PERTABALAN MENJADI PENGIRAN BENDAHARA 15 JULAI 1947


Istiadat pertabalan Yang Amat Mulia Pengiran Muda Omar Ali Saifuddien Sa?adul Khairi Waddien (Sultan Haji Omar Ali Saifuddien) menjadi Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara telah diadakan di Lapau semantara iaitu Pejabat Besar Kerajaan, Bandar Brunei. Peristiwa bersejarah ini berlaku pada hari Isnin 16hb. Sya?aban, T.H. 1366 bersamaan dengan 15hb. Julai, T.M. 1947 tanpa dihadiri oleh Sultan Ahmad Tajuddin Akhazul Khairi Waddin. Maka ketibaan rombongan baginda ke bangunan Lapau ini telah dijunjung oleh Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Muhammad Yasin dan Pengiran Shahbandar Pengiran Anak Hashim. Di samping itu, W.J..Peel, British Resident di Brunei dan pembesar-pembesar negeri juga telah hadir dalam majlis itu.

Upacara pengurniaan gelaran Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara telah disediakan teksnya oleh Yang Mulia Pengiran Haji Muhammad Salleh bin Pengiran Anak Haji Muhammad yang mana terdapat perkataan ?Ayuta Mahkota Singgahsana Perbu?. Ungkapan ini dimasukkan adalah kerana Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Omar Ali Saifuddien mempunyai kelayakan untuk menjadi Sultan. Selepas upacara ini selesai dijalankan baginda pun diarak mengelilingi Bandar Brunei.

Pada lazimnya dalam upacara ini orang yang akan dikurniakan gelaran akan mengangkat sembah kepada baginda Sultan, tetapi memandangkan ketidakhadiran Sultan Ahmad Tajuddin Akhazul Khairi Waddin ketika itu, maka sebaliknya Pengiran Pemancha Pengiran Anak Muhammad Yasin dan Pengiran Shahbandar Pengiran Anak Hashim telah mengangkat sembah hormat kepada baginda. Satu persoalan yang timbul ialah apakah sebenarnya yang menyebabkan Sultan Ahmad Tajuddin Akhazul Khairi Waddin tidak menghadirkan diri dalam majlis tersebut. Hanya Allah sahaja yang tahu.

Bagaimanapun, menurut setengah sumber bahawa kemungkinan baginda memang tidak mempersetujui lantikan tersebut, tetapi memandangkan baginda sudah terlanjur iaitu ketika pertemuan baginda dengan Mr. Malcolm Mac Donald, Persuruhjaya Tinggi British di Tenggara Asia dalam satu jemuan makan malam dalam bulan April atau Mei 1947, maka baginda terpaksa menunaikan janji ini. Menurut cerita Dato W.J..Peel yang menjadi British Resident di Brunei (Julai 1946 - Januri 1948) ketika itu mengatakan bahawa beliau telah meminta supaya Mr. Malcolm MacDonald menyuarakan kepada Sultan Ahmad Tajuddin untuk melantik Pengiran Muda Omar Ali Saifuddien menjadi Pengiran Bendahara. Permintaaan ini telah dipersetujuinya walaupun pada hakikatnya baginda enggan. Menurut Dato W.J..Peel lafaz persetujuan baginda ini dilakukan ketika baginda berada dalam keadan tidak sedar. (Wallah huwalam)

Kemungkinan pengakuan Dato W.J..Peel ini ada benarnya, kerana bagi mengenangkan jasa Dato W.J. Peel itu, baginda Sultan Haji Omar Ali Saifuddin senantisa tidak melupai sahabatnya itu sehingga ke akhir hayat baginda. Baginda senantiasa mengutus kad hariraya dan krismas dan menjemput beliau datang ke Brunei dalam sambutan hari-hari kebesaran. Malah sebagai tanda kenangan persahabatan dan ingatan Resident British diatas jasa Almarhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien itu, beliau kekal menggunakan nama gelaran ?Dato? yang dianugerahkan oleh baginda sehingga ke hari ini. Ada kemungkinan juga bahawa disebabkan rasa penghormatan kepada Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Mr. Malcolm MacDonald telah tidak menerbitkan sebuah buku yang ditulisnya mengisahkan tentang Almarhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien.