RASIONAL
 

           Kemanusiaan kini berada di ambang era teknologi maklumat. Negara-negara dunia ketiga yang begitu pesat membangun pastinya bersedia 'melompat' dari perindustrian asas ke arah  ekonomi global yang berdasarkan ilmu. Perubahan ekonomi dan teknologi yang berlatarbelakang 'aturan dunia baru', ini bakal melahirkan paradigma budaya dan sosial yang baru.

    Dilihat pada penumpuan terhadap pembangunan ekonomi di Malaysia, adalah tidak menghairankan jika industri dan dunia perdagangan mendahului dalam penggunaan teknologi baru. Namun begitu, bidang kesenian dan kebudayaan pasti juga akan menyusul. Malah, kesenian sepatutnya memimpin. Pertimbangan yang teliti terhadap paradigma baru ini menunjukkan bahawa ianya melibatkan percantuman seimbang antara kreativiti dan kaedah saintifik.Perlu diingat bahawa kemunculan dan pertumbuhan pelbagai bentuk teknologi baru akan menganjak tafsiran kita terhadap kesenian.
 
    Pameran Seni Elektronik Pertama (PSEP) yang dianjurkan oleh Balai Seni Lukis Negara ini diharap dapat membentuk kesedaran terhadap potensi kreatif yang dimungkinkan oleh media baru dan dapat pula seterusnya bertindak sebagai pemangkin yang merangsang penglibatan lebih giat dalam penggunaan teknologi dikalangan karyawan, pereka, kurator dan para penulis kita.  Pada masa yang sama, pameran ini diharap dapat membantu para saintis, pengaturcara, usahawan dan pentadbir untuk memahami peranan seni dalam kelangsungan revolusi teknologi maklumat.
 
    PSEP akan cuba menggarap reaksi dunia seni tampak negara terhadap media elektronik lewat adab ke 20 ini dan membentangkan ulasan tentang persedian karyawan kita menghadapi cabaran abad ke 21.

    Pada masa ini, rujukan terhadap hasil karya elektronik Malaysia terkandung secara bertaburan merentasi naratif sejarah seni yang dibentuk mengikut penyesuaian modernisma dalam acuan tempatan.  PSEP akan cuba menapis dan menyusun semula serpihan seni elektronik tempatan yang kini masih berbaur dalam naratif yang luas.  Ini membolehkan terbentuknya satu asas bagi sejarah media elektronik dalam seni tampak Malaysia.
 
    Dalam usaha untuk memberi gambaran keseluruhan terhadap amalan terkini media elektronik, PSEP juga mempersembahkan hasil karya terbaru yang dipilih dari cadangan oleh karyawan-karyawan yang berminat. Mengambil kira proses globalisasi tenaga manusia yang berlaku sekarang, sumbangan karyawan dan pereka asing yang berkerja di Malaysia juga dipertimbangkan.

    Atas hasrat untuk memberikan gambaran serta pendedahan yang menyeluruh dan terbaik, pameran ini diiringi oleh katalog dalam bentuk bercetak, CD-ROM dan Halaman Web.
 
    PSEP disusun dengan mengambil kira kategori berikut : seni video, seni komputer dan seni cahaya.  Namun begitu, berdasarkan ciri perintis yang mendokongi usaha ini, PSEP tidak berhasrat untuk mencadangkan sebarang bentuk sekatan atau penutupan dari segi sejarah mahupun teori. Malah, pengasingan mengikut kategori bakal pupus dengan penyatuan pelbagai bidang di atas pelantar komputer.
 
    Kami sebagai kurator ingin memohon maaf kepada sesiapa yang sumbangannya ditinggalkan secara tidak sengaja.  Dengan rendah diri kami mengakui bahawa pameran sulung seumpama ini dan sebarang bentuk teks yang mengiringinya adalah ibarat deraf awal bagi naratif yang baru berputik dan berkembang.

 
Hasnul J Saidon
Niranjan Rajah

Kurator Jemputan
 


                    PSEP    TEXT    IMAGES