PERCANTUMAN AIR MANI, SATU ANALISA HUKUM

 

1.            Pendahuluan 

Dalam zaman yang serba canggih ini, berbagai kemajuan telah dicapai oleh manusia, namun tidak kesemua kejayaan manusia ini direstui oleh syarak, dan tidak kesemuanya bertentangan dengan syarak, antara kejayaan yang dicapai oleh manusia termasuklah mencantumkan air mani manusia sama ada di dalam rahim wanita atau di dalam tabung uji. Kertas kerja ini adalah untuk melihat apakah pandangan Islam terhadap kejayaan dalam sains ini. 

2.            Definasi 

Percantuman air mani bermaksud menemukan air mani lelaki dengan air mani wanita sama ada dengan suntikan langsung air mani lelaki ke dalam rahim wanita yang secara langsung menyebabkan wanita tersebut mengandung atau menemukan dua air mani mereka di dalam satu tabung uji(in vitro) dan dipindahkannya ke dalam rahim wanita melalui suntikan sama ada wanita itu adalah tuan punya mani ataupun ia adalah wanita asing.

3.            Implikasi 

Kejayaan manusia dalam bidang ini mempunyai dua implikasi iaitu: implikasi baik dan implikasi buruk.

Implikasi baik:

i.                    Dapat mengatasi sebahagian masalah mandul yang dideritai oleh    

pasangan suami isteriia juga memenuhi keinginan wanita mendapatkan anak.

ii.                 Anak yang dilahirkan mempunyai ciri-ciri genetik kedua-dua ayah dan ibu.

iii.              Tidak ada risiko ketegangan antara suami dan isteri kerana sumbangan wanita lain yang mungkin menjadi pesaing. 

Implikasi buruk:

i.                   Akan menimbulkan banyak anak haram dan wanita-wanita yang bersedia  memperniagakan rahim mereka bagi tujuan membesarkan benih pasangan lain yang sudah dicantumkan. 

4.            Dorongan Melakukan Percantuman Benih 

Terdapat dua dorongan yang menggalakkkan seseorang melakukan percantuman air mani iaitu: 

i.                   Kemahuan wanita yang ingin memiliki anak tanpa menerusi perkahwinan atau kecacatan, ketidaksuburan untuk melahirkan zuriat.

ii.                 Kerana terdapat halangan kepada diri seorang suami yang tidak mampu menyampaikan air maninya ke dalam rahim wanita yang memungkinkan percantuman itu berlaku secara tabi`i  

Sains Boimedik menunjukkan bahawa ketidaksuburan mungkin disebabkan kecacatan pada suami atau isteri  

Faktor suami, adalah disebabkan oleh sperma yang tidak normal, kerana bilangan sperma sedikit dan pergerakannya lambat, perkara ini mungkin disebabkan oleh:

i.                   Kepanasan yang berlebihan, kerap mandi dengan air panas.

ii.                 Memakai seluar yang ketat.

iii.              Mengidap benguk selepas baligh yang mengakibatkan kerosakan pada telur.

iv.               Kejangkalan saluran darah yang mengelilingi kemaluan.

v.                  Pancutan berbalik, suami memancarkan air mani ke arah bertentangan. 

Faktor isteri, adalah:

i.                   Ketiadaan atau penutupan tiub folloppia.

ii.                 Tiada telur yang keluar daripada ovari, yang mungkin disebabkan beberapa masalah di rahim wanita sama ada di vigina, ovari atau kelenjar pituitary.

iii.              Alergi kepada protin yang terkandung dalam air mani.

iv.               Ketiadaan rahim.  

5.            Hukum 

Islam mengharuskan percantuman air mani ini dilakukan namun ia terikat dengan beberapa syarat:

i.                   Hendaklah percantuman itu berlaku di antara air mani suami isteri yang sah menurut syarak.

ii.                 Tidak ada cara lain untuk mendapatkan anak sedangkan keinginan pasangan terlalu tinggi.

iii.              Hendaklah cadangan ini datangnya daripada doktor pakar yang adil yang merawat mereka.  

Pandangan Syariah Mengenai Penggunaan Sperma Orang Lain 

Adapun percantuman yang berlaku di antara dua air mani yang bukan pasangan suami isteri maka ia adalah perbuatan yang haram, anak yang dihasilkan adalah anak zina(anak luar nikah), menurut fuqaha` perlakunya boleh dikenakan(lelaki dan wanita) wajib dijatuhkan hukuman ta`zir dan ta`dib, hukuman hukuman tidak boleh dikenakan kerana gambaran zina adalah tidak jelas daripada perbuatan mereka. 

Pandangan Ulama` Mutaakhirin  

i.                   Syeikh Mahmud Syaltut, Persenyawaan tiruan dengan menggunakan

sperma orang asing di sisi syariah adalah jenayah yang berat dan satu dosa besar yang menyamai zina kerana hakikatnya sama dengan zina dan hasilnya juga sama. Ia berlaku kerana memasukkan sperma orang asing tanpa dinikahi terlebih dahulu. Oleh itu ia merupakan perbuatan yang terkutuk.(Mahmud Syaltut; al-Fatawa, hal:300) 

ii.                 Dr, Yusuf al-Qaradhawi, Islam memelihara keturunan dengan

mengharamkan zina dan pengambilan anak angkat. Ia juga mengharamkan apa yang dikenali sebagai permanian tiruan jikapenderma sperma itu lain daripada suaminya sendiri.(Yusuf al-Qaradhawi, al-Halal wa la-haram fi al-Islam) 

iii.               Dr. Wahbah al-Zuhaili, permanian tiruan dengan sperma lelaki ajnabi

hukumnya haram kerana tidak ada hubungan suami isteri, dan ia menyamai zina, amaln ini dianggap menafikan ketinggian insane dan menyamai permanian tumbuhan dan haiwan. 

Pandangan Agama-agama lain.  

i.          Ajaran Kristian menolak permanian tiruan apabial ia disertai pihak ketiga. Pope Pius XII mengeluarkan kenyataan berikut

“ Pembiakan tiruan dalam perkahwinan yang dikeluarkan oleh unsur aktif pihak ketiga tidak bermoral dan terkutuk keras. Hanya suami isteri berhak terhadap tubuh satu sama lain untuk melairkan anak, dan hak ini adalah eksklusif, kekal dan tidak boleh dipisahkan. Inilah sepatutnya bila mempertimbangkan anak. Tabi`I memberikan kepada ibu bapa yang memberikan nyawa kepada anak kecil berdasarkan ikatan antara sesama mereka, tanggungjawab memelihara dan mendidik. Antara suami dan anak yang dengan persetujuannya ialah hasil unsur aktif dari pihak ketiga tidak ada  ikatan moral dan undang-undang untuk pembiakan”. (O` Donnel, Thomas J, Medicine and Christian Morality: New York: Alb House 1976) 

ii.        Ajaran Yahudi, Dr Immanuel Jakabovits berkata” Semakinbanyak pendapat sepakat yang mengutuk sebulat suara permanian tiruan dari penderma. 

Adapun percantuman yang dilakukan terhadap binatang dan tumbuh-tunbuhan adalah diharuskan, kerana tidak ada syarat pada percantuman ini menjaga keturunan, hubungan kekeluargaan, mengenali ibu bapa dan sebagainya.

6.            Rujukan  

Dr. Ahmad Sharabasi, Yasalunak Fi al-Din wa al-Hayah, Beirut: Dar al-Jail, 1977. 

Yusuf al-Qaradhawi, Fatawa Muasarah, Kuwait: Dar al-Qalam, 1990 

Wahbah Zuhaili, Fiqh al-Islam wa Adillatuh, Beirut: Dar al-Fikr, 1989. 

Mahmud Syaltut, al-Fatawa,

 

Kembali ke ruangan Feqah