja studi. 

20 minit berlalu.HannaN menyandarkan diri di kerusi studinya,seusai kerja tulisnya.Dia memerhati Aisyah.Aisyah rasa bersalah ditenung begitu. Aisyah duduk di hujung katil HannaN yang dibalut cadar biru berbunga sakura itu.  

“Aisyah,sorry pasal menyusahkan kau hari nie.Terpaksa pulak kau datang ke sini,” mulai kata-kata HannaN. 

“Takpe.Aku free sekarang Tak de pe pun.Kau nie le yang pelik.Flight kau kan 2.30. Sekarang dah 1.20.Bila kau nak bersiap? Nak ke airport tu ada setengah jam,” Aisyah bersuara. 

HannaN menggeliat,mungkin penat lama di meja studi.Jus oren di atas meja dihulurkan pada Aisyah.Aisyah menyambut. 

“Begini…” 

 HannaN membuka perlahan laci mejanya.Dikeluarkan satu envelope kuning. Di atasnya ada tertulis nama ‘Mrs Kamaruddin,HannaN’ dengan pen marker hitam. Ada perkataan ‘British Airline’ di hujung kanan sampul itu. 

 HannaN mengeluarkan isi sampul itu dan diletakkan di atas meja sekali lagi.Aisyah terpinga-pinga.Pelik sungguh kawanku seorang ini,lubuk hatinya berbicara. 

“Aisyah,semoga aku kuat mengorbankan yang sedikit ini.Dan harap aku boleh kembali pada diri aku yang dulu.”  

Aisyah antara diam dan kaget. 

“Aku rasa tiga tahun aku di sini,aku banyak berubah.Tapi aku tak nak dan tak suka style aku sekarang.Aku sekarang terasa jauh dari Tuhan….” HannaN memandang lantai. Sekali lagi tergenang air di pelupuk mata,mengalir deras bakkan manik berkilau. 

Suasana hening.Aisyah terkedu.Dia bangkit dan mendekati HannaN.Diletak tangannya di atas bahu HannaN.Dia masih tertanya-tanya.Pasti ada sesuatu yang besar terjadi. Aisyah masak dengan watak HannaN,yang kuat hatinya serta tabah. Tapi kali ini lain. 

“Apa yang berlaku HannaN? Kau sakit ke? Apa yang berlaku? Kalau aku boleh bantu, InsyaAllah aku akan bantu,” ketar Aisyah bertanya. 

HannaN menggeleng kepala.Tanpa disangka-sangka,HannaN bangun dan mendakap Aisyah.Deruan air matanya kian laju. 

“HannaN silap Aisyah.HannaN selalu abaikan nasihat Aisyah dan Ustazah Humayra. HannaN selalu tak dengar bila Aisyah nasihat HannaN jaga pergaulan dengan HaiQal. HannaN keras kepala pada nasihat Ustazah Humayra.HannaN selalu tak nak kisah untuk buat perkara baik,pasal HannaN rasakan HannaN benar segalanya.Dari hari ini, HannaN tak nak lagi jadi begitu,Aisyah.HannaN sayangkan HaiQal, Aisyah.Tapi rupanya Allah nak tunjukkan HannaN,kalau sayangkan seseorang,Allah perlu diutamakan. HannaN kena jaga adab dan pergaulan dan amalan seharian.Dan Allah nak tunjukkan juga,semua orang boleh berubah…..Dan HannaN tak sangka ini terjadi….” 

Suasana hening lagi.HannaN meleraikan dakapannya.Dicapai tiket di atas meja studinya dan dimasukkan ke dalam tong sampah di hujung bilik. 

Azan Asar berkumandang. 

Jika sebelum ini,HannaN selalu di depan komputer atau di gagang telefon berborak dengan HaiQal,kali ini dia mahu bersama Kekasih yang tiada taranya. HannaN tahu sesiapa sahaja boleh berubah bila belum ada ikatan sah yang diijabkan.Biar sebagaimana teguh kata dan janji yang diberi.Dan HannaN tidak mahu lagi kehilangan sesiapa selepas ini. 

HannaN membuka closet pakaian dan diambil semula tudung labuhnya di sekolah lama dulu yang lama tidak berpakai.HannaN mengenakan tudung itu,dan kini HannaN semacam dalam gambar yang Lin berikan beberapa tahun lalu.Ada manis dan ayu di situ.HannaN bersama Aisyah mengerjakan solat Asar petang itu.Petang itu,HannaN bercadang mengelilingi tasik berdekatan bersama Aisyah.Tapi HannaN bukan HannaN semalam lagi. 

Sebelum meninggalkan bilik,HannaN melirik anak mata pada tiket yang di dalam bakul sampah.HannaN berkata dalam hati: Tidak mengapa HannaN! Tiket itu amat sedikit nilainya bersama kepergian HaiQal.Buat apa ditagih sesuatu yang Allah belum pastikan, padahal menunggu di luar sana jutaan perkara yang halal dan dibenarkan bersama ketenangan yang dijanjikan Yang Maha Esa.Biarlah HaiQal pergi bersama gadis lain,tapi kau sudah tentu tidak mahu Allah pergi bersama dunia yang menipu. 

Dan tiket itu terperosok dalam bakul sampah itu….

 

Kembali ke Ruangan Cerpen