Tradisi lisan yang mendokong pelantar sang penglipurlara terpaksa berganjak dari keselesaan yang dipusakai apabila Edison muncul dengan 'phonograph' dan Berliner dengan 'gramophone'nya. Sipenyanyi mula mengenangkan nasib suaranya yang dipindahkan atau 'terguris' di atas permukaan plastik.
Tidak cukup dengan 'mengguris' suara (dan 'hati' mereka yang takutkan perubahan), Pakcik Bell pula tampil dengan 'ide gila'nya untuk menerbangkan suara manusia merentasi tanah dan samudera, menghuni talian besi dan udara lalu muncul di hulu corong tidak bernyawa. Tanpa disedari, rakan-rakannya sudah tidak lagi perlu berada 'sepelaung' darinya untuk berbicara. Masyarakat dan peradaban yang melingkari usaha Bell pula begitu beruntung kerana dapat memanjangkan telinga untuk mendengar warkah berita dari jauh.
Muybridge, Lumiere, Marey, Eastman, Kodak dan Edison seterusnya menyusul untuk meneruskan cita-cita memindahkan kehadiran manusia ke atas dunia buatan. Mereka menjadi dalang moden yang membuka jalan untuk menjadikan cahaya dan permukaan filem sebagai pentas baru bagi peradaban manusia. Percubaan Platteau menerusi 'phenatiskiscpoe'nya dan Daguerre melalui 'daguerrotype'nya disempurnakan.
Manusia sudah mampu keluar dari tempurung jasadnya untuk hadir sebagai entiti cahaya yang dipancar ke permukaan rata. Imbasan jasad manusia bergerak tidak ubah seperti melihat hantu atau roh manusia keluar merayau dari acuannya yang asli. Masyarakat berpusu-pusu menyaksikan keajaiban ini. Mereka yang melihat menerusi kekisi jendela merasa gundah. Kegilaan ini akan memusnahkan manusia, fikir mereka. Lebih baik kembali ke tempurung yang selesa dan selamat.
Pelukis dengan kehandalan tangan mula merasa tercabar dengan keupayaan mesin. Ke'sucian' seni yang dipusakai mula digoncang walaupun berus dan kanvas yang mereka gunakan merupakan cebisan dari teknologi yang mendasari kedatangan ciptaan baru. Mereka bertindakbalas menerusi Impresionisma yang dikatakan mampu merakamkan kesan cahaya secara sekilas pandang dengan tangan kosong, tanpa bantuan mekanikal. Kemunculan teknologi filem dibalas dengan Kubisma, yang tampil dengan serakan dan pecahan sudut pandangannya. Teori relativiti Einstein menjadi petikan rasmi untuk menandakan anjakan dari pandangan 'sepusat' kepada 'yang bergantung kepada pemerhati'.
Apabila adik-beradik WRIGHT memberi manusia sayap untuk terbang merentasi batasan masa dan ruang, sekali lagi sipelukis terpaksa menukar 'perspektif' atau sudut mata mereka dari aturan yang sedia ada. Pandangan dari kapalterbang sudah tentunya berbeza dari yang dilihat oleh Turner, Constable, Ingres, Monet dan rakan-rakan. Satelit dan mikrosop pula telah memindah pandangan mata lebih jauh dari 'ladang, pokok epal, gunung, awan dan langit biru' kepada Bimasakti dan struktur helix DNA; berkenalan dengan Pluto yang jauh dan Neutron yang halus; atau mengintai anak dara sedang mandi di Kremlin!. Peradaban mereka berjaya membawa keluar penglihatan, pendengaran dan segala pancaindera jauh merentasi batasan asalnya.
Golongan karyawan Barat pula tidak berhenti merakamkan cetusan reaksi mereka terhadap perubahan. Malah, cetusan mereka ini kemudiannya diwartakan sebagai penanda-penanda utama dalam naratif sejarah seni yang dirujuk oleh seluruh warga dunia hingga kini.
Dipeluk atau dibenci, kesemua penemuan saintifik dan teknologi tetap tumbuh menjadi lanjutan dan 'kuasa tambahan' kepada badan atau jasad hidup. Produk teknologi tidak akan berhenti menakluki ruang peradaban manusia. Evolusi dan dimensi 'badan biologikal' yang kita miliki terpaksa berubah mengikut tuntutan perubahan yang didatangkan oleh penemuan atau ciptaan baru sejak dari revolusi pertanian, revolusi perindustrian hinggalah kini dengan revolusi maklumat. Sekali air bah, sekali pantai berubah.
Samada kita ingin berterima kasih atau menidakkan mereka yang tidak penat mencipta, hakikatnya adalah kita tidak lagi boleh menyerahkan 'badan' kepada 'nasib' atau takdir semata-mata. Setiap kali kita disergah dengan teknologi yang baru, setiap kali penafsiran kita perlu dianjak dari tempurungnya. Semakin hari semakin kita perlu menyesuaikan kehadiran diri dengan segala yang kita (atau biasanya orang lain) cipta. Lebih memilukan jika kita mengizinkan 'badan' kita ditakluk oleh 'nasib' yang diatur oleh mereka yang rajin mencipta, mendahului, memangkin, dan menerajui.
Mcluhan mengatakan bahawa kita kini hidup dalam satu kampung global yang dirangkaikan oleh media elektronik, telivisyen umpamanya. Yang jauh telah didekatkan. Dunia semakin kecil. Jika ada yang tidak selesa dengan kehadiran Bapak Surnoyo dan Bapak Heryanto dari Madura mahupun Bang Ali Akhbar dan Bang Mujeed dari Dhaka, agaknya ada yang lebih resah dengan kehadiran IBM dan Apple, SONY atau yang sejenis dengannya. Tidak menghairankan jika cetusan budaya kini boleh muncul dari Saleem, Kent, Dunhill, Malboro dan sebagainya. Jika asimilasi pengaruh luar dilihat sebagai lanjutan imperialisma ataupun desakan ekonomi, mungkin kita perlu merujuk keputusan Sultan Melaka mengahwini Puteri Hang Li Po dulu! 'MOU' dan 'joint ventures' sudah lama bertapak di Nusantara. 'Multiculturalism' tidak perlu disumbat kepada kita kerana sudah ada versinya sendiri di sini sejak dari zaman kesultanan Melaka dahulu. Malah 'multimedia' bukanlah perkara yang baru jika ditinjau cetusan seniman Timur Jauh dahulu kala. Namun keresahan terkini yang datang seiring dengan nama-nama syarikat gergasi teknologi, tetap ada.
Seiring dengan keresahan ini,
ada yang mengatakan bahawa kemunculan teknologi canggih (yang sehingga
kini masih dibekal oleh Barat) bakal mengakhiri kemanusiaan, terutama apabila
teknologi dianggap memangkin kepupusan fitrah semulajadi manusia secara
fizikal mahupun spiritual. Ironisnya, ada yang memerlukan 'Blade
Runner' dan 'Terminator' dari Hollywood untuk mengingatkan tentang kemungkinan
sebegini.
Baudrillard mengingatkan
kita kepada ke'asli'an yang semakin haus dikikis oleh 'simulacra'- rantaian
salinan demi salinan demi salinan realiti yang berlaku di pentas elektronik,
sehingga yang tinggal bukan lagi yang asli. Apabila manusia semakin
jauh meninggalkan 'badan'nya sendiri untuk berfungsi menerusi perantaraan
mesin berteknologi tinggi, sesekali terasa ada juga kebenarannya.
Dengan bantuan teknologi canggih, kita sudah tidak perlu lagi 'menghadirkan'
jasad badan untuk berkomunikasi dan melakukan pelbagai perkara. Dalam satu
persembahan, Paul
Sermon berkongsi bantal dengan seorang yang berada di tempat lain.
William Gibson telah lebih awal melukiskan gambaran kehadiran tidak berjasad
dalam novel 'Neuromancer'nya. Apakah agaknya persediaan kita menghadirkan
diri tanpa jasad dalam ruang maya ?
O.B. Hardisson mengatakan bahawa apabila sesuatu produk teknologi menggantikan pancaindera asli dan menjadi sebahagian dari lanskap kehidupan yang biasa, kesedaran terhadap keupayaan semulajadi kita lesap seiring dengannya. Dalam seni persembahannya Stelarc merelakan sebelah badan beliau dikawal oleh input elektronik yang dipam dari internet. Kalau kita boleh meminta Ustaz Haron Din menghalau makhluk halus yang merasuk badan, siapa pula agaknya yang kita panggil untuk menghalau 'data' yang merasuk terus ke hujung Neuron otak kita ? Bill Gates dan kuncu-kuncunya?
Kita disuruh menuntut ilmu hingga ke Negeri China. Tidak salah jika bersedia untuk terus meneroka, ujud dan hadir walau di ceruk ruang siber mana sekalipun. Istilah 'surfing' yang dikaitkan dengan 'pelayaran' menghadapi 'gelombang' internet mungkin boleh mengingatkan kita kepada keberanian bangsa yang MELAYar' suatu masa dahulu.
Jika naratif sejarah seni Barat boleh berbangga dengan Impresionisma yang lahir dari reaksi terhadap fotografi, atau Kubisma yang cuba mentafsir Einstein dan montaj filem, atau Futurisma yang muncul seiring dengan teknologi automobil dan banyak lagi, kita mungkin mengatakan bahawa kita terlewat dan terlalu jauh untuk merasa bahangnya. Dengan revolusi teknologi maklumat, kelewatan bukanlah isu. Cuma bila berhijrah ke alam siber kelak, janganlah kita lupa membawa tok-tok guru, ahli sejarah, ahli fikir, ahli budaya dan ahli seni yang tinggi dan halus sentuhan fikiran serta hatinya.
Sebolehnya, di celah kerancakan kita menilik 'nasib' atas ukuran nombor, kelajuan, indeks, geraf dan ringgit, atau atas pundak sang usahawan, jurutera, penganalisis sistem, pengaturcara perisian dan yang sekaum dengan mereka, kita tiliklah atas ukuran nilai kemanusiannya yang lebih dekat dengan fitrah kehadiran manusia di atas muka bumi ini. Jika kini rantau sebelah Timur dianggap kekurangan dari segi warisan materialnya, ia kaya dengan warisan kerohaniannya. Di sinilah tunas sumbangan kita kepada peradaban manusia sejagat boleh hidup Îberimbanganâ dan tumbuh subur untuk dimunafaatkan generasi akan datang. Kita kaya dengan sumber kemanusiaan yang tinggi. Sentuhan kemanusiaan ini selalunya dibekalkan oleh golongan karyawan yang jujur. Kita berdoa semoga golongan sebegini masih ujud, tidak pupus dan terus hadir walau di pentas maya sekalipun.
Agak ironis mengenangkan nasib sang katak yang sudah mampu keluar dari tempurungnya untuk berhijrah ke layar perak dan phosporous, tetapi terpaksa pula menghadapi hakikat bahawa dunia radio, telivisyen dan filem sudah semakin pupus. Dunia tersebut terpaksa tunduk kepada keupayaan dekonstruktif teknologi digital yang berjaya menyedut kesemuanya menjadi satu pelantar maya tidak bertepi. Sang katak kini terpaksa pula melompat dan berpantul-pantul di lorong optik fiber, bertapa di celah lurah cakera padat, atau me'maya'kan dirinya di alam siber tidak bersempadan. Jika demikian hal kehadirannya, masih 'kodok'kah ia ? Atau hanya iluminasi...?
Lokasi peradaban manusia sebenarnya bukan sahaja berkiblatkan Barat atau mereka di atas angin. Pendedahan berterusan kepada pancaran radiasi telivisyen mungkin telah membuatkan kita lupa bahawa peralatan-peralatan 'canggih' manusia terawal pernah ujud di Tanah Jawa dan sekitar daerah Nusantara. Tidak semua sejarah peradaban yang kita pelajari berakhir dengan kegembiraan. Peradaban Roman yang gagah pernah menyembah bumi kerana keangkuhannya. Kita juga mungkin tertanya-tanya tentang apa yang berlaku pada kelangsungan peradaban Empayar Islam yang terkenal dengan penemuan ilmunya. Sebelum tergadah, molek juga kita belajar dari kesilapan lalu.
Ada yang beranggapan bahawa
Amerika Syarikat membina peradabannya di pentas telivisyen dan filem. Pembinaan
perdabadan sebegini tidak dapat dilaksanakan tanpa khidmat dari para seniman.
Malah, menerusi pertolongan golongan inilah maka mereka dapat memujuk dunia
untuk turut berhijrah masuk ke dunia fiksional mereka; menari dan beraksi
mengikut rentak yang telah diatur berdasar acuan penyesuaian yang sudah
pasti memenuhkan poket penguasa pentas. Badan kita yang berhijrah ke dalam
naratif telivisyen dan filem semakin haus jatidirinya dikikis oleh acuan
yang tidak kita sedari. Kerlipan lampu dan bintang mengaburi pandangan
kita. Keindahan dunia ciptaan ini terlalu sukar untuk ditolak.
Kerana kejahilan kita menyesuaikan kehadiran 'badan' dengan 'ruang ciptaan
orang lain,' kita kehilangan diri di celah transmisi fiksyen yang
dipancar terus ke dalam ruang tamu kediaman kita. Ketaatan buta,
rendah diri, hormat tak bertempat dan kurang keyakinan telah menggadai
badan yang kononnya terpaksa menerima keadaan tanpa banyak
menyoal. Tidak wajar berlagak Hang Nadim
kerana kelak badan dihumban ke laut. Inikah agaknya yang dikatakan 'dah
nasib badan...'