bismillah.gif

Inilah Kitab Yang Bernama

Muniyatul Musolli

Yang melengkapi akan masail yang
berkaitan dengan solat.

aleem2.gif

Mukaddimah

Ku mulai kitab ini dengan nama Allah yang amat Murah lagi Amat Mengasihani akan hambanya yang mukmin didalam negeri akhirat. Segala puji bagi Allah Tuhan sekelian alam. Tuhan yang menjadikan sembahyang lima waktu ini jalan segala orang muttaqiin. Dan Tuhan yang menjadikan didalam sembahyang itu sejuk mata hati penghulu segala mursalin ya'ani dijadikan sejuk matahati Nabi dengan musyahadah akan Tuhannya didalam sembahyangnya dan dijadikan sembahyang itu satu rukun dari rukun agama.

Dan menjadikan padanya(sembahyang) dapat lazat, manis, khidmat, sembahyang yang menempati syurga yang disegerakan didalam dunia bagi segala hambaNya yang Muhibbin. Dan tempat galian segala rahsia daripada bagi tajalli Allah bagi orang yang 'Asyikin yakni rindu merekaitu akan Mahbubnya.

Dan rahmat Allah dan salamNya atas penghulu kita Nabi Muhammad pesuruh Tuhan sekelian dan yang memberi syafaat ia akan segala orang yang berdosa pada hari kiamat.

Dan atas keluarganya dan segala sahabatnya dan segala ikutannya daripada anak buahnya yang suci merekaitu akan Rahmat dan SalamNya yang berkekalan keduanya hingga hari kiamat.

Kelebihan Sembahyang

Dan adapun kemudian dari itu, maka ketahui olehmu hai segala orang yang Muslimin, telah memberi faham akan kami dan akan kamu Allah s.w.t dan mengilhamkan kamu dan kamu cerdik dan lindungkan daripada kejahatan diri kita.

Bahawasanya sembahyang itu tiang agama dan yang terlebih besar kejadian rukun Islam yang 5 perkara kemudian daripada mengucap dua kalimah syahadah. Dan tempatnya daripada agama seperti tempat kepala dari tubuh maka seperti bahawasanya tiada hidup bagi orang yang tiada kepala baginya. Maka demikian tiada agama bagi orang yang tiada sembahyang baginya. Demikian telah datang pada beberapa hadis Nabi.

Maka menjadikan kami Allah s.w.t dan akan kamudaripada orang yang memelihara sembahyang yang 5 waktu dan orang yang mukim (tetap) bagi sembahyang yakni mendirikan dan memeliharakan dia, lagi orang yang khusyu' padanya yakni tetap hatinya dan anggotanya di dalam sembahyang, lagi yang mengekalkan atas sembahyang yakni tiap-tiap sudah sembahyang mencita ia hendak mengerjakan sembahyang yang keduanya. Demikianlah selama-lamanya Maka dengan demikian itulah menyuruh Allah s.w.t akan segala hambanya yang mukmin didalam kitabNya dan dengan dia (kitab) memperikan sifat mereka itu.

Maka firmanNya, peliharakan oleh kamu hai orang yang mukmin atas sembahyang yang lima waktu dan memeliharakan sembahyang wusta dan berdiri kamu bagi Allah s.w.t mengerjakan kamu akan taat. Maka dikehendaki dengan selawat itu yaitu sembahyang fardhu yang 5 waktu iaitu zohor, asar, maghrib, isya dan subuh. Maka demikian itulah sembahyang yang tiada diluluskan akan seorang daripada orang Islam meninggalkan satu daripadanya yakni sembahyang pada satu kelakuan daripada segala kelakuannya padahal Islam ia, berakal dan jikalau sampailah lemahnya barang yang sampai dan sakitnya kepada sangka-sangka sampainya sekalipun (sakit berat), tiada diuzurkan meninggalkan dia. Dan dikehendaki dengan Solatul Wusta iaitu sembahyang asar. Adapun sebab ditentukan dengan menyebut akan dia kerana kelebihannya dan mulianya atas yang lainnya. Dan adalah sebab diturunkan ayat kerana memudahkan sembahyang tetakala takut bahawasanya adalah orang Islam serta Rasulullah s.a.w pada setengah daripada peperangan, sembahyang Rasulullah s.a.w sembahyang zohor atas jalan adatnya dan adalah musyrikin hampir dengan mereka itu melihat ia akan muslimin. Maka manakala selesai mereka itu daripada sembahyang zohor kata setengah daripada musyrikin jikalau kamu sergah atas mereka itu didalam sembahyang merekaitu nescaya mengena kamu akan mereka itu. Maka berkata setengah yang lainnya bahawasanya bagi mereka itu kemudian bagi sembahyang ini terlebih kasih kepada mereka itu daripada bapa mereka dan daripada anak-anak mereka yakni dikehendakinya mereka itu sembahyang asar. Maka turun Jibril a.s atas Rasulullah s.a.w dengan sembahyang kaifiat Syiddatul Khauf. Maka tilik olehmu betapa kelebihan sembahyang asar dan nyatanya hingga mengetahui segala musyrikin akan kelebihannya.

Dan lagi firman Allah s.w.t......yang bermaksud:-

" Kembali kamu hai segala mukminin kepada Allah dan takut akan dia dan dirikan olehmu akan sembahyang dan jangan ada kamu dari orang yang musyrikin."

Maka makna inabah kembali kamu kepada Allah dan taqwa itu takut akan Allah dan erti iqamatus solat itu mendatangkan dia atas wajah yang disuruh Allah Taala. Dan lagi firmanNya yang bermaksud:-

" Sesungguhnya telah mendapat kemenangan segala orang yang mukminun iaitu orang yang ada mereka itu khusyu' yakni tetap anggotanya takala sembahyang...... dan segala yang adalah atas sembahyang mereka itu memelihara akan dia."

Dan lagi firmanNya yang bermaksud:-

"Melainkan orang yang sembahyang yang atas mereka itu berkekalan memelihara akandia."

Maka yang diistisnakkan (dikeluarkan) mereka itu daripada bagi manusia yang dijadikan perangai mereka itu terkejut dan keluh kesah takala mengena mereka itu kejahatan dan apabila mengena mereka itu kebajikan ditegahkan kebajikannya daripada mengerjakan kebaikan.

Maka seperti bahawa Allah s.w.t berfirman bahawa sanya orang yang sembahyang atas yang sebenarnya tiada mereka itu daripada yang keluh kesah dan terkejut apabila menyentuh mereka itu kejahatan dan tiada memegang mereka itu kebajikan baginya apabila datang kebajikan, tetapi ia menafkahkan atas keredhaan Allah s.w.t

Dan lagi pula kerana bahawa sanya sembahyang yang sebenarnya itu menegah daripada fahsya dan mungkar seperti firman Allah Taala yang bermaksud:-

" Dan dirikan oleh mu akan sembahyang bahawasanya sembahyang itu menegahkan daripada kejahatan dan pekerjaan yang mungkar dan sesungguhnya zikir Allah itu terlebih besar."

Maka orang yang mendirikan sembahyang seperti yang disuruh Allah Taala dan RasulNya menegahkan dia sembahyang daripada mengerjakan yang demikian itu daripada segala pekerjaan yang jahat-jahat.

Dan sabda Nabi s.a.w yang bermaksud:-

"Sembahyang kamu seperti barang yang kamu lihat akandaku sembahyang"

Maka hendaklah kita mengikut akan yang dikerjakan Nabi s.a.w atas jalan yang kita ambil daripada ulama a-immah ini yang dahulu dan yang kemudian seperti yang disebut dalam kitab mereka itu r.a ialah yang dinamakan dan dibilangkan daripada orang yang mendirikan sembahyang dan memelihara akan dia (sembahyang).

Rupa Sembahyang

Kemudian maka adalah bagi sembahyang itu adalah baginya rupa yang zahir yang sempurna. Maka iaitu syarat seperti ruhnya, maka rukunnya seperti kepalanya dan badannya, sunat ab'ad itu seperti anggotanya dan sunat hai-ah itu seperti segala bulu perhiasannya. Dan ada baginya rupa hakikat yang bathin dan tiada sempurna bagi sembahyang dan tiada tamamnya (sempurna) melainkan dengan mendirikan ia dengan keduanya sekali.

Maka adapun rupa yang zahir itu maka iaitu berdiri dan takbir dan membaca fatihah dan ruku' dan 'itidal dan dua sujud dan duduk antara keduanya dan duduk tasyahud dan tahyat dan salam. Inilah daripada segala rukun yang zahir dan sunatnya dan syaratnya.

Dan adapun rupa hakikat yang bathin maka seumpama khusyu', dan hadir hati dan sempurna ikhlas dan tazallul dan tafahhum bagi makna qiraat dan tasbih dan lainnya daripada wazifah sembahyang yang bathiniah.

Maka zahir sembahyang bahagian badan dan anggotanya dan bathin sembahyang bahagian hati dan sirnya. Dan demikian itu tempat tilik hak Allah s.w.t daripada hambanya iaitu hati dan sirnya.

Kata Iman Ghazali rahimahumullah umpamanya orang yang mendirikan rupa sembahyang yang zahirnya jua dan lalai ia daripada hakikat yang bathin seperti umpama orang yang menghadiahkan bagi raja yang amat besar darjatnya akan seorang dengan ini yang mati tiada ruh baginya. Dan orang yang mentaksir pada mendirikan yang zahir sembahyang seumpama ia menghadiahkan kepada raja akan seorang dengan ini yang terpotong anggotanya dan ketiadaan dua matanya. Maka adalah ia orang yang menghadiahkan ini dan terdahulu melentangkan keduanya itu akan dirinya keduanya bagi raja itu siksa dan murkanya dan marahnya kerana keduanya itu menghinakan bagi hormat kerajaannya dan meringankan oleh keduanya dengan hak kerajaan.

Kemudian katanya maka tilik olehmu akan diri kamu yang kamu hadiahkan sembahyang kamu kepada Tuhan kamu jangan ada seperti itu dan takut olehmu bahawa engkau menghadiahkan dengan sifat ini maka mewajibkan kamu disiksa.

Lagi Mengenai Kelebihan Sembahyang

Maka hendaklah engkau ketahui akan qadar sebesar-besar nikmat Allah s.w.t menghadiahkan dan menganugerahkan Tuhanmu akan segala hambaNya sembahyang lima waktu ini seperti barangyang disebut pada hadis Nabi s.a.w yang bermaksud:-

"Tiada diberi akan seorang hamba di dalam dunia yang terlebih kebajikan daripada diizinkan baginya pada mengerjakan dua rakaat yang disembahyangkan akan keduanya. Maka padanya hasillah baginya khalwat ia sertanya dan dapat asing ia dengan dia dan dapat sekedudukan baginya dan memutuskan dirinya kepadanya dan dapat padanya itu mengangkatkan daripada hati mereka itu akan dinding dan tabir yang antaranya dan antara Tuhannya dan nyatalah padanya segala haqaik dan asrar dan teranglah padanya cemerlang segala cahayanya dan adalah padanya munajat hamba dengan Tuhannya dan jernihlah hatinya dan sirnya dan ialah perhubungan antara hambanya dan Tuhannya 'Ajja wa Jalla."

Dan berkata Muhamad Ali Tirmizi, bermula sembahyang itu 'imaaduddin dan inilah yang pertama yang difardhukan dia Allah Taala atas segala muslimin itu sembahyang. Bermula sembahyang itu berhadap Allah Taala atas segala hambaNya supaya berhadap segala hamba itu kepadaNya dalam rupa kehambaan dengan keadaan tazallulan yakni merendahkan dirinya dan tasliman yakni menyerahkan dirinya bagi Tuhannya dan tabazzulan yakni hina dan takhaddu'an yakni dengan khudhu' dan takhassyu'an yakni dengan khusyu' dan tagharruban yakni gemar dan suka dan tamalluqan yakni dengan rindu dendam.

Maka berdiri itu rupa tazallul,
Dan takbir itu rupa taslim,
Dan thana-u dan tilawah itu rupa tabazzal,
Dan ruku' itu rupa takhaddu'an,
Dan sujud itu rupa takhasya'
Dan duduk itu rupa tagharrub,
Dan tasyahhud itu rupa tamalluq.

Maka berhadap segala hamba kepada Allah Taala dengan itu sekeliannya supaya berhadap Allah s.w.t atas mereka itu dengan tarahim yakni dengan kasihanNya dan lembutNya dan berhadap (tilik) dan diterimaNya dan hampirkan kepadaNya. Maka tiada suatu daripada pekerjaan agama yang terlebih besar daripadanya.

Dan sabda Nabi s.a.w:-

"Bermula sembahyang itu nur". Dan lagi sabdanya:-

"Sentiasa Allah berhadap atas hamba dengan mukanya selama berkekalan ia berhadap atasNya."

Dan kerana inilah adalah sembahyang sangat banyak faedahnya, lagi ia membukakan bagi hati orang yang kepapaan dan yang mempunyai dharuri (susah) daripada ahlil qulub (ahli tasauf). Maka muliakan akan mereka itu takala mendirikan sembahyang maka hilang pada hatinya daripada tiap-tiap yang digemarnya dan yang disukanya dan hilanglah daripada hatinya daripada itu akan segala yang dikasihnya yang lain daripada Allah s.w.t.

Dan kerana inilah firman Allah Taala:-

"Suruh olehmu akan ahli kamu dengan mendirikan sembahyang dan sabar ia atasnya. Tiada kami pinta akan kamu rezeki, kami yang memberi rezeki akan kamu"

Maka sebenarlah bahawa adalah ia tempat sejuk matahati hamba Allah yang 'Arifin dan dengan dia tempat matahatinya itu ibarat daripada suka dan kesenangan dan sempurna nikmat dan lazat yang hasil padanya sehingga muafakat dan berjinak-jinak dengan dirinya tetapi bersalahan ia sebab bersalahan dengan martabat kelakuan dan maqam mereka itu dengan sekira-kira makrifatnya.

Riwayat daripada Hasan r.a bahawasanya Nabi s.a.w bersabda

" Umpama sembahyang lima waktu itu seumpama sungai yang deras pada pintu seorang kamu lagi banyak airnya memandi ia padanya tiap-tiap hari lima kali. Maka apayang tinggal atasnya daripada karatnya."

Yakni bahawasanya lima waktu itu menyucikan daripada segala dosanya tiada tinggal satu dosa melainkan diampun akandia melainkan dosa yang besar-besar, maka berkehendak ia kepada taubat.

Dan riwayat daripada Ubadah bin Tsomat sabda Nabi s.a.w:-

" Lima sembahyang itu difardhu oleh Allah akan segala hamba. Maka barang siapa mendatang dengan dia sempurna dan tiada dikurangkan haknya yang mengurangkan dia adalah baginya pada Allah janjianNya bahawa memasukkan dia kedalam syurga dan barang siapa meniggalkan dia dengan haknya, tiada baginya pada Allah Taala itu janjian. Jika dikehendak dikasihankan dia, maka jika dikehendak disiksanya."

Dan lagi sabda Nabi s.a.w

" Bahawa seorang laki-laki sungguhnya ia sembahyang dan kesalahannya dihantarkan diatas kepalanya. Maka tiap-tiap sujud gugur kesalahannya hingga habis dan gugur segala kesalahannya."

 

[Menu utama][Syarat-syarat]